Bab 13

Romance Series 18024

AKU terus berlalu ke arah kereta milik arwah mama yang masih ada di garaj. Waja yang sudah buruk itu entah masih boleh bergerak atau tidak. Tapi belum cuba, belum tahu.

"Saya tak pandai bawa kereta, cik!" kata Sumitha.

Memandangkan memang hanya dia yang mengikut aku, maka kami tiada pemandu. Untunglah dulu arwah mama menghantar aku ke institut memandu selepas SPM. Aku pernah memandu beberapa kali selepas lulus, tapi berhenti kerana gangguan semakin ekstrem tahap diekori lelaki-lelaki pelik.

"Saya pandai." Harapnyalah!

Aku segera masuk ke dalam kereta. Sumitha juga mengikut sama. Sempat aku menjeling pedal di bawah. Untunglah auto!

Kereta cuba dihidupkan. Beberapa kali, dan berjaya! Nasib baik ayah memang selalu membawa kereta ini berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dan sesekali menghantarnya ke bengkel untuk diservis. Memang ayah sengaja menyimpan kereta ini sebagai kenangan.

Aku segera menolak gear dan menjatuhkan brek tangan. Kereta berundur keluar dari garaj sebelum gear ditukar kembali dan aku terus memandu ke arah pagar.

Sumitha mengeluarkan kepalanya. "Buka pagar!"

Tapi pengawal keselamatan tidak mempedulikan arahan itu. Aku menekan hon, dan mereka tetap tidak mempedulikan kami. Siap berdiri di depan pagar bagi menghalang kami untuk keluar.

Aku melihat ke cermin pandang belakang.

Shit, Jebat sedang berjalan ke mari! Pasti dia dalangnya!

Baru ingat nak keluar dan mengamuk, tiba-tiba lima orang pengawal peribadi aku menerpa ke arah pegawai keselamatan yang menunggu di depan pagar. Bergaduhan berlaku, dan Sumitha menggunakan peluang itu untuk segera masuk ke dalam pondok bagi menekan butang. Pagar mula terbuka dan Sumitha kembali melompat masuk ke dalam kereta.

Aku segera menekan pedal pemecut dan memandu keluar. Sempat mata mengerling cermin sisi. Jebat sudah mula berlari cuba mengejar, namun tak kesampaian. Pasti pengawal peribadi aku akan menghadap jerkahannya selepas ini kerana sanggup menahan pengawal keselamatan daripada menghalang aku keluar.

Ah, terima kasih kesemua enam tentera berkawad hoora hooray!

"Cik! Minyak dah nak habis!" Sumitha menuding ke arah jarum.

Aku ikut mengerling juga. Alamak. Sempat ke nak sampai ke mana-mana hotel besar ini? Karang hotel kecil, mahu senang-senang saja bilik diceroboh.

"Tak apa! Sempat ini. Kut!"

"Kut?!"

Aku tersengih saja mendengar suara panik Sumitha.

Tapi kami memang tak boleh berhenti untuk mengisi minyak. Tak boleh kalau tak mahu ditangkap.

Kenapa?

Sebab di belakang sana ada dua buah kereta yang sedang mengekori kami! Salah satu kereta asyik menghidupkan lampu besar berkali-kali seakan menyuruh aku untuk berhenti di tepi jalan dan aku yakin itu adalah Jebat walaupun dia sedang memandu kereta lain. Bukan Lamborghini.

Shit!

"Cik, kenapa cik bawa laju ini?" Sumitha sudah panik. Tali pinggang digenggam bagaikan talian nyawa.

"Tak ada apa. Rilek aje." Jangan bagi Sumitha panik!

"Bila kali terakhir cik bawa kereta?"

"Empat tahun lepas."

"Empat tahun?! Oh my god!"

Aku melihat Sumitha sudah mula menyebut bermacam-macam nama seperti sedang berdoa. Punya kecut hatinya melihat aku yang sudah mula berevolusi KL Drift dalam kereta tua ini. Lebih lagi dia panik bila baru sedar ada kenderaan yang mengejar kami.

Sedang memecut, secara tiba-tiba kereta tersengguk-sengguk. Minyak habis di tengah jalan

Argh!

Aku terus memberhentikan kereta di tepi jalan lalu keluar daripada kereta bersama Sumitha. Melihat kedua buah kereta yang mengejar kami tadi juga sudah ikut berhenti sama, aku terus menarik tangan Sumitha lalu berlari di tepi jalan ini. Bila menoleh ke belakang saja, makin laju kakiku melihat Jebat dan diikuti pengawal keselamatan kami sedang mengejar langkah aku.

Langkahnya besar nak mampus!

"Kita kena ke seberang!" Sumitha bersuara.

Tanganku digenggam erat sebelum sebelah tangan lagi diangkat tinggi dan kami berlari menyeberang jalan menuju ke lot kedai di seberang sana. Untunglah tak banyak kereta.

"Adara!" Namaku dilaung Jebat. Bunyinya jauh.

Sebaik saja melintas jalan, Sumitha menarik aku ke lorong yang sedikit gelap di antara kedai.

"Bagi saya hoodie cik. Biar saya tarik mereka jauh-jauh. Sementara itu, cik lari ke tempat cerah dan call budak-budak lain untuk ambil cik. Nanti beritahu saya hotel mana cik pergi. Kita jumpa di hotel."

Aku segera mengangguk. Dompet dan telefon dikeluarkan sebelum hoodie diberikan kepada Sumitha dan kami berpecah. Aku ke kiri dan Sumitha keluar ke tempat yang sedikit cerah supaya Jebat melihatnya.

Aku berlari melalui kegelapan malam di lot belakang kedai ini untuk mencari mana-mana cahaya berdekatan bagi mencari jalan keluarnya. Kerana terlalu gelap, aku terpaksa membuka lampu suluh telefon untuk menyuluh lantai. Takut tersadung apa-apa.

Langkahku terhenti bila entah dari mana dua orang lelaki datang dari dua arah bertentangan dan mengepung aku. Kedua-duanya aku tak kenal!

"Adara..." Salah seorang daripada mereka menyebut namaku.

Dahiku terus berkerut. Jangan kata mereka antara lelaki gersang yang cuba mengapa-apakan aku.

"Siapa Adara?" Aku berlagak bodoh.

Dan mereka menyambut itu dengan tawa sinis.

"Kau jangan buat-buat lupa diri. Muka kau ini satu Malaysia kenal. Anak tycoon perniagaan. Tapi macam mana kau boleh jatuh ke tangan Jebat?"

Jebat?

Macam mana mereka tahu tentang Jebat kalau perkahwinan aku tak pernah dihebahkan?

"Kau hanya cari lebih nahas dengan berkahwin, Adara. Kau salah pilih lelaki. Jebat itu banyak musuh. Kau takkan selamat seperti yang kau dan bapa kau mahu kalau kau terus dengan dia," katanya lagi.

"Well, good news. Kami akan bercerai. Saya tak ada kaitan dengan dia lagi." Jadi sila ke tepi sebab aku nak lari!

Tiba-tiba mereka berdua berpandangan sesama sendiri sebelum berbagi senyumam. Aku dipandang atas bawah dan aku kenal pandangan ini.

Oh tidak.

"Really? Akan bercerai ya? Maksudnya dia tak akan ada untuk selamatkan kau lagi." Bibir lelaki itu melebar sehingga nampak dua baris giginya. Senyuman lelaki gatal!

Aku terus menjerit sekuat hati apabila mereka mula menyentuhku. Aku cuba ditarik ke celahan lorong yang lebih gelap, namun aku bergelut.

"Tolong!!!"

"Adara!"

Pergelutan terhenti seketika. Ketiga-tiga kami tersentak saat mendengar suara itu dan aku yakin lelaki berdua ini juga mengenali suara yang baru melaung namaku tadi.

Jebat!

"Tolong!!!" Aku menguatkan jeritan dan tak lama kemudian dari kejauhan dan kegelapan aku dapat melihat bayangan tubuh yang sedang berlari laju menuju ke arah kami.

"Shit! Ada lagi syaitan ini!" bentak lelaki ini sebelum aku cuba dicempung pula.

"Lepaslah!!!" Aku menepuk-nepuk tubuh dan muka mereka. Tangan yang cuba memegang tubuhku itu digigit kuat sehinggalah salah seorangnya jatuh terduduk saat tumbukan Jebat melayang ke rahangnya.

Lelaki yang satu lagi terpaksa melepaskan aku saat pergelutan berlaku bila dia diserang oleh Jebat. Aku jatuh terduduk kerana dilepaskan secara mendadak.

Aduh!

"Are you okay?!" Jebat melaung, menyoal sambil mengerjakan lelaki berdua itu.

Aku segera berdiri semula. "Okay."

"Good. Sekarang, lari. Lari ke tempat yang cerah dan jangan pusing lagi! Di seberang sana ada Petronas. Masuk ke dalam dan tunggu sampai aku datang!" Bum! Satu tumbukan melekap pada lelaki yang menggelarnya sebagai syaitan tadi.

"Tapi awak macam mana?"

"Go, Adara! Move!"

Aku terpaksa menurut. Lagipun dah kenapa aku nak fikirkan tentang dia?! Aku sedang bencikan dia, bukan?

Kaki berlari sederas yang mungkin tanpa memandang belakang lagi. Aku mencari seberang yang dikatakan Jebat. Berlari mencari cahaya yang semakin lama jadi semakin mendekat. Bibir terus tersenyum saat melihat sebuah Petronas yang hanya dipisahkan oleh jalan kecil di depan lot kedai yang sudah tak beroperasi.

Baru aku nak melintas...

Bam!

Kepala menerima hentakan dari belakang yang membuatkan pandangan aku gelap. Tubuh terjatuh namun aku tidak tahu di mana jatuhnya. Kesakitan yang amat dirasai sebelum satu lagi kesakitan hinggap pada perutku.

"Woi!" Suara asing kedengaran sebelum aku mendengar ada yang berlari menghampiri dan ada yang berlari pergi.

Dalam sisa kesederan terakhir, aku mendengar suara lelaki.

"Nak?"

"Bangun, nak!"

"Ya Allah! Darah!"

Dan kelam.

"DIA hilang ingatan?"

"Ya. Kata doktor macam itulah. Apa entah namanya, Di belakang ada amnesia. Saya pun tak ingat. Cuba tuan tanya pada doktor nanti untuk kepastian. Saya ini bukan doktor, jadi saya tak tahu nama penyakit itu."

"Anak saya dah sedar tadi?"

Suara itu... Aku mengenali suara itu. Ayah...

"Ya, dia dah sedar. Tapi dia tidur semula."

Dan...

Mata dibuka. Aku melihat ayah sedang berdiri di sisi seorang lelaki sebayanya. Kedua-duanya sedang membelakangi aku. Aku tak mengenali lelaki di sisi ayah, namun dia wajah pertama yang aku lihat sebaik membuka mata tadi.

"Ayah..." Aku memanggil.

Ayah segera berpusing ke arahku. Melihat aku yang sedang memandangnya, ayah segera merapatiku.

"Adara ingat ayah?"

Aku mengangguk.

Ayah terus berpandangan dengan lelaki sebayanya tadi.

"Macam yang saya cakap tadi, tuan. Tadi doktor tanya dia, dan dia boleh ingat orang-orang yang datang tadi. Perempuan India itu dan semuanya. Tapi dia tak ingat orang yang perempuan India tadi sebut. Jebat agaknya kalau tak silap. Itu saja yang dia tak ingat."

Ayah kembali memandang aku. "Tak apa. Adara tak perlu ingat dia. Adara ingat ayah saja dah cukup."

Aku tersenyum nipis dan mengangguk.

"Apa yang budak itu buat dekat anak saya?" Ayah menyoal pak cik itu sekali lagi.

"Saya nampak dia hentam kepala anak tuan dengan  batu bata. Dia sempat tendang perut anak tuan sekali sebelum saya sergah dan dia cabut lari."

Aku ikut memandang pak cik itu. Itu yang berlaku? Jika itu, maksudnya pak cik ini ada di tempat kejadian kan?

"Adara ada buat CT scan dan Xray ke tadi?" Ayah menyoalku.

Aku mengangguk. Sebelum tidur tadi habis aku diperiksa luar dalam oleh doktor wanita itu. Bila segalanya selesai, aku sudah terlalu penat dan terus terlena semula.

"Adara nak ayah belikan apa-apa? Ada yang nak dimakan?"

Aku menggeleng. Tiada selera.

"Tadi doktor kata, dia mengadu yang perutnya sakit, tuan. Mungkin sebab ditendang lelaki itu," adu pak cik itu lagi.

Ayah nampak marah. Gigi diketap sebelum tanganku dikucup seketika.

"Ayah akan cari orang yang buat Adara macam ini. Ayah akan cari dan balas semula."

Aku segera menggeleng. "Tak perlu. Somebody else will."

"Polis memang akan cari, tapi sejauh mana undang-undang boleh mempertahankan anak ayah?Ayah mahu buat sendiri. Siapa orang itu, ayah akan cari tahu. Ayah akan sumbat dia ke dalam penjara. Adara tak layak diperlakukan macam ini. Kalau mama ada, mesti lebih teruk dia akan buat untuk balas kejahatan lelaki itu."

Air mataku mengalir mendengar nama mama disebut. Benar, jika mama tahu apa yang berlaku pada aku, pasti dialah yang akan paling marah dan mengamuk.

"Pak cik..." Aku memanggi lelaki yang sedari tadi menerangkan keadaan aku kepada papa pula.

"Ya, nak?"

"Pak cik yang tolong saya?"

Pak cik itu tersenyum sebelum mengangguk lembut. "Pak cik hanya kebetulan tengah membonceng dari kedai mamak melalui jalan itu. Bila pak cik nampak, pak cik nenyergah. Itu aje pertolongan yang mampu."

"Terima kasih, pak cik."

"Jangan berterima kasih, nak. Pak cik pun ada anak perempuan. Mungkin muda sikit daripada kamu. Semua bapa nak anaknya selamat sejahtera. Kalau pak cik tak tolong, pak cik akan menyesal seumur hidup."

Aku tersenyum dan mengangguk lembut.

"Boleh pak cik bawa anak pak cik melawat saya?"

Pak cik terus mengangguk laju. "Boleh! InsyaAllah, nanti pak cik bawa dia ke sini untuk melawat kamu. Kalau-kalau dapat jadi kawan ke, siapa tahu?"

Aku tersengih mendengar itu. Ayah juga sudah tersenyum melihat kami berdua. Mungkin lega kerana aku masih berupaya untuk bergaul.

"Tadi awak kata awak bekerja di ofis sebagai kerani, betul ke?" Tiba-tiba ayah mencelah.

"Betul, tuan. Ofisnya pun tak jauh mana."

"Gajinya berapa dekat sana?"

Terkulat-kulat seketika pak cik itu bila diasak dengan soalan tentang gaji. Tapi akhirnya dia tersenyum nipis.

"Tak banyak, tuan. Tapi adalah dalam RM 2000 lebih sebab saya dah kerja lama. Dari zaman muda lagi."

"Kalau macam itu awak kerja dengan saya. Saya akan bagi jawatan yang sama, tapi gaji yang lebih."

Pak cik terkejut mendengar tawaran mendadak ayah, namun matanya bersinar seakan teruja dengan itu. Tapi tak lama. Sekejap saja cahaya matanya kembali malap.

"Tak apalah, tuan. Saya ikhlas membantu. Tak perlu balasan," balas pak cik itu.

"Siapa kata saya membalas? Saya menghadiahkan. Lagipun di syarikat saya ada jawatan kosong sebagai kerani. Alang-alang itu, masuklah. Jangan risau. Saya akan tawarkan gaji yang lebih baik untuk awak."

"Tak menyusahkan ke tuan?"

"Apa pula susah? Saya memang perlukan pekerja. Nanti saya beri surat tawaran. Awak tinggal berhenti dan datang ofis," balas ayah.

Pak cik itu terus memandang aku. Aku hanya tersenyum sebelum mengangguk lembut. Turut memujuknya untuk menerima tawaran ayah. Sebab aku yakin ayah akan berikan yang terbaik untuk pak cik selepas apa yang dia lakukan untuk aku.

Bila akhirnya pak cik mengangguk, ayah terus tersenyum. Bahu pak cik ditepuknya sebelum aku kembali dipandang sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience