Bab 20

Romance Series 206

Elisyah dan Tengku Malik bersalaman dengan Datin Mirah. Hari ini giliran mereka singgah di rumah Elisyah pula. Elisyah memeluk erat tubuh mertuanya itu. Ada rasa kasih yang semakin mendalam, malah Datin Mirah sudah dianggap seperti kawan baiknya sendiri. Air mata Elisyah gugur lagi tanpa dapat ditahan.

“Menantu Umi, janganlah sedih begini. Kalau kamu sedih, Umi lagilah rasa berat hati,” tutur Datin Mirah lembut, sambil membetulkan tudung di kepala menantunya.

“Amboi Umi, sedihnya dengan menantu je ke? Anak sendiri tak?” celah Tengku Malik sambil mencebik, cuba menceriakan suasana.

Elisyah tergelak kecil, suasana sedikit terubat.
“Eh, mestilah dengan menantu sekali,” balas Datin Mirah berseloroh sebelum memeluk anak kesayangannya pula.

Selepas itu, mereka melangkah ke kereta sambil melambai ke arah Datin Mirah yang masih tersenyum menghantar mereka pergi.

---

Di dalam kereta, Elisyah hanya diam. Matanya kosong menatap keluar tingkap.

“Sayang… awak okay tak ni?” soal Tengku Malik, tangan besarnya menyentuh lembut jemari Elisyah.

Namun, Elisyah segera menarik tangannya kembali. “Okay… cuma hati ni sayu sikit. Baru nak berjauhan dengan Umi, belum dengan Mama lagi,” luahnya perlahan, hampir berbisik.

Tengku Malik melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya isterinya masih mahu berkongsi rasa dengannya. “Sayang… abang janji, abang akan selalu bawa sayang jumpa keluarga. Janganlah sedih sangat. Nanti Mama Papa kata apa pula, tengok anaknya asyik muram je,” pujuknya lembut.

Hati Elisyah sedikit reda dengan kata-kata suaminya itu. Dia tersenyum nipis, meski air mata masih membasahi pipi.

Tiba-tiba Tengku Malik menepuk stereng kereta kecil. “Eh ya! Sayang ingat tak abang janji nak bagi hadiah tu?” Suaranya kedengaran nakal.

Elisyah menoleh, masih keliru. “Ha… hadiah apa lagi ni?”

Dengan senyum penuh misteri, Tengku Malik membelok masuk ke simpang rumah mereka. Keretanya berhenti betul-betul menghadap rumah itu.

Elisyah menjejakkan kaki di hadapan rumah itu. Matanya terbeliak, mulutnya terlopong tanpa sedar. Besar sungguh… bagaikan istana!
Rumah siapa pula ni? bisik hatinya penuh tanda tanya.

“Awak… ni rumah siapa?” soalnya perlahan, masih tidak percaya dengan apa yang sedang terpampang di depan mata.

Tengku Malik hanya tersenyum penuh rahsia. Dia mendekat lalu berbisik di telinga isterinya, “Ni hadiah abang untuk sayang.”
Dia menggenggam lembut jemari Elisyah, meletakkan seutas kunci di tapak tangannya.
“Jom… masuk rumah kita,” ajaknya penuh harapan.

Namun, Elisyah masih berdiri kaku di tangga. Jantungnya berdegup laju, rasa terhimpit antara bahagia dan ragu.

“Kenapa? Sayang tak suka ke? Kalau ada yang tak cukup, bagitahu abang. Abang boleh betulkan,” suara Tengku Malik kedengaran cemas. Wajahnya jelas mempamerkan kerisauan.

Elisyah menggeleng perlahan. Suaranya bergetar.
“Bukan saya tak suka… cuma, pemberian ni terlalu berharga. Awak sepatutnya hadiahkan rumah sebesar ini kepada orang yang benar-benar awak cinta.”

Tengku Malik meraih tangannya, mengusap lembut seolah mahu menenangkan jiwa isterinya.
“Tapi orang yang abang cinta… ialah Elisyah.”

Elisyah menelan liur, air matanya bergenang. Dia menunduk. “Tapi saya… saya tak cintakan awak. Awak patut serahkan hadiah ni kepada orang yang cintakan awak semula. Saya tak layak.” Dia memegang kunci itu erat, lalu menghulurkannya kembali. Langkahnya ingin diatur pergi, namun tangan Tengku Malik pantas menarik pergelangan tangannya, lembut tetapi tegas.

“Siapa cakap abang hanya boleh bagi pada orang yang cintakan abang? Elisyah… abang beri rumah ni sebab abang nak sayang rasa selamat, rasa dihargai. Abang tak perlukan balasan cinta untuk itu. Dan jangan pernah cakap yang sayang tak layak… sebab dalam hidup abang, sayanglah yang paling layak,” luah Tengku Malik panjang lebar, matanya lurus menatap wajah isterinya.

Elisyah terdiam. Matanya kembali mencari wajah lelaki itu, mencari kejujuran di sebalik kata-kata.
“Betul… awak takkan menyesal?” soalnya akhirnya, dengan suara yang hampir berbisik.

Tanpa ragu-ragu, Tengku Malik mengangguk, senyumannya penuh keteguhan.

Mereka melangkah masuk bersama. Bau cat baru masih memenuhi ruang, bercampur dengan haruman bunga segar yang diletakkan di penjuru ruang tamu.

Langkah Elisyah terhenti. Matanya terpaku pada satu sudut besar di hadapan. Bingkai gambar kahwin mereka, tergantung megah di dinding utama. Gambarnya bersama Tengku Malik, lengkap dengan senyuman yang pada waktu itu… lebih kepada senyuman terpaksa. Tapi kini, saat menatapnya semula, entah kenapa dadanya terasa hangat.

“Awak… awak ke yang gantung gambar kita tu?” soalnya perlahan, matanya masih tidak berganjak dari bingkai itu.

Tengku Malik ketawa kecil. “Tak lah. Bukan abang. Abang upah orang gantungkan. Yelah, tinggi macam tu… kalau abang yang pasang sendiri memang tak sampai lah,” jawabnya bersahaja, cuba menceriakan suasana.

Elisyah mengangguk, senyum tipis terukir tanpa sedar.

Tengku Malik tiba-tiba mendekat, berdiri di sebelahnya. “Sayang tahu tak… kenapa abang pilih gambar kita sebesar tu untuk digantung di sini?”

Elisyah mengerutkan dahi. “Kenapa?” soalnya perlahan.

Tengku Malik menoleh, menatap isterinya dalam-dalam. Senyuman tipis terukir di wajahnya sebelum dia mengangkat tangan, mencuit dagu Elisyah manja.
“Sebab setiap kali abang pandang gambar tu… abang nak ingatkan diri abang, yang inilah perempuan yang dah jadi kekasih hati abang. Tak kira macam mana keadaan kita, abang nak sentiasa hargai momen tu.”

Elisyah menunduk. Pipi terasa panas. Malu. Degup jantungnya tak menentu. Dia cuba menolak rasa itu dengan melangkah menjauh, menuju ke dapur.

Namun, setibanya di sana, langkahnya kembali terhenti. Pandangannya jatuh pada permukaan peti ais. Di atasnya tersusun huruf-huruf magnetik berwarna-warni membentuk namanya, ELISYAH.

Dia tergelak kecil, namun di hujung tawanya ada sesuatu yang lain. Rasa terharu yang cuba dia sorokkan.
“Awak… ni semua awak yang buat?” tanyanya sambil menoleh ke arah suaminya yang baru tiba di belakang.

Tengku Malik mengangguk. “Haah. Abang nak bila sayang buka peti ais, sayang akan nampak nama sendiri. Sebab rumah ni, bukan rumah abang seorang… tapi rumah kita.”

Elisyah mengetap bibir. Hatinya disentuh lagi. Dia tidak tahu kenapa semakin sukar untuk berpura-pura tiada apa-apa.

Selepas mereka habis meninjau seluruh rumah itu, suasana antara mereka jadi lebih tenang, walaupun masih ada ruang kosong dalam hati Elisyah yang belum mampu diisi. Mereka akhirnya bergerak ke rumah Tuan Mazlan dan Puan Sarah. Ikut perancangan, mereka akan duduk dua hari di sana sebelum berpindah sepenuhnya ke rumah baru ini.

Namun, sepanjang perjalanan keluar, Elisyah masih sempat menoleh sekali lagi ke arah rumah itu. Ada sesuatu di dalam hatinya berbisik, rumah itu mungkin bakal menjadi saksi kisah yang dia sendiri belum bersedia untuk hadapi.

Saya harap tak panjang sangat

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience