Series
206
Di ruang tamu, kelihatan seisi keluarga sedang bersantai di atas sofa sambil menonton televisyen. Suasana nampak tenang, disulami gelak tawa kecil daripada rancangan yang mereka tonton.
“Anak-anak papa, boleh tutup tv sekejap?” suara Tuan Mazlan kedengaran lembut namun serius.
Puan Sarah baru sahaja selesai memotong buah epal, lalu mengambil tempat di sisi suaminya. Tanpa banyak soal, Melisyah menekan remote dan mematikan tv. Elisyah juga mengalih pandangan, memberi tumpuan penuh.
Tuan Mazlan menatap kedua-dua anaknya dengan renungan yang berat, seakan menyimpan sesuatu yang lama terpendam.
“Bila papa dah tiada nanti… papa nak Sya ganti tempat papa. Boleh?”
Mata Elisyah terbuntang, jantungnya berdetak kencang. Ayat itu menusuk dalam. Baru saja dia mula bekerja, tiba-tiba disuruh menjadi CEO syarikat sebesar itu?
“Papa… Sya taknaklah jadi CEO. Jadi bos kecil bawah papa pun dah cukup buat Sya pening kepala, ni pula nak ganti papa? Tak payahlah, tapi terima kasihlah sebab percaya pada Sya,” balas Elisyah, cuba menutup kegelisahannya dengan gurauan sambil memberi tabik hormat.
Gelak ketawa pun pecah di ruang tamu.
“Kakak ni, orang bagi peluang besar pun boleh buat lawak. Kalau boleh Mel pun nak jadi CEO tu!” sampuk Melisyah, muncung mulutnya panjang.
Elisyah mencapai sepotong epal dan menyuakan ke mulutnya. “Habis tu, kamu ingat senang ke?”
Namun sebelum sempat mereka bergurau lebih lama, suara Tuan Mazlan kembali tegas.
“Kalau Sya tak nak jadi CEO, boleh… tapi dengan satu syarat. Sya kena kahwin, dan suami Sya yang akan ambil tempat papa.”
Sejurus itu wajah Elisyah berubah. Sakit, marah, dan kecewa bercampur baur. Dia paling tak suka topik kahwin dibangkitkan.
“Papa! Elisyah sanggup lagi jadi CEO seumur hidup daripada kena kahwin,” balasnya dengan nada keras, matanya mula berkaca menahan sebak.
“Kalau macam tu, janji dengan papa. Kalau jadi apa-apa pada papa, Sya yang kena ambil alih. Janji?” suara Tuan Mazlan sedikit bergetar, penuh harapan.
Elisyah menggigit bibir, hatinya pedih mendengar perkataan “jadi apa-apa” yang seolah membawa petanda buruk.
“Papa ni… janganlah cakap pasal mati. Sya tak suka dengar,” suaranya perlahan, penuh rayuan.
“Baiklah, papa tak cakap lagi. Sekarang giliran Mel pula,” Tuan Mazlan sengaja menukar suasana.
Melisyah yang menanti penuh debar, tegak duduknya.
“Kamu jadi cleaner kat syarikat papa, boleh?” usik Tuan Mazlan.
“Papa!!” wajah Melisyah merah padam, membuatkan Elisyah ketawa berdekah-dekah.
“Hahaha! Padan muka!”
“Abang, sudah-sudahlah mengusik anak tu. Jiran pun boleh dengar,” Puan Sarah menepuk lembut bahu suaminya.
“Baiklah, baiklah. Kamu jadi manager,” akhirnya Tuan Mazlan mengalah.
“Yesss! Manager!” Melisyah bersorak gembira. Puan Sarah hanya menggelengkan kepala melihat ragam anak bongsunya itu.
Namun di tengah keriuhan itu, tiba-tiba Elisyah bangun dengan wajah kelam kabut, melangkah laju menuju biliknya.
Puan Sarah menghela nafas perlahan. Dia tahu benar anak sulungnya itu pasti mahu menelan ubatnya lagi. Kadang-kala, dia kesian melihat Elisyah terpaksa bergantung pada ubat untuk bertahan. Tetapi apakan daya, hanya itu yang menahan anaknya dari terus rebah.
Kebiruan awan di langit dipandang lama, seakan cuba menenangkan hatinya yang tidak pernah sunyi daripada ribut. Jari-jemarinya hanya bermain dengan straw minuman, menggoyangkannya perlahan tanpa arah.
“Elisyah… awak dengar tak apa saya cakap ni?” Suara Airin kedengaran, lembut tetapi ada nada rimas. Tangan Elisyah digoncang perlahan.
“Oh, maaf. Saya dengar… sambunglah,” balas Elisyah, acuh tak acuh. Senyumannya hambar, matanya tidak benar-benar menatap Airin.
Sebenarnya, dia langsung tidak berminat untuk mendengar. Hatinya sudah penat. Tetapi janji tetap janji. Semalam dia sudah berjanji untuk makan tengah hari bersama Airin. Terpaksa juga dia duduk di sini, walaupun setiap kali bertemu, Airin pasti meluahkan segala masalah keluarganya.
Bukan Elisyah tidak kesian. Tapi… siapa pula yang sudi mendengar masalahnya sendiri?
“Ya Allah… kuatkan aku. Aku sendiri pun dah hampir rebah, tapi aku masih perlu jadi telinga untuk orang lain,” desis hatinya, pedih.
“Lepas tu, kakak saya boleh pulak bercerai dengan lelaki tu… padahal hensem kot,” ujar Airin, wajahnya penuh drama. Sejak tadi, makanan di hadapannya pun tidak disentuh.
Elisyah mengerling jam di pergelangan tangannya. Waktu rehat sudah hampir tamat, tapi Airin masih hanyut dengan ceritanya. Elisyah menarik nafas panjang, cuba bersabar.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Nada dering itu seperti menggoncang jiwanya. Tanpa fikir panjang, dia terus mengangkat.
“Apa?!” suara Elisyah meninggi, panik mula meresap. “Habis tu… papa macam mana?!” tangannya sudah menggeletar, jantungnya berdegup kencang.
“Okay… okay. Kakak datang sekarang!” suaranya bergetar, hampir putus nafas.
Dia bingkas bangun, hampir menolak kerusi dengan kasar. Dompetnya dicapai, wang kertas dihulur ke meja untuk membayar makanan mereka.
“Elisyah” Airin cuba menegur, namun gadis itu tidak sempat menjawab. Dia tahu Airin tiada cukup duit, jadi dia tinggalkan bayaran penuh sebelum berlari keluar.
Langkahnya laju, wajahnya pucat. Setiap hela nafas bagai dihimpit ketakutan. Dalam kepalanya hanya ada satu persoalan.
“Ya Allah, janganlah ambil papa daripada aku… belum lagi, belum sekarang.”
Hehheeh
Share this novel