SATU

Psychological Completed 9086

“IESHA, lari!”jeritan wanita itu membuatnya terjaga. Dia dapat melihat gadis berusia 9 tahun di dalam laptopnya mencapai anak kucing bertompok hitam dan putih itu sebelum menghulurkan tangan kepada ibunya. Mungkin mengajak wanita itu berlari bersama. Dia mengeluh. Filem itu ditutup. Headphone yang dipakainya ditanggalkan. Dia bangun dari pembaringannya dan duduk bersandar di sofa. Sekali lagi dia tertidur di sofa ketika menonton filem. Sejujurnya bukannya dia terlalu taksub dengan filem sehingga dia harus menonton filem sebelum tidur. Dia hanya ingin menyekat suara-suara itu dari sampai ke telinganya. Suara seorang lelaki yang bernama Syukri Elliyas. Suara asmara dari lelaki yang berstatus sebagai suaminya bersama wanita lain.

“Sayang, you’re back!”suara ceria lelaki itu ditemani bersama kucupan di pipinya membuatkan dia berpaling memandang lelaki itu. Syukri yang sekadar memakai boxer itu tersenyum kepadanya. Dia dapat melihat tubuh lelaki itu dipenuhi hickeys yang jelas bukan diberikan olehnya. Lelaki itu sudah tidak lagi berusaha menyembunyikan tanda-tanda gigitan cinta itu dari penglihatannya. Kerana lelaki itu tahu dia tidak peduli tentangnya. Bukannya tidak peduli. Hatinya sakit setiap kali lelaki itu bersama wanita lain. Hanya kakinya terikat. Biar bagaimana sakitpun dia rasa ketika ini, meninggalkan lelaki itu adalah sesuatu yang lebih menyakitkan baginya.

Syukri melompat dari belakang sofa dan terus duduk di sisinya. Tubuhnya ditarik ke dalam pelukan lelaki itu.

“I miss you!”Syukri bersuara sambil tanga nnya masih lagi erat memeluk tubuhnya. Namun dia langsung tidak membalas pelukan lelaki itu. Dia tidak faham bagaimana lelaki itu boleh memeluknya sejurus selepas dia memeluk wanita lain. Bagaimana lelaki itu boleh mengucapkan rindu apabila tubuhnya penuh dengan tanda cinta dari wanita lain. Dan yang paling dia tidak mengerti, bagaimana dia boleh jadi terlalu bodoh untuk terus bertahan di sini.

“Nadya?”Syukri bersuara apabila wanita itu tidak memberi sebarang respons terhadap kata-kata mahupun tindakannya. Pelukannya dilonggarkan sedikit agar dia dapat memandang wajah wanita di dalam pelukannya.

Nadya hanya menghadiahkan senyuman kepadanya. Tangannya meraba pipi kiri lelaki itu.

Syukri memejamkan matanya. Tangan kanan wanita itu disentuh dengan tangannya. Telapak tangan wanita itu dikucupnya sebelum tangan wanita itu dibawa kembali ke pipinya. Hanya belaian wanita itu saja dapat memuaskan hatinya. Hanya wanita itu saja yang diinginkannya. Tetapi dia merasa seperti wanita itu terlalu rapuh untuk disentuh. Seolah wanita itu akan pecah. Wanita itu umpama bidadari yang tidak seharusnya tinggal bersama penjahat sepertinya. Hatinya yang penuh dengan kegelapan bukannya tempat yang layak untuk menjadi rumah si bidadari. Namun, dia bukannya insan yang baik. Dia pentingkan diri. Tidak mungkin dia akan melepaskan wanita itu. Wanita yang telah bertapak di hatinya harus sentiasa ada dengannya walau sejahat manapun dia. Dia kembali membuka matanya. Memandang tepat ke dalam mata coklat gelap milik wanita polos itu.

“I love you!”dia bersuara. Jujur dari hatinya.

Sakit. Itulah apa yang dirasakan Nadya setiap kali mendengar ungkapan cinta lelaki itu. Sepotong ayat yang didambakannya. Namun adakah lelaki itu benar memahami perkataan itu, dia tidak dapat memastikannya. Tak kisahlah lelaki itu memahaminya ataupun tidak. Asalkan lelaki itu akan selalu ada dengannya. Biarlah sebanyak mana perempuan yang lelaki itu akan tiduri asalkan lelaki itu akan pulang kepadanya. Kerana dia telah terikat. Hatinya sudah terjerat dengan sesuatu yang bernama cinta di saat lelaki itu melafazkan ayat ‘Aku terima nikahnya’.

“Sayang?”suara suaminya membawanya kembali dari dunia pemikirannya. Dia memandang wajah lelaki yang sedang memandangnya dengan wajah terkejut itu. Syukri mengesat air matanya yang dia langsung tidak sedar sejak bila ia mengalir. Dia selalu sangka jika lelaki itu ada bersamanya, dia akan okey. Dia selalu sangka bahawa dia tidak kisah jika lelaki itu bersama wanita lain asalkan diakhirnya lelaki itu akan kembali kepadanya saja. Tapi mungkin sabarnya telah sampai ke penghujungnya. Dia sudah tidak sanggup. Dia sudah tidak mampu lagi untuk bertahan. Dia tamak. Dia mahu lelaki itu menjadi miliknya sahaja. Dia sudah tidak ingin lagi berkongsi.

Tangisannya semakin menjadi. Dia sudah tidak mampu lagi bertahan. Rasanya ini tangisannya yang pertama sejak sekian lama. Ketika pertama kali dia dapat tahu tentang kecurangan lelaki itu pun dia langsung tidak menangis walau sedikitpun. Tetapi kali ini dia sudah tak tahu mengapa dia menangis. Hatinya lemah. Mungkin hatinya sudah bukan lagi batu seperti dulu. Atau mungkin batu di hatinya telah semakin terhakis dek kerana hatinya yang selalu dilukai tanpa henti.

Dan pagi itu dia menangis dalam pelukan suaminya. Menangis sepuasnya sehingga dia letih. Sehingga dia terlena. Dan lelaki itu hanya memeluknya tanpa suara dan tanpa berkata apa-apa lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience