ENAM

Psychological Completed 9086

BUNYI ketang ketung yang datang dari dapur menariknya untuk menjenguk ke situ. Dia dapat melihat ibunya sedang sibuk memasak di situ namun tiada sedikitpun niat di hatinya untuk membantu. Memasak atau membuat kerja dapur bukan minatnya. Ibunya sendiri juga tidak suka jika ada orang lain di sana. Wanita itu lebih suka membuat kerjanya sendiri. Kehadirannya di sana hanya akan mengganggu fokus wanita itu untuk memasak. Dia hanya mengangkat bahunya. Mungkin ayahnya akan melayan kebosanannya.

Dia berjengket meninggalkan dapur dengan harapan ibunya tidak menyedari akan kehadirannya tadi. Perlahan-lahan dia menuju ke bilik kerja ayahnya yang merupakan bilik paling hujung di dalam rumah itu. Telinganya ditekapkan ke pintu. Cuba untuk mendengar sebarang bunyi yang membuktikan ayahnya ada di situ.

Bunyi jemari ligat menari di atas keyboard komputer. Bunyi tetikus yang ditekan beberapa kali. Dan bunyi helaian kertas yang diselak kasar. Ya, memang tidak silap lagi. ayahnya memang berada di situ. Perlahan-lahan pintu bilik itu dibuka. Ayahnya memang tidak pernah mengunci bilik itu kecuali jika ayahnya tiada di dalam. Lelaki itu memang tidak suka jika barangnya diusik tanpa kehadirannya.

Gadis kecil itu menjenguk ke dalam bilik itu. Dia dapat melihat ayahnya sedang sibuk menaip di komputer dengan wajah seriusnya. Menakutkan. Selalunya ayahnya suka bergurau dan tersenyum di sepanjang waktu. Jarang dia dapat melihat wajah serius ayahnya begitu. Tapi kalau wajah garang ibunya memang selalu dilihatnya. Ibunya paling suka memarahinya manakala ayahnya pula paling suka membelanya setiap kali dia dimarahi. Typical ibu bapa yang biasa.

“Ayaaah!”manja dia bersuara dari ambang pintu itu menarik perhatian lelaki yang sedang fokus menjalankan tanggungjawabnya terhadap kerjanya itu.

Lelaki itu mengangkat wajah memandangnya bersama senyuman yang kelihatan sedikit terpaksa. Mungkin kerana lelaki itu ingin fokus kepada kerjanya namun dia masih lagi tidak mahu untuk melukakan hati anak perempuan kesayangannya itu.

“Iesha bosanlah. Teman Iesha main.”gadis itu bersuara sambil melangkah masuk ke dalam bilik kerja ayahnya.

“Ayah banyak kerja lah, sayang. Iesha main sorang dulu, nanti ayah teman.”lembut ayahnya bersuara sebelum mengembalikan fokusnya kepada monitor dihadapannya. Keserabutan yang tergambar di wajahnya masih tidak dapat membuat anak gadisnya itu memahami betapa pentingnya kerja yang dilakukannya di saat ini.

Gadis itu mengembungkan pipinya. Ayahnya tidak pernah menolak permintaannya. Sekali lagi diulang, tidak pernah! Walau ketika ayahnya bersetuju dengan larangan ibunya, lelaki itu masih tetap akan memenuhi permintaannya tanpa pengetahuan ibunya. Jadi, dia memang tidak akan menerima perkataan tidak sebagai jawapan dari ayahnya.

Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi beroda yang berada di hadapan meja bertentangan dengan tempat duduk ayahnya membuatkan lelaki itu kembali memandangnya. Tangan lelaki itu yang dikepal terselindung dari pandangan gadis itu. Gadis sembilan tahun itu tidak menyedari betapa lelaki itu sedang cuba mengawal dirinya dari memarahi permata hatinya itu.

“Ayah temanlah Iesha main. Iesha dah la takde kawan, ayah pula tak nak teman Iesha. Bosanlah main sorang-sorang.”rayu gadis cilik itu lagi. Selalunya ayahnya akan meninggalkan segala kerja yang harus dilakukan jika dia menggunakan ayat itu.

“Iesha, ayah betul-betul banyak kerja sekarang ni. Iesha mainlah sorang dulu. Main dengan Dolly dengan Teddy. Tak pun ajak ibu.”lelaki itu masih cuba berkompromi biarpun kesabarannya sedang menipis. Dia tahu bukan salah anaknya jika gadis itu kesunyian. Mereka tinggal jauh dari orang lain membuatkan gadis itu terasing tanpa ada peluang untuk berkawan. Namun, kerjanya sekarang ini terlalu menekan. Ada kajian yang harus segera disiapkan.

“Ala.. tak seronoklah main dengan ibu. Ayah temanlah Iesha main. Kejap jer.”pujuk gadis itu lagi.

“Iesha.”ayahnya bersuara. Cuba untuk menahan kemarahannya dan cuba memberi amaran untuk anaknya sebelum kesabarannya hilang sepenuhnya.

“Ayaaah..”

“Iesha. Dengar cakap ayah, sayang. Bagi ayah buat kerja dulu.”lelaki itu masih lagi mencuba untuk mengawal nada suaranya yang semakin meninggi.

“Ayah dah tak sayang Iesha.”rajuk gadis itu dengan nada sayu sambil memanjat turun dari kerusi yang menjadi persinggahannya tadi. Namun, tanpa sengaja tubuhnya melanggar meja kerja ayahnya yang menyebabkan air kopi yang turut berada di dalam cawan di atas meja itu membasahi kertas kerja yang bersepah di atas meja ayahnya.

“Iesha!”jerkah lelaki itu sebagai reaksi spontan kerana dia terkejut dengan kemalangan yang berlaku di hadapan matanya. Tangannya segera mengutip kertas-kertas kerja yang berada di atas meja itu sebelum air kopi itu merosakkan kerjanya dengan lebih teruk. Kekalutan yang membuatkan dia tidak menyedari air muka anaknya yang telah berubah sepenuhnya.

Ayahnya tidak pernah memarahinya kecuali secara gurauan di hadapan ibunya. Ayahnya tidak pernah sekalipun meninggikan suara kepadanya. Ini kali pertama ayahnya meninggikan suara kepadanya. Kedua-dua tangannya dikepalkan. Nafasnya turun naik tidak dapat dikawal. Air mata yang mula bergenang di matanya segera dikesat dengan penumbuknya. Dia sedih. Dia kecewa. Dia takut. Sedih kerana ayahnya seperti sudah tidak menyayanginya. Kecewa kerana ayahnya lebih mementingkan kerja daripadanya. Takut kerana ayahnya tidak pernah meninggikan suara kepadanya. Namun, dia tidak akan sesekali menunjukkan perasaannya itu kepada ayahnya. Egonya terlalu tinggi untuk ini. Lantas semua perasaan yang dirasakannya diterjemahkan dengan satu rasa negatif yang dipanggil amarah.

“Iesha benci ayah!”jerkahnya kembali sambil berlari keluar dari bilik kerja ayahnya.

“Iesha!”dia dapat mendengar suara ayahnya memanggil namanya dengan nada tinggi namun lebih tenang daripada tadi. Namun, panggilan itu tidak dihiraukannya. Ayahnya telah melukakan hatinya.

Dia memandang ke belakang. Tiada kelibat ayahnya yang mengejarnya seperti babak yang dilihatnya di tv membuatkan kekecewaannya bertambah. Dia memperlahankan langkahnya. Dia berjalan dengan kepala yang ditundukkan memandang kaki sendiri. Air matanya dibiarkan membasahi pipinya. Dia kecewa.

“Iesha!” suara ibunya pula menyapa dari arah hadapannya.

Dia mengangkat wajahnya dengan air mata yang masih berjuraian di pipinya.

“Kenapa menangis ni, sayang? Bergaduh dengan ayah, yer?”lembut ibunya bersuara. Air matanya dikesat wanita itu bersama senyuman yang menghiasi wajahnya. Jelas kasih sayang ibunya tergambar ketika itu.

Dia ingin mengalah. Dia ingin rebah ke dalam pelukan ibunya dan menangis sepuasnya. Namun kedegilannya memenangi pertandingan antara semua perasaannya. Dia menepis tangan ibunya yang lembut mengesat air matanya yang masih tidak berhenti mengalir dari tadi.

“Iesha?”jelas tergambar betapa ibunya terkejut dengan tindakannya.

Dia sedikit kesal ketika memandang riak wajah ibunya ketika itu. Kesal dengan sikapnya yang agak kurang ajar. Dia tahu dia sepatutnya meminta maaf dari ibunya namun dia lebih memilih untuk melarikan diri. Berlari tinggalkan rumah. Ibu kucing dan anak kucing kesayangannya yang sedang tidur tergolek disebelah pintu itu juga tidak dihiraukannya. Dia tidak akan kembali lagi ke rumah itu. Dia terus berlari sedikit jauh ke dalam hutan di belakang rumahnya. Berlari ke arah pokok besar yang menampung rumah pokoknya.

Dia memanjat tangga menuju ke rumah pokoknya. Rumah pokok yang dibina ayahnya di saat dia mengatakan dia sudah dewasa, jadi dia ingin berdikari dan memiliki rumah sendiri. Dia masih ingat betapa dia mengangkut semua permainan dari rumahnya ke dalam rumah ini sebelum mainan itu semua dibawa kembali ke rumahnya kerana dia bosan hidup bersendirian di situ. Dia masih ingat bagaimana ayah dan ibunya ketawa dan mengusiknya sepanjang hari di saat dia kembali ke rumah hari itu.

Kenangan itu membuatkan dia kembali menangis. Dia duduk bersandar di dinding rumah kayu itu sambil memeluk lututnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience