TAMAT?

Psychological Completed 9086

PERMAINAN sudah tamat. Dendamnya sudah terbalas. Namun segalanya bagaikan sia-sia. Lelaki bertuxedo putih itu masih lagi tidak memperdulikan kewujudannya. Dia sudah penat untuk merayu. Sudah lelah untuk berharap agar lelaki itu akan memandangnya. Berharap untuk mimpi ini meninggalkannya. Dia mendambakan perhatian lelaki itu. Dia mendambakan kasih sayang mereka. Kebahagian yang dirasakannya satu ketika dahulu. Kehangatan sebuah keluarga. Tapi dia tahu dunia mereka berbeza. Semua yang didambakannya hanya akan diperoleh di dalam mimpi. Keinginan tanpa jiwa. Kenyataan yang tidak nyata. Kasih sayang tanpa kehangatannya. Apa gunanya semua itu kepadanya? Bukan itu yang diinginkannya.

Apa yang benar-benar diimpikannya hanyalah secalit senyuman dari mereka untuk kali yang terakhir. Yang diimpikannya ialah kemaafan dari mereka agar dia dapat meneruskan kembali hidupnya seperti biasa. Yang diimpikannya ialah mimpi indah tentang keluarganya menggantikan mimpi buruk yang selalu menemani tidurnya. Dia hanya ingin untuk hidup. Itu saja.

Dia memandang lelaki yang masih lagi bermain dengan kucing-kucingnya tanpa memperdulikan sesiapa. Di hadapannya kini ada 5 orang yang sedang melutut di hadapan lelaki itu. 4 lelaki dan seorang wanita. 2 lelaki itu adalah pemain untuk permainan yang pertama dan yang kedua. Seorang lagi lelaki ialah seorang doktor tua yang mati tanpa dia sempat membalas dendam. Dan yang terakhir ialah pasangan suami isteri yang terlibat dalam permainan yang terakhir. Si suami menjadi pemain dan si isteri menjadi.. mangsa??

Licik sungguh wanita itu. Siapa yang akan menyangka bahawa wanita itu bukannya mangsa namun dia adalah hos sebenar permainan yang terakhir. Biarpun bukan secara sukarela, namun wanita itu memainkan peranannya dengan baik. Apa yang diperlu dilakukan untuk membuat wanita itu bersetuju hanyalah satu panggilan telefon menyatakan identitinya dan menjanjikan bahawa seorang akan selamat dari permainan ini. Seperti mana permainan yang sebelumnya, hos permainan akan selalu terselamat. Dan pastinya lah dia berbohong. Buktinya, wanita itu dan suaminya sedang melutut di sini. Di hadapan kaki ayahnya. Memang di situ tempat yang paling layak untuknya setelah pengkhianatan yang dilakukan wanita itu.

Waktu dia mendapat maklumat tentang pembunuh terakhir ayahnya, dia menjangkakan bahawa dia akan melihat wajah yang tidak dikenalinya sebelum ini sama seperti yang lain. Tapi siapa sangka dia akan melihat wajah orang yang paling dipercayai keluarganya satu masa dahulu. Biarpun sudah dimamah usia, renungan wanita itu dan senyumannya tidak akan pernah dilupakannya. Kerana satu masa dahulu hanya 3 orang saja yang wujud dalam hidupnya. Ibunya. Ayahnya. Dan.. satu-satunya manusia yang dibenarkan untuk datang dan pergi dari rumahnya. Cikgunya sendiri. Hanya demi wang, wanita itu sanggup memusnahkan keluarganya dalam sebuah permainan. Dia hanya perlu minta dan ayahnya mampu memberi berapa saja yang diperlukannya. Namun wanita itu perlu menyiksa keluarganya. Katakan sebaliknya namun wanita itu memang layak untuk berada di situ. Dia layak untuk mati.

Dia tidak pernah membunuh dengan tangannya sendiri. Dia juga tidak pernah terfikir untuk membunuh. Mungkin membuat orang lain melakukan untuknya tapi bukan dengan mengotorkan tangannya sendiri. Namun untuk wanita itu, dia sendiri yang memasang bahan letupan sebelum permainan terakhir ditetapkan. Bagaimana untuknya melepaskan orang yang berhutang terlalu banyak dengan keluarganya?

Kini, mereka semua telah berada di sini. Semua pendosa yang memusnahkan keluarganya sudahpun melutut di hadapan ayahnya. Dendamnya sudahpun berakhir namun segala yang didambakannya masih belum tertunai. Ayahnya masih belum memandangnya sedikitpun. Malah lelaki itu tidak memperdulikan apa-apa atau sesiapa. Ibunya mungkin masih belum memaafkannya. Dan mimpi ini juga mungkin akan terus memburunya sehingga ke nafasnya yang terakhir. Sehingga bertemu kedua orang tuanya bukan lagi mimpi.

“Iesha!”suara lembut itu menyeru namanya. Suara yang dirinduinya namun membawa bersama semua kisah buruk dalam hidupnya. Ia seperti ‘sweet torture’. Dia merenung ke arah doktor tua itu. Lelaki yang pernah melindunginya dalam mimpi yang lepas. Yang menyelamatkannya dari mimpi buruknya namun lelaki itu juga tidak memperdulikannya kali ini. Tiada siapa yang akan menyelamatkannya. Dia harus menghadapinya juga.

Dia memusingkan tubuhnya. Sudah bersedia untuk menghadapinya seperti selalu. Tapi apa yang dilihatnya berbeza bukan wanita itu tetapi kanak-kanak yang berusia 9 tahun yang sedang berlari ke arahnya. Berlari dengan gembira.

“Ayah! Iesya dah balik!”jerit gadis itu sambil berlari ke arah lelaki bertuxedo putih itu. Dinding lutsinar yang tidak pernah berjaya ditembusi sejak mula dengan mudahnya direntasi oleh gadis itu.

Lelaki bertuxedo putih yang tidak pernah pedulikan sesiapa itu akhirnya berdiri dengan senyuman di wajahnya dengan tangan yang terbuka menyambut gadis kecil itu dalam pelukannya. Dia dapat mendengar dengan jelas tawa gadis itu. Perkara yang dia telah kehilangannya lama dahulu.

Dia memandang ibunya yang juga tidak memperdulikannya lagi. Wajah tua ibunya yang telah dimamah usia menjadi semakin muda bersama setiap langkahnya merentasi dinding lutsinar menuju ke arah ayahnya dan gadis kecil itu. Dan apabila dia tiba di sisi mereka, dia sudah kembali ke usia yang sama 23 tahun yang lalu. Kembali ke zaman sebelum mimpi buruknya bermula.

Dia melihat lelaki bertuxedo putih itu memeluk bahu ibunya sambil sebelah tangannya mendukung gadis kecil itu. Mereka seperti sudah ingin berlalu pergi meninggalkan semua pendosa yang masih berlutut di situ.

Matanya kini melorot ke arah doktor tua yang masih melutut di situ dengan wajah sedikit muram. Hatinya kembali sakit. Sebesar manapun kebencian yang dia ingin rasa terhadap lelaki itu, dia masih lagi tidak dapat membunuh rasa ini. Dia masih ingin lelaki tua tua itu untuk bahagia.

Gadis kecil dalam dukungan ayahnya itu mula meronta untuk melepaskan diri sebelum dia melompat turun dari lengan ayahnya dan berlari ke arah doktor tua yang mengangkat wajahnya bersama senyuman apabila gadis itu tiba di hadapannya. Ada kasih sayang dalam matanya. Renungan yang sama yang dilemparkan kepadanya sepanjang hidupnya.

“Papa, jom.”gadis kecil itu bersuara sambil menghulurkan tangan kecilnya kepada doktor tua itu. Matanya melirik pula ke arah ayahnya yang masih lagi tersenyum bersama anggukan. Doktor tua itu menyambut tangan gadis kecil itu sebelum berdiri dan membawa gadis itu dalam dukungannya. Tangan kiri gadis itu berada dalam genggaman ayahnya sementara sebelah lagi tangan ayahnya memeluk bahu ibunya sebelum mereka berempat benar-benar berjalan meninggalkannya.

Kesunyian mula dirasainya sekali lagi. Dia benci apabila ditinggalkan bersendirian. Air matanya mula mengalir. Gadis kecil itu kemudiannya mengangkat wajah memandang ke arahnya. Secalit senyuman dilemparkan ke arahnya. Sebelah tangannya yang tidak berada dalam tangan ayahnya melambai ke arahnya seolah menyatakan bahawa segalanya telah berakhir. Di sini dan bersama mereka bukan lagi tempatnya. Dia sudah selesaikan tugasnya. Dan dia harus kembali ke dunia nyata. Dia harus kembali menjalani hidupnya seperti insan yang lain.

Dia membuka matanya apabila dia merasakan ada cahaya yang menikam matanya dan ada jemari yang mengesat air matanya. Dia dapat melihat lelaki yang menemani tidurnya semalam kini sedang memandangnya dengan kerisauan dalam matanya.

“Kau okey ke? Aku dengar kau menangis. Aku risau.” Fikry bersuara dengan nada kerisauannya. Matanya memandang lelaki itu. Dia sudah mula tidur di rumah lelaki ini sejak kematian papanya. Boleh dikatakan dia tinggal di sini.

Dendam Iesha? Ya, itu adalah dendamnya. Dendam Ayesha Irdina selama 23 tahun. Sejak dia melarikan diri dari rumah puaka itu, orang pertama yang mengejar dan menemuinya ialah papanya. Dia masih ingat bagaimana lelaki itu cuba sedaya upaya menyembunyikan fakta bahawa dia sudah ditemui apabila ditanya oleh ahli kumpulannya untuk memastikan dia tidak diapa-apakan. Dia masih ingat bagaimana lelaki itu menawarkan diri untuk menghapuskan mayat ayahnya dan membuatkan kematian ayahnya seperti sebuah kemalangan demi memastikan jenazah ayahnya dapat dikebumikan dengan sempurna.

Irdina masih ingat bagaimana lelaki itu menipu sahabatnya bahawa dia telah menguruskan ibunya yang sudahpun kehilangan separuh jiwanya selepas permainan itu dan memasukkan wanita itu ke hospital mental demi memulihkan wanita itu seperti sediakala biarpun sehingga ke akhir nafas wanita itu, wanita itu tidak pernah lagi bersuara mahupun bereaksi seperti manusia normal.

Irdina masih ingat bagaimana doktor tua itu lebih memilih untuk menjaga dan membesarkannya berbanding menikah dan hidup bahagia bersama cinta hatinya. Dia pernah cuba untuk membenci lelaki itu. Itu ‘keyword’nya CUBA. Namun dia tidak mampu. Perhatian dan kasih sayang lelaki itu melemahkannya. Dia masih ingat kata-kata lelaki itu kepadanya apabila dia mula mengabaikan zaman sekolahnya apabila lelaki itu cuba mendapatkan pendidikan untuknya.

“Papa tahu Dina benci papa. Papa tahu Dina nak balas dendam. Tapi apa yang budak 9 tahun boleh buat? Dina boleh balas dendam bila Dina dah dewasa. Balas dendam bila dah tiba masanya. Tapi sebelum tu, Dina kena belajar. Bina masa depan Dina. Supaya Dina boleh berdiri di tempat yang orang lain tak boleh pijak Dina dan jadikan Dina mangsa macam apa yang dah berlaku. Belajar sampai Dina boleh gunakan pengetahuan Dina sebagai senjata. Belajar sampai Dina ada kuasa dalam tangan Dina. Kuasa untuk teruskan hidup selepas dendam Dina selesai. Papa janji bila dah tiba masanya, walaupun Dina kena bunuh papa, papa takkan pernah salahkan Dina.” Papanya tidak memanggilnya Iesha kerana dia benci mendengar namanya keluar dari bibir lelaki itu. Jadi papanya memanggilnya dengan nama keduanya, Irdina.

Dan kerana kata-kata lelaki itu, dia sekarang merupakan seorang doktor dengan banyak kepakaran dan merupakan pemilik 4 buah hospital. Biarpun kebenciannya terhadap lelaki itu semakin menipis namun mimpi buruk yang selalu menemani tidurnya menuntutnya untuk membalas dendam terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk kemusnahan keluarganya. Masalahnya dia tidak tahu bagaimana. Jadi, keinginannya dan bara dendamnya dibiarkan terjeda sehingga pertemuan pertamanya dengan Lyn selepas setahun Fikry menjadi pesakit @ka teman tidurnya.

Sejujurnya itu bukan kali pertama dia bertemu wanita itu kerana mereka sudah bertemu berkali-kali atas urusan kerja tapi bertemu wanita itu sebagai Lyn, adik Fikry dan pemaisuri dunia kegelapan yang disembunyikan wajahnya dari semua orang. Yang tahu identiti wanita itu hanya lah Fikry setelah kematian anggota keluarga mereka yang lain, beberapa anggota kumpulan mereka yang sudahpun berpangkat tinggi dan boleh dipercayai. Dan kini Irdina. Musuh yang pernah melihat dan mengetahui identiti wanita itu umpama bertemu dengan malaikat maut kerana wanita itu tidak pernah membiarkan sesiapa hidup setelah mengetahui identitinya. Dan wanita yang sama telah melakukan ‘background check’ ke atasnya dan entah bagaimana tahu tentang permainan maut yang dilakukan kepada keluarga kandungnya. Wanita itu lah yang menawarkan untuk membantunya membalas dendam dengan mencari maklumat tentang semua pendosa terhadap keluarganya dengan syarat dia akan menutup mulut tentang hubungan wanita itu dengan Fikry. Dia tidak pernah berniat untuk memberitahu sesiapa tentang hubungan mereka namun bagaimana dia mampu mengatakan tidak pada sesuatu yang telah didambakannya begitu lama? Boleh dikatakan wanita itu penyebab permainan ini bermula semula dan dendam ini dapat dibalas. Dan pastilah Fikry tidak tahu apa-apa tentang hal ini. Itu perjanjian mereka, Fikry tidak boleh tahu atau terlibat dengan dendam Iesha.

Nadya Elliani? Wanita itu hanya mangsa keadaan yang kebetulan menonton kisah pembunuhan keluarganya di darkweb. Nadya Elliani hanyalah seorang wanita yang bernasib malang yang terjebak dalam kemelut dendamnya. Dia masih ingat lagi bagaimana Lyn menyamar sebagai pemandu uber dan menjemput wanita itu dari airport dan menggunakan klorofom dalam penghawa dingin untuk memengsankan wanita itu. Wanita itu kemudiannya dibawa ke rumah lama keluarga Irdina yang telahpun dibina semula olehnya untuk mengekalkan memori keluarganya. Cermin di luar tingkap bilik Nadya di tempatkan telahpun dipasang plastic tinted dan jam di dalam rumahnya telahpun diubah untuk membuatkan wanita itu percaya bahawa hari sudahpun malam apabila dia terjaga biarpun waktu ketika itu baru saja tengahhari.

Irdina kemudiannya menggunakan kepakarannya dalam psikologi untuk menarik minat Nadya untuk dihipnotis dengan menggunakan nama Syukri. Dan apabila wanita itu termakan pujukannya, Voila! Kisah hidup Iesha yang selalu ditontonnya di skrin laptop menjadi kisah hidup Nadya dan dendam Iesha menjadi milik wanita itu. Cinta dan perhatiannya kepada Syukri ditolak ke belakang dan hanya satu ayat itu saja yang ditanamkan dalam kepala wanita itu. DENDAM HARUS DIBALAS!

Selepas semua itu, Nadya dikembalikan ke dalam kereta dan dikembalikan ke rumah orang tuanya membuat wanita itu percaya segalanya hanyalah sebuah mimpi. Apa yang paling dia tidak jangka ialah wanita itu ialah anak kepada kedua pembunuh ayahnya. Siapa sangka karma itu wujud. Anak pembunuh sendiri bangkit untuk membalas dendam.

“Kau okey ke tak ni?”soal Fikry sambil menyentuh wajah Irdina, cuba menarik perhatian wanita itu kembali kepadanya apabila wanita itu tidak menjawab soalannya tadi. Secalit senyuman mula terlakar di bibir Irdina.

“Never been better.”balas Irdina. Hutang darah sudah dilangsaikan. Mimpi buruknya sudah berakhir. Kini, dia sudah boleh memulakan hidup baru dengan nafas yang baru biarpun dia masih lagi akan menggunakan nama yang sama sepanjang hidupnya.

AYESHA IRDINA!

Saya janji nak post sbelom 9 Ogos tapi published on 9 Ogos jgak.. sorry.. tq sapa y stay sini dari awal smpai last.. really appreciate it.. saya try buat plot twist.. ada y dh dpat teka ke? cerita ny maybe lagi bosan dari cerita y lain but I try.. so tq sbb baca.. kenapa ada ? kat tamat sebab.. saya dh jawab semua persoalan dalam novel ni kat sini so y ny boleh ja jadi last chapter tp saya still ada bnda y saya teringin nak tulis so maybe akan ada lagi 1 chapter.. tp maybe saya akan tllu bzy ntok tulis jgak so chapter tu takkan wujud.. sbb tu lah ada ? kt tamat tu.. kalau wujud saya akan try post sblom selasa next week.. so skali lagi tq sbb baca.. love you guys.. :-*

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience