Completed
                        
1407
                    4 April 2020 (WAKTU SEMASA) – Pantai Timur, 10.30pagi, Banglo dua tingkat, Kediaman keluarga Eri Suria
Helaian demi helaikan kertas yang dikepilkan bersama diselak perlahan-lahan. Matanya meneliti setiap satu helaian dokumen tersebut sebelum dia mengangkat wajahnya memandang seorang lelaki lengkap berkot yang sedang duduk dihadapannya. Lelaki itu memandangnya tekun, menanti butir bicara yang bakal dikeluarkannya. Dia meletakkan dokumen yang dipegang sebentar tadi di atas meja kecil di hadapannya dengan keluhan halus. Suria mengelengkan kepalanya perlahan memberikan isyarat yang dia tidak bersetuju. Lelaki dihadapannya mengeluh sedikit. Kecewa barangkali dengan keputusannya.
“Kenapa Suria?”. Soal wanita separuh usia yang duduk di atas sofa sebelah kirinya. Di tepinya ditemani oleh anak lelaki bujangnya yang tidak jauh usia dengannya. Enam tahun jarak usia antara mereka berdua.
Suria memandang wajah wanita itu yang sedang memandangnya dengan riak wajah memohon simpati. Tapi disebalik mukanya itu, dia tahu yang amarah sedang bermaharajalela di dalam hati wanita tua itu. Cuma disorok sebaik mungkin agar tidak kelihatan.
Pandangannya kemudian jatuh ke wajah anak lelaki wanita itu yang masih setia disisi ibunya. Turut memandangnya dengan riak muka jelak dan benci. Suria memandang dua wajah itu bergilir-gilir. Lansung tidak punya hati dengan dua manusia itu.
“Kenapa tak?”. Soal Suria bersahaja. Dia menanti jawapan yang akan diberikan oleh wanita itu merangkap ibu saudaranya, Wan Kamila. Tapi ibu saudaranya tidak menjawab. Mulutnya terkumat kamit tapi tak terluah. Suria kemudian mengalihkan pandangannya kearah anak lelakinya, Ewin. Jelas rahangnya bergerak-gerak menahan amarah yang membuak. Tapi Suria masih bertenang. 
Sejujurnya, hatinya berasa seronok melihat dua manusia itu sedang menahan peritnya amarah.
“Ayah ahli korporat tapi pecah amanah. Ibunya pula menipu dan menyeleweng duit…”. Suria berhenti disitu. Dia berjeda seketika menanti sedikit waktu sebelum kembali menyambung ayatnya. Sengaja dia buat begitu untuk mendera mental dua manusia itu. “Anak pula berbapakan orang lain. Jadi kenapa tidak?”. Soal Suria kembali.
Bibirnya terangkat sedikit dihujung ayatnya. Sinis sekali bunyinya. Saat anak matanya menangkap perubahan riak wajah ibu saudaranya yang terkejut dan bercampur marah dia tersenyum lebar. Wajah ibu saudaranya yang tidak ubah seperti sedang dijerut lehernya membuatkan semakin lebar senyuman Suria.
“Berani kau perempuan!”. Lengan separas bahu dress kuning cair berbunga halus yang dipakai oleh Suria ditarik oleh anak bujang kebanggaan ibu saudaranya. Bahu dan dadanya sedikit terdedah dek kerana ditarik tapi Suria lansung tidak terkesan akan hal itu. Malah anak mata Ewin yang mercerlung menikam anak matanya dibalas bersahaja tanpa riak.
“Cukup!”. Jerit lelaki yang sedari tadi hanya memerhati meleraikan cengkaman tangan Ewin dari memegang baju Suria.
“Cukup!”. Arahnya lagi. Dia menarik lengan Ewin untuk kembali duduk disebelah Wan Kamila tapi Ewin tetap begitu. Tidak mengalah masih mencengkam kuat lengan baju Suria.
“Kau!. Kau tengok perempuan ni!. Kau tak nampak ke dia ni!”. Jerit Wan Kamila sekuat hati. Dia sudah bangun berdiri menghadap Peguam Yusof. Urat-urat hijau dilehernya jelas timbul. Dia sudah hilang sabar dengan sikap Suria.
“Aku bela kau dari kecil. Ini kau bagi dekat aku!. Dasar tak sedar diri. Patut aku bunuh saja kau dulu!. Dasar perempuan jalang!”. Wan Kamila sudah menghamburkan kata-kata kesat kepada anak saudaranya, Suria.
“Sabar Puan. Sabar..”. Rayu Peguam Yusof. Dia bangun berdiri menghadap Wan Kamila. Tangan kanannya diletakkan diatas bahu Wan Kamila sebelum wanita itu menepis kuat. Peguam Yusof menghela nafas berat. Dia mengerling kearah Suria yang masih duduk bersahaja tanpa sebarang riak. Tidak lansung mahu mengalah dalam hal ini.
“Encik Ewin dan Puan Wan Kamila. Sila bertenang. Saya minta Encik Ewin bawa ibu encik keluar dahulu. Kita akan berbincang semula di bilik sebelah”. Sambungnya lagi, cuba menenangkan keadaan. Semua ini tidak akan selesai semudah yang dia sangka.
Ewin merengus kuat. Gengaman baju Suria dilepaskannya kuat. Suria tergelak halus sambil membetulkan kembali bajunya.
“Mari Encik Ewin dan Puan Kamila”. Panggil Peguam Yusof sekali lagi. Dia yang sudah sedia bangun berdiri hendak membawa mereka keluar dari bilik itu.
Akhirnya, Wan Kamila dan anaknya menurut arahan Peguam Yusof. Jelingan tajam ibu saudaranya dan sepupunya Ewin dibalasnya tanpa riak. Susuk tubuh itu kemudian hilang dari pandangan matanya disebalik pintu bilik bersama Peguam Yusof.
Suria menarik nafas dalam. Kedua tangannya yang terasa sejuk digengamnya erat. Dia tidak boleh kalah. Walaupun hatinya bergelora hebat dek kerana perasaan takut. Dia tidak boleh kalah untuk kali ini. Kini dia punya peluang untuk membalas dendam kepada ibu saudaranya dan juga sepupunya. Tak mungkin dia akan sia-sia kan peluang ini. Dia tidak akan jadi bodoh untuk sekian kalinya lagi. 
Untuk membiarkan dua manusia itu untuk terus-terusan memijaknya. Mempergunakannya seolah dia adalah mayat hidup didalam rumah itu. 
“Suria..”. Satu suara garau memanggilnya dari arah belakang. Suria memusingkan badannya kearah belakang menghadap satu susuk tubuh lelaki tinggi lampai yang sedari tadi mematungkan diri di dalam bilik itu. Melihat segalanya dalam diam.
Rekan berjalan menghampiri beberapa tapak kearah Suria yang masih duduk diatas sofa tidak berganjak walaupun dikasari oleh sepupunya sendiri, Ewin.
“Okay?”. Soal Rekan penuh berhati-hati. Dia mahu bertanya lebih dari itu dan jujur dia katakan mahu saja dia kerjakan Ewin sehingga lunyai kerana memperlakukan begitu kepada Suria tapi dia tidak mahu bertindak melampaui batas. Dia harus sedar mengapa dan tujuan dia berada di situ. Yesa menghantarnya kesitu untuk memerhatikan Suria.
Suria mengalihkan pandanganya dari Rekan. Soalan Rekan dibiarkan sepi. Dia menekur lantai. Lama. Dia malu diperlakukan begitu dihadapan Rekan. Maruahnya seperti dipijak.
Malah sikapnya juga yang tidak mahu mengalah itu sudah pasti membuatkan Peguam Yusof sebal dengannya. Membuatkan segala kerja bertambah rumit. Tapi dia tidak mampu mengalah untuk kali ini. Dia sudah masak dengan perangai ibu saudaranya dan juga Ewin. Biarlah kali ini dia yang menjadi antagonis dalam penceritaan mereka.
Share this novel