Suasana rumah di hujung kampung itu riuh dengan kehadiran saudara terdekat tuan rumah. Raissa yang baru tiba dengan ibunya duduk di atas sofa di ruang tamu sambil membaca nota di telefon.
Ibu kepada pengantin lelaki itu sahabat baik ibunya, jadi awal lagi mereka datang untuk sama-sama mengapit pengantin lelaki untuk ke masjid besar nanti dan juga membantu apa yang patut. Gadis berusia 20 tahun itu tidak sedikitpun terganggu dengan orang sekelilingnya yang sibuk membuat persiapan.
"Raissa, tolong mama potongkan kain ni kejap." Mendengarkan panggilan puan Ainun, Raissa menutup telefon dan menghampiri ibunya. Kain berwarna putih itu digunting mengikut garisan yang telah ditandakan sementara puan Ainun menyiapkan gubahan yang belum lengkap.
"Pelamin dah siap ke Yam?" Puan Ainun bertanya apabila melihat sahabatnya yang baru turun dari tingkat atas. Puan Maryam terus merapati puan Ainun.
"Sudah, cuma dua gubahan ni je aku tak sempat nak siapkan semalam. Nasib baiklah kau datang Nun." Raissa menyiapkan guntingan kain dan dihulurkan kepada ibunya.
"Raissa sorang saja ikut? Adik mana?" Perhatian puan Maryam beralih kepada Raissa.
"Adik ada kelas, acik. Kelmarin dia dah balik kolej." Puan Maryam hanya mengangguk faham.
"Nisrin, abang kamu mana? Kejap lagi kita nak gerak ni." Encik Harun muncul di pintu utama rumah. Nisrin yang sibuk membetulkan tudungnya di hadapan cermin besar menjuih bibir ke tingkat atas.
"Abang naik tadi abah. Tertinggal songkok."
Tidak lama kemudian, pengantin lelaki turun dengan baju Melayu putih lengkap dengan kain samping. Songkok hitam tersarung kemas di kepala. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Raisa memandang ke arah lain apabila pandangan lelaki itu beralih ke arah mereka.
"Dah siap dah semua? Tak ada barang tertinggal lagi?" Encik Harun memastikan untuk kali terakhir.
"Dah tak ada apa-apa lagi abah. Boleh gerak dah ni." Setelah itu, dulang berisi hantaran yang sebanyak sembilan dulang diangkat oleh mereka yang ada di ruang tamu Sebanyak sembilan buah kereta mengiringi kereta pengantin lelaki untuk ke masjid. Masing-masing merupakan kereta saudara dan sahabat terdekat.
Faqih melepaskan keluhan perlahan. Dari semalam dia rasa bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Mesej yang dihantar dari semalam belum dibuka oleh bakal isterinya. Namun dia cuba untuk berfikiran positif. Mungkin juga orang di sana sedang sibuk dengan persiapan.
Tok Kadi yang baru tiba disambut dengan ramah. Sambil menunggu pengantin perempuan tiba, mereka menyusun kedudukan. Raissa duduk di satu sudut masjid dan membaca nota di telefon. Sesekali bibirnya terkumat-kamit membaca nota agar senang untuk diingati.
Faqih meminta diri untuk keluar sebentar dari masjid. Senyumannya sudah pudar seakan ada sesuatu yang tidak kena. Lama talian di sebelah berdering namun masih juga tiada sambutan. Akhirnya dia memutuskan untuk menelefon ayah kepada pengantin perempuan.
"Assalamualaikum." Lega sedikit rasanya apabila panggilan bersambut. Sunyi seketika di talian sebelah. Faqih menanti dengan sabar.
"Waalaikumussalam, Faqih." Kedengaran nada suara ibu kepada pengantin perempuan yang sedikit bergetar.
"Yana mana, makcik?" Akhirnya Faqih bertanya juga. Sesekali dia memandang ke arah ahli keluarganya di dalam masjid. Tidak tenang dia dibuatnya.
"Mak cik tak boleh nak kata apa dah Faqih. Mak cik nak minta maaf sangat-sangat. Yana dah lari dari rumah." Setelah itu, wanita itu teresak. Faqih terdiam, terduduk dia di atas anak tangga. Talian terus saja dimatikan.
Walaupun dia sudah dapat mengagak akan hal tersebut, masih berat untuk dia menerima kenyataan itu. Wajah gadis manis itu terbayang di fikiran. Dari awal lagi gadis itu menolak untuk berkahwin dengannya, namun tidak dia pedulikan. Mungkin itu sudah balasan atas kedegilan seorang Faqih Iskandar.
Raissa mengangkat wajah setelah menghabiskan bacaan nota muka surat terakhir. Setelah itu pandangan dihalakan ke sekeliling. Pengantin lelaki mahupun perempuan tidak kelihatan di mana-mana. Puan Ainun dilihat duduk di sisi puan Maryam bersebelahan dengan Tok Kadi.
"Kak Raissa bila balik sana?" Nisrin yang duduk di sebelahnya bertanya ramah. Dari tadi sebenarnya dia hendak menegur Raissa, namun melihatkan gadis itu yang khusyuk membaca nota dia hanya mampu memerhati.
"Ahad ni, minggu depan akak dah nak final." Raissa mengalihkan perhatian kepada Nisrin. Senyuman nipis diukir buat gadis yang muda 6 tahun daripanya itu. Setelah itu mereka berbual mengenai hal-hal lain.
Perbualan mereka terhenti apabila Faqih masuk ke dalam masjid dengan wajah yang kelam. Songkok sudah ditanggalkan dari kepala. Perlahan-lahan dia menghampiri puan Maryam dan membawanya ke satu sudut masjid.
Setelah mereka agak jauh dari orang lain, barulah Faqih bersuara. Menerangkan apa yang terjadi kepada uminya. Lirih sekali nada suaranya. Puan Maryam yang terkejut dengan berita itu seakan tidak percaya.
"Tapi persiapan semua dah siap. Kenapa tiba-tiba tak jadi?" Faqih meraup wajah kasar. Dia juga tidak pasti jawapan untuk persoalan itu. Encik Harun menghampiri mereka berdua.
"Macamana ni, bang? Pengantin perempuannya tak ada." Encik Harun yang terkejut terus membulat matanya. Mereka kebuntuan untuk beberapa ketika.
"Kamu jangan main-main Faqih." Faqih hanya mampu tunduk memandang kaki. Dia juga tidak mahu mempercayai segalanya. Puan Maryam memandang ke arah ahli keluarga mereka di masjid. Jika untuk menerangkan kepada mereka pasti tiada masalah, namun bagaimana pula dengan tetamu yang sudah dijemput?
Tok kadi juga sudah lama menunggu. Pandangannya terhenti ke arah Raissa yang duduk berbual dengan Nisrin di tepi pintu masjid. Lama dia berfikir sebelum mengalihkan pandangan ke arah Faqih.
"Kita kena teruskan juga majlis ni." Dipandang wajah Faqih penuh pengharapan. Faqih menggelengkan kepalanya. Memang sudah tidak boleh diteruskan lagi, Yana sudah pergi meninggalkannya.
Tanpa menunggu respon daripada Faqih, Puan Maryam berlalu dan menghampiri Puan Ainun. Ditarik tangan wanita itu untuk keluar dari masjid. Sekali lagi perbualan Raissa dan Nisrin terhenti. Masing-masing kebingungan namun mereka kembali kepada perbualan mereka.
"Pengantin perempuan tak jadi nak kahwin." Respon puan Ainun sama seperti responnya sebentar tadi.
"Jadi macamana? Persiapan semua dah siap kan?" Puan Maryam meraup wajahnya perlahan. Direnung lama wajah sahabatnya itu.
"Kita kena teruskan juga majlis ni Ainun." Setelah mendengarkan itu, puan Ainun terus dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh puan Maryam.
"Raissa, ikut mama." Puan Ainun menegur Raissa dari muka pintu. Raissa meminta diri daripada Nisrin dan mengikuti ibunya keluar dari masjid. Tangannya ditarik menuju ke kereta ayahnya. Encik Khalid yang terlelap di tempat duduk pemandu dikejutkan melalui tingkap yang terbuka.
"Abang, ganti tempat kejap." Encik Khalid memisatkan matanya. Penat semalaman berjaga di hospital masih lagi terasa. Dia beralih ke tempat duduk di sebelah pemandu. Raissa pula duduk di tempat duduk belakang. Setelah menghidupkan enjin, puan Ainun terus memecut untuk pulang ke rumah.
"Kenapa ni? Majlis dah habis ke?" Encik Khalid memandang jam di pergelangan tangan kirinya. Bingung dia melihat kegelabahan isterinya.
"Kita ada kecemasan ni bang. Nanti sampai rumah saya bagitahu." Raissa dan Encik Khalid hanya mampu diam. Sampai saja di rumah, puan Ainun terus masuk ke rumah. Baju kurung moden berwarna putih bermanik yang tergantung kemas di almarinya dikeluarkan.
"Raissa tukar baju Raissa cepat." Terus aja diserahkan baju kurung itu kepada Raissa. Berkerut dahi Raissa. Tidak pernah dia melihat pakaian itu. Macam baju pengantin pun ada.
"Yang nak kahwin bukan Raissa, ma." Tenang saja dia menjawab sambil mengulurkan baju itu kembali kepada Puan Ainun. Encik Khalid sudah terlelap di sofa ruang tamu.
"Raissa ikut cakap mama, ya?" Setelah itu Puan Ainun menolak Raissa masuk ke bilik. Mahu tidak mahu, Raissa hanya menuruti arahan ibunya.
Di masjid, puan Maryam menarik Faqih keluar dari masjid. Walau apapun yang terjadi, dia mahukan majlis pada hari itu berjalan dengan lancar.
"Faqih nikah dengan Raissa ya?" Mendengarkan bicara puan Maryam, Faqih yang dari tadi kebuntuan terus mengangkat wajahnya. Terkejut dengan saranan yang tiba-tiba itu.
"Umi jangan main-main." Dia masih lagi bingung bagaimana untuk menjelaskan segalanya, dan bertambah bingung mendengar bicara ibunya. Semudah itukah untuk menukar pengantin perempuan?
"Tolong Faqih, umi merayu pada Faqih." Bersungguh-sungguh puan Maryam meminta. Faqih melepaskan keluhan berat. Mereka saling bertingkah untuk beberapa ketika sehingga akhirnga Faqih terduduk di lantai koridor.
"Raissa terima, Faqih tak perlu risau." Kata-kata puan Maryam membuatkan Faqih sekali lagi mengangkat wajahnya. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru saja diperkatakan oleh uminya.
Membulat mata Raissa mendengarkan bicara puan Ainun. Setelah lengkap berpakaian pengantin, barulah puan Ainun memberitahunya tentang perancangan mamanya itu dengan puan Maryam.
"Mama nak Raissa kahwin dengan abang Faqih?" Membulat besar mata Raissa mendengarkan itu. Encik Khalid terus saja terjaga. Dalam mamai-mamainya dia masih lagi dapat mendengar dengan jelas perbualan anak dan isterinya.
"Kenapa ni Ainun? Awak nak kahwinkan anak kita dengan Faqih? Bukan ke Faqih nak kahwin dengan kekasih dia hari ni?" Segar terus dia dibuatnya.
"Kekasih dia tak nak kahwin bang. Tapi persiapan semua dah siap." Puan Ainun menerangkan. Wajahnya penuh pengharapan. Encik Khalid berfikir sejenak. Raissa dibiarkan masih kebingungan.
Sejam kemudian, mereka tiba ke masjid. Tidak lama untuk puan Ainun meyakinkan Raissa untuk menerima permintaan itu. Beberapa orang ahli keluarga Faqih kebingungan apabila melihat mereka dan ada juga yang tidak begitu terkejut kerana mereka tidak mengenali puan Ainun.
Nisrin yang berbual dengan sepupunya ternganga melihat Raissa yang lengkap berbaju pengantin. Terus saja dia menutup mulutnya. Tidak percaya dengan apa yang dia lihat. Faqih langsung tidak memandang ke arah Raissa yang baru tiba.
"Nampaknya pengantin perempuan dah sampai." Tok kadi pun bersuara setelah Raissa duduk di belakang Faqih. Encik Khalid terus duduk di sebelah tok kadi, tepat di hadapan Faqih.
Dengan sekali lafaz, maka sahlah Raissa binti Khalid sebagai isteri kepada Faqih Iskandar bin Harun. Pasangan yang tidak dijangka itu hanya mampu tersenyum nipis untuk menjaga hati manusia-manusia di sekeliling mereka.
Raissa mengurut pelipisnya perlahan. Tidak sangka dia sempat menjadi tetamu di majlis pernikahannya yang tidak terancang hari itu. Benarlah jodoh itu datang tanpa dijangka. Namun benarkah Faqih Iskandar itu jodoh yang tertulis untuknya?
Share this novel
0