Kringg!! Loceng sudah berbunyi menandakan sudah pukul 6 pagi. Tetapi Aisya masih menyelubungi dirinya dengan selimut di atas katil. Aisya masih tidak menyedarkan dirinya daripada tidur yang lena. Tidur matilah katakan. Memang inilah tabiatnya. Tidur berlebihan.
Alisya yang sudah bangun kerana bunyi jam loceng yang bising mengambil jam loceng Aisya yang berada di sisi katil Aisya. Kemudian, dia mendekatkan jam loceng itu supaya didengari oleh Aisya. Namun, Aisya masih tidak menyedarkan diri. Alisya mengalah kemudian menekan jam loceng kerana Aisya yang masih tidak bangun walaupun jam loceng yang berbunyi diletakkan dekat dengannya.
"Aisya...Bangun. Dah masuk waktu solat Subuh dah ni. Awak uzur ke?" kejut Alisya sambil menguap. Dia masih dalam keadaan mamai kerana mereka tidur lewat malam sebelumnya. Ini semua disebabkan senior mereka yang menahan mereka daripada pulang awal. Sudah seminggu mereka menghaduri sesi suai kenal dan akhirnya tamat juga. Hari ini semua mahasiswa dan mahasiswi mula belajar dalam bidang masing-masing.
"Ermm..." jawab Aisya dalam tidurnya. Aisya masih mengeliat di atas katil. Akhirnya, Alisya mengalah kerana dia sudah dapat meneka bahawa Aisya tidak akan bangun juga daripada tidurnya. Dia pun mencapai tuala dan baldu kecil yang dipenuhi peralatan mandian kemudian menuju ke bilik air.
Setelah siap membersihkan diri, Alisya kembali ke bilik. Dia hanya menggelengkan kepalanya dan beristighfar. "Astaghfirullahalazim... Ingatkan dia dah bangun. Aisya bangun. Bukan ke kau kata kau ada kelas pukul 8 hari ni?" kejut Alisya. Alisya dan Aisya sudah mula membiasakan diri dengan memanggil sesama mereka dengan perkataan 'kau' dan 'aku'. Melihatkan Aisya yang tidur tidak berkutik, Alisya duduk di birai katil Aisya sambil mengejut Aisya lagi.
"Aisya! Bangun. Sudah pukul 6.30 pagi dah. Kau uzur ke?" kejut Alisya. Geramnya hati apabila Aisya hanya mengubah posisi tidurnya kemudian menyambung semula tidurnya. Alisya mengalah. Dia hanya membiarkan Aisya. Dia membentangkan sejadah dan menyarungkan telekung ke tubuhnya kemudian mula mengangkat takbir. Usai solat, dia mengejutkan Aisya lagi. Namun, Aisya masih tidak bangun.
Disebabkan masa kelas Alisya bermula pada pukul 7.30 pagi, dia tidak punya masa untuk berlengah lagi. Alisya menyiapkan diri lalu hanya meninggalkan Aisya yang masih tidur. Dia berasa serba salah juga kerana hanya membiarkan Aisya tetapi dia juga sudah sedikit lewat untuk ke kelas gara-gara mengejutkan Aisya yang tidak mahu bangun.
Share this novel