Fikiran Asyraf sudah menerawang entah ke mana. Dia sedang memikirkan sama ada perlu meneruskan cita-citanya atau menguruskan sahaja syarikat milik Puan Laila. Setelah membuat keputusan, Asyraf bangkit dari pembaringannya di atas katil kemudian keluar dari biliknya dan mencari Puan Laila. Kelihatan Puan Laila sedang duduk di ruang meja makan sambil termenung. Mungkin sedang memikirkan masalah yang ditanggungnya.
Asyraf menuju ke arah Puan Laila lalu duduk di atas kerusi berhadapan Puan Laila. "Mama..." panggilnya lembut. Dia cuba untuk memujuk mamanya. Puan Laila tersentak dengan kehadiran anaknya itu tetapi tetap menghadiahkan senyuman buat anaknya. "Mama...betul ke Asyraf ni bukan anak kandung ayah?" tanya Asyraf inginkan kepastian. Puan Laila menghela nafas berat.
"Sebenarnya, Asyraf. Kamu anak kandung ayah. Ini mama tak tipu. Memang benar kamu anak kandung ayah. Sebenarnya, ini semua terjadi kerana perbuatan mama." cerita Puan Laila sambil menangis dalam sedu-sedan. Dia tidak mahu menceritakan kisah silamnya tetapi anaknya itu perlu tahu perkara sebenar yang telah berlaku. "Mama...mama..." suaranya tersekat di situ kerana tangisannya. "Kalau mama tak mahu cerita tak mengapa." ujar Asyraf lembut.
"Kamu perlu tahu, Asyraf. Kamu perlu tahu. Sebenarnya mama yang perangkap ayah kamu. Dahulu, ayah kamu tak pernah cintakan mama. Mama terlalu pentingkan diri. Mama sudah lama cintakan ayah kamu tapi ayah kamu tak endahkan mama. Mama...mama...pun telah merancang sesuatu untuk perangkap ayah kamu agar berkahwin dengan mama. Mama telah... mama...telah...menggoda ayah kamu...sehingga kami ditangkap basah." cerita Puan Laila sambil menangis teresak-esak. Dia tidak mampu meneruskan tetapi dia ingin Asyraf tahu.
"Ayah kamu tidak mahu berkahwin dengan mama kerana ayah kamu sudah ada kekasih. Kamu pernah berjumpa dengan kekasihnya ketika kami bergaduh bukan? Itulah perempuan yang mama benci dahulu kerana merampas ayah kamu daripada mama. Tak lama selepas itu, mama disahkan mengandung. Mama paksa ayah kamu bertanggungjawab dan mengugut ayah kamu jika tidak...kekasihnya akan mati di tangan mama. Kamu tahu bukan? Mama ni seorang yang akan buat apa sahaja untuk mendapatkan sesuatu. Kemudian, kami berkahwin tetapi tidak bahagia. Selepas kelahiran kamu, ayah kamu mula melayan mama dengan baik. Dan kini, mama baru tahu atas sebab apa ayah kamu berbaik dengan mama." cerita Puan Laila.
"Ayah kamu hanya mahu merampas harta mama dan mahu mama hidup terseksa seperti mana ayah kamu terseksa dahulu." ujar Puan Laila lagi. "Ayah kejam! Ayah tak patut buat mama begini. Walau seburuk mana pun mama, ayah patut menjaga kita dan terima kita." tegas Asyraf. Dia tidak menyangka bahawa ayahnya merupakan seorang yang tidak dapat menerima kenyataan dan masih berpegang pada masa silam. "Mama minta maaf, Ashraf. Mama dah buat kamu terseksa." rayu Puan Laila.
Asyraf yang melihatkan keadaan Puan Laila hanya mendiamkan dirinya. Dia menggenggam tangan Puan Laila erat. "Jangan bimbang, mama. Asyraf akan ambil jurusan business untuk uruskan syarikat mama." putus Asyraf. Dia sanggup menguburkan cita-citanya untuk Puan Laila. Puan Laila yang mendengarnya terkejut. "Tak! Kamu teruskan sahaja cita-cita kamu itu. Mama tak mahu hanya kerana masalah mama kamu yang terbabit sama." ujar Puan Lails. "Habis siapa yang nak jaga syarikat mama?" tanya Asyraf.
"Mama akan jaga syarikat itu selagi mama masih hidup." ujar Puan Laila. "Mama mampu ke selepas apa yang telah terjadi." soal Asyraf inginkan kepastian. "Apa kata kamu capai cita-cita kamu itu? Kemudian, kamu buat kerja sambil belajar dalam jurusan business. Sekurang-kurangnya kamu dapat mencapai cita-cita kamu." cadang Puan Laila. Asyraf mengeluh, tidak tahu berbuat apa-apa. Kemudian, dia telah membuat keputusan muktamad. "Baik, mama." ujar Asyraf lembut sambil mengukir senyuman pahit.
Share this novel