Series
206
Tengku Malik melangkah perlahan ke ruang tamu. Matanya jatuh pada wajah isterinya yang lena di sofa, selimut separuh menutupi tubuh. Raut wajah pucat Elisyah membuat hatinya terasa sayu. Perlahan, dia duduk di sisi lalu mengusap lembut rambut isterinya.
“Sayang…” bisiknya penuh kasih. “Bangunlah, Melisyah dah siap masak. Sedap tau… jom makan?” Suaranya lembut, seolah takut mengganggu tidurnya terlalu kasar.
Elisyah mengeliat kecil, kemudian mengesat mata yang masih layu. Perlahan-lahan dia membuka mata, pandangan kabur sebelum jatuh pada wajah suaminya yang tersenyum sabar menunggu. Ada rasa hangat menyelinap ke hatinya. Penat, tetapi dihargai.
“Hmm… okaylah,” balasnya serak. Dengan perlahan dia bangun, walaupun tubuhnya masih terasa lemah selepas mabuk kereta tadi. Tengku Malik segera menghulurkan tangan, membantu isterinya berdiri. Sentuhan itu sederhana, namun terasa penuh perhatian.
Mereka berjalan ke meja makan. Bau nasi ayam memenuhi ruang, membuatkan perut Elisyah yang kosong tadi terasa berkeroncong. Puan Sarah dan Melisyah sudah pun menunggu, senyuman terukir melihat anak dan menantunya masuk bersama.
“Alhamdulillah, semua dah ada. Jom kita makan sama-sama,” ujar Puan Sarah, gembira.
Saat duduk di meja, Elisyah sempat melirik adiknya yang sibuk menyendukkan nasi ayam ke pinggan. Hatinya tersentuh dengan layanan penuh kasih itu. Walau tubuhnya masih lemah, dia terasa bahagia. Kerana ada keluarga, ada suami yang prihatin, ada adik yang ambil berat.
Bila suapan pertama singgah di mulut, Elisyah menutup matanya sekejap, menikmati rasa yang bukan sekadar sedap di lidah, tapi juga penuh dengan kasih sayang yang mengelilinginya. Tengku Malik yang duduk di sisi hanya memerhati, senyum nipis terukir. Rasa syukur kerana isterinya sedikit demi sedikit mula membuka ruang hatinya.
Kereta mewah itu meluncur perlahan di atas jalan raya. Suasana dalam kereta senyap, hanya bunyi enjin menemani. Elisyah duduk di sisi, pandangannya kosong ke luar tingkap. Matanya sayu, jauh sekali daripada rasa gembira seorang isteri baru. Hatinya masih berat mahu meninggalkan rumah mamanya.
Tengku Malik sempat mencuri pandang wajah isterinya. Dia tahu Elisyah sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Perlahan dia membuka suara, nadanya lembut.
“Sayang… abang minta maaf. Abang tahu hati sayang tak rela lagi nak pindah ke rumah kita. Tapi abang janji, abang akan cuba buat rumah tu jadi tempat yang selesa untuk sayang. Nanti bila ada masa lapang, kita boleh balik jumpa mama papa. Abang takkan halang.”
Dia cuba menghulurkan tangannya, ingin menggenggam jemari Elisyah. Namun, Elisyah menarik perlahan, tidak mahu. Wajahnya tetap menghadap tingkap.
“Awak tak perlu minta maaf,” balas Elisyah dingin, suaranya datar. “Saya ikut sebab saya isteri awak. Bukan sebab saya nak.”
Tengku Malik tersenyum nipis. Kata-kata itu menikam hatinya, tapi dia kuatkan diri. Perlahan dia menarik nafas, kemudian berkata lagi, penuh sabar.
“Abang tetap hargai, sayang. Walaupun sayang belum cintakan abang, abang tetap bersyukur sayang ada di sisi. Abang takkan berhenti cuba buat sayang bahagia.”
Elisyah diam. Matanya terpejam, cuba menahan rasa sebak yang bersarang. Dia tidak mahu menangis di hadapan Malik. Sementara itu, Tengku Malik terus memandang jalan di hadapan, tekad dalam hatinya hanya satu, selagi bergelar suami, dia akan jaga Elisyah sebaik mungkin, walau cinta itu belum bertunas di hati isterinya.
Setelah kereta berhenti di halaman, mereka berdua membawa beg masuk ke dalam rumah baru itu. Rumah yang sepatutnya menjadi syurga kecil buat pasangan baru berkahwin, tapi bagi Elisyah, langkahnya terasa berat.
Elisyah terus menuju ke bilik yang dekat dengan dapur. Dia membuka pintu bilik tetamu, lalu meletakkan beg bajunya di atas katil. Dia seakan mahu menetapkan sempadan.
Tengku Malik yang baru selesai mengangkat barang, cepat menghampiri. “Sayang… kenapa letak beg kat sini? Bilik kita kat atas tu, lebih selesa.” Suaranya lembut, cuba mengawal hati yang sedikit terguris.
Elisyah berhenti sejenak, memandang suaminya dengan wajah dingin. “Siapa kata saya nak sebilik dengan awak?” balasnya tegas, sambil mengeluarkan tuala dan baju ganti.
Tengku Malik menarik nafas perlahan, tetap cuba bersabar. “Sayang… ni bilik tetamu. Bilik sayang kat atas tu luas, ada air-cond. Sayang akan lebih selesa.”
Namun Elisyah langsung tidak goyah. “Saya tak kisah selesa ke tak, janji bukan sebilik dengan awak.” Jawapannya pedih, menusuk hati Malik.
Dia baru mahu melangkah ke bilik air, tetapi tubuhnya dihalang. Malik berdiri di depan pintu, cuba menahan dengan tenang.
“Okay sayang… kalau itu yang sayang nak, biar abang yang tidur sini. Sayang tidur bilik atas, abang tak nak sayang rasa panas atau tak selesa. Abang tak apa,” ujarnya dengan senyuman tipis, menahan kecewa yang cuba disembunyikan.
“Ish! Orang dah kata tak nak tu, tak naklah! Tepi! Saya nak mandi.” Elisyah menolak dada Malik dengan kasar. Namun tubuh suaminya tetap tegap berdiri, tak berganjak.
Elisyah mendengus keras. Akhirnya, dia mencapai begnya semula lalu melangkah ke bilik utama di tingkat atas. Pintu itu ditutup rapat, seakan menutup hatinya sekali.
Tengku Malik berdiri di depan pintu, tersenyum pahit. “Ganas betul isteri abang…” bisiknya dalam hati. Walau disindir, walau ditolak, dia masih bahagia melihat Elisyah memilih bilik utama. Sekurang-kurangnya, isterinya tidak akan tidur kepanasan.
Dia menghela nafas panjang sebelum melangkah turun ke bilik tetamu. Dalam hatinya, doa tidak pernah putus. Moga suatu hari nanti pintu hati Elisyah terbuka untuknya, sama seperti pintu bilik itu yang kini masih terkunci darinya.
Tengku Malik melangkah perlahan ke bilik tetamu di tingkat bawah. Diletakkannya beg di sudut bilik, kemudian dia mengambil wuduk. Tubuhnya terasa letih, tapi hatinya lebih penat menanggung kecewa.
Dia membentangkan sejadah, lalu mengangkat takbir solat isyak. Setiap gerakan dilakukannya dengan penuh khusyuk, tapi jauh di dalam hati, ada rasa sayu yang tak mampu dipadamkan.
Selesai memberi salam, Malik menadah tangan tinggi-tinggi.
“Ya Allah… Kau lembutkanlah hati isteriku. Kau tanamkanlah rasa kasih dalam hatinya, bukan kerana paksaan, tapi kerana ikhlas. Jika benar jodoh ini Kau takdirkan, maka kuatkanlah aku untuk terus sabar menanti. Aku tak pinta dia jatuh cinta cepat, cukuplah Kau jadikan aku suami yang mampu jaga dia sebaik-baiknya.”
Air mata lelakinya jatuh tanpa disedari, membasahi sejadah. Dia cepat menyeka, bimbang kalau ada orang nampak.
Namun jauh di sudut hati, dia berjanji pada dirinya sendiri, walau pun setiap hari Elisyah menolaknya, dia tetap akan mencintai, tetap akan berusaha. Kerana bagi Tengku Malik, perkahwinan bukan sekadar janji manusia, tapi amanah yang dipegang di hadapan Allah.
Elisyah yang dari tadi berbaring di atas katil, sebenarnya tak dapat tidur. Hatinya penuh resah. Dia bingkas bangun, niatnya hanya mahu turun ke dapur untuk mengambil segelas air.
Saat melewati ruang tamu, langkahnya terhenti. Dari celah pintu bilik tetamu yang sedikit terbuka, kedengaran suara Tengku Malik berdoa sayu.
“Ya Allah… Kau lembutkanlah hati isteriku. Kau tanamkanlah rasa kasih dalam hatinya… Aku tak pinta dia jatuh cinta cepat, cukuplah Kau jadikan aku suami yang mampu jaga dia sebaik-baiknya…”
Elisyah membeku. Dadanya tiba-tiba rasa sempit. Dia tidak sangka lelaki itu yang kelihatan selalu tenang, diam-diam menadah doa sebegitu untuk dirinya.
Air matanya bergenang, namun cepat-cepat diseka.
“Kenapa hati aku jadi sebak dengar doa dia? Aku tak patut terkesan. Dia cuma suami yang aku kahwini sebab paksaan… kan?” bisik hatinya, cuba menolak perasaan yang mula merayap.
Elisyah menarik nafas panjang lalu melangkah pantas ke dapur. Segelas air diminum dengan tangan sedikit menggigil. Dia kembali naik ke bilik, namun malam itu dia sukar memejamkan mata. Kata-kata doa Malik bergema lagi dan lagi di telinganya, mengusik ruang hatinya yang selama ini cuba dia kunci rapat.
Kalau salah, tegur ya
Share this novel