Bab 8

Romance Series 206

Langkah Puan Sarah terasa berat saat kakinya melangkah masuk ke dalam hospital. Bau ubat-ubatan yang menusuk hidung seolah-olah menambah rasa gementar di dadanya. Di sebelah, Tuan Mazlan berjalan tanpa sepatah kata, namun genggaman tangannya di bahu isterinya cukup untuk memberi kekuatan.

Mereka berhenti di hadapan pintu wad bernombor 308. Nafas Puan Sarah bergetar, jantungnya berdegup kencang. Dengan perlahan, dia menolak daun pintu itu.

Di dalam, seorang gadis kecil terbaring lemah di katil, wajahnya pucat, bibirnya kering. Tiub halus bersambung di tangannya, dan bunyi mesin monitor berulang seperti dentingan masa yang tak pernah berhenti.

"Sayang..." suara Puan Sarah hampir berbisik, matanya sudah mula berkaca.
Tuan Mazlan menarik kerusi lalu duduk di sisi katil, memegang tangan anaknya dengan penuh hati-hati, seolah-olah takut dia akan hancur jika dipegang terlalu kuat.

Dalam hati mereka, hanya ada satu doa, semoga anak itu kembali tersenyum seperti dulu.

Sudah dua hari Elisyah tidak sedarkan diri di hospital itu. Sepanjang tempoh itu jugalah Puan Sarah setia menemaninya tanpa berganjak, hanya keluar sebentar untuk ke tandas atau solat.
Tuan Mazlan hanya datang pada waktu pagi untuk menghantar pakaian dan keperluan mereka. Telefon bimbit Elisyah masih tersimpan di dalam keretanya.

Ketika Puan Sarah sedang membancuh air Milo panas, tiba-tiba terdengar suara yang amat dirinduinya memanggil.

"Mama... Sya kat mana ni?"

Suaranya kedengaran lemah, bagaikan baru bangun dari tidur yang panjang. Jantung Puan Sarah berdegup kencang. Ya Allah... anak aku sedar. Tanpa menunggu sesaat pun, dia segera menerpa ke arah Elisyah.

"Sayang... anak mama, Sya okay?"

Dia menggenggam tangan anaknya dengan penuh kelembutan, takut kalau genggam terlalu kuat akan menyakitinya. Air mata yang cuba ditahan sejak semalam mula memberat di hujung mata.

"Sya okay... ini hari apa?" tanya Elisyah perlahan.

"Ini dah hari Khamis, sayang. Kamu dah dua hari tak sedarkan diri. Mama risau tau..."

Puan Sarah mengucup lembut kepala anaknya, cuba menyembunyikan resah di hati. Kalau boleh, biarlah aku yang tanggung semua sakit ni... asalkan anak aku sihat semula.

Puan Sarah masih memegang tangan Elisyah, seakan takut jika dilepaskan, anaknya akan kembali tenggelam dalam lena yang menakutkan itu. Dia mengelus rambut Elisyah, membetulkan sedikit selimut yang menutupi tubuh kecilnya.

"Mama... Sya mimpi mama nangis," kata Elisyah perlahan, matanya separuh terpejam.

Puan Sarah hanya tersenyum tipis, tidak mahu mengiyakan kata-kata itu. Dia tidak mahu anaknya tahu betapa deras air matanya mengalir malam tadi.

Pintu wad perlahan-lahan terbuka. Tuan Mazlan melangkah masuk, membawa plastik berisi pakaian bersih. Langkahnya terhenti sebaik melihat wajah Elisyah yang sudah memandangnya.

"Sya..."

Suaranya serak, seakan tercekik oleh rasa lega yang terlalu berat. Dia meletakkan plastik di kerusi dan terus menghampiri. Puan Sarah berganjak sedikit, memberi ruang untuk suaminya.

"Ayah..." Elisyah cuba mengangkat tangannya.

Tuan Mazlan segera menggenggam tangan itu, membiarkan jari-jarinya merasai kehangatan anaknya yang selama dua hari hanya terbaring kaku.

"Ayah ada kat sini, sayang... jangan risau. Kami berdua kat sini."

Mata Tuan Mazlan mula berkaca. Dia tunduk, mengucup dahi anaknya lama-lama, seolah memindahkan segala doa dan rasa syukurnya melalui sentuhan itu. Puan Sarah memandang, hatinya sebak melihat dua insan yang paling dia sayangi dalam dunia sedang berpegangan erat.

Untuk mereka berdua... aku sanggup berjaga siang malam. Asalkan anak kami terus bernafas, itu sudah cukup.

Ketika mereka bertiga masih tenggelam dalam rasa syukur, pintu wad diketuk perlahan. Seorang doktor muda melangkah masuk bersama seorang jururawat yang menolak troli pemeriksaan.

   "Assalamualaikum, Puan Sarah, Encik Mazlan. Macam mana Elisyah hari ni?"

   "Alhamdulillah doktor, dia dah sedar," jawab Puan Sarah sambil tersenyum lega.

Doktor menghampiri katil, memeriksa bacaan pada mesin dan menyentuh perlahan pergelangan tangan Elisyah.

    "Hmm... nadi stabil, tekanan darah pun baik. Cuma, awak perlu banyakkan berehat dan kurangkan stress. Dan jangan sesekali ambil pil tidur tu ya. Awak kuat ya, Elisyah?"

Elisyah mengangguk perlahan. "Sya nak balik rumah, doktor."

Doktor tersenyum. "Kalau macam ni, saya rasa awak dah cukup stabil untuk discaj. Tapi kena ingat, rehat secukupnya di rumah. Jangan banyak bergerak dulu."

Puan Sarah tersenyum lebar. "Betul ke doktor? Dia boleh keluar wad?"

   "Ya, insyaAllah. Kita akan siapkan surat discaj. Petang ni boleh balik," kata doktor sambil mencatat sesuatu di fail.

Tuan Mazlan menarik nafas lega, senyuman terukir di wajahnya. "Dengar tu, Sya? Petang ni kita dah boleh balik rumah."

Mata Elisyah bercahaya. "Yeay... Sya rindu bilik Sya. Rindu Melisyah."

Puan Sarah dan Tuan Mazlan ketawa kecil. Jururawat yang berada di situ juga tersenyum melihat suasana ceria itu.

Di dalam hati, Puan Sarah berbisik penuh syukur. Dua hari yang menyesakkan itu akhirnya berakhir. Tuhan masih meminjamkan anak ini kepada mereka.

Tolong follow

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience