LAPAN

Psychological Completed 9086

NADYA tersedar dari lenanya dan terus bangun dari perbaringannya. Nafasnya laju umpama orang yang baru saja menamatkan larian marathon. Laju jantungnya berdegup umpama ingin memecahkan dinding dadanya. Dahinya dibasahi peluh dingin. Tubuhnya masih lagi menggeletar. Dia menunggu beberapa saat sebelum bergerak dari posisinya tadi. Tangannya mencapai gelas yang diletakkan di atas meja disisi katilnya. Tepat ditepi lampu tidur yang berada di situ. Dia dapat melihat air di dalam gelas itu berkocak kerana tangannya masih lagi tidak dapat berhenti menggeletar. Gelas dipegang dibawa ke bibir. Air masak yang berada di dalam gelas itu diteguk. Cuba untuk menenangkan dirinya sendiri. Gelas itu diletakkan kembali di tempatnya.

Tangannya mencapai bantal yang berada di sisinya dan dibawa ke dalam pelukannya. Jujur di saat ini dia benar-benar merindui Syukri Ellias. Lelaki itu biasa menenangkannya setiap kali dia mengalami mimpi buruk. Sudah pastinya itu cerita lama dahulu. Cerita di awal perkahwinan mereka. Cerita di saat lelaki itu masih lagi menghabiskan malamnya dengan berada di sisi Nadya.

Sejak lelaki itu menghabiskan masanya dengan wanita lain, dia tidak pernah lagi mengalami mimpi buruk. Lelaki itu tidak perlu lagi untuk menenangkannya. Bukan saja mimpi buruk, dia sudah lama tidak pernah bermimpi begini. Bukan kerana dia dapat tidur dengan nyenyak namun kehadiran semua wanita yang bergayut di leher lelaki itu membuatkan dia kehilangan tidurnya. Jangan katakan bermimpi, dia tidak mampu untuk tidur dengan selesa pun kerana perbuatan lelaki itu. Tapi sudah pastinya lelaki itu tidak pernah akan tahu. Bagaimana untuk tahu jika dia tidak pernah mengambil tahu. Kasih sayangnya palsu.

Nadya mengeluh berat memikirkan rumah tangganya. Jika nama lelaki itu memang tiada dalam takdirnya.. jika sudah tertulis bahawa lelaki itu tidak tercipta untuknya.. tiada gunanya dia menggenggam. Melepaskan pasti lebih baik untuknya. Sakit tidak akan hilang namun sekurangnya ia tidak akan bertambah lebih dari biasanya. Sakitnya menanti sesuatu.. sakitnya untuk terus berharap.. sekurangnya sakit itu tidak akan lagi berada di dalam hatinya.

Sekali lagi dia mengeluh. Lupakan saja. Dia meletakkan kembali bantalnya di sisi. Hilang segala ketakutannya tadi apabila memikirkan lelaki itu. Dia bangun dari katilnya. Rasanya dia tidak akan mampu lagi untuk melelapkan mata malam ini.

Nadya bergerak keluar dari biliknya. Sunyi. Tiada sebarang bunyi yang mampu didengarinya. Mungkin kerana jam sudah pun hampir pukul tiga pagi dan semua manusia yang berada di dalam rumah itu telahpun karam ke alam mimpi. Pintu utama rumahnya dibuka sebelum dia melangkah keluar melepasi pintu itu. Ingin menghabiskan masa untuk menghirup udara segar di luar.

Dia melabuhkan punggung di atas buaian di luar. Matanya memandang ke langit. Tidak banyak bintang yang bertaburan di situ. Beza kampung dan bandar. Di bandar sukar untuk melihat bintang tidak seperti di kawasan kampung. Mungkin. Dia tidak pernah tinggal di kampung, jadi bagaimana dia akan mengetahui jika itu adalah hakikatnya.

Fikirannya kembali melayang kepada mimpi buruk yang dialaminya tadi. Dia tahu itu hanya sebuah mimpi buruk. Dia tahu dia harus melupakannya saja. Tapi ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Mimpi itu seolah-olah bukan sekadar mimpi buruk yang biasa. Mimpi itu terlalu realistik untuk dikatakan hanya sebagai mimpi. Terlalu details. Perkara di dalam mimpi itu seolah pernah dialaminya. Mimpi itu seperti sebuah kenangan lama yang terkunci di dalam peti besi yang tidak pernah dibuka. Sebuah memori yang telah karam terlalu jauh ke lubuk paling dalam sehingga dia sudah tidak mampu untuk mengingatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience