Bab 14

Romance Series 18024

SETAHUN enam bulan.

Selama itu telah berlalu sejak kejadian buruk yang membawa titik hitam dalam hidupku. Begitu lama, pejam dan celik, akhirnya aku sudah kembali seperti biasa.

Tiada lagi sakit pada abdomen yang mencengkam selama sebulan selepas kejadian itu. Kepalaku sudah sembuh sepenuhnya. Luka fizikal sudah tiada lagi. Tiada lagi sesi ulang-alik ke hospital. Alhamdulillah.

Ayah sudah kurang sihat. Semenjak dua menjak ini, ayah asyik terkulai atas katil dan terbatuk-batuk. Sudah dibawa ke hospital, namun hanya ubat yang mampu diberikan. Kata orang di sekeliling kami, sakit tua.

"Siapa yang jaga syarikat sekarang ini, cik?" Sumitha menyoal sambil memeluk tanganku.

Sejak kejadian itu, wanita inilah yang sentiasa menemani aku. Dari belum berkahwin sampailah sekarang sudah beranak seorang. Tak putus-putus dia melawat aku walaupun dia sudah berhenti bekerja sebagai pengawal peribadi demi keluarga yang baru setahun lebih dibina.

Aku bersyukur kerana aku memiliki kawan sepertinya.

"Ayah kata orang kepercayaan dia. Saya pun tak tahu."

"Cik tak ada pergi tengok ke?"

Aku menggeleng. Buat apa nak tengok? Aku bukannya tahu apa-apa tentang syarikat itu pun. Asal ada orang yang menjaganya sudah cukup. Kalau tak ada orang menjaganya pun, aku bukannya boleh jaga. Tak ada pengetahuan tentang perniagaan. Aku belajar dalam bidang perubatan.

"Tapi tak sangka yang semuanya akan berubah macam ini kan? Datuk jatuh sikit, cik baru pulih daripada sakit, saya dah ada anak seorang dan cik dah tak diganggu macam dulu lagi."

Aku tersenyum.

"Mungkin sebab saya dah tak cantik, jadi tak ada siapa nak mengganggu?"

Sumitha memandang aku dengan kerutan di dahi. Aku dipandang lama sebelum dia mencebik, menyampah.

"Cik ini nak berlawak pun agak-agaklah. Yang lukanya itu belakang kepala. Muka tak bersentuh pun. Dari dulu sampai sekarang cantik cik sikit pun tak hilang tahu?"

Tergelak aku mendengar leteran Sumitha. Ada-ada aje!

"Oh ya, anak awak dah masuk enam bulan kan?"

Sumitha mengangguk. "Kenapa cik?"

"Tak adalah, tanya aje."

Perbualan kami terhenti di situ bila pengawal peribadi aku yang seorang lagi mendekati bersama fail nipis. Fail itu dihulurkan kepada aku.

"Apa ini?" Fail dicapai. Aku memeriksa isi kandungannya.

Argh! Hal syarikat. Ada tandatangan ayah di bawah sekali.

"Ini ada dokumen yang Datuk kena sign, tapi dia tak larat nak ke pejabat. Jadi orang pejabat hantar ke rumah. Semalam kan Datuk pening kepala? Nak baca isi dokumen pun tak larat, jadi Datuk suruh staff itu balik dan akan hantar hari ini. Ini Datuk baru habis baca dan sign."

"Jadi kenapa beri kat saya?"

"Datuk minta cik hantarkan ke ofis. Ke bilik dia."

Pula?

"Kenapa tak suruh aje orang lain? Saya malaslah nak keluar."

Pengawal peribadi aku itu menjongket bahu. Dia pun tak tahu.

Hailah!

Nak tak nak, aku terpaksa bersetuju juga akhirnya. Terus tangan ditadah. Tapi pengawal peribadi aku menayangkan pula muka hairannya.

"Kunci keretalah." Ayoo, tak akan aku nak berjalan kaki kut?

"Tapi cik..."

"Saya masih ingatlah macam mana nak bawa kereta. Kan korang juga yang asyik kata saya hanya ingat memori sehingga 23 tahun? Saya ambil lesen masa umur 18 tahun!"

Bila kunci diletakkan atas tanganku, bibirku terus menarik senyuman lebar. Ha! Ini kereta ayah.

Dan kereta ayah pula...

BMW!

Kegemaranku!

Aku segera berlari anak ke arah BMW yang memang sudah terletak di perkarangan rumah. Aku masuk ke dalam, enjin dihidupkan dan aku terus memeriksa cermin sisi. Siap! Cermin pandang belakang. Siap! Tali pinggang. Siap!

Saya sedia untuk diuji, tuan!

"Cik!" Tiba-tiba pintu belakang dibuka. Sumitha dan pengawal peribadiku yang seorang itu masuk ke dalam dan terus memakai tali pinggang.

Eh?

"Awak berdua buat apa dekat dalam ini?"

"Ikut ciklah," jawab Sumitha.

"Saya boleh pergi sendirilah."

"Mana boleh, cik! Habis kami kena marah dengan Datuk Zamrul nanti." Pengawal peribadi aku pula membalas.

Kejap, kejap! Yang dia ini aku tahulah mungkin kena marah dengan ayah kalau dia membiarkan aku pergi bersendirian, tapi yang Sumitha ini pula sesat apa dekat sini?

Ah, lantaklah.

Aku memulakan pemanduan. Elok saja melepasi pagar, aku terus bernyanyi kecil. Sudah lama tak memandu!

"Eh, Akim. You muslim kan?" Aku mendengar Sumitha menyoal lelaki di sebelahnya.

Oh, nama dia Akim!

"Yelah, kenapa?"

"Baik you mengucap cepat. Belum tentu kita selamat sampai ke ofis itu lagi. Cik Adara bawa kereta macam hantu raya!"

Amboi, sedap aje mengumpat aku!

Kurang setengah jam kemudian, kami tiba di tempat letak kenderaan syarikat. Bila aku menjeling cermin pandang belakang, aku melihat manusia berdua itu sudah tercungap-cungap menarik nafas seperti baru tadi malaikat maut beri salam.

Dah kenapa pula?

"Kan I dah kata, nasib baik selamat sampai!" Sumitha terus melangkah keluar bersama Akim yang seperti mahu muntah sebaik saja memijak tanah.

Wah, dramatik benar.

"Macam manalah pegawai JPJ itu boleh luluskan dia ini?" Akim menyahut kata-kata Sumitha.

Malas nak melayan, aku terus mencapai fail dan melangkah ke arah lif. Tiba saja di aras bilik ayah, aku segera berlari meninggalkan dua manusia itu di belakang.

"Cik! Tunggu!" Sumitha memanggil aku.

Tapi aku tak mempedulikan. Terus saja aku berlari menuju ke pintu pejabat ayah. Sebaik saja berdiri di muka pintu, aku terus membukanya dan melangkah masuk ke dalam. Fail diletakkan atas meja.

Baru nak melangkah keluar semula...

Sekejap.

Bau ini...

Bau cologne. Kuat.

Bilik ini tak seperti sudah beberapa ketika ditinggalkan. Dan ayah sudah tak masuk kerja berbulan-bulan. Hanya ada pengantara. Malahan sebelum ini pun ayah hanya ke pejabat jika terdesak, dan sekarang memang walau terdesak pun tak akan pergi lagi.

Aku mendengar seolah ada yang berjalan di belakangku.

"Sumitha, Akim... Siapa yang duduk dekat dalam bilik ini ya?" Tubuh dipusingkan untuk memandang mereka.

Namun sudahnya bukan mereka yang menyapa pandangan, tapi susuk seorang lelaki sasa bertubuh tinggi dan besar sedang berdiri dengan tangan bersenang di belakang punggung. Lengkap berkemeja dihiasi vest hitam di luarnya.
Lengan kemejanya dilipat ke bawah siku, matanya seperti orang yang sedang mengantuk memandang ke arahku dan bibirnya bergaris selari tanpa senyuman.

"Who are you?" soalku.

"And who do you think I am?"

Aku terus memandang ke arah meja semula bila soalanku dijawab dengan persoalan juga. Tiada papan nama di sini, maka aku terus mencari apa-apa dokumen atau fail bernama, tapi juga tiada.

Oh.

Aku kembali memandangnya bila sesuatu terlintas di kepala.

"Awaklah orang kepercayaan ayah yang menjaga syarikat ini semasa ayah sakit?" Rasanya dialah. Tak salah lagi. Kalau tidak, mana mungkin dia dapat duduk di kerusi ayah.

Lelaki itu senyap.

Okay, fine.

"Saya letak fail di atas meja. Ayah yang suruh saya hantar ke sini. Ayah dah baca dan sign." Aku menuding ke arah meja.

Dia masih senyap.

Okay! Selesai kerja. Rasanya aku sudah boleh pulang sekarang.

Tapi sebelum itu...

Aku terus melangkah ke arah rak sebesar alam yang ada di belakang meja. Salah satu antara kotak dalam rak itu ada menempatkan beberapa bingkai bergambar. Aku mencapai kesemuanya.

Sebab semuanya gambar aku.

Selesai memastikan tiada jejak peninggalan muka aku di sini, aku terus melangkah ke arah pintu. Namun terhalang bila lelaki itu terus berundur dan bersandar pada pintu. Wajahnya tenang saja memandang aku. Ada sedikit kedinginan bersama pandangan misterinya.

Mataku menurun memandang tiga bingkai yang sedang aku peluk bila aku sempat melihat matanya mengerling bingkai-bingkai ini.

"Oh, ini gambar saya. Saya rasa ayah terlupa untuk bawa keluar sebelum bagi awak guna bilik ini." Harapnya dia mengertilah kenapa aku songlap bingkai ini. Jangan dia tuduh aku mencuri sudahlah.

Beberapa ketika begitu, dahi aku mula berkerut bila dia masih seperti tadi. Berposisi sama yang menyebabkan aku tak boleh membuka pintu untuk keluar.

"Saya nak keluar." Kutlah dia tak tahu yang aku terpacak di depan ini sebenarnya untuk keluar, jadi eloklah aku memberitahu dulu.

Dia masih senyap, namun di sudut bibir ada satu sengihan kecil yang membuatkan keningku hampir bercantum.

Sudah kenapa pula dia ini?

"Encik, tolong beri laluan. Saya nak balik rumah."

Tapi dia tetap senyap dan hanya memandangku.

Baru aku nak bersuara lagi...

"Cik! Cik okay ke?" Suara Sumitha kedengaran sambil pintu mengetuk pintu.

"Tak okay! Tolong bukakan pintu ini, tersekat!" Aku melaunh semula. Sekali sebiji sindiran.

Kerana itu, aku melihat tombol pintu terpusing sebelum pintu sedikit bergerak. Namun hanya sekadar itu. Tak mampu untuk dibuka sepenuhnya.

"Cik! Kenapa tak boleh buka pula ini? Ada almari ke dekat sana?"

Ini bukan almari. Ini manusia yang badannya macam almari!

Aku melihat dia yang tenang bersandar pada pintu walaupun di luar sana mereka sudah mengerang dan mengerah seluruh tenaga untuk membuka pintu. Yang dia ini pula tak nampak terkesan sama sekali. Macam tak wujud orang yang sedang menolak di sebalik pimtu sana.

Aku menunduk memandang poket seluar slack milik lelaki di depan ini bila ada bunyi nada dering kedengaran di dalam sana. Telefonnya berdering.

Mataku naik semula memandang wajahnya bila telinga sempat menangkap dengusan pendek seakan dia sedang marah dan tak berpuas hati.

Matanya merenung aku buat beberapa detik lagi sebelum akhirnya poket diseluk, telefon dikeluarkan dan dia bergerak ke tepi, sekali gus membuatkan pintu terus terbuka.

Akim jatuh terbaring di atas karpet. Hampir saja aku dirempuhnya kalau tak kerana tanganku yang tiba-tiba ditarik ke tepi.

Oleh lelaki itu yang sedang menjawab panggilan tadi.

Mataku memandang lengan yang masih digenggamnya sebelum aku segera melepaskan tangan sendiri. Aku berlalu keluar selepas Akim dan Sumitha berdiri di tepi pintu. Membatu entah kenapa sambil memandang lelaki kepercayaan ayah itu.

Setibanya di hadapan lif, Sumitha terus merapati aku.

"Cik okay?" soalnya.

"Okaylah. Kenapa?"

"Orang itu tak ada buat apa-apa kan tadi?"

Aku menggeleng. "Apa yang dia boleh buat?"

Aku melihat Sumitha dan Akim berpandangan sebelum kedua-duanya menggeleng sesama sendiri seakan sedang memberi isyarat yang hanya mereka memahaminya.

"Tak adalah, cik. Tapi cik kan anak dara pujaan ramai, sampai mama dan ayah cik pun namakan cik Adara. Manalah tahu dia tergoda ke, terus nak diterkamnya cik."

Terus aku menayang muka pelik. Seramlah pula Sumitha punya imaginasi. Tapi yalah kan, tengok gaya lelaki itu tersenyum dan berdiri di depan pintu pun sudah lain macam. Padahal aku sudah memberitahu yang aku nak keluar.

Eh, tak baik berburuk sangka!

"Dahlah bercakap pasal itu. Awak berdua lapar tak?" soalku. Menukar topik.

"Lapar juga ini, cik. Kalau dapat nasi kandar pun sodap ini," jawab Akim. Siap menggosok perut yang kempis!

"Kalau macam itu, jom kita pergi makan nasi kandar!"

"Eh, tapi cik tolong hantar saya balik rumah dulu boleh tak? Saya kena memasak. Nanti suami saya balik. Lepas itu, saya nak ambil anak saya dari rumah mak saya." Sumitha mencelah.

Kami masuk ke dalam kereta. Mereka berdua masih duduk bersama di belakang. Agaknya takut sangat risiko kemalangan bertambah kalau duduk depan kut. Padahal di kerusi depan ini ada airbag dan sebagainya. Haha!

"Hai, habis kami berdua ajelah yang pergi makan nasi kandar?"

Sumitha tersengih lalu mengangguk.

"Okaylah kalau macam itu, cik. Dapat juga saya rasa macam mana rasanya bila dating berdua dengan orang cantik." Akim cucuk jarum mengusik aku.

Ceh, bukan main!

Kereta dipandu tenang sebaik saja lokasi rumah Sumitha aku isi dalam aplikasi Google Map.

"Oh, cakap pasal dating kan. Cik tahu tak hari itu ada orang hantar surat untuk cik?" Selepas beberapa minit senyap, Sumitha membuka mulut semula.

"Surat? Surat apa? Saya tak tahu pun."

"Mestilah cik tak tahu! Sebab Datuk Zamrul suruh guard yang tapis barang-barang untuk dibawa masuk ke dalam rumah itu buang," celah Akim.

Eh, buang? Surat yang dihantar untuk aku, dibuang oleh orang lain?

"Kenapa pula ayah buat macam itu?"

Aku mengerling cermin pandang belakang. Sumitha dan Akim berpandangan sesama sendiri sebelum Sumitha kembali memandang ke depan.

"Sebab itu surat cinta. Pengakuan cinta dari tauke kedai runcit di simpang dekat-dekat klinik itu," jawab Sumitha.

"Ya, cik! Sampulnya siap berbedak warna merah jambu! Datuk Zamrul buka saja terus semerbak, pakej terbersin!" tambah Akim sebelum dua manusia itu bersatu padu mentertawakan gerangan lelaki itu.

Tauke kedai runcit ya? Agaknya mereka maksudkan lelaki yang punya tiga rangkaian kedai runcit itu kut. Aku pernah berjumpa dengan orangnya beberapa kali, tapi tak adalah pula dia cuba mengorat ke apa. Cuma setiap kali aku ke kedainya, mesti dia akan melayan aku sampai memperkenalkan satu demi satu jenis sayur-sayuran dan apa yang sedap untuk dimasak dengan sayuran tersebut. Sebab aku tak pandai memasak!

"Beranganlah dia nak dapat cik. Dia tak tahu yang cik, adui!"

Aku mengerling cermin pandang belakang semula. Akim sudah mengusap-usap bahunya yang entah sudah diapakan oleh Sumitha.

"Tak tahu yang saya apa, Akim?" soalku.

"Dia tak tahu yang cik tak suka dekat dia. Ha, itulah yang Akim nak cakap tadi." Sumitha pula yang menjadi tukang jawabnya.

Hai, pelik-pelik aje dua orang manusia ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience