Baru semalam aku dan Erduardo meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ke dua puluh lima tahun dengan begitu meriah dengan kehadiran menantu dan bakal menantuku yang menghidupkan suasana sambutan tersebut yang aku dan Erduardo raikan pada setiap tahun.
Tidakku menyedari masa terlalu pantas berlari meninggalkanku. Pejam celik, anak-anakku sudah kian membesar dan sudah membina keluarganya sendiri. Alex bakal menjadi bapa awal tahun hadapan. Bella pula akan mendirikan rumah tangga bersama Eezar hujung tahun ini. Carlisle pula sibuk dengan pengajiannya yang berhujung tahun hadapan. Carlisle bakal menjadi seorang doktor pakar jantung dan anak bongsuku, Camiela tumbuh sebagai seorang gadis yang cantik mewarisi kejelitaan semulajadiku dan dia sudah berjinak-jinak dalam bidang peragaan dan sekaligus menjadi model rasmi perusahaan bapanya sendiri bersama kakak tirinya, Bella. Dan sekarang ini Alex yang meneruskan legasi syarikat automobil yang diusahakan secara turun-temurun sejak dari mendiang datukku dulu.
"Ma...apa yang Mama menungkan tu?" soal Angelina, isteri kepada Alex.
"Sini..Angel, duduk sini...kamu ni tak tahu betul nak duduk diam, tak padan dengan perut besar tu..jangan aktif sangat, nanti terberanak awal pulak" tegah aku pada menantu sulungku ini.
"Mama ni, takut sangatlah..Angel tahulah nak jaga diri. Doktor dah pesan, Angel kena banyak bergerak kalau nak mudahkan proses bersalin nanti, Ma dah siap ke semuanya untuk wedding Bella?" soal Angelina sambil melabuhkan punggungnya di sebelahku.
Aku tolong pegangkan lengan menantuku ini, disebabkan perutnya agak besar, memandangkan sudah lapan bulan usia kandungannya ini.
"Dah, semua dah siap, cuma tunggu hari je..jangan kamu beranak awal sudah, sebab tu Mama risau tengok kamu tak duduk diam. Jaga elok-elok kandungan tu, dalam ni cucu sulung Mama tau" kataku sambil tangan naik mengelus perut Angelina yang membusung.
"Mama bukan satu je dalam ni, ada dua..tu yang besar semacam. Nasib masih kekal cergas...Alex je yang lembik dibuatnya, kesian pulak Angel tengokkan husband Angel tu.." adunya padaku.
"Samalah macam Papa Ed, masa Mama pregnantkan Alex dan Bella dulu, sekarang giliran Alex pula yang merasa.." ceritaku pada Angelina yang sudah mengambil sepotong buah epal hijau di dalam piring kaca itu. Ralit aku melihat dia mengunyah buah tersebut yang aku rasakan sedikit masam.
Dikunyahnya perlahan-lahan sebelum menelannya. Aku hanya memerhatikan, memang aku suka sangat lihat Angelina ketika makan, sebab mulutnya yang kecil itu kelihatan sangat comel semasa dia mengunyah makanannya.
Kami tertawa mengenangkan keadaan suami kami sewaktu sarat mengandungkan anak-anak sulung kami. Kata orang, jika suami yang terkena alahan yang teruk ketika isteri mereka sedang berbadan dua, si suami sangat sayang pada isterinya. Yelah kot, sebab aku dah pernah merasakannya sendiri. Erduardo menyantunku dengan baik dan segala kemahuanku diturutinya walaupun dirinya sendiri sudah tiada dayanya. Begitu juga dengan Alex, dia sangat bimbangkan keadaan Angelina yang semakin sarat dan tidak pernah aku dengar Alex menyakiti isterinya ini. Dia sangat bertimbang rasa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua keluarga mahligai yang dibinanya dengan sebaik mungkin. Sama seperti Erduardo, ayah tirinya ini.
Masa yang ditunggu-tunggu tiba jua akhirnya. Seawal enam pagi Bella sudah bangun dari tidurnya. Hari bahagianya bakal tiba sebentar sahaja lagi. Dia sudah tampil penuh bergaya dan sangat jelita di dalam persalinan gaun pengantin serba putih potongan ala princess yang terbuka di bahagian dadanya yang lebar, sesuai dengan latar pekerjaannya sebagai seorang supermodel.
Tiara dari butiran batu Swavorski dari keluaran Dolce &Gabbana terletak indah menghiasi atas kepalanya menambahkan lagi seri pengantin anak dara sulungku ini. Rambutnya yang lurus dan panjang sudah didandan cantik berbentuk ala-ala bunga ros, dan dibiarkan berjuraian sedikit di bahagian depan menutup dahinya yang luas. Setelah hampir dua jam menata rias dirinya dengan sentuhan juruandaman profesional yang hanya menata rias kebanyakan artis popular ini, Bella kelihatan seperti bidadari yang baru turun dari kayangan. Kini, kami bersiap-siap untuk ke gereja yang berhampiran dengan kediaman kami bagi menyempurnakan majlis perkahwinan anak perempuan sulungku ini. Bella dibawa menaiki sebuah limosin yang sudah dihiasi dengan jambangan mawar putih segar.
Bella dipimpin oleh tangan kekar Erduardo ketika memasuki perkarangan gereja yang sudah dipenuhi oleh para tetamu yang meraikan hari penuh gemilang milik anak daraku ini. Dengan diiringi muzik tema perkahwinan, Bella melangkah perlahan-lahan menuju ke altar dan di sana Eezar, bakal suaminya berdiri megah sedang menunggu ketibaan sang bidadarinya. Mataku tertumpu pada Bella dan Erduardo saat ini, jadi teringat aku pada mendiang Alejandro apabila terpandang sosok tubuh seorang jejaka tinggi lampai yang berdiri di belakang Erduardo. Ya, Dr Orlando ada di situ turut serta meraikan hari bersejarah anak buahnya ini.
Tiba masanya Erduardo menyerahkan Bella di tangan kekar milik Eezar yang sudah dihulurkannya terlebih dahulu. Eezar tersenyum manis saat matanya melirik sang bidadari pujaan hatinya ini. Penuh senyumannya dan matanya tajam memanah sepasang mata bundar milik Bella. Tidak berkelip walaupun sesaat. Terpegun dengan kecantikan milik bakal isterinya pada hari bersejarah mereka. Eezar juga tidak kurang hebatnya, dia kelihatan begitu segak dan tampan dengan mengenakan sepasang tuxedo berwarna putih di sosok tubuh badannya bak atlet itu, sedondon dengan gaun pengantin yang sarat dengan taburan batu Swavorski di bahagian pinggang yang membaluti tubuh ramping tinggi lampai milik Bella.
Upacara dimulakan apabila seorang paderi yang bertanggung jawab mempengerusikan majlis menyuruh mereka berikrar sumpah setia dan bertukar-tukaran sebentuk cincin yang disarungkan ke jari manis pasangan sebagai satu simbolik kesahihan mereka sebagai sepasang suami dan isteri. Penyatuan mereka berdua sempurna apabila ulas bibir mereka menyatu. Kelihatan Eezar malu-malu untuk melakukannya, namun tidak pula pada anak daraku ini, seperti dia yang kelihatan tidak menyabar untuk merasakan kemanisan ulas bibir nipis kemerah-merahan milik jejaka itu, yang sekarang sudah rasmi menjadi hak mutlaknya.
Aku yang paling bahagia, sehingga tanpa sedar aku sudah mengalirkan air mata. Makin lama kian laju air jernih ini membasahi pipiku. Aku seka pantas dengan jejemariku tidak mahu sesiapa yang menyedarinya. Tangisanku mula merembes kembali saat Bella dibawa pergi oleh Eezar dengan menaiki sebuah kereta mewah milik menantuku ini. Dan dalam senduku, Erduardo puas memujuk. Dielusnya belakang tubuhku dengan lembut. Masih lagi terasa kehangatan pelukan Bella yang kudakap penuh kasih sebentar tadi. Belum sempat lagi air mataku ini kering, kami dikejutkan dengan kekecohan teriakkan Angelina yang kesakitan ingin melahirkan. Alex kelihatan sudah tidak tentu arah melihat keadaan isterinya itu. Segera Erduardo mendapatkan mereka berdua di hujung sana.
"Ma...tolong Ma...sakit! Alex cepat tolong hantarkan I ke hospital, I dah tak tahan lagi ni..dah tiba masanya..." Angelina mengerang kesakitan.
"Sabar sikit Honey... keep breathing, sebentar Daddy Ed tengah ambilkan kereta.." ujar Alex yang tengah memujuk isterinya itu.
"Ma... make it fast Ma, I dah tak boleh tahan dah ni..sa..kitttt!!!!!" Angelina mengerang lagi. Kali ini lebih nyaring dari tadi.
Alex segera mencempung tubuh isterinya setelah melihat kemunculan limosin di perkarangan gereja ini. Dress labuh paras lutut yang dipakai oleh Angelina sudah lencun dek air ketubannya yang tiba-tiba pecah sewaktu tubuhnya di dalam dukungan Alex. Mujur majlis sudah berakhir dengan lancarnya. Angelina terus dikejarkan ke hospital yang berhampiran dan dengan bantuan Dr Orlando, Angelina dapat ditenangkan keadaannya yang sudah tidak dapat ditangani itu. Angelina bukan sahaja tumpah air ketuban tetapi ada juga berlaku sedikit pendarahan dan oleh sebab itu, dia sudah tidak tertahan lagi untuk menanggung kesakitan yang dialaminya itu. Sekejap dia menjerit, sekejap dia mencengkam lengan Alex dengan kuat sehingga luka berdarah lengan putih anak lelakiku ini dikerjakan oleh isterinya itu.
"Bertenang Honey, semuanya baik-baik je..kejap lagi kita sampai di hospital" pujuk Alex lembut sambil mengelus kepala isterinya yang sudah basah dengan limpahan keringatnya.
"No...I dah tak tahan sangat ni...baby macam dah nak keluar..." kata Angelina tersekat-sekat menahan keperitannya. Sudah tidak tentu arah dia di dalam ribaan Alex.
"What?! Honey jangan main-main... Ma, kita nak buat macam mana ni Ma???" soal Alex cemas.
"Dah... sampai dah, cepat panggilkan nurse..bawa isteri kamu ni dapatkan rawatan segera..." arahku dengan tegas.
* * *
Lima belas jam menunggu di luar bilik dewan bersalin, akhirnya Angelina selamat melahirkan sepasang anak kembar lelaki, merupakan cucu sulung keturunan Rulli. Angelina melahirkan mereka secara normal dan keadaan Angelina yang sangat lemah memerlukan dirinya dimasukkan semula darah sebanyak dua beg sebagai menggantikan darahnya yang telah hilang semasa proses melahirkan anak kembarnya itu.
Dia mengalami tumpah darah sebaik sahaja pasangan kembar yang selamat dilahirkan dengan seberat dua perpuluhan tujuh kilogram untuk kelahiran bayi yang pertama dan hanya berselang tiga saat bayi kedua mereka dilahirkan dengan berat mencecah hampir tiga kilogram. Bayi-bayi itu kelihatan sangat comel, aktif, sihat dan sempurna sifatnya. Kini, aku sudah bergelar seorang nenek manakala Erduardo pula menjadi datuk dengan lahirnya anak kembar sulung Alexander Rulli bersama isterinya, Angelina Herderson merupakan menantu perempuan sulungku.
* * *
Tiga tahun kemudian....,
Nyanyian lagu 'Happy Bithday' daripada para tetamu cilik mengamatkan suasana malam itu. Rata-ratanya adalah anak dari kenalan Alexander dan Angelina yang dijemput untuk memeriahkan suasana sambutan hari lahir cucu-cucu sulungku ini, Alexandro dan Alexis. Pada tahun ini, genaplah usia mereka dua tahun dan usiaku juga makin bertambah. Aku bersyukur masih diberikan kesempatan untuk bergurau senda dengan cucu-cucuku di usiaku yang semakin senja. Bertemankan Erduardo di sisi, aku merasa sangat bahagia. Andai maut menjemputku tatkala ini, aku juga sudah cukup bersedia.
Tiada apa yang hendak kuinginkan lagi, selain melihat kesemua anakku mengecapi kebahagian mereka. Setelah mengharungi pelbagai pancaroba kehidupan yang terkait dengan dunia jenayah yang penuh kelam, akhirnya aku menemui sinar di lorong-lorong kehidupanku yang masih bersisa. Meniti masa tua bersama dengan insan kesayangan ku, itu merupakan anugerah yang paling indah dari Tuhan.
Namun, langit tidak selalunya cerah...aku terpaksa menempuhi semula ranjau kehidupan yang penuh berliku tatkala kedatangan Bella pada malam itu merungkai sebuah cerita yang selama ini menjadi rahsia yang disembunyikan oleh Bella daripada pengetahuan kami semua.
"Bella...lamanya Mama tak jumpa anak Mama ni..sibuk sangat ke Sayang, mana suami kamu, Eezar?" soalku yang hanya kelihatan Bella yang muncul seorang diri di sini.
"Aucchhh... Ma, jangan peluk kuat sangat Ma, Bella sakit!" adu Bella dengan suara yang lemah.
"Kita ke dalam Sayang..kat sini ramai orang, tak sesuai nak cerita kat sini. Abang, tolong layan tetamu kejap..Sayang ada hal nak bincang dengan Bella" aku mengundur diri, besar langkahku meninggalkan beberapa orang tetamu yang masih menjamah makanan.
Bella aku bawa ke bilik bacaan. Di situ segalanya diluahkan oleh anak perempuanku ini tentang keadaannya selama tiga tahun menjalani kehidupan berumah tangga bersama Eezar, jejaka pilihan hatinya itu. Bella sudah melabuhkan punggungnya di sofa kulit berbentuk L itu, dan aku mengambil tempat di sebelahnya. Bella perlahan-lahan membuka kaca mata hitamnya dan sekaligus membuatkan aku terus tergamam. Lidahku kelu seribu bahasa, cuma amarah yang sudah meluap-luap membakar diri ini. Tidak perlukan penjelasan secara terperinci aku sudah dapat mengagak apa yang sebenarnya yang terjadi. Patutlah sejak kebelakangan ini, aku kerap mimpikan Bella sewaktu lenaku. Berharian tidurku tiada lenanya lagi.
"Kenapa dah teruk macam ni baru nak bagitahu Bella..." jerkahku pada Bella, terangkat kedua belah bahunya akibat terkejut dengan suaraku yang berubah nada. Nampak sangat anakku ini dalam ketakutan.
"Maafkan Mama, Sayang.. Mama marah sangat ni, kecewa betul Mama dengan Eezar, ingatkan malaikat tapi syaitan!" luahku dengan merengus kasar. Nafas berat aku lepaskan. Bella masih berdiam diri, namun aku paksa dia bercerita. Aku harus tahu kesahihannya.
Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hati anakku ini. Air mata setia menemani dirinya sepanjang dia meluahkan kisah rumah tangga yang penuh ranjau dan berliku. Bella hanya mengecapi kebahagiaannya selama tahun pertama dia bergelar isteri kepada Eezar. Eezar mula berubah laku ketika Bella disahkan berbadan dua. Eezar tidak mahu mengakui bahawa anak yang dikandung Bella adalah dari benihnya sendiri dan dia bertindak ganas pada Bella sewaktu usia kandungannya mencapai usia tiga bulan. Oleh sebab kekasaran Eezar terhadap dirinya itu, Bella bukan sahaja mengalami keguguran malah peluangnya untuk bergelar ibu agak sukar di masa akan datang.
"Oh God! Sampai macam tu sekali keadaan kamu. Apalah yang merasuk si Eezar ni, kalah syaitan perangainya, nampak macam orang baik-baik!"
"Eezar baik Ma, cuma dia terlalu cemburu! Dia terlalu obses ingin memiliki Bella sepenuhnya.. berhari dia kurung Bella di rumah. Eezar tu hanya perlukan rawatan Ma...kita tolong dia ya, Ma.."
"Tolong apa tu...siapa yang nak ditolong?" sapa Erduardo yang kebetulan melalui pintu bilik bacaan ini.
Erduardo melangkahkan kaki masuk ke dalam bilik ini. Langkahnya semakin laju apabila terpandang wajah lebam anak tirinya ini. Terus jejemarinya membelek setiap inci tubuh Bella yang sedang duduk di sebelahku. Wajahnya kembali menunduk, tidak berani untuk bertentang mata dengan mata helang ayah tirinya ini.
"Bella, tell me... kerja siap ni..?" jerkah Erduardo. Dada bidangnya sudah berombak ganas.
"Dad, sabar...ni terjadi hanya salah faham, Eezar tak bersalah dia perlukan rawatan Daddy Ed.."
"Dah, jangan nak bela sangat laki dayus kau tu dasar bajingan, dia memang tak kenal lagi siapa aku ni..!" marah Erduardo.
"Abang, sudah! Jangan nak mulakannya lagi, ingat janji Abang pada Sayang, pada anak-anak kita!"
Aku dah separuh menjerit pabila Erduardo dah mencapai sebilah pedang yang tersangkut di dinding bilik ini. Pedang lamanya dulu, sewaktu dia bergelar seorang pembunuh upahan.
"Daddy Ed nak buat apa dengan pedang tu, kalau daddy tetap dengan pendirian daddy, jangan menyesal jika Bella menjadi mayatnya terlebih dahulu..." ujar Bella dengan penuh ketegasan.
Bella bertindak lebih pantas daripada Erduardo. Sarung pedang itu sudah ditarik keluar oleh tangan kurus Bella. Aku yang menyaksikan hanya mampu tergamam. Tindakan Erduardo yang begitu pantas itu membuatkan Bella sudah tercampak di atas sofa kulit ini kembali. Mujur tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh dua beranak itu. Hampir pitam aku dibuatnya mereka.
"Baiklah, Daddy Ed bagi satu lagi peluang pada Eezar untuk tebus segala kesalahannya, jika dia sia-siakan peluang kedua ni, jangan salahkan daddy kalau nyawanya melayang di tangan daddy sendiri. Ingat itu baik-baik!" Erduardo memberikan peringatan, sempat dia memeluk tubuh Bella yang sudah semakin susut dan aku dapat lihat ada air matanya yang bersisa di tubir mata lelaki yang semakin dimamah usia ini. Dakapannya beralih pula padaku.
Sebuah ciuman ringkas dihadiahkan di puncak kepala kami berdua sebelum sepasang kakinya melangkah laju keluar dari bilik ini.
Aku dan Bella sambung cerita, banyak yang diluahkan Bella setelah dia memperolehi sedikit kekuatan yang disalurkan oleh ayah tirinya tadi. Aku juga menasihatinya bahawa dia tidak keseorangan untuk menempuh rintangan hidupnya ini. Kami semua ada untuk memberikan dukungan dan sokongab pada bila-bila masa yang dia perlukan. Tentang permasalahan Eezar aku akan bincangkan semula dengan Erduardo nanti.
Bella memaklumkan padaku bahawa Eezar telah mengurungkan dirinya di dalam stor kediamannya bagi mengelakkan dirinya bertindak luar batasan pada isterinya ini lagi. Keadaan yang tidak terurus itu membuatkan Bella menjejakkan kaki di sini untuk mendapatkan bantuan.
"Ma, kita pergi sekarang ya, Ma... Bella bimbang jika Eezar bertindak luar jangkaan kita semua. Kebelakangan ni, Eezar sering cederakan dirinya sendiri, dengan itu.. dia menebus segala kesalahannya pada Bella, Ma.." terang Bella satu per satu. Aku dah terpempan dan segera aku dapatkan Erduardo semula.
"Abang...kita dah takde masa..Alex ikut sekali dengan kami.. kita ke rumah Bella sekarang..!"
Erduardo terus menghidupkan enjin kereta mewah berwarna merah dan mengaum enjin kereta jenis sport itu membelah kesunyian jalan raya pada lewat malam itu. Hampir sejam perjalanan diambil, kami selamat tiba di kediaman banglo mewah milik Eezar ini dengan menaiki dua buah kereta. Keadaan sekeliling yang gelap sudah terang-benderang apabila jari telunjuk runcing Bella menyentuh satu butang. Kedatangan kami disambut oleh seekor anak kucing parsi berbulu oren milik Bella. Bising haiwan peliharaannya itu seperti ingin memberitahu sesuatu yang terjadi.
"Hey! Oyen ...kenapa bising sangat ni..?" soal Bella sambil membelai kepala milik Oyen yang berbulu lebat. Pegangan Bella terlepas pabila Oyen meronta-ronta ingin dilepaskan. Sebaik sahaja terlepas, anak kucing itu terus berlari ke sebuah bilik di penjuru kiri kediaman ini. Langkah Bella terhenti sebaik sahaja kakinya melangkah di situ. Terus terpasung kakinya di situ. Aku, Erduardo dan Alex yang mengikuti langkah Bella dari belakang juga terhenti. Wajah masing-masing sudah berubah pucat.
"Bella...!!!!"
Assalamualaikum dan hai semua.. Done update bab seterusnya.. maaf kerana terlalu mengambil masa yg pnjg utk update bab baru.. berikutan terpaksa berebut phone dengan ank.. Diharap masih sabar menanti.. Enjoy reading semua..
Share this novel