IESHA memandang ke luar rumah pokoknya. Dia tidak mahu pulang namun hari telahpun beransur senja dan kegelapan malam bakal menjelma. Dia tidak mahu tidur di sini bersendirian. Sekurangnya, bukan tanpa Teddy dan Dolly. Lagipun, perutnya juga sudah berkeroncong minta diisi.
Tapi jika dia pulang ke rumah ketika ini, dia tidak pasti samada ibu dan ayahnya masih marah padanya. Jika mereka masih marah, apa yang harus dilakukannya? Jika dia meminta maaf sambil memegang kedua-dua telinganya, adakah mereka akan memaafkannya? Gadis menggigit jari telunjuknya.
Akhirnya, dia memutuskan untuk pulang ke rumah. Dia melangkah memanjat turun tangga tali yang menghubungkan rumahnya dengan tanah. Satu langkah. Dua langkah. Tiga langkah. Hanya tiga langkah yang mampu diambilnya sebelum bunyi sesuatu seperti bunyi siren amaran mengejutkannya. Bunyi itu terlalu kuat. Bunyi itu terlalu dekat. Bukan dari persekitarannya. Namun bunyi itu datang dari dalam kepalanya. Bunyi itu terlalu kuat sehingga menyakitkan kepalanya. Matanya dipejamkan. Langkah kakinya dihentikan dan genggamannya terhadap tangga tali itu dikuatkan. Takut jika dia hilang keseimbangan.
Beberapa minit dia menunggu namun bunyi itu masih lagi tidak meninggalkan kepalanya. Denyutan di kepalanya semakin teruk. Dia membuka matanya. Namun kali ini apa yang dilihatnya bukanlah pokok besar yang menghalang pandangannya. Apa yang dilihatnya adalah keadaan luar rumahnya, namun bukanlah jelas bewarna seperti yang biasa. Ia seolah pandangan berbentuk x-ray seperti hitam putih atau warna yang tidak dapat dijelaskan selain dengan mengatakan ia seperti x-ray.
Dia dapat melihat sebuah kereta yang terhenti di hadapan rumahnya. Kereta yang tidak pernah dilihatnya. Tapi selain dari kereta milik keluarganya dan kereta cikgunya, dia memang tidak pernah melihat kenderaan lain. Lima orang yang dia yakin lelaki apabila melihat dari bentuk badan mereka, keluar dari rumahnya. Bersama mereka ada dua orang yang kelihatan diheret keluar dari rumah itu secara paksa.
Kepalanya semakin sakit dengan visual yang terpapar di hadapan matanya dan bunyi yang masih lagi tidak berhenti itu. Tangannya sudah tidak lagi mampu bertahan membuatkan dia terpaksa melepaskan genggamannya untuk memegang kepalanya. Tubuhnya berada di udara seketika sebelum terhempap ke tanah menyebabkan sakit yang tadinya hanya di dalam kepalanya kini tersebar secara luaran di seluruh badannya.
Dia membuka matanya. Kini, visual dihadapannya sudah kembali seperti biasa. Yang dia nampak kini hanyalah dedaun pokok dan rumah pokok yang berada di atas sana. Bunyi yang tadinya menganggu fikiranyya juga sudah tiada. Dia tunggu beberapa saat sebelum bangun dari tanah itu. Dia tidak pasti apa yang dia lihat tadi. Gagal untuk memahami apa yang sedang berlaku tadi. Perlahan-lahan dia mengheret tubuhnya yang sedang dalam kesakitan untuk pulang ke rumah.
Kesan tayar kereta yang masih lagi baru. Itu yang dia perasan apabila dia tiba di hadapan rumah. Yang pastinya itu bukan kesan tayar kereta keluarganya. Ia kelihatan berbeza. Namun, jika ia bukan kesan tayar kereta keluarganya, ia milik siapa? Bayangan kenderaan yang dia lihat sewaktu dia berada di rumah pokok tadi? Jika apa yang dilihatnya tadi benar, maksudnya... kedua-dua orang yang dibawa secara paksa tadi ialah ibu dan ayahnya?
Dia menggelengkan kepalanya. Tidak. Dia hanya berkhayal. Pasti kerana dia tidur lagi di waktu senja. Tiada apa-apa yang berlaku kepada keluarganya. Ibu bapanya masih baik-baik saja di dalam rumah. Menunggu untuk ketawa dan mengusiknya ketika dia masuk ke rumah nanti. Ketawa akan kerana dia tidak berani lari dari rumah walaupun stelah menghamburkan amarah kepada mereka. Mereka pasti sedang bersedia untuk mengusiknya dari seawal pagi esok di saat dia membuka matanya. Ibu dan ayahnya tidak apa-apa. Dia tahu. Dia benar-benar yakin tentangnya.
Air mata yang mula bergenang dikesat segera. Bodoh untuk menangis bila tiada apa-apa yang berlaku. Dia tidak selemah itu. Dia adalah pahlawan yang paling berani. Seorang perwira tak akan mudah menitiskan air mata begini.
Dia melangkah menuju ke pintu rumahnya. Biar apapun pujukan yang dibisikkan kepada dirinya namun dia tidak pasti mengapa masih ada keraguan yang bertapak di dalam hatinya. Namun, rasa tidak sedap hati itu, dia benamkan ke dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Kesakitan yang dirasai tubuhnya tadi tidak lagi dihiraukannya. Dia hanya ingin berada di dalam rumah. Berada bersama ibu yang akan meleterinya apabila melihat betapa kotornya pakaiannya bersalut tanah. Berada bersama ayahnya yang akan membuat gaya mengajuk perbuatan ibunya tanpa wanita itu sedari dan berpura-pura serius apabila wanita itu memandang ke arahnya.
Namun apabila pintu rumahnya dibuka, harapannya hancur. Yang menyambut kepulangannya adalah sepi dah rumahnya yang bersepah.
Share this novel