BAB 29

Action Completed 1407

Rekan membuka pili sinki sebelum menadah air didalam satu mangkuk plastik berbentuk bulat. Setelah air memenuhi separa dari bekas tersebut dia menutup pili air sebelum membawa bekas tadi bersama satu tuala kecil. Bekas air bersama tuala kecil diletakkan atas katil bersebelahan Suria yang sedang baring dengan posisi mengiring. Rekan melabuhkan punggungnya diatas katil bersebelahan Suria.
Dia mencelupkan tuala kecil yang dibawanya tadi kedalam bekas air sebelum memerah keluar air dari tuala itu. Tuala yang lembap itu kemudian diletakkan diatas dahi Suria. Pandangannya jatuh ke wajah Suria yang pucat. Bibirnya yang kering dan merekah dek kerana menahan kesakitan dan tidak cukup rehat. Dia mengusap perlahan wajah Suria. Pandangan matanya redup. Entah sejak bila kelopak matanya bergenang air mata dia tidak sedar. Tiba-tiba saja air mata jatuh dari tubir matanya. Dia mengalihkan pandangannya. Air matanya dikesat. Kalaulah mereka tahu betapa hancur hatinya pada ketika itu. Adakah Yesa akan melepaskannya. Adakah Sarah Jane akan membantunya. Rekan menelan air liurnya yang terasa seperti tersekat di kerongkongnya. Tekaknya terasa perit. Perit dari menahan tangisan. Dia tidak mahu kelihatan lemah dimata Suria mahupun Yesa dan Sarah Jane.

Memikirkan kejadian beberapa hari lepas yang menyebabkan Suria hampir terbunuh membuatkan dia sedar yang mereka berdua tidak akan pernah dapat kebebasan dan kebahagian. Agensi akan sentiasa mencari dan mengejar mereka. Mereka berdua akan sentiasa menjadi pelarian.

Dia tidak pasti siapakah yang menghantar agen agensi lewat beberapa hari lepas kerumah mereka. Tapi dia tahu benar tujuan utama lelaki itu adalah untuk menghapuskannya dan juga Suria. Telahannya mungkin lelaki itu dihantar oleh Thamin kerana Yesa tidak mungkin sebodoh itu untuk menghapuskan mereka berdua begitu saja. Yesa yang dia kenal akan menghantar orang untuk menangkap mereka berdua hidup-hidup dan membawa mereka pulang semula ke agensi. Yesa sudah tentu akan menghakimi mereka berdua mengikut prinsipnya.

Tapi dia juga tidak dapat menyangkal kemungkinan Sarah Jane punya angkara. Wanita itu sudah mempergunakan Suria untuk menghancurkan Thamin. Kemungkinan Sarah Jane mahu menghapuskannya dan juga Suria demi menutup mulut mereka berdua. Rekan mendegus kuat. Setelah Thamin dan Sarah Jane berjanji kepadanya dan Suria. Mereka terlalu naif mempercayai Sarah Jane dan juga Thamin.

Suria membuka kelopak matanya yang terasa berat. Pandangannya jatuh ke wajah Rekan yang sedang termenung jauh. Tangannya digagahkan untuk digerakkan menyentuh pergelangan tangan Rekan. Bibirnya merekah senyuman bila mana Rekan mengalihkan pandangan memandangnya kembali.

Rekan memandang wajah Suria yang sedang tersenyum memandangnya. Dia menundukan kepalanya sedikit mencari kekuatan disebalik senyuman Suria yang masih tidak lekang dari bibirnya. Dia menarik nafas dalam sebelum mengagahkan dirinya untuk mengukir senyuman. Senyuman yang seolah menghiris hatinya.

“Apa kesudahan buat mereka berdua..”. Bisik hati Rekan.

Jian menarik topi yang dipakainya menutupi sebahagian mukanya. Dia berjalan mendekati sebuah rumah bercat putih dengan pintu pagar berwarna hitam. Langkah kakinya terhenti beberapa tapak tidak jauh dari pintu pagar rumah itu. Matanya memandang kedalam ruangan laman rumah itu. Satu susuk tubuh kurus tinggi lampai sedang menyidai baju bersama seorang gadis yang berketinggian sederhana dan memakai tudung. Jantungnya berdegup kencang saat matanya menangkap satu susuk tubuh yang baru melangkah keluar dari pintu utama rumah menuju kearah dua orang rakannya yang masih ralit bersembang.

“Uyaa!”. Tegur Kuna. Jian mendekatkan sedikit jaraknya. Dia mahu melihat wajah yang dirinduinya itu dengan lebih dekat. Kembarnya. Dia mahu bertanya kepada Raisa bagaimana dengan keadaannya. Risaunya bukan kepalang saat dia menerima berita kembarnya itu tercedera ketika projek sulit “Sarah Jane”. Tapi dia terpaksa berpura-pura tidak ambil kisah dihadapan Thamin.

“Takpayah la Uyaa!. Pergi rehat”. Arah Cempaka bila mana Uyaa mula mengambil beberapa helaian baju dari dalam bakul. Uyaa hanya tersengih. Bebelan Kuna juga tidak diendah.

Jian hanya memerhati dalam diam. Hatinya lega melihat senyuman kembarnya. Hanya sedikit masa lagi sebelum dia punya waktu yang sesuai untuk bertemu kembali dengan kembarnya Raisa.

Baru saja dia hendak mengorak langkah pergi bahunya dirempuh dari arah belakang. Jian pantas memusingkan tubuh badannya hendak melihat empunya badan yang melanggarnya. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa lelaki itu sudah pun meletakkan satu fail diatas dadanya. Jian yang tergamam memegang fail tersebut. Dalam kekalutan itu lelaki yang merempuhnya tadi sudah pun berlalu pergi. Fail yang diberikan oleh lelaki tadi kini didalam tangannya. Dahinya berkerut. Fail berwarna coklat cair itu dipandang lama. Anak matanya meliar mencari susuk tubuh yang melanggarnya tadi tapi sudah hilang dari pandangannya. Fail yang diterimanya dipegang kejap. Keningnya bertaut bila mana dia mengeluarkan isi kandungan fail tersebut. Darahnya berderau. “Elis May?”. Bisik Jian perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience