Bab 19

Romance Series 206

“Assalamualaikum… sayang, isteri abang… bangun. Dah Subuh ni.”
Suara itu singgah lembut di telinga Elisyah. Kelopak matanya terpisah perlahan, menatap samar wajah Tengku Malik yang sedang membongkok di sisinya.

“Sekarang pukul berapa?” soal Elisyah serak.

“Pukul enam tepat, sayang. Kenapa?” jawab Tengku Malik, tenang.

Elisyah mengeluh kecil. “Laa… awal lagi. Pukul enam tiga puluh saya bangun,” katanya sambil kembali memejamkan mata.

“Sayang,” suara itu kembali, lembut tapi tegas, “tak elok lewatkan solat. Jom solat dulu ya? Lepas solat sayang tidur baliklah.”

Elisyah merengus. “Ish, awak ni dah kenapa? Nanti saya pandai-pandailah bangun sendiri. Kalau awak nak solat awal, awak jelah!” bidasnya, lalu bantal dicampak perlahan ke arah suaminya.

Tengku Malik tersentak sekejap, kemudian tersenyum. Senyum yang sarat dengan kecewa. “Sayang… abang minta maaf kalau abang menyusahkan. Tak apalah, sayang tidur dulu. Nanti abang kejut pukul enam tiga puluh ya.” Suaranya kedengaran patah sedikit.

Elisyah yang mendengarnya tiba-tiba rasa bersalah. Cepat-cepat dia bangkit, rambut kusut menutupi wajah. “Dah, jom!” katanya, nada separuh marah, separuh malu.

Tengku Malik tergelak kecil, melihat perangai isterinya yang degil tapi tetap mengikut.

Selesai solat Subuh, seperti biasa Tengku Malik menadah tangan, mendoakan isterinya. Doa yang sama setiap kali, penuh harap dan kasih. Usai doa, dia cuba mengucup dahi Elisyah, namun kali ini Elisyah mengelak. Hatinya masih keras.

Tengku Malik hanya diam, menahan rasa. Takpe… sabarlah hati, bisik batinnya.

Elisyah cepat-cepat baring semula. Dia mahu tidur. Namun baru saja hampir terlelap, kedengaran suara merdu Tengku Malik membaca ayat-ayat Al-Quran. Suara itu memenuhi ruang bilik, menenangkan suasana.

Elisyah membuka mata sedikit, memandang lelaki itu yang tekun. Dadanya terasa sebak. Kesian dia… sepatutnya dia kahwin dengan orang yang betul-betul cintakan dia, bisik hatinya.

Suara itu semakin lama semakin menusuk jiwanya, sampai akhirnya Elisyah terbuai… dan tertidur dalam ketenangan bacaan suaminya.

Cahaya matahari yang menembusi langsir jatuh tepat ke wajah Elisyah. Dia mengerling malas, sebelum terkejut sendiri. Cepat-cepat tangannya meraba telefon di sisi.

“Ya Allah! Dah pukul dua belas tengah hari?” Dia menepuk dahi, suara separuh menjerit. “Lama betul aku tidur…”

Panik, dia berlari ke bilik air. Air paip menyentuh wajahnya, dan hanya beberapa minit kemudian dia sudah menuruni tangga dengan langkah perlahan, menahan rasa malu sendiri.

Di dapur, aroma cekodok goreng menyapa hidungnya. Dia melihat Datin Mirah sedang menggoreng sambil tersenyum. Sekelip mata rasa serba salah menikam hatinya.

“Hai, Umi…” suara Elisyah kedengaran perlahan.

“Hai menantu Umi. Jom makan. Umi masak nasi goreng je, cukup untuk kita bertiga kan?” ajak Datin Mirah mesra.

Elisyah menggigit bibir. “Sya minta maaf, Umi. Sya… tak sedar lepas Subuh tadi.” Suaranya penuh rasa bersalah.

Datin Mirah ketawa kecil. “Eh, kamu ni! Tak apa lah. Kamu kan baru kahwin semalam. Penat tu, Umi faham.”

Namun bila melihat wajah menantunya masih tertunduk, Datin Mirah mengusap bahu Elisyah lembut. “Alaa, jangan risau, Umi faham sangat.”

Mereka menuju ke meja makan. Datin Mirah menghulurkan pinggan kepada Elisyah, tapi hati Elisyah semakin berat. Ya Allah… macam menantu tak guna. Patutnya aku yang masak untuk mak mertua, bukan dia masak untuk aku. Malik pun satu, tak kejut langsung. Dia sengaja agaknya?

“Umi…” Elisyah menelan liur sebelum bersuara. “Terima kasih banyak-banyak sebab sudi terima Sya sebagai menantu.”

Datin Mirah segera menggenggam tangan Elisyah, senyumnya lembut. “Kenapa pula cakap macam tu? Umi yang patut berterima kasih sebab Sya sanggup terima anak Umi.”

Kata-kata itu membuat dada Elisyah sebak. Dia cuba sembunyikan dengan senyuman tipis.

“Umi… mana Malik?” baru dia perasan suaminya tiada bersama mereka.

“Ouuh, Malik pergi kedai sekejap. Katanya ada barang yang dia nak hadiahkan untuk kamu,” balas Datin Mirah, penuh rahsia dalam nada suaranya.

Elisyah hanya terdiam, hati berdebar sedikit. Mereka berdua pun duduk makan, berbual panjang. Seperti seorang ibu dengan anak sendiri.

POV: Tengku Malik Aiman

Bunyi enjin kereta perlahan-lahan reda sebaik dia mematikan suis. Tangannya masih melekat pada stereng, nafasnya berat, seolah-olah sedang menyiapkan hati untuk sesuatu yang besar.

Dia menoleh ke kanan, merenung rumah dua tingkat yang sudah lama dibiarkan kosong. Ya… rumah ini. Rumah yang pernah dibelinya dengan penuh harapan, kononnya mahu menjadi tempat dia dan Rayhana bina bahagia. Tapi semua itu hancur, luluh bersama kecurangan wanita itu.

Pintu pagar dibuka, langkahnya melangkah perlahan masuk. Setiap sudut rumah ini penuh dengan kenangan pahit. Namun hari ini, ada sesuatu yang lain. Ada semangat baru.

Tengku Malik berjalan ke ruang tamu. Dahulu, dinding itu kosong. Sekarang, terisi dengan bingkai besar. Gambar akad nikahnya dengan Elisyah. Pandangannya jatuh pada gambar itu, bibirnya terukir senyum tipis. Cantik sungguh isteri aku… bisik hatinya.

Dia bergerak ke dapur. Di situ, peti ais yang dulu pernah ada nota manis Rayhana, kini berubah. Nama itu tiada lagi. Yang ada hanyalah tulisan kemas, “Untuk Elisyah.” Dia sendiri yang tampalkan malam tadi, seolah mahu padamkan sejarah lama dengan cerita baru.

Tangannya menyentuh permukaan meja makan. Hatinya terasa lapang, seolah rumah ini akhirnya benar-benar miliknya. Bukan lagi bayangan masa silam.

Sewaktu dia menapak ke bilik utama, kenangan kembali menyerang. Dia masih ingat saat kali pertama tahu Elisyah sudah bertunang. Saat itu, jiwanya pecah berkeping-keping. Dia berdiri teguh di hadapan ramai orang, tapi dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa hancurnya dia.

Namun… Allah beri peluang kedua. Elisyah kini isterinya. Walaupun dia tahu hati Elisyah belum terbuka, dia berjanji pada dirinya. Biarlah perlahan, dia akan tunggu. Cinta itu tak perlu dipaksa, asalkan dia ikhlas, pasti Allah hadirkan bahagia.

Tengku Malik tersenyum sendiri, menoleh sekali lagi ke arah bingkai gambar besar di ruang tamu. “Rumah ni bukan lagi saksi duka aku,” desisnya perlahan. “Rumah ni akan jadi saksi cinta aku dengan Elisyah.”

Sewaktu Elisyah dan Datin Mirah sedang menjamu cekodok panas sambil menonton televisyen, tiba-tiba terdengar ketukan di pintu rumah.

“Elisyah, tengok siapa tu,” ujar Datin Mirah sambil tersenyum kecil.

Elisyah segera bangun, langkahnya teratur namun jantungnya berdebar tanpa sebab. Sebaik pintu dibuka, wajah suaminya menyapa pandangan. Tengku Malik berdiri di depan, lengkap dengan senyuman manis yang entah kenapa buat wajah Elisyah merona merah.

Spontan matanya melirik ke tangan lelaki itu. Dia mencari-cari sesuatu. Hadiah yang Datin Mirah sebutkan tadi. Namun, hampa. Tangan Malik kosong.

“Hi, sayang,” sapa Tengku Malik lembut sambil tersenyum.

Elisyah terkaku seketika. Matanya melirik ke arah Datin Mirah yang sedang memerhati dari ruang tamu. Rasa malu membuak, pipinya makin merah.

Tengku Malik melangkah masuk dengan tenang, lalu menutup pintu. Elisyah berdehem perlahan sebelum bertanya, “Malik… mana hadiah tu?”

Kening Tengku Malik berkerut. “Hadiah? Hadiah apa?” soalnya polos.

Elisyah mencebik, tidak puas hati. Pandangan mereka bertembung lama sebelum lelaki itu tiba-tiba ketawa kecil.

“Sayang ni… comel betul,” ucapnya, lalu sempat mencubit pipi isterinya yang semakin merah.

“Malik!” Elisyah menepis halus tangannya. “Saya serius tanya ni. Kenapa awak ketawa?” suaranya penuh dengan rasa tidak puas hati, tapi jelas ada getar malu di sebaliknya.

Tengku Malik menahan tawa. Dia mendekat sedikit, menunduk ke arah isterinya. “Sayang ingat hadiah abang tu boleh pegang dengan tangan ya?” soalnya lembut dengan mata yang nakal.

Elisyah terdiam, keningnya berkerut. “Apa awak merepek ni, Malik?” nadanya sudah mula naik.

“Okay, okay…” Malik segera menenangkan, namun senyuman masih terukir di bibirnya. “Hadiah tu… nanti abang beritahu. Atau sayang ni sebenarnya tak sabar nak dapat hadiah daripada abang?” usiknya lagi.

Elisyah mencebik sambil memeluk tubuh. “Mana ada! Dahlah, Sya nak sambung tengok TV dengan Umi. Lagi best. Kan, Umi?” Dia berpaling laju menuju ke ruang tamu, merajuk kecil.

Datin Mirah yang dari tadi memerhati hanya tergelak, menggeleng perlahan. “Alaa Malik, janganlah usik sangat menantu Umi ni. Tengok tu, dah merajuk.”

Malik tersenyum kecil, matanya masih tertancap pada wajah isterinya. Merajuk pun tetap nampak manis.

Hai semua

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience