GADIS berusia 9 tahun itu membuka matanya dan bangun dari lantai tempatnya berbaring. Dia tidak pasti bagaimana dia boleh sampai di sini atau dia memang tahu. Tapi dia yakin walau bagaimanapun cara dia dibawa ke sini, tempat ini adalah bahaya baginya. Dia hanya berharap ini semua sekadar mimpi ngeri yang menjelma untuk mengganggu tidurnya. Jika ia benar sebuah mimpi, dia benar-benar berharap dia akan segera terjaga kerana semua ini terlalu mengerikan baginya.
Dia segera berdiri. Keadaan disekelilingnya segera diteliti. Ruang tempatnya berdiri hanya kosong. Tiada sebarang perabot. Tiada sebarang hiasan juga. Dinding juga tidak dicat. Tempat ini terlalu kosong seolah rumah yang telah lama ditinggalkan. Atau boleh jadi ia sebuah banglo atau villa lama jika diukur pada keluasan ruang rumah ini. Yang ada di rumah ini hanyalah tingkap nako yang tiada kacanya dan pintu kayu yang menjadikannya kelihatan seperti sebuah rumah.
Nanti dulu! Pintu? Gadis itu segera berlari ke arah pintu itu. Tombol pintu itu dipulas. Mungkin ada peluang untuk dia melarikan diri. Namun seperti klise yang terdapat dalam setiap drama dan cerita lainnya, cubaan yang dilakukannya hanyalah sia-sia berteman hampa. Pintu itu dikunci dari luar atau mungkin disekat oleh sesuatu. Dia cuba memecahkan pintu itu dengan tubuhnya. Tapi sekali lagi, ia hanya cubaan yang sia-sia.
Dia mengeluh. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya. Menunggu untuk diselamatkan? Tidak sama sekali. Kerana untuk diselamatkan, seseorang harus tahu dia dalam bahaya. Paling tidakpun kehilangannya perlu disedari oleh seseorang. Tapi pastinya itu tidak mungkin berlaku. Siapa yang akan menyedari kehilangannya? Ibu dan ayahnya? Mereka juga mungkin sedang ditangkap dan berada dalam keadaan bahaya sepertinya. Jirannya mungkin akan sedar. Oh ya, mana mungkin jirannya akan sedar kehilangan keluarganya. Kerana mereka tidak pernah ada jiran. Mereka tinggal di tempat terpencil yang terletak dipendalaman. Jauh dari semua orang.
Guru-guru dan teman-teman di sekolahnya? Dia tidak ke sekolah. Dia hanya belajar dari rumah. Ada seorang guru yang dibayar oleh keluarganya datang mengajarnya di rumah. Tapi sekarang adalah hari pertama cuti penggal pertama persekolahan. Walaupun dia tidak belajar disekolah, dia masih lagi harus belajar dan bercuti mengikut waktu persekolahan. Ini bermakna masih ada dua minggu sebelum gurunya menyedari akan kehilangannya. Dan mungkin dalam masa itu, dia sudahpun meninggalkan dunia ini. Kerana itu dia harus cepat. Dia harus lakukan apa saja cara asalkan dia dapat meninggalkan tempat ini dan meminta bantuan dari sesiapa mungkin.
“Permainan bermula!”tiba-tiba ada suara yang menyapanya. Tepat dari dalam telinga kanannya. Dia segera meraba ke lubang telinganya. Ada sesuatu dalam telinganya. Sesuatu seperti... Dia segera mengeluarkan alat itu dari telinganya. Alat pendengaran?
“Pusing ke belakang dan jalan ke kanan. Kau akan jumpa tangga. Naik tangga tu sekarang.”suara dari alat pendengaran itu berbunyi lagi. Suara itu mungkin telah ditapis, diubah atau mungkin mulutnya ditutup oleh sapu tangan untuk mengubah suaranya tapi gadis itu yakin suara itu adalah suara wanita.
“Aku cakap sekarang!”suara itu kedengaran lagi dari alat itu. Kali ini suara itu sedikit marah. Mungkin kerana gadis itu tidak memberi respons seperti yang diharapkannya.
“Siapa cakap Iesha nak main”jerkah gadis itu. Dia memandang sekelilingnya sekali lagi. Cuba mencari siapa yang bercakap dengannya. Kata-katanya hanya disahut tawa.
“Kau takkan jumpa aku sama macam kau takde pilihan. Kalau kau tak main, kau tahulah nasib ibu dan ayah kau. Kau boleh merayau dijalanan macam anak yatim.”sinis suara itu membalas membuatkan tubuhnya sedikit menggeletar. Namun dia cuba untuk mengawal dirinya. Dia mungkin kanak-kanak, namun dia telah dididik begitu. Diajar supaya berfikiran dan bertindak seperti orang dewasa. Tiada permainan. Tiada keseronokan.
“Aku takde masa nak layan kau, budak. Bergerak sekarang atau diorang mati.”arah wanita itu lagi. Gadis itu memasukkan kembali alat pendengaran itu ke dalam telinganya dan segera bergerak ke arah yang dikatakan oleh wanita itu. Tiada lagi masa untuk bermain. Dia mendaki satu demi satu anak tangga sambil memandang disekelilingnya. Masih lagi mencari sumber suara itu. Walau dia tidak dapat melihat orang yang bercakap dengannya, dia yakin bahawa orang itu dekat dan sedang memerhatikan setiap tingkahnya.
Dia sampai dipenghujung anak tangga itu. Ada anak panah yang menunjuk ke arah kanan dilekatkan di dinding. Tiada lagi arahan yang kedengaran dari alatan ditelingannya. Jadi, dia hanya mengikuti saja lukisan anak panah yang dilekatkan di dinding itu. Satu demi satu langkah diatur mengikuti lukisan demi lukisan yang berada di dinding itu sehingga dia sampai di satu bilik yang terletak di bahagian hujung yang bertulis ‘Permainan Pertama’ di pintunya.
Dia segera menolak daun pintu itu untuk membukanya. Tidak terlalu berbeza dengan ruang dia mula-mula tersedar tadi. Kosong tanpa sebarang perabot kecuali dua biji meja bulat yang diletakkan di tengah-tengah bilik itu agak berjauhan antara satu sama lain. Sebiji meja terdapat botol berisi air mineral di atasnya dan sebiji lagi pula mempunyai botol berisi air soda. Dia bergerak dan berdiri di antara meja-meja itu. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya.
“Permainan bermula sekarang. Kau perlu pilih.”suara itu muncul kembali dari alat yang dipakai ditelinganya. Tapi kali ini ia suara yang berbeza. Ianya suara lelaki.
“5 saat. Minuman kegemaran.”
“5..”lelaki itu memulakan kiraannya.
“4” lelaki itu meneruskan kirannya namun dia masih lagi tidak bergerak.
“3”gadis itu masih lagi tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“2! Pilih sekarang atau..”lelaki itu bersuara sedikit keras.
Gadis itu segera mencapai air soda yang terletak di sebelah kanannya. Pilihan mudah. Tiada kanak-kanak yang sukakan mineral. Terlalu mentah untuk mengetahui keistimewaan dan kepentingan air kosong atau air mineral terhadap tubuh mereka.
Sebaik saja air mineral itu dicapai, satu tembakan dilepaskan ke arah botol air mineral yang tidak dicapainya membuatnya tersentak. Botol air mineral itu berlambung entah ke mana. Jantungnya berdegup kencang. Kesan akibat tembakan itu masih belum hilang biarpun peluru itu sedikitpun tidak menyentuh tubuhnya. Tubuhnya sekali lagi menggeletar.
“Permainan kedua bermula.”suara yang muncul dari alat pendengarannya menyedarkannya kembali. Suara lelaki tetapi dia pasti bukan lelaki yang tadi. Lelaki kedua. Orang yang ketiga.
“Bergerak sekarang.”suara itu muncul lagi. Gadis itu masih tidak berganjak.
“Aku kata bergerak sekarang!”jerkah lelaki itu.
“Iesha dah tak nak main.”dia bersuara sedikit menggeletar biarpun dia cuba untuk mengawalnya agar tidak ketara.
“Aku kata bergerak sekarang!”jerkah lelaki itu lagi bersama satu tembakan yang dilepaskan ke arahnya. Sekali lagi tidak menyentuh tubuhnya namun hanya sipi saja melepasi bahunya. Panas baran. Itu saja yang boleh dirumuskannya tentang lelaki itu.
Gadis itu mula bergerak keluar dari bilik itu. Dia tidak pasti apa yang dilakukannya disaat ini. Dia hanya menurut ke mana saja kakinya membawanya pergi. Petunjuk yang ditampal diluar tadi telah berubah arah. Mungkin ditukar disaat dia bermain permainan pertama tadi.
Dia bergerak mengikut arah yang ditampal di dinding menuju kearah bilik seterusnya yang bertulis “Permainan Kedua”. Dia masuk ke bilik itu tanpa banyak soal. Setting bilik yang kedua ini juga seperti tadi. 2 meja di bahagian tengah bilik. Hanya kali ini pilihannya berbeza. Makanan kegemaran mungkin. Fikirnya apabila melihat coklat di atas meja disebelah kanannya dan sayuran di atas meja sebelah kirinya.
“Peraturan sama. 5 saat. Makanan kegemaran.”lelaki pemarah itu bersuara sedikit tenang dari sebelumnya. Mungkin ditenangkan oleh 3 lelaki yang lain.
“5”dan kiraan bermula sekali lagi. Tapi kali ini gadis itu segera mencapai coklat yang terdapat disebelah kanannya. Sekali lagi, pilihan yang mudah. Budak mana yang tidak suka coklat. Walau sematang manapun dia diajar untuk berfikir, budak tetap budak.
“Bagus!”lelaki itu bersuara. Lantai dibawah meja sayuran itu terbuka. Mungkin terdapat mesin dibawahnya kerana kayu meja dan serpihan sayuran itu tercampak keluar seolah sedang dikisar.
“Okey, adik. Sekarang kita main permainan ketiga, ya?”lembut suara lelaki itu menyapa. Lelaki ketiga, orang yang keempat. Sedikit lembut, sedikit baik. Gadis itu tak pasti bagaimana lelaki sebegitu boleh menyertai kumpulan kejam ini. Dipaksa atau terpengaruh?
“Adik, bergerak sekarang.”suara itu menyapa lagi apabila gadis itu hanya membatukan diri.
“Abang, Iesha dah tak nak main.”rayu gadis itu. Cuba untuk meraih simpati. Mungkin lelaki kali ini akan melepaskannya.
“Adik, abang tak kisah kalau adik tak nak main. Tapi, abang yang dekat sebelah ni garang tau. Tadi pun dia nak tembak adik. Abang tak nak jadi apa-apa kat adik. Jadi,baik adik bergerak sekarang.”lelaki itu masih lagi bersuara dengan lembut namun dia dapat mendengar ugutan disebalik kelembutan itu.
Gadis itu mula bergerak meninggalkan bilik yang kedua itu menuju ke bilik seterusnya. Seperti tadi, penunjuk arah telah berubah. Membawanya ke bilik yang bertulis ‘Permainan ketiga’ dipintunya. Pintu bilik itu juga dibuka. Namun kali ini langkahnya terhenti di ambang pintu bilik itu.
“Abang, tolong. Jangan buat macamni.”rayu gadis itu apabila melihat pilihan kali ini tidak semudah tadi.
“Abang minta maaf. Permainan bermula sekarang.”lelaki itu bersuara. Ada simpati dalam suaranya namun tak berkuasa.
“5.”lelaki itu bersuara.
“Abang, tolong jangan buat macamni.”gadis itu cuba merayu sekali lagi. Matanya mula berkaca. Dua anak patung kesayangannya kini berada di hadapannya. Di sebelah kanan ada ‘Teddy’, patung beruang miliknya. Di sebelah kirinya pula ada ‘Dolly’, anak patung manusia yang dibuat daripada kain.
“4”lelaki itu meneruskan kiraannya.
“Abang, tolong.”rayunya lagi. Tidak mungkin dia mampu memilih di antara dua anak patung yang selalu menemani tidurnya itu.
“3”lelaki itu masih meneruskan kiraannya.
Gadis itu cuba menyambar kedua-dua anak patung dihadapannya.
“Adik!”jerit lelaki itu apabila api menjulang keluar membakar kedua-dua anak patung yang sedikit lagi berjaya disambarnya. Api itu tidak menyentuh kulitnya namun bahang dari api iyu membuatkan dia terpaksa berundur ke belakang. Air matanya jatuh apabila melihat teman tidurnya terbakar begitu.
“Abang lupa beritahu. Kalau adik tak boleh buat pilihan dalam 5 saat atau cuba sentuh kedua-duanya, kedua-duanya sekali akan dihapuskan.”lelaki itu bersuara. Kedengaran seperti bunyi bising sedikit di saat itu. Mungkin mikrofon atau apa saja alat yang digunakan untuk bercakap oleh lelaki itu sedang dirampas. Dia sudah tidak peduli lagi.
“Korang semua jahat! Iesha akan ingat semua ni. Iesha akan balas balik!”gadis itu bersuara bersama sendunya. Air matanya dikesat menggunakan belakang lengannya.
“Kau jangan buat aku hilang sabar. Bergerak sekarang.”jerkah lelaki pemarah tadi. Lelaki kedua. Orang yang ketiga. Gadis itu cam benar cara percakapan dan suaranya namun dia masih lagi tidak berganjak. Dia tidak pasti apa akan menantinya di permainan seterusnya. Mungkin pilihan yang lebih sukar. Mungkin kehilangan yang lebih menyakitkan. Dia tidak pasti. Memikirkannya saja membuat kepalanya terasa sakit. Mata gadis itu dipejam. Kedua-dua tangannya memegang kepala yang tiba-tiba berdenyut. Kerana tekanan barangkali.
“Aku kata, sekarang!”jerkah lelaki itu. Kali ini sekali lagi jerkahannya ditemani dengan tembakan yang sipi lagi mengenai tubuh gadis itu. Arah kiri. Gadis itu yakin dari arah situ tembakan itu datang.
Kepalanya masih lagi sakit. Matanya masih lagi dipejam. Dia berpusing ke arah kirinya. Ke arah meja yang memiliki Dolly di atasnya tadi. Dia mendongakkan kepalanya sedikit ke atas namun tidak terlalu tinggi untuk menghadap bumbung. Hanya cukup untuk memandang tepat ke bahagian atas disebelah hadapannya. Ia mungkin kelihatan seperti dinding biasa namun dia yakin ianya ialah cermin dua hala di luar sana. Dia tidak dapat melihat mereka namun dia yakin mereka sedang melihatnya dari sana.
Matanya dibuka semula. Anak matanya berubah merah. Pandangan dihadapannya berubah menjadi seperti sinaran x. Biarpun tidak jelas, dia dapat melihat 4 sosok tubuh lelaki dewasa disebalik dinding itu. Wanita yang pertama bercakap tadi telah hilang. Dia yakin itu bukan suara lelaki. Ini bermakna mereka yang sedang membulinya ada 5 orang. Dan wanita itu telah hilang ke suatu tempat. Mungkin sedang membuat persiapan untuk sesuatu.
“Cukup mengarut. Bergerak sekarang. Permainan keempat bermula.”lelaki keempat bersuara mebuatkannya tersentak. Matanya yang tadinya merah berubah kembali kepada warna anak mata coklat gelapnya yang biasa. Pandangan sinaran x nya tadi berubah jadi pandangan bilik yang biasa seperti tadi. Dia memejamkan matanya dan membukanya sekali lagi. Berharap untuk melihat seperti tadi. Dia masih perlu mencari sosok tubuh wanita yang pertama sekali bercakap dengannya tadi. Namun anak matanya masih lagi coklat gelap seperti tadi.
“Bergerak sekarang atau kami akan musnahkan segala yang kau mungkin dapat selamatkan.”ugut lelaki keempat itu lagi. Lelaki keempat. Jika apa yang dilihatnya tadi adalah benar, bermakna dia adalah lelaki yang terakhir. Mungkin juga permainan selepas ini adalah yang terakhir. Tanpa disuruh sekali lagi, dia segera bergerak keluar dari bilik itu. Mengikut anak panah ke arah permainan seterusnya.
Kali ini juga langkahnya terhenti di pintu. Kakinya lemah. Lututnya longlai. Dia terduduk di pintu. Bibirnya menggeletar. Air matanya berjuraian tidak dapat ditahan. Jika tadi dia rasa sukar untuk memilih, kali ini pilihannya lebih sukar.
“Koko! Miki!” dia bersuara lemah apabila melihat Koko, ibu kucing kesayangannya yang berbulu putih itu berada di dalam sangkar di atas meja di sebelah kanan dan anak kucing kesayangannya dengan tompok hitam dan putih berada di sangkar di sebelah kirinya. Mereka mengiau sebaik saja melihatnya.mungkin kerana mereka mengenalinya dan menganggap dia sebagai hero yang mampu menyelamatkan mereka.
“Permainan keempat bermula sekarang. Pilih salah satu atau hilang kedua-duanya.”lelaki terakhir itu bersuara.
“5!”lelaki itu memulakan kiraan tanpa menunggu respons dari gadis itu.
“Tolong jangan.”rayu gadis itu bersama juraian air mata.
“4”kiraan diteruskan.
“Tolonglah.”rayu gadis itu lagi. Entah apa yang diharapkannya daripada mereka. Dia tahu mereka tidak berhati. Dia tahu mereka kejam. Entah mengapa dia masih merayu, dia sendiri tidak pasti.
“3”
“Koko, Iesha minta maaf.”gadis itu bersuara sebelum mencapai sangkar Miki yang berada di sebelah kirinya. Sebaik saja sangkar anak kucing itu dicapai, Koko tercampak keluar dari sangkarnya tepat ke dalam mesin pembancuh simen yang entah sejak bila berada di satu sudut di dalam bilik itu membuatkan darah Koko terpercik membasahi tubuhnya dan tubuh Miki yang kini sedang mengiau seperti sedang menangis. Mungkin dia sudah mengerti bahawa ibunya sudah tiada lagi. Gadis itu turut menangis pilu.
“Maafkan Iesha, Koko. Iesha minta maaf.”tangis gadis itu.
“Per...”dia dapat mendengar alat pendengarannya berbunyi. Tapi dia sudah cukup dengan semua ini. Tak nak lagi. Dia sudah tidak mahu memilih lagi. Dia sudah tidak mahu kehilangan lagi. Dia sudah tidak mahu bermain permainan ngeri ini lagi. Cukuplah. Gadis itu segera mengeluarkan alat itu dari telinganya dan alat itu segera dipijak olehnya. Dia sudah tidak sanggup lagi. Tiada lagi suara yang akan mengarahnya.
“Jom kita pergi dari sini, Miki.”dia bersuara sambil mengeluarkan Miki dari sangkar. Miki dibawa ke dalam pelukannya sebelum dia berjalan keluar dari bilik itu. Dia dapat melihat anak panah di luar bilik itu bertukar arah. Maksudnya ada lagi permainan selepas ini namun dia sudah muak dengan segala permainan gila ini. Cukuplah! Segalanya tamat di sini. Dia berjalan ke arah bertentangan dengan anak panah itu menuju ke arah tangga. Ingin kembali ke tempat pertama dia tersedar tadi.
Tangga terletak dibahagian tengah. Ada tangga menuju ke atas, ruang yang tidak pernah dijejakinya dan ada tangga menuju kebawah, ruang tempat dia tersedar tadi. Tempat pertama permainan gila ini diperkenalkan kepadanya. Tingkat pertama dia tersedar tadi adalah sebuah ruang luas yang kosong. Tiada sebarang bilik ataupun perabot. Tingkat kedua, tingkat di mana di mana dia sedang berjalan ketika ini mempunyai 4 buah bilik ke semuanya. 2 bilik di setiap sisi tangga. Ketika mendaki pertama, bilik di penghujung sebelah kanan adalah bilik di mana permainan pertama diadakan. Bilik pertama di sebelah kiri tangga adalah bilik di mana pertama di mana permainan kedua diadakan. Bilik pertama di sebelah kanan tangga adalah tempat permainan ketiga. Dan permainan keempat diadakan di bilik yang terletak di penghujung sebelah kiri.
Kini semua penanda menunjukkan ke arah atas. Bermakna permainan seterusnya akan berlangsung di tingkat atas. Gadis kecil itu kini berdiri di antara tangga ke atas dan ke bawah. Jika dia bergerak ke atas, mungkin akan ada yang lagi menakutkan dari apa yang telah dilaluinya sebelum ini. Jika dia berjalan ke bawah, dia hanya akan mendapat kebebasan yang tak pasti. Ke mana dia harus pergi? Pulang ke rumah yang mungkin tiada yang menanti? Dia tiada tempat untuk pergi. Kebebasannya tidak menjanjikan apa-apa.
DEBUUKK! Dia dapat mendengar bunyi sesuatu yang kuat jatuh ke lantai. Dia yakin bunyi itu datang dari tingkat atas. Mungkin dari permainan yang seterusnya. Hatinya berbelah bagi sekali lagi.
“Apa yang Iesha kena buat, Miki?”soalnya sambil membelai bulu Miki. Dia mengeluh perlahan. Matanya dipejam seketika sebelum dibuka semula. Keputusan telah diambil. Tiada lagi masa untuk berpaling.
“Miki, jom kita balik.”dia bersuara sekali lagi. Dia mula bergerak menuruni anak tangga. Dia tidak tahu apa nasibnya diluar sana namun terus berada di sini adalah bahaya besar buatnya dan Miki.
1.. 2.. 3.. 4.. 4 anak tangga. Itu saja yang berjaya dituruninya sebelum kepalanya sakit sekali lagi membuatkan matanya terpejam. Dia hilang keseimbangan dalam langkahnya dan hampir saja Miki terlepas dari pelukannya. Mujurlah dia sempat memeluk Miki rapat ke dadanya dan memaut kepada pemegang tangga dengan sebelah lagi tangannya.
Matanya dibuka semula. Anak matanya bertukar merah sekali lagi. Merah seperti darah. Itulah warna anak matanya ketika ini. Pandangan di hadapannya berubah sekali lagi. Dia memandang ke arah atas. Ke tingkat dimana permainan seterusnya bakal berlangsung.
Tingkat seterusnya juga sebuah ruang kosong yang luas seperti tingkat bawah tadi. Bezanya terdapat sesuatu di tengah-tengah ruang itu. Sesuatu seperti peti? Keranda berdiri? Terdapat sosok tubuh manusia di dalam setiap satu keranda itu. Seorang lelaki dan seorang wanita?
Matanya terbeliak. Hilang anak mata merahnya tadi diganti dengan warna coklat gelapnya kembali. Ibu? Ayah? Tanpa ragu, dia berlari memanjat setiap anak tangga menuju ke tingkat atas. Berlari tanpa henti sehingga dia tiba di hadapan kedua-dua keranda itu. Miki diletakkan ke tepi.
“Ibu? Ayah?”gadis itu bersuara. Dia tidak pasti keranda yang mana perlu di dekatinya dulu. Dia ingin selamatkan kedua-duanya. Dia tidak boleh kehilangan salah seorang daripada mereka.
“Permainan terakhir bermula. Permainan nasib. Pilih siapa yang kau ingin selamatkan.”suara wanita pertama tadi muncul kembali. Kali ini suaranya muncul dari speaker yang dilekatkan di setiap sudut di dinding. Dia tidak pasti arah sebenar suara itu datang.
“Tolong jangan bunuh ibu dengan ayah Iesha. Iesha merayu. Iesha melutut. Tolong!”rayu gadis itu bersama air mata yang mengalir sambil melutut ke lantai.
“5”
“Tolonglah kesiankan Iesha.”rayunya lagi.
“4”
“Tolonglah!”gadis itu bersujud kepada mereka.
“3. Pilih seorang atau hilang keduanya.”
“Iesha tak boleh pilih. Tolonglah!”rayunya lagi.
“2”kiraan disambung.
“Bunuh sajalah Iesha. Kenapa buat Iesha macamni?”dia bangun dari sujudnya.
“Sa...”belum sempat wanita itu menghabiskan kiraannya, gadis itu bersuara.
“Ibu. Iesha pilih ibu!”jeritnya bersama tangisnya.
Keranda disebelah kanannya dibuka. Ibunya melangkah keluar dari keranda itu.
“Iesha!”ibunya bersuara sambil mendepakan tangannya. Gadis itu segera berlari kedalam pelukan ibunya. Pelbagai perkara telah dilaluinya hari ini. Ini yang diimpikannya. Pelukan hangat ibunya.
Tiba-tiba dia mendengar sesuatu dari atas kepalanya. Ketika dia mendongak ke atas, dia melihat ayahnya sedang meronta tergantung di tali. Jantungnya umpama terhenti.
Share this novel