Bab 27

Romance Series 39485

"KALAU Adara tinggal dengan Jebat, siapa yang temankan ayah? Adara tak nak ayah tinggal sendirian. Adara nak duduk dekat sini dan temankan ayah," tegasku.

Renungan tajam Jebat sudah tak lagi aku pedulikan. Tentang ayah, tak akan ada kompromi. Ayah sedang tak sihat dan ayah lebih berharga berbanding diriku sendiri. Aku tak akan tinggalkan ayah. Titik!

"Adara tak tinggal ayah. Kan ada ramai lagi dalam rumah ini yang boleh jaga dan tengok-tengokkan ayah? Akim dan yang lain-lain pun akan tinggal di sini. Ayah tak bersendirian, Adara." Ayah membalas tenang. Memujuk aku yang masih berdegil walau sudah dirunding sedari tadi.

Jebat mahu aku berpindah masuk ke rumahnya secara kekal. Ya, kekal!

Semuanya angkara kejadian dua hari lepas. Kalaulah lelaki itu tak muncul, pastinya perbualan ini tak berlaku sekarang.

"Tapi dia orang dengan Adara lain. Ayah juga kata bila Adara suruh ayah cari isteri kalau ayah sunyi, yang kasih sayang arwah mama tak akan sama dengan perempuan lain. Untuk ayah dan untuk Adara. Samalah dengan anak. Perhatian anak tak akan pernah sama dengan perhatian daripada pekerja. Adara tak peduli. I'm going to stay here. Period!" With T!

Aku terus berpeluk tubuh dan bersilang kaki. Mempamerkan susuk dominan kononnya supaya mereka takut untuk memaksa.

Tapi takut?

Hm, dalam mimpi!

Kata Akim, aku terlalu cantik dan lembut untuk ditakuti.

Benci betul!

"Adara tak nampak ke bahaya yang boleh datang kalau Adara jauh daripada Jebat? Ayah bersetuju dengan cadangan Jebat demi keselamatan Adara. Bila semuanya dah baik, baliklah. Tinggallah di sini sampai bercucu cicit, ayah tak akan halang," balas ayah. Masih cuba memujuk.

Tapi aku tak nak!

"Jebat tak patut keluar ke mana-mana dan tinggalkan Adara kalau dia memang nak menjaga." Dan kalau dia masih rasa yang aku ini isterinya! Asyik kerja saja.

Pergilah kahwin dengan kerja itu!

Mungkin penat nak berperang mulut dengan aku, ayah terus memandang Jebat. Mereka berpandangan lama seolah masing-masing sedang menyampaikan isyarat buat satu sama lain.

"Kalau macam itu, ayah duduk dengan kami. Pindah masuk ke rumah saya." Akhirnya Jebat bersuara juga.

Dan ini cadangan yang bagus!

"Betul itu! Kalau ayah ikut sama, Adara setuju!" Aku menyahut gembira.

Asalkan ada ayah, aku akan setuju.

"Ish, tak naklah. Susahlah nak naik lif hari-hari, penat. Lagipun rumah kamu itu sunyi, Jebat. Di sini ayah ramai kawan dan peneman. Banyak orang."

Hmm, kenapalah aku tak hampa pun dengan jawapan ayah? Mungkin sebab aku sudah menyangka yang dia tak akan bersetuju. Biasalah orang tua. Mana boleh berpisah dengan rumahnya.

"Adara." Namaku dipanggil. Jebat.

Aku memandangnya.

"Aku janji yang setiap tiga hari, aku akan bawa kau balik melawat ayah sekali. Nak bermalam atau nak melawat, aku akan ikut. Ayah akan selamat di sini. Yang mereka nak itu bukan ayah. Lagipun ramai yang ada untuk jaga ayah. Pengawal peribadi kau juga akan tinggal di sini. Hanya kita berdua yang akan berpindah."

"Saya tak percaya awak. Nanti awak pergi kerja dan tinggalkan saya sendirian dalam rumah itu."

"Aku akan bawa kau kalau aku ada kerja."

"Tak percaya juga." Tinggal dalam bilik hotel pun kira tinggal juga. Bluerk!

"Adara..." Ayah mahu bersuara, namun Jebat memotong.

"Kalau kau tinggal di sini, ayah akan lebih berisiko untuk jadi sasaran tak disengajakan mereka."

"Kenapa pula?" soalku, hairan.

"Mereka cuba pecah masuk rumah untuk cari kau. Jadi kalau yang mereka jumpa dulu adalah ayah? Atau ayah cuba untuk tolong kau? Kau rasa dia orang akan tengok dan biarkan saja ayah masuk campur?"

Terus senyap aku dibuatnya. Bila Jebat bercakap tentang itu, barulah aku terfikir juga.

Jadi akhirnya, tetap keputusan Jebat yang menang? Hai...

Mungkin sudah faham yang aku tiada penolakan lagi, ayah terus tersenyum. Kepalaku diusapnya sebelum ayah meminta diri untuk ke dapur. Nak makanlah itu.

Elok saja ayah hilang, Jebat ikut bangun sama.

Oh, belum habis lagi, suami.

Aku segera menangkap tangannya sehingga Jebat menunduk dan memandang aku semula. Keningnya terjongket, hairan agaknya.

"Apa yang jadi hari itu? Dia berjaya pecah masuk ke dalam rumah?" Dari kejadian itu berlaku hinggalah beberapa saat yang lepas, aku tak berpeluang untuk menyoal apa-apa.

Jebat sibuk sangat. Selepas memeriksa aku, dia terus menghilang. Datang lima orang manusia bertubuh kekar persis pengawal keselamatan itu tak lama selepas Jebat pergi.

Salah seorangnya Q dan seorang lagi wanita yang manis dan cantik. Kata Q, wanita itu bernama Dhia.

Mereka datang untuk menghantar tiga lagi pengawal tambahan atas arahan Jebat, sambil menemani aku. Jebat hanya pulang pada lewat malam, atau lebih tepatnya awal pagi?

Oh, jangan risau! Aku juga berpura-pura yang aku tak mengingati Q.

"Tak."

"Jadi?"

"Aku seret dia ke dalam rumah."

Uish! Gangster betul!

"Ke mana awak pergi semalaman?" soalku lagi. Dah macam penyiasatlah pula.

Terkeluar watak seorang isteri aku.

"Aku cari pemilik nombor telefon terakhir yang dia hubungi pada hari itu."

"Habis itu, awak jumpa ke?"

"Tak. Burner number."

"Oh..." Walaupun aku tak tahu seperti apa dan macam mana burner number itu berfungsi, tapi oh sajalah.

"Tapi Arjuna dapat track koordinat terakhir masa panggilan itu dibuat. Berdekatan Negeri Sembilan," tambah Jebat.

Eh? Berdekatan Negeri sembilan? Boleh tahan jauhlah kan? Tidaklah jauh mana, tapi makan jam jugalah daripada sini.

"Awak yakin yang ayah akan selamat di sini?"

Jebat mengangguk tenang. "Mereka tak akan ambil risiko untuk sentuh jutawan ternama yang punya berpuluh pekerja dan pengawal di dalam rumah, melainkan kau ada dalam rumah itu. Jangan risau, ayah akan selamat, malahan lebih selamat berbanding bila kita tinggal di sini."

Aku terus mengeluh mendengar jawapan itu. Punca betullah aku ini.

"Budak-budak yang dihantar Q dan Dhia itu bukan orang biasa. Mereka orang terlatih. Lebih terlatih berbanding semua pekerja di sini, termasuklah pengawal sedia ada. Mereka antara orang yang aktif dengan tugas-tugas seperti aku. Mereka akan jaga ayah dengan baik. Itu satu jaminan." Tangan Jebat naik menyentuh daguku. Menggaru seperti kucing.

Dan ini...

Sudah lama aku tak merasai detik seperti ini. Dulu juga dia pernah melakukan perkara yang sama. Bermain dengan daguku seperti membelai kucing. Ah, rindunya.

"Nanti berkemas. Esok petang lepas aku balik, kita terus ke rumah kita." Jebat memberi arahan sebelum berlalu mendaki tangga. Terus masuk ke dalam biliknya.

Rumah kita...

Oh, sekejap!

Aku ikut mendaki tangga terus ke bilik Jebat. Pintunya diketuk dan aku terus memulas tombol pintu.

"Pukul berapa awak... oops!" Aku terus menutup pintu semula.

Jebat hanya bertuala. Walaupun aku sudah biasa melihat itu, tapi kerana kali ini aku menerjah biliknya dan bukan dia yang rela buat pertunjukan otot cantik dia itu di depan aku, jadi aku rasa segan!

Tak sampai beberapa puluh saat pintu tertutup, Jebat kembali membuka pintu biliknya. Masih buat pertunjukan percuma dengan dahi yang sedikit berkerut. Hairan.

"Kenapa lari?" soalnya sambil sebelah bahu disandarkan pada bingkai pintu. Dia berpeluk tubuh sambil memandang aku.

Otot tangannya semakin ternaik. Uratnya nampak jelas. Jantannya!

"Mana ada lari." Kan aku berjalan?

"Jadi kenapa tutup pintu semula?"

"Sebab saya tak nak ganggu awak. Lagipun awak tak pakai baju."

"Sejak bila itu jadi masalah? Rasanya sejak kebelakangan ini kau tak ada tunjuk malu lagi depan aku."

Erk! Kenapa aku terasa disindir ya? Eh, yang awal-awal itu pun aku memang betul-betul malulah! Aku malu kerana sudah lama tidak melihat tubuhnya selepas lama berpisah.

Tak apa, jangan teruskan. Tukar topik!

"Awak balik pukul berapa malam tadi?" Kembali ke soalan tadi.

"Tiga pagi."

"Q dan Dhia itu pula?"

"Lepas aku balik, mereka pun balik. Dhia dan Q hanya jaga kau dan ayah sementara aku keluar," jawab Jebat.

Oh, begitu...

Patutlah saat aku terbangun pada awal pagi, Dhia sudah menghilang. Padahal malamnya dia tidur di sebelah aku kerana terlalu mengantuk. Q pula berjaga di bawah bersama Akim.

"Saya tak dapat nak ucap terima kasih..." Kalaulah mereka mengejutkan aku dulu...

"Kau akan menghadap muka budak berdua itu lebih kerap sebaik saja kau berpindah ke rumah kita nanti. Cakaplah puas-puas masa itu."

"Oh? Kenapa?" Tak akanlah Dhia itu tinggal bersama Jebat pula?!

Aku sudah cari gali tentang Hail selepas mendengar perbualan Jebat dan Taipan tempoh hari. Nama penuhnya aku dapatkan daripada Dhia selepas kami bergosip tentang kenalan suaminya. Hail Lutfi.

Aku dapat tahu yang lelaki itu bekas buaya paling besar dalam Malaysia ini! Perilakunya bebas bagai orang barat walaupun memang dia ada kacukan Perancis. Aku takut kalau Jebat juga seperti dia.

"Kau perlu ikut aku ke gym dan mereka akan ada di situ. Bukan sentiasa, tapi selalunya ada. Kau boleh berkawan dengan Dhia."

Fuh, lega!

"Anything else? Aku nak mandi."

Aku terus menggeleng. Tapi sekejap! Ada satu lagi!

"Awak tidur di sebelah saya semalam?" Aku yakin Jebat tidur di sebelah aku. Aku terjaga pada jam empat pagi. Waktu itulah aku sedar yang Dhia sudah hilang dan dia pula tidur di sebelah aku.

Tapi bukan di tempat Dhia. Anehnya, bila aku sedar, aku sudah tidur di atas bantal dan ruang yang digunakan Dhia sebelumnya. Jebat pula lena di tempat asal aku.

Tiba-tiba Jebat menayangkan wajah saspen. "Did I?" Nada seram!

"Ah, awak!" Laju sajalah aku merengek sebelum langkah dibuka mendekati Jebat. Takut!

Agaknya dia suka melihat aku ketakutan, Jebat terus tersengih. Tangannya naik mencuit bibirku sebelum tanganku ditarik. Aku dibawa masuk ke dalam bilik, lalu pintu ditutup dan dikunci.

"Aku balik lambat, jadi aku tak nak kejut. Sekurang-kurangnya aku dapat tepati janji untuk temankan kau."

"Tapi awak hilang waktu pagi."

Jebat tersenyum nipis. "Ayah ajak mengopi di warung tepi jalan."

"Kenapa tak bawa saya sama?" Mana aci, tinggal aku!

"Siapa suruh tak nak bangun? Dua kali aku kejut, dua kali kau mengeliat dan sambung tidur semula. Subuh pun lambat kan?"

Ehek! Betullah itu. Cuma aku tak ingat kalau dia ada cuba mengejutkan aku. Mungkin aku penat sangat kut? Yalah, aku tidur pada jam dua pagi kerana asyik fikirkan Jebat yang tak pulang-pulang.

"Tapi saya terbangun jam empat pagi. Saya tengok tempat saya dah beralih. Saya tidur buas sangat ke? Saya ada tersepak Dhia tak?"

Jebat tergelak.

"Kau tidur sangat sopan. Sama sopan dan manja macam saat berjaga. Asal ada benda untuk dipeluk, sampai ke pagi dalam posisi sama."

Uish, dia analisis aku sampai macam itu sekali?

"Jadi?"

"Aku yang alih."

"Kenapa?"

"Kan Dhia tidur di situ?"

"Jadi?" Macam tak menjawab soalan aje ini.

"Jadi bau badannya akan melekat. Bau rambut, bau tubuh."

"Tak fahamlah, awak." Apa ini? Kenapa dengan bau? Bau Dhia itu wangi gila kut!

Oh, sekejap.

"Sebab wangi ke?" soalku.

Jebat menjongket bahu. "Mana aku tahu. Tapi sama ada wangi atau tidak, tak manis kalau aku guna bantal dan tidur di tempat dia sampailah segala bau tubuh dia hilang. Untuk senang faham, kalau situasi terbalik. Misalnya, aku di tempat kau dan ada lelaki di tempat Dhia. Kau balik dari suatu tempat dan tidur di situ. Mula hidu bau rambut lelaki itu, mula terfikir tentang orangnya dan macam-macam lagi."

"Awak ini..." Jangan kata yang dia ada hati dekat Dhia itu pula! Siapa saja yang terfikir sampai tahap itu? Dah jumpa bantal itu tidur sajalah. Apa lagi nak dihidunya?

Jebat terus tergeleng-geleng bila melihat reaksi aku. Dia sepertinya terhibur. Mungkin juga sedang mentertawakan kebodohan aku.

"Adara, kalau aku tidur di situ dan dapat bau wangian Dhia. Mula terbayang muka Dhia, mula terbuai dengan bau wangian Dhia. Mula puji bau Dhia, kau okay?"

Erk! Mestilah tak!

Tapi tak naklah jawab. Dah kenapa pula 'anak majikan' dia ini nak peduli tentang itu kan? Lakonan tetap perlu diteruskan sampai Jebat sendiri yang mengaku atau aku sudah bersedia untuk mengaku.

"Faham?" soalnya.

Kali ini aku mengangguk. Angguk aje!

"Good. Sekarang pergi berehat atau buatlah apa-apa dalam bilik ini. Aku mandi sekejap, dan aku akan temankan kau. For the rest of the day, I'm yours."

"Tapi saya nak kemas pakaian." Faham-faham sajalah yang aku ini tak pernah packing banyak-banyak. Paling kuat pun masa kami ke Pangkor itu. Ini terus nak berpindah.

Apalah yang aku nak angkut ini?

"Tunggu, nanti aku tolong. Jangan nak angkat benda-benda besar dan berat sendiri."

Okay...

Jadi aku terus duduk di atas katil. Jebat pula bila yakin yang aku akur dengan arahannya, dia terus masuk ke dalam bilik mandi. Sementara Jebat di dalam, aku memerhati sekitar bilik ini.

Memang tak ada perubahan. Sama saja seperti dulu. Seperti saat mama masih ada. Yang berbeza hanyalah bau bilik ini. Berbau wangian lelaki.

Baru mahu bersenang-senang sementara menunggu Jebat, tiba-tiba nada dering telefon kedengaran. Telefon Jebat.

Aku segera bangun lalu menuju ke arah almari solek. Telefon Jebat sedang menyala di situ. Ada satu huruf terpapar pada skrin telefon. Q.

"Siapa?"

Kepala terus tertoleh memandang bilik air bila tiba-tiba saja suara Jebat memecah kesunyian. Dia sedang berdiri di situ bersama pencukur di tangan.

"Q," jawabku.

"Jawabkan."

Oh?

Aku menurut. Ikon hijau digeser sebelum aku menekan pula ikon pembesar suara.

"Update baru, Bien kesan pergerakan di lokasi lama. Arjuna tak dapat turun, Taipan pun ada kerja lain. Macam mana?" Suara Q kedengaran. Serius sampai tak menyempat aku mahu berhelo.

Aku memandang Jebat. Apa jawapannya?

Tapi Jebat baru saja kata yang dia akan temani aku dan membantu aku sekejap lagi.

Jebat melangkah ke sini sebelum telefon bertukar tangan. "On the way."

Hampa...

Memang dari dulu lagi kerjanya yang ini lebih penting berbanding aku. Nak harapkan apa lagi, Adara?

Sebaik saja panggilan ditamatkan, Jebat segera berlalu ke arah almari. Aku pula sudah mula termenung melayan kekecewaan sendiri. Jebat lupa ke janji tadi?

Lamunan aku mati bila kepala diusap tangannya. Dia mendekat dan sebuah kucupan ringkas hinggap pada ubun-ubunku.

"Tidur dulu, jangan tunggu," katanya.

Jebat mencapai beg galas yang tersandar di dinding dan tanpa berlengah, dia bergegas keluar meninggalkan aku yang hanya memandang langkahnya yang semakin jauh sehinggalah pintu bilik ditutup.

....

Holla!

Calon isteri untuk diupah!

Siapa pergi SIBF nanti? Jangan lupa singgah booth Karangkraf untuk dapatkan Cinderlisa! Tapi kalau tak pergi SIBF, boleh beli di Shopee atau di Tiktok Karangkraf juga. Tadi saya tengok di Shopee ada diskaun dengan penggunaan voucher sampai harga buku turun jadi RM 23!????

Untuk yang sudah membeli, jangan lupa tag saya di IG tau! Korang juga perlu kerap periksa saya sebab nanti pembeli Cinderlisa akan dapat early access 100 Hari Untuk Awak! Alah, Ardiy dalam cerita Rayyan Halzeri itu????

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience