AKU memandang kad jemputan yang baru beberapa jam lepas diberikan oleh ayah. Nama pengantin tertera di situ, Haikal dan Wana. Majlis akan berlangsung pada malam ini. Bermula selepas maghrib. Majlis yang singkat waktunya dan hanya yang menerima undangan boleh masuk ke dalam.
Kerana ini jugalah ayah minta aku yang pergi sebagai wakilnya. Yalah, ayah kan sudah tak larat lagi. Lagipun ayah kata ia selamat untuk aku kerana majlisnya tertutup. Aku bersetuju, tapi aku akan membawa Akim bersama sekiranya apa-apa berlaku di sana.
Pada mulanya, ayah tak bersetuju dan meminta Sumitha untuk menemani aku. Tapi Sumitha sibuk dan aku tak mungkin mahu keluar bersendirian. Jadi ayah terpaksa akur memandangkan jemputan ini memang untuk dua orang saja.
"Ini ya hotelnya itu, cik?" Akim yang sedang memandu, menyoal sambul menuding ke arah hotel yang berdiri gah di sisi kami.
"Betullah ini."
Akim terus memberi signal sebelum kereta membelok masuk ke kawasan hotel. Setelah bertanya, akhirnya kereta masuk ke kawasan parkir. Kami berjalan menuju ke dewan yang dari jauh sudah terlihat sepanduk dengan nama pengantin bersama kotak hadiah yang sedang dipeluk Akim.
Kad diserahkan kepada penyambut tetamu sebelum kami masuk ke dalam. Aku mencari tempat meletak hadiah.
Oh, itu dia. Ada anggota keluarga mereka sedang berdiri di situ sambil menyambut tetamu yang datang memberi hadiah.
Baru aku nak menegur lelaki tua yang bertongkat itu, tiba-tiba seorang lelaki muncul menegurnya terlebih dahulu. Aku terpaksa berundur dan menunggu.
"Arrayan?" Aku mendengar lelaki tua itu menyebut sepatah nama yang penuh gaya. Senyumannya melebar.
"Saya, pak cik." Suara lelaki yang disapa itu pula menyahut.
"Wah, usahawan muda yang bukan main sibuk sekarang sudi mencuri masa untuk datang ke majlis anak pak cik. Tak sangkanya." Bahu lelaki itu ditepuk-tepuk suka sebelum tiba-tiba mata lelaki tua itu berlabuh pada seraut wajahku.
"Adara?"
Aku terus menguntum senyuman sebelum ikut melangkah ke arah mereka.
"Hi, pak cik. Apa khabar?" Aku tersenyum manis sambil menyapa lelaki tua itu. Sempat aku bersalaman dengan wanita tua yang berdiri di sisinya. Itu adiknya.
"Alhamdulillah. Baik-baik aje. Sekarang dah tambah satu kaki. Tahun depan, mahu tambah satu lagi. Dapat empat dah. Isteri tak ada, tapi kaki empat. Berpoligami dengan kaki. Kamu ada?" Pak cik memandang lelaki yang berjarak sedikit di sebelahku. Mengusik.
Lelaki itu hanya tersenyum. Lelaki kepercayaan ayah. Agaknya dia pun mengenali pak cik ini, sebab itu boleh terkandas di sini juga.
"Oh, pak cik..." Aku terus menggamit Akim yang seperti nak terkencing berdiri di belakang sana. Tiba-tiba pula dia kecut semacam.
Entah apa-apalah dia ini.
Akim meletakkan kotak hadiah ke atas meja sebelum poketnya diseluk dan satu sampul surat diberikan kepada aku.
Aku terus menyerah sampul surat itu kepada pak cik.
"Apa ini, Adara?" soal pak cik.
"Itu hadiah untuk pak cik daripada ayah. Ayah tak sihat, jadi dia tak dapat hadir sama. Dia minta saya berikan sampul ini. Saya pun tak tahu apa isinya."
"Oh, yalah kalau dah macam itu. Kirim salam pada ayah kamu. Nanti pak cik pergi melawat dia. Kamu berdua, eh bertiga ini pergilah makan. Ada meja kosong di depan sana."
Aku terus memandang lelaki di sebelahku. Dia sedang memandang pak cik, tapi apa pula kena mengena aku dan dia. Kami datang asing-asinglah. Berdua saja! Akim dan aku.
Tapi lantaklah.
Aku meminta diri sebelum kami melangkah ke arah meja kosong yang terletak sedikit ke belakang. Tak mahu terlalu berdekatan dengan tempat mengambil lauk-pauk. Menyesakkan.
"Akim, awak pergilah ambil makanan awak dulu," kataku sambil membetulkan dress yang tersarung pada tubuh sebelum melabuhkan duduk sebaik saja Akim berlalu ke meja bufet.
Baru nak mengeluarkan telefon, tiba-tiba kerusi di sebelahku ditarik. Seorang lelaki melabuhkan duduk di situ.
Siapa pula dia ini?
Agaknya sedar akan kehairanan pada wajahku, terus lelaki itu tersengih.
"Adara dah lupa saya ya?" katanya.
Lupa? Kami pernah kenal ke?
Aku memandangnya lama sebelum akhirnya aku menggeleng lambat-lambat.
"Siapa awak?"
"Saya Azuan. Amethyst? Adara dah lupa?"
"Amethyst?"
"Ya, nama kelas kita masa sekolah menengah dulu. Amethyst." Dia mengangguk.
Azuan, Amethyst dan sekolah menengah? Aduhai, aku tak ingat! Yang Amethyst dan sekolah itu ingatlah. Tapi dia ini siapa pula? Aku ini sudahlah tak pandai mengingat nama.
"Oh, Azuan." Tapi berlakon ajelah!
"Saya faham yang muka saya ini awam aje. Tak ada apa yang istimewa untuk diingat sampai dewasa."
Eh, merajuk pula dia!
"Saya minta maaf, tapi saya memang tak berapa ingat melainkan kawan-kawan yang selalu dengan saya," balasku.
Azuan terangguk-angguk. "Faham. Lagipun dulu Adara sangat introvert. Tak bergaul sangat dan fokus belajar. Budak pandailah katakan."
Aku buat-buat tergelak. Tak tahu nak buat apa dah! Kekoknya. Akim cepatlah datang!
Doaku seakan termakbul bila kerusi di sebelah aku yang satu lagi pula ditarik. Cuma bukan Akim, tapi lelaki kepercayaan ayah. Dia melabuhkan duduk di situ dengan muka dingin tanpa segaris senyumannya. Bibirnya rapat menyentuh sesama sendiri. Nampak dingin, sombong dan angkuh, namun bergaya dan seksi.
Berbaju Melayu hitam.
Sumpah aku tak pernah melihat orang yang boleh membuatkan baju Melayu jadi secantik dan seksi ini. Oh, dia yang buat kerana dia yang seksi, sebab itulah orang lain tidak seperti dia!
"Adara tengah buat apa sekarang?" Azuan kembali menyoal.
"Saya penganggur terhormat." Tak bergurau sebab ini memang betul!
"Bukan ke Adara sambung medic dulu?"
Aku mengangguk. "Macam itulah. Tapi bukan rezeki kut untuk teruskan dalam bidang itu."
Aku hanya berbasa-basi menjawab. Tak mahu menceritakan tentang apa yang berlaku dalam hidupku pada orang asing. Walaupun dia bekas rakan sekelas, ada sebabnya kenapa ia dipanggil 'bekas.'
"Ya ke? Masa hari reunion tahun lepas, ramai orang bercakap tentang Adara. Ramai juga yang rindu untuk tengok Adara. Terutamanya lelaki. Macam saya."
Erk!
Kawal muka, Adara! Kawal! Jangan tunjuk sangat yang kau sudah mahu termuntah di sini! Kawal!
Aku mengerling ke sebelah. Lelaki kepercayaan ayah. Dia sedang mengetuk-ngetuk jarinya pada permukaan meja sambil tetap senyap begitu.
"Adara masih bujang?"
Aku terus memandangnya semula. Bujang? Adakah ini cue untuk mengorat?
"Saya..."
"Cik!" Tiba-tiba Akim muncul bersama dua pinggan yang ditatang sambil tersengih mesra. Tapi elok saja matanya berlabuh pada lelaki kepercayaan ayah, terus kemesraan itu bertukar jadi sedikit teragak-agak.
Apa yang menakutkan dengan lelaki ini?
"Saya ada bawa nasi untuk cik. Nasi minyak, ayam masak ros, daging dan sayur sikit." Akim berura untuk meletakkan pinggan itu di atas meja, namun aku segera menghalang.
"Awak duduk sini, saya duduk sana." Pinggan bertukar tangan sebelum aku terus berlalu ke kerusi bertentangan. Ada enam kerusi dan aku diapit oleh kerusi kosong.
Baru hilang rimasnya!
Akim teragak-agak mengambil tempat duduk yang aku tinggalkan tadi.
Aku berbismillah sebelum mula menyudukan makanan ke dalam mulut. Lama betul tak merasa nasi minyak ini. Bukan senang ayah nak melepaskan aku ke tempat yang ramai orang seperti ini.
Rasa diperhati, aku terus mengangkat kepala. Mata bertentangan dengan aura terkuat yang memanggil-manggil aku untuk memandangnya tadi. Lelaki kepercayaan ayah itu sedang memandang ke arahku. Tiada senyuman, pandangan yang tajam rahangnya seakan sedang diketap.
Aura yang sedikit lemah, Azuan. Dia sedang memandangku bersama senyuman nipis.
Dan yang langsung tak mempedulikan aku walaupun tugasnya untuk menjaga aku malam ini, Akim. Dia sedang khusyuk mentekedarah macam nak terus masuk ke dalam pinggan itu.
"ADARA!"
Baru aku mahu mencari Akim yang sudah lama menghilang sejak meminta izin untuk ke tandas tadi, tiba-tiba namaku dilaung oleh suara yang aku kenali. Suara Azuan.
Aku memandangnya yang sedang berjalan laju ke arahku. Senyuman di bibirnya terukir manis sambil membimbit beg kertas bersaiz sederhana.
"Adara dah nak balik?" soalnya.
Aku mengangguk. "Tapi saya kena cari Akim dulu. Dia ke tandas tadi."
"Oh, saya temankan kalau macam itu. Laluan nak ke tandas itu sunyi."
Teman? Boleh kut. Rasanya aku boleh mempercayai lelaki ini. Lagipun hotel ini masih ramai orang dan tetamu.
Kami berjalan ke arah tandas yang terletak di luar dewan. Entah kenapalah hotel ini asingkan tandas dengan dewannya. Dua dalam satu kut. Senang tetamu nak menggunakan tandas sementara menunggu waktu bagi mendaftar masuk. Yalah, sekarang waktu daftar masuk biasanya jam 3! Kena keluar jam 11 atau paling lambat jam 12!
Dari jauh aku sudah boleh melihat dua orang lelaki yang sedang berdiri beberapa kaki jaraknya daripada pintu masuk tandas.
Seorang sedang tertunduk sambil menggeleng dan mengangguk seperti seorang pesalah sedang dihukum, Akim. Seorang lagi pula berdiri tegak dengan sebelah tangan mengepit putung rokok antara jari, sambil tangan yang sebelah lagi menepuk-nepuk bahu Akim, lelaki kepercayaan ayah. Nampak seperti seorang pembuli dengan mangsanya. Cara dia menepuk itu seolah sedang mengugut atau memberi amaran.
Aku segera merapati mereka.
"Hei, awak!"
Mendengar saja suaraku, terus kedua-dua lelaki itu memandang ke arah aku. Akim kembali memandang ke lantai, tapi lelaki seorang lagi itu tenang saja menghembus asap rokoknya sambil mata menyorot langkahku.
"Awak buli dia ya?" Aku menyoal terus ke muka lelaki kepercayaan ayah itu dengan dahi berkerut geram.
Tanganku terus menarik hujung lengan baju Akim untuk menariknya, namun tangan lelaki itu yang masih terletak pada bahu Akim terlebih dahulu menarik Akim beberapa langkah ke belakang menjauhi aku.
Mata lelaki kepercayaan ayah itu berlabuh seketika pada Azuan yang berdiri di sebelahku sebelum sekali lagi asap dihembus, kali ini seperti sengaja dihembus kuat sehingga menerpa muka Azuan.
Biadabnya!
"Akim, dia cakap apa kat awak?" Aku menyoal Akim pula memandangkan lelaki kepercayaan ayah itu tak mahu menjawab soalanku.
"Tak ada apa, Cik Adara."
"Tak ada apa? Dah itu kenapa awak tertunduk-tunduk macam tengah menghadap agong ini?"
"Betul-betul tak ada apa, cik. Kami bersembang aje tadi. Saya tunduk, sebab saya hormati Encik Jebat."
Ya ke? Macam tak boleh percaya aje!
"Dia betul-betul tak buli awak?"
Mendengar soalan mendesak aku, lelaki itu terus tersengih senget. Seakan menyindir aku dengan senyuman angkuhnya.
Akim menggeleng. Mempertahankan jawapannya.
"Fine!" Aku terus mendekati Akim yang masih lagi berdiri di sisi Jebat. Nampak kontra ketinggian mereka kerana lelaki dingin itu terlebih tinggi.
Dengan tubuh yang sasa dan tinggi seperti itu, aku yakin berat badannya pasti lebih 90 KG.
"Jom balik," kataku sebelum hujung lengan baju Akim ditarik.
Tapi sedikit pun tak berganjak! Aku seakan sedang menarik tiang kerana ada tiang lain yang menahannya hanya dengan tangan pada bahu itu. Gila betul!
"Lepaskan dia," arahku pada lelaki itu.
Tapi dia hanya memandangku, tenang dan dingin.
Asap dihembusnya, cuma ke kiriku. Tidak mengenai mana-mana bahagian tubuhku atau dihala pada aku seperti yang dilakukan kepada Azuan tadi.
"Why should I?" Akhirnya keluar pun suara!
Tapi why should I? Sebab saya nak baliklah, duh!
Apabila asap dihembus sekali lagi, aku sudah geram. Walaupun dihala ke arah lain, namun ia menjengkelkan! Baunya busuk!
Tanganku terus naik mendekati bibirnya sebelum satu jentikan hinggap pada putung rokok. Putung rokok itu terlucut daripada bibir sebelum melayang di awangan seketika dan jatuh je lantai. Aku lantas memijak putung itu. Lenyap.
Keningnya terjongket memandangku. Pandangannya semakin dalam dan semakin tajam. Sengihan tadi terus mati.
"Kalau awak tak pandai membaca, biar saya tolong beritahu. Dekat depan tadi ada papan amaran untuk tidak merokok di dalam premis atau awak boleh didenda sebanyak RM 2000. Tapi melihat pakaian awak dan keangkuhan awak, saya rasa RM 2000 itu celah gigi awak aje."
Tanganku naik pula ke bahu Akim. Tangan lelaki itu yang masih ada di situ, terus aku tolak sehingga Akim bebas. Segera aku menarik Akim ke arahku.
"Tapi walaupun awak mampu, awak patut belajar untuk menghormati orang sekeliling dan tak hanya pentingkan diri sendiri seperti awak satu-satunya manusia yang hidup di dunia ini. Asap rokok itu kalau awak telan, tak apa sebab awak sorang yang akan kena. Tapi kalau awak hembus, ia akan membahayakan orang sekeliling. Secondhand smoker, pernah dengar? Penghidu asap yang awak hembus itu dipanggil secondhand smoker. Contoh, isteri atau anak awak. Thirdhand smoker, segala asap yang ditinggalkan dalam suatu ruang yang boleh memberi kesan kepada seisinya. Contoh, baju awak akan berbau asap."
Putung rokok tadi terus aku tolak ke tepi. Untunglah di kawasan sini tidak menggunakan karpet.
"Jadi kalau dah gian sangat pun, silalah keluar ke tempat yang tak ada orang dan sedut asapnya sepuas hati." Aku menguntum senyuman mengejek sebelum memandang Azuan.
"Terima kasih temankan saya," ucapku.
"Eh! Ini untuk awak." Azuan menghulurkan beg kertas tadi.
"Apa ini?"
"Ada cookies sikit tadi. Tuan majlis suruh bawa balik. Saya tak makan manis. Perempuan selalunya suka benda-benda manis, terutamanya awak yang sentiasa manis."
Bibirku tersengih kekok bila mendengar pujian itu.
Beg kertas bertukar tangan sebelum aku mengucapkan terima kasih. Baru nak bergerak...
"Cik Adara." Suara lelaki kepercayaan ayah itu kedengaran memanggil namaku.
Namaku secara tiba-tiba bertukar menjadi nama yang begitu seksi saat disebut oleh suara yang begitu seksi itu.
Lelaki itu menyeluk tangan ke dalam poket baju Melayunya sebelum melangkah tenang ke arahku. Pandangan seksi dan tajam, bibir yang sedikit tersenyum, dia merapat dan semakin merapat.
"Feisty little stella." Dia berbisik sebelum senyuman semakin lebar.
Dahiku berkerut, namun tak sempat untuk bersuara lagi, lelaki itu sudah mengangkat kaki dan berlalu terlebih dahulu.
Stella?
...
Untuk yang tak tahu atau mungkin tak ingat, gelaran Adara diambil daripada nama seorang pembaca yang bernama Stella.
Share this novel