Series
206
2 Tahun Kemudian...
"Kakak, boleh tak hantarkan Mel pergi kerja hari ni?" Suara Melisyah kedengaran dari dapur, agak riang.
Elisyah yang sedang meneguk air di meja makan hanya menjawab ringkas, "Hmm... cepat sikit."
"Thanks, kak!" Melisyah berlari kecil sambil menyambar beg tangannya. Selalunya dia akan naik KTM, tapi kalau hari Jumaat dan kebetulan Elisyah tiada mesyuarat penting, Elisyah akan menghantarnya ke tempat kerja. Itu pun, dengan syarat jangan banyak songeh.
Di dalam kereta, suasana agak senyap. Melisyah duduk di tempat penumpang sambil memandang keluar tingkap, manakala Elisyah tenang mengendalikan stereng. Wajahnya tampak matang, lebih dewasa, tapi ada sesuatu yang masih kelihatan kosong dalam matanya.
"Kak..." Melisyah akhirnya bersuara, nadanya hati-hati.
"Hm?" sahut Elisyah, tanpa menoleh, matanya masih fokus pada jalan raya.
"Mel nak tanya sikit... tapi jangan marah ya."
Elisyah hanya mengangkat kening. "Cakap je lah."
Melisyah menggigit bibir, kemudian dengan nada perlahan dia bertanya, "Kak... akak masih belum lupakan ex akak tu lagi ke?"
Sreeetttt!!
Kereta tiba-tiba membrek kuat. Melisyah hampir terhumban ke depan dan terjerit kecil. "Woah! Relax la kak!"
Elisyah menoleh tajam ke arah adiknya, wajahnya jelas menahan marah. "Boleh tak jangan sebut nama lelaki tu lagi depan kakak?!" Nada suaranya tegas, ada getar yang dia cuba sembunyikan.
Melisyah terdiam seketika, tapi kemudian sempat juga menyakat dengan nada nakal, "Alaa... maksudnya kak Sya masih belum move on la tu."
"Hei!" Elisyah mengetap bibir, suaranya naik sedikit. "Kakak dah lupakan dia, okay! Cuma... kakak tak boleh terima mana-mana lelaki lagi dalam hidup kakak. Itu je." Ujarnya, cepat-cepat kembali memandang jalan.
Hening seketika.
Melisyah menoleh, memerhati wajah kakaknya. Dia nampak jelas mata Elisyah yang redup, seperti menyimpan sesuatu yang tak pernah selesai. Usikan tadi sebenarnya bukan berniat nak menyakitkan, tapi sekadar mahu tahu sejauh mana luka lama itu sembuh.
Melisyah akhirnya menarik nafas panjang, lalu diam. Dia malas mahu terus bertanya, takut nanti benar-benar ditinggalkan di tepi jalan. Dalam hatinya, hanya ada satu doa: semoga kakaknya yang kuat di luar, benar-benar sembuh di dalam.
Kereta meluncur semula di atas jalan raya, tapi hati Elisyah bergetar. Kata-katanya pada Melisyah tadi masih bergema di telinganya sendiri. "Kakak dah lupakan dia... cuma tak boleh terima lelaki lain lagi."
Hakikatnya, itu cuma separuh dari kebenaran.
Tangannya menggenggam erat stereng, seakan-akan mahu menyalurkan segala rasa yang berserabut ke situ. Pandangan matanya kabur seketika. Setiap kali nama Hashim disebut, hatinya seperti ditoreh semula.
Flashback
Malam itu masih jelas dalam ingatan. Saat Hashim menelefon, suara yang begitu dirindui akhirnya menyapa telinga. Hatinya berdegup kencang, penuh harapan. Tapi harapan itu direntap sekelip mata.
"I dah jumpa pengganti you... I tak nak ada apa-apa lagi dengan you... Please, lupakan I."
Tut... panggilan terputus.
Seolah-olah dunia berhenti berputar. Waktu itu, Elisyah meraung seperti anak kecil, menjerit seolah-olah seluruh hatinya dirampas keluar. Dan sejak malam itu, separuh daripada dirinya juga hilang bersama Hashim.
Kini
Elisyah mengeluh perlahan, cuba menelan semula rasa pahit yang tiba-tiba naik ke kerongkongnya. "Hash... kenapa sampai sekarang bayang you tak pernah hilang?" bisiknya dalam hati.
Di sebelah, Melisyah hanya memandang kakaknya sekilas. Dia nampak jelas mata Elisyah yang merah, walaupun cuba disorokkan dengan wajah tenang. Melisyah tak mahu mendesak, tapi dia tahu, kakaknya masih terikat dengan masa lalu.
Dalam diam, Melisyah genggam jemarinya sendiri. "Ya Allah... sembuhkanlah hati kakak aku. Jangan biarkan dia terus terseksa."
Kereta terus bergerak, tapi dalam hati Elisyah, masa seperti terhenti dua tahun lalu. Malam dia kehilangan Hashim untuk selamanya.
Elisyah memakai baju warna biru muda hari ini. Tudung sarung dipakai ringkas. Dia malas bersolek atau bergaya. Bukan macam Melisyah, yang kalau boleh, tudung pun nak gaya macam Sailor Moon. Elisyah cuma mahu selesa.
Dia melangkah ke bilik kerja. Seorang pembantu menyapa, “Selamat pagi, puan. Hari ini client nak jumpa pukul 3 petang.”
“Baik, terima kasih.” jawab Elisyah ringkas, suaranya tenang tapi mudah letih.
Tiba-tiba kedengaran ketukan pintu. “Hello, boleh saya masuk?” suara rakan sekerja dari luar.
“Masuklah,” jawabnya. Muncul Airin di depan pintu, muka ceria seperti biasa. “Awak, jom lunch. Dah lewat sangat hari ni, nanti perut sakit pula.”
“Airin, maaf. Saya ada temu janji hari ini. Esok saja, ya?” Elisyah bersuara perlahan. Hubungan dia dan Airin hanya setakat rakan kerja. Bukanlah rapat sangat.
Airin menunduk sedikit, kecewa yang jelas tergambar di wajahnya. “Oh… okay. Takpa.” Dia mengerling jam di pergelangan tangan sebelum berlalu.
Elisyah menarik nafas panjang dan segera membereskan fail-fail di mejanya. “Nah, serahkan semua ni pada Tuan Mazlan, ya,” arah Elisyah kepada pembantunya lalu keluar tergesa-gesa.
Di luar bilik, pintu diketuk perlahan. “Masuklah, Elisyah,” bunyi suara doktor.
“Maaf lambat doktor, kerja banyak hari ni,” jawab Elisyah sambil duduk. Wajahnya cuba disusun tenang walaupun hati masih berdebar.
Doktor memandangnya penuh perhatian. “Saya rasa ubat yang awak makan sekarang perlu dikurangkan sedikit. Macam mana awak rasa? Kita tak mahu ubat diberikan berpanjangan tanpa pemantauan.”
Sejak dua tahun lalu, selepas kejadian yang menghancurkan hatinya, Elisyah disahkan menghidap kemurungan dan gangguan kebimbangan (anxiety) tahap tiga. Tuan Mazlan dan Puan Sarahlah yang membawa dia ke hospital, berdiri teguh sebagai sokongan. Kalau tidak, mungkin malam-malam gelap itu sudah membawa dia ke tempat yang lebih gelap lagi.
Elisyah menelan lembut. Ubat-ubat itu memang membantu. Terutama untuk menidurkan fikirannya pada waktu malam. Kalau terlewat atau terhenti, kebimbangan akan menyerbu semula. “Doktor… boleh tak saya tangguh? Minggu depan saya cuba kurangkan, ya?” suaranya sedikit memohon.
Doktor mengendurkan bahu, wajahnya profesional tapi empati. “Baiklah. Kita cuba seminggu lagi, tapi awak kena teruskan terapi dan maklumkan apa-apa perubahan. Kalau ada tanda-tanda kembali teruk macam susah tidur, fikiran putus asa, atau panic attack, awak kene hubungi saya segera.”
Elisyah mengangguk. Matanya berkaca sedikit, bukan kerana malu, tetapi kerana lega, lega ada orang yang masih menjaga dan memantau dia. Doktor itu kemudian memulakan sesi, bertanya tentang tidur, mood, dan tahap kebimbangan yang dialami.
Di ruang menunggu, Elisyah cuba tarik nafas panjang. Dada masih sesak, tetapi ada sedikit harapan bahawa dengan langkah kecil ini, hari-hari gelapnya boleh reda sedikit demi sedikit. Dia tahu penyembuhan bukan cepat, tapi hari ini, dengan tangan doktor dan sokongan keluarga, dia berani melangkah lagi sedikit ke hadapan.
Sayang korang ❤️
Share this novel