AKU mengintai ke luar rumah melihat ke pondok keselamatan. Di situ ada dua orang lelaki sedang mengawal dari dalam pondok. Di sekitar rumah ini pula ada empat orang lelaki sedang mengelilingi untuk mengawal kawasan rumah.
Anehnya, aku tak pernah sekali pun dalam seumur hidup melihat pengawal keselamatan yang punyalah bersungguh tawaf satu rumah tanpa henti bagi menjaga rumah daripada dipecah masuk.
Biasanya mereka hanya akan duduk di pondok pengawal. Bersembang, makan-makan, ada yang tertidur, kemudian barulah salah seorang pergi memeriksa kawasan rumah. Tak sampai lima minit, kembali masuk ke dalam pondok dan dengar radio.
Tapi mereka yang 'biasa' itu sudah tiada. Sudah dipecat oleh ayah atas permintaan berbaur arahan daripada Jebat.
Malam tadi ayah tiada di rumah kerana mengikuti saudara-mara kami untuk bermalam di hotel berdekatan. Nak ambil mood katanya, sekali gus membiarkan aku dan Jebat di rumah. Pengawal peribadi itu memang tak boleh dipisahkan dah. Cuma malam tadi mereka hanya bersedia di bilik masing-masing.
Pagi-pagi lagi Jebat sudah naik angin memarahi mereka yang tidak peka dan serius bekerja sehingga penceroboh itu boleh terlepas masuk. Ayah pula, bila tahu yang penceroboh itu siap berpisau, terus saja dia mengikut saranan Jebat. Kesemua pengawal dipecat serta-merta dan ayah siap melaporkan prestasi buruk mereka kepada syarikat mereka sendiri. Tiga kali orang terlepas masuk ke dalam rumah ini bukan hal yang boleh dibuat main.
Jebat jugalah yang panggil pengawal-pengawal baru di luar itu. Aku tak tahulah mana dia dapat pengawal yang begitu serius seperti mereka, tapi aku yakin yang pengawal ini boleh diharap. Tengoklah masing-masing punya badan. Nampak sasa dan tegap. Kiranya sekali tumbuk, memang berpinar biji mata mangsa itulah.
Dan yang anehnya, mereka tidak datang daripada mana-mana syarikat yang membekalkan pekerja seperti sebelum ini. Mereka persendirian. Jebat juga membawa mereka ke sini dalam masa yang sangat singkat. Satu jam selepas semua pengawal dipecat. Kiranya, itu hanya waktu dari satu tempat ke satu tempat. Seakan dia buat panggilan saja, terus kesemua pengawal itu datang.
Tapi sebab Jebat percaya pada mereka semua, jadi aku juga begitu.
Mataku menyambut pandangan mata seorang pengawal yang sedang meronda. Aku terus menarik senyum nipis. Menyapanya.
Tapi senyuman aku tidak dibalas. Lelaki itu hanya menundukkan kepala sedikit sebelum kembali berjalan dan memerhati persekitaran.
Selain badan sasa dan serius, mereka juga kacak!
"Cik Adara."
Aku terus berpusing ke belakang bila mendengar suara lelaki memanggil. Pengawal peribadi aku. Ini namanya Isyak. Eh, ke Ishak?
Entahlah, aku tak ingat! Di sini terlalu ramai orang yang perlu dihafal namanya. Dan aku pula hanya panggil mereka awak, awak. Awak itu, awak ini.
Ya, aku sangat tak mahir mengingati nama orang.
"Ini ada panggilan. Suami cik."
Oh, Jebat?!
Telefon terus bertukar tangan dan aku berhelo mesra.
"Mana kau letak telefon?" Tapi sapaan mesra aku dibalas dengan soalan geramnya.
"Dalam bilik. Tengah charge. Awak call telefon saya tadi ya?"
"Boleh tak lain kali charge waktu tidur? Bukan biarkan telefon itu dekat bawah bantal."
Eh! Macam mana dia tahu! Baru semalam tidur dengan aku sudah dapat menganalisis aku seperti itu sekali?
"Alah, saya minta maaf. Lain kali saya charge waktu malam." Aku mengalah saja kerana itu memang salah aku.
Jebat senyap.
"Awak nak cakap apa?" Tak akanlah marah sangat kut? Atau dia sebenarnya rindukan aku?
Huh! Harapan.
"Aku tak balik hari ini. Esok malam baru aku balik."
Mataku terus membesar. Tak balik sampai esok malam? Lamanya! Tak akanlah baru kahwin aku sudah ditinggalkan seharian.
"Awak nak ke mana?"
"Ada kerja."
"Sampai waktu malam pun?" Hebat betul kerja itu sampai waktu malam pun dia tak boleh ada di sini.
"Aku akan balik esok malam. Lepas maghrib atau Isyak. Mungkin lebih lambat."
Aku mengeluh perlahan. Kalau dah begitu, maksudnya memang dia perlu ada untuk kerjanya walau pada waktu malam. Tapi bila mengingatkan kejadian semalam dan pengawal baru yang belum tentu aku boleh percaya ini, aku jadi takut sendiri.
"Tapi saya takut..." Dan rasa takut itu aku luahkan.
Jebat terdiam lama di hujung sana sebelum aku mendengar keluhan pendeknya. Agaknya dia tertekan dengan aku kut. Yalah, baru kahwin dah mengada-ngada. Tapi itulah, sudah nama pun baru kahwin!
"Malam nanti aku call semula."
Dan tutt!
Panggilan terus ditamatkan sebelum sempat aku membalas apa-apa. Rasa nak menangis dibuatnya. Kecewa dan terasa dengan layanan dinginnya, tapi tak boleh nak mengeluh kerana aku yang bersetuju dengan semua ini. Jadi akhirnya aku hanya mampu memandang skrin telefon itu sebelum memulangkannya semula kepada pengawal peribadi aku.
Mata kembali memerhati pengawal-pengawal baru itu sebelum keluhan panjang terbit. Aku harap semuanya akan baik-baik saja.
BARU semalam bilik ini diceroboh dan aku hampir diperkosa, hari ini Jebat sudah pergi meninggalkan aku bersendirian. Nasib baiklah ada pengawal peribadi yang masih duduk serumah. Ayah sudah terbang ke Indonesia untuk urusan luar selama tiga hari.
Kiranya di dalam rumah ini hanya ada aku, pengawal dan bibik.
Aku keluar dari bilik air sambil tangan mengesat rambut menggunakan tuala sambil bernyanyi lembut. Pengering rambut dihidupkan dan aku menghalakan itu ke kepala. Biarkan hanya separa kering sebelum aku terus menuju ke arah almari untuk mengambil baju tidur.
Namun langkahku terhenti saat sekali lagi telingaku mendengar seolah-olah pintu gelangsar itu ditekan dari luar. Cuma disebabkan bilik ini cerah dan di luar juga cerah, maka aku tidak dapat melihat apa-apa kecuali bunyinya. Tirai yang menutupnya juga statik kerana tiada kehadiran angin di dalam bilik ini kecuali pendingin hawa.
Ya Allah! Tak akanlah sekali lagi? Berturut-turut?
Entah kenapa berbanding berlari keluar dan menjerit meminta tolong, aku dengan tak berfikir dua kalinya terus berlari ke arah dinding di sisi pintu gelangsar. Sempat tanganku menarik pasu bunga yang memang tinggal satu di sudut sebelah sana selepas yang satu lagi dipecahkan oleh Jebat semalam.
Pasu itu digenggam erat sebelum alat kawalan lampu ditekan. Bilik ini gelap, namun aku tidak dapat melihat bayangan di sebalik pintu gelangsar kerana posisi aku sekarang.
Aku ingin cuba mengintai, tapi aku takut jika dia melihat aku.
Pasu digenggam semakin erat saat pintu gelangsar kedengaran terseret ke arahku tanda pintu telah berjaya dibuka.
Sebelah kaki melangkah ke dalam bilik. Aku bersedia untuk menghayun pasu.
Sepasang kaki melangkah masuk dan aku terus menghayunkan pasu itu sekuat hati ke arahnya. Namun pada waktu itu juga baru mataku menangkap dan otak ini menganalisi wajah pencerobohnya. Jebat!
Terlambat! Tanganku sudah punya terlalu banyak daya dan aku tidak boleh menghentikannya.
Prang!
Pasu itu mendarat dan pecah. Bukan mendarat pada tubuh Jebat, tapi di atas lantai saat Jebat terus menggenggam lenganku dan pasu itu terlucut jatuh. Sekali lagi lantai menjadi mangsa kami.
"Jebat..." Bibirku menyebut namanya sebelum aku terus menyentuh dada dengan tangan yang bebas.
Hampir gugur jantung aku dibuatnya. Sudahlah aku ingat bilik ini dimasuki penceroboh lagi, kemudiannya aku fikir dia akan tercedera kerana aku pula.
Jebat melepaskan tanganku sebelum dia mengisyaratkan aku untuk berundur menjauhi pecahan pasu itu. Jebat masuk ke dalam bilik lalu mengambil penyapu dan penyodok yang memang sudah sedia ada di situ memandangkan aku memang tidak boleh melihat ada sedikit pun sampah di atas lantai. Kesemua pecahan kaca dikemaskan lalu dibuang ke dalam tong sampah kecil di sudut bilik.
"Kenapa tak tidur lagi?" Jebat menyoal dalam langkahnya yang dibawa ke arah aku semula.
"Tidur? Itu yang awak tanya dulu selepas menceroboh masuk ke dalam bilik ini macam penyangak?"
Dia hampir beri aku serangan jantung kerana ini. Baru semalam aku diserang, hari ini dia membangkitkan ketakutan itu semula. Punyalah banyak pintu dalam rumah ini, kenapa kena masuk melalui pintu gelangsar? Tambahan lagi, bilik ini terletak di tingkat dua!
Jebat senyap.
"Awak hampir buat saya cederakan awak tahu tak?!"
Berkerut dahiku bila amarah tadi hanya disambut dengan sengihan seakan aku baru saja berlawak.
"Jebat, awak..."
"Aku nak tengok macam mana dia orang boleh panjat naik ke sini. Struktur binaan ke bilik kau sangat-sangat tak selamat, Adara. Orang yang boleh buat rock climbing akan senang-senang saja menceroboh masuk ke dalam bilik ini. Pagar balkoni itu, campak saja alatan yang bercangkuk dari bawah dan siap. Tinggal panjat."
"Macam mana kalau masa awak buat semua itu tadi, pengawal fikir yang awak penceroboh dan apa-apakan awak? Pengawal baru itu ada senjata." Apa yang Jebat beritahu tadi aku acuhkan saja. Aku tetap marahkan dia.
Jebat menjongket bahu. "Sekurang-kurangnya kita tahu yang dia orang buat kerja."
Apa?!
"Kalau dia orang tembak?" Mulalah suara aku tertekan-tekan menahan geram.
Dia sedar tak apa yang senjata itu boleh lakukan?
"Mati atau masuk hospital."
Aku hampir menangis mendengar balasan Jebat. Nampak sangat yang dia tak peduli dan hanya ambil ringan segala yang mampu berlaku tadi.
Jebat mengangguk perlahan sebelum dia melangkah ke arah meja solek. Hoodie dipakainya terus ditanggal dan diletakkan atas meja itu. Mungkin dia akan memakai semula baju itu nanti.
"Dia orang tahu yang aku balik. Dia orang juga tahu aku yang panjat ke bilik kau tadi," katanya. Dia bertukar ke seluar pendek.
"Pengawal peribadi saya?"
Jebat menggeleng. Aku pasti itu membawa maksud yang mereka tidak tahu.
"Jebat..."
"Aku dah sampai atas pun, Adara." Jebat memotong sambil memandang aku setelah hanya dibaluti seluar pendek semata-mata.
"Bila ayah balik, aku akan minta izin untuk pecahkan balkoni itu. Tak perlu ada balkoni lagi. Pintu gelangsar itu pun perlu dibuang sama. Sangat mudah untuk dipecah masuk."
Buang balkoni?!
"Awak nak bagi bilik saya jadi macam penjara ke?"
"Kalau kau nak selamat, itu saja jalannya."
"Tanpa tingkap?"
Jebat mengangguk. Tanpa tingkap juga.
"Tapi..."
"Tak ada tapi, Adara. Aku suami. Kau isteri. Dengar dan ikut cakap aku. Untuk ini, tak ada bantahan atau rundingan."
Terus senyap aku bila diberi titik noktah seperti itu. Tambahan pula dengan mukanya yang terus berubah garang, suara yang semakin tegas dan pandangan yang semakin tajam. Aku takut untuk cuba membantah lagi. Pilihan yang ada hanyalah menerima sebab aku yakin ayah akan terima segala saranan Jebat.
Selamat tinggal kepada balkoni dan pemandangan cantik di setiap pagi.
"Macam mana awak boleh panjat sampai ke atas?"
Aku mula mendekati Jebat yang masih berdiri memandang aku sedari tadi. Ini belum lagi aku tanya macam mana dia boleh ada di sini, padahal baru petang tadi dia beritahu yang dia tak akan balik sampai esok malam.
"Told you, anyone with the right skills or gear could do it."
"Dan awak ada alatan itu?" Tapi tadi dia tidak bersama apa-apa barang. Hanya sehelai sepinggang.
Jebat tersenyum kecil. "Alatan apa? Skill is enough."
Terus terkebil-kebil mataku. Kiranya Jebat memanjat naik ke sini hanya dengan tangan dan kaki sendiri tanpa memerlukan bantuan peralatan seperti yang dikatakannya tadi? Ke tingkat dua rumah banglo ini?!
"Awak tak jatuh atau cedera?" soalku.
Lampu terus dihidupkan kembali sebelum aku merenung tubuhnya dari hujung rambut ke hujung kaki bagi mencari mana-mana kesan kecederaan jika ada.
"Adara, aku..." Hilang suaranya bila aku terus berlari dan tubuhnya dipeluk erat. Keras seketika tubuh Jebat, tapi aku tak peduli.
Aku hanya rasa begitu lega yang dia sama sekali tidak menunjukkan ciri-ciri orang sedang menahan sakit. Tubuhnya juga sempurna seperti kali terakhir aku melihatmya. Dia berjaya menghentikan serangan aku walaupun aku tak tahu bagaimana dia melakukan itu dengan kelajuan ayunan aku tadi.
Dan yang paling penting, dia ada di sini menemaniku.
"Awak buat saya takut macam nak mati," luahku separuh berbisik di dadanya. Kerana hanya di situ paras tubuhku.
Mata dipejamkan sambil nafas diatur tenang saat tangannya naik membalas pelukanku. Sebelah tangannya melurut rambutku dan sebelah lagi melingkari pinggangku.
"Awak kata awak kerja." Aku berbisik lagi. Dalam posisi yang sama. Masih tenggelam mendengar indahnya deruan nafasnya.
"Kau kata, kau takut."
Dahi berkerut sesaat. "Jadi awak balik sebab saya takut?"
Aku terus mendongak bila Jebat tidak membalas apa-apa. Elok saja memandangnya, mata kami terus bertentangan seolah dia memang sudah siap menunduk untuk memandang aku.
"Sebelum subuh aku kena keluar semula. Aku boleh temankan sekejap aje." Tak menjawab soalan aku secara terus, tapi ini juga bermaksud bahawa dia sedang mengeyakan.
Aku mengangguk faham. Sekejap pun sekejaplah.
Aku mengundur diri bila akhirnya suasana kembali bertukar tenang. Tiada lagi aku yang ketakutan seperti tadi.
"Kenapa kau pakai bath robe aje ini?"
Aku terus tunduk memandang tubuh sendiri. "Oh, saya baru lepas mandi."
Dahinya berkerut sedikit. "Betulkan bath robe itu."
Aku mengemaskan bath robe. Talinya diketatkan walaupun memang sedari tadi sudah begitu. Kemas saja.
Eh, sekejap.
Tanganku terhenti dan mata terus naik memandangnya semula.
Dua ulas bibirnya sedikit berjarak. Matanya kuyu memandang aku. Nafasnya sedikit tak keruan.
Ini...
"Aku ke dapur. Pakai baju."
Tak sempat mahu membuat kesimpulan, Jebat sudah berlalu ke arah pintu bilik selepas mengarahkan aku untuk memakai baju.
Keluar saja dia, aku terus melompat ke atas katil dan menumbuk-numbuk bantal.
Tadi itu...
Argh! Terlepas peluang keemasan! Dia sudah Menunjukkan ciri-ciri kejantanannya dan aku lambat faham!
Arghhh!
...
Peminat Hail, mesti dah mula berbunga dengan Jebat kan? Hahaha!
Share this novel