TAK akan kacau apa kebendanya. Elok saja aku mencelik mata kerana dikejutkan oleh Jebat, tahu-tahu saja tanganku sudah sedap memeluk perutnya. Kepala yang tadinya elok berbantalkan lengan sudah bertukar dengan dadanya. Lagi terkejut bila sewaktu aku mamai dan dalam mengeliat itu, boleh pula mendarat satu kucupan tak sengaja di lehernya.
Bukan kucupan tapi lebih kepada tergesel kerana posisi kepala aku yang betul-betul di dada berdekatan lehernya.
Kerana malu punya pasal, aku buat-buat tak faham saja dan terus bangun seperti tiada apa yang berlaku. Tarik tuala dan baju lalu masuk ke dalam bilik mandi. Waktu itu barulah aku menjerit dalam hati dan melompat-lompat menahan segan di dalam itu.
Nasib baiklah dia tak ada cakap apa-apa dan terus bersiap. Selepas solat, barulah kami keluar. Pertama sekali, singgah makan di restoran berdekatan sekejap. Makan malam. Sebab Jebat kata, fire show itu akan bermula pada jam 9 di Pantai Teluk Nipah.
Semasa fire show berlangsung, aku hanya tekun melihat segala jenis pertunjukan yang dipersembahkan mereka. Api keluar ikut mulutlah, apalah. Padahal mereka memyemburkan minyak entah apa pada api yang dibawa saja. Kadang-kadang aku akan bertepuk tangan penuh teruja bila ada sesuatu yang hebat dilakukan mereka.
"Kau ini jakun betul aku tengok. Tak akan tak pernah tengok fire show?" soal Jebat yang tenang duduk di sebelahku sambil sesekali menyisip air mineral botol besar yang dibeli semasa dalam perjalanan ke sini.
Aku memandang Jebat. "Memang tak pernah pun."
Agaknya terkejut dengan jawapan aku itu, terus dahi Jebat berkerut hairan.
"Sekali pun tak pernah?"
Aku menggeleng. "Tengok dekat media sosial, video apa semua itu pernahlah. Tapi tengok depan mata tak pernah. Ayah tak bagi."
Terus senyap lelaki itu selepas menerima jawapan aku. Aku rasa Jebat masih bertimbang-timbang sama ada nak mempercayai aku atau tidak. Tapi ikutlah nak percaya ke tidak sebah itulah hakikatnya. Aku tidak menipu. Ayah tak pernah izinkan aku ke tempat seperti ini yang penuh dengan orang, lagi-lagi pada waktu malam.
Sejak kejadian gangguan pertama itu berlaku, langsung aku tak dapat ke mana-mana. Kecuali jika ada hal penting atau atas arahan ayah, aku perlu keluar diiringi enam orang pengawal peribadi.
Aku memandang Jebat sekali lagi. Tersenyum bibir ini bila rupanya dia masih memandang aku.
"Saya tak peduli kalau awak tak ikhlas berkahwin dengan saya, awak tak sukakan saya atau apa saja, tapi saya gembira bila jadi isteri awak. Sekurang-kurangnya saya dapat rasa hidup macam ini. Macam orang lain. Ini pertama kali saya berjalan dan bersiar-siar di tempat awam pada waktu malam tanpa pengawal. Malahan sebelum ini walaupun ada pengawal pun saya tak pernah dapat ke tempat macam ini." Aku tersengih di hujung kata. Rasa malu pula nak bercerita.
"Hidup saya membosankan, betul tak? Anak orang berada, cantik, tapi tak ada kebebasan. Saya macam burung dalam sangkar. Diberi makan minum, tapi tak pernah dilepaskan untuk terbang bebas." Aku mengeluh pula sebelum tak lama kemudian, senyuman kembali terukir.
"Tapi saya tak salahkan ayah atau sesiapa. Saya percaya yang ayah hanya nak pastikan saya selamat dan tak ada siapa boleh ganggu saya lagi. Kalau arwah mama masih hidup, mesti mama pun sokong apa yang ayah buat. Lepas semua yang berlaku dan ayah minta awak untuk mengahwini saya, saya makin percaya yang semua orang sedang melindungi saya."
Senyuman paling lebar diberikan sebelum aku kembali memandang hadapan. Pertunjukan masih berlangsung dan aku hanya menyaksikannya dengan bibir tak habis-habis tersenyum kagum.
Aku menunduk bila pandang sisi mata menangkap kelibat tangan Jebat yang memegang sesuatu dihulur kepada aku. Jebat sedang menghulurkan botol air mineral.
"Minum. Dekat sini panas, haus." Sepatah.
Dalam hairan kerana aku masih tak rasa dahaga, aku menurut juga arahannya. Terus mengambil botol itu sebelum meneguknya.
Aku berterima kasih sebelum kembali memandang mereka di depan sana. Mata melihat tak hanya pertunjukan, tapi suasana yang penuh ceria dan gegak-gempita. Semua bersorak, bersembang dan berseronok. Buat kali pertamanya, aku rasa hidup.
Selepas pertunjukan, Jebat membawa aku untuk bertenang di tepi pantai seketika. Atas permintaan aku juga sebenarnya. Aku sudah minta awal-awal untuk lihat suasana di tepi pantai.
Ada ramai orang, tapi berjarak. Pantai ini tidak sunyi walaupun sudah malam hari. Mungkin kerana ini lokasi pelancongan dan hari ini hari Sabtu.
Baru aku nak melarutkan diri dalam angin malam ini, tiba-tiba terasa seakan ada yang mendekati aku dari arah belakang. Seakan ada yang sedang duduk di belakangku.
Jebat.
Hai, nasib baiklah dekat sini tak ada pasu. Kalau tak, mahu dia kena mengemas lagi seperti malam semalam.
Jaraknya semakin dekat. Dekat dan dekat lagi sehinggalah tubuhku terletak di antara kedua kakinya yang sebelah menongkat tanah dan sebelah lagi dilunjur. Lagi mengejutkannya bila aku ditarik hingga bersandar pada tubuhnya.
"Awak buat apa ini?" soalku. Seram pula jadinya. Sudahlah di tepi pantai tengah-tengah malam. Jangan dia kena sampuk pula sudahlah.
"Bersandar pada aku." Soalan aku diacuhkan. Dia siap mengarah lagi.
Tapi aku menurut saja. Tubuh terus dibiarkan bersandar pada tubuhnya walaupun aku rasa muka sudah panas tahap boleh goreng telur mata sekarang ini.
Aku memandang ke arah laut. Langit berwarna hijau di banyak tempat. Seakan dari jauh sana ada titik-titik yang menjadi punca kepada sorotan cahaya hijau itu.
"Apa cahaya hijau dekat sana?" Aku menyoal Jebat sambil menuding ke arah laut.
"Itu lampu bot nelayan."
Oh, begitu.
"Cantik warna lampu itu. Nampak macam baru ada ribut solar."
"Usaha setiap orang untuk mencari rezeki dan berjaya memang sentiasa cantik, Adara," balasnya. Ringkas tapi cukup padat.
Mereka masih turun mencari rezeki sedangkan orang sedang bersuka-ria di tepi pantai ini.
Tak sampai beberapa belas minit kemudian, angin terasa semakin kuat dan sejuk. Aku terus berpeluk tubuh sambil menarik-narik lengan baju supaya menutup tubuhku dengan sebaiknya.
Sedang begitu, tiba-tiba aku dipeluk dari belakang oleh Jebat. Tangannya melingkari tubuhku. Memeluk aku dengan tangannya yang besar. Terus terasa panas berhaba kawasan yang disentuhi tangannya. Lebih selesa.
"Awak..." Aku memanggil.
"Hm?"
"Siapa lelaki yang ada di restoran petang tadi?" Q. Lelaki itu.
"Kawan."
"Tapi dia panggil awak bos." Aku mendongak sedikit bagi memandangnya. Hanya nampak rahang kerana dia sedang memandang ke laut.
"Sebab aku bayar gaji dia."
Oh, kiranya memang boslah itu. Mungkin dia sudah menganggap Q itu sebagai kawan.
"Apa kerja yang awak buat ya? Saya tak pernah tahu awak kerja apa, tapi yang saya tahu awak selalu sibuk dan duduk di negara orang sampai tiga ke empat bulan sebelum berpindah-randah."
"Aku uruskan syarikat. Bekerja bawah Arjuna."
Ha! Sama seperti yang aku baca di Google tempoh hari. Arjuna yang bakal menjadi chairman baru buat J.A.R. Pelik tak pelik, anak angkat yang dapat segalanya padahal anak kandung masih wujud. Tapi tak tahulah kalau memang itu kemahuan Jebat. Aku pun tak mahu masuk campur. Takut jika itu isu sensitif.
Elok dia boleh beri aku bersandar pada dadanya, tak pasal-pasal nanti ditolaknya aku masuk laut. Mood malam ini terlalu baik untuk dihancurkan.
"Jadi kita ke sini pun sebab kerja itu?" soalku.
"Kerja juga, tapi bukan yang itu. Kerja lain."
Kerja lain? Banyaknya kerja. Gaji sikit sangat ke kerja dengan syarikat keluarga sendiri sampai terpaksa buat dua kerja sekali gus? Kalau begitu, baik dia minta kerja dengan ayah. Aku yakin ayah boleh menawarkan gaji yang tinggi untuk orang yang berpendidikan dan berpengalaman seperti Jebat.
"Awak bekerja seharian itu pun sebab kerja yang ini?" soalku lagi.
Kerja yang membuatkan dia tak boleh balik dua malam. Tapi sudahnya balik juga dia. Siap angkut aku bersama.
Jebat tidak menjawab, tapi aku dapat rasa yang dia mengangguk. Tubuhnya bergerak.
"Tapi kan... kenapa awak tiba-tiba nak bawa saya ke sini ya?"
"Entahlah."
Entahlah? Itu aje?
Hailah, bosannya bercakap dengan orang yang tak suka bercakap ini. Entah-entah dia dipaksa oleh ayah atau uncle, merangkap bapa mentua aku itu. Tapi itulah, dia terlalu tenang untuk bergelar orang yang baru dipaksa.
"Awak selalu macam ini." Aku kembali mendongak memandangnya. Dan dia menunduk memandang aku.
Hai, hensem betul! Dari sudut mana pun hensem. Kalau akulah, pandang dari sudut bawah mesti sudah boleh nampak tiga lapis double chin.
"Macam apa?"
"Macam inilah. Orang tanya, tak nak jawab. Orang cakap pun balas pendek-pendek. Selalunya tak jawab pun."
Rasa macam ajaib pula hari ini. Tiba-tiba aku berani untuk mengeluh tentang perangai tuan badan. Mungkin kerana hari ini dia baik sedikit dengan aku.
Bibir Jebat tertarik sedikit. Senyum lucu.
"Kau nak ke suami mulut murai?"
Aku?
"Tak nak." Sebab aku tak suka orang bising-bising.
"Jadi?" Jebat menjongket kening. Seakan nak menyoal kenapa aku mengeluh tentang dia kalau aku tak suka lelaki bermulut murai.
"Saya tak suka orang yang bising, tapi saya suka kalau orang itu boleh jawab soalan saya tanpa kata, entahlah, tak tahulah, semualah, lah itu."
Dengusan terbit di celah dua ulas bibirnya sambil kepala mengangguk faham. Jebat tergelak sedikit.
"Ada soalan yang kita tak boleh nak jawab. Bukan sebab kita sengaja tak nak jawap, tapi kita tak tahu pun kenapa dan apa sebabnya sesuatu itu berlaku," terangnya.
"Oh, jadi awak tak tahu kenapa awak bawa saya ke sini?"
Jebat menggeleng. Menafikan.
Pula dah?
"Habis itu, kenapa? Jawablah..." Aku terus membetulkan tubuh dan tak lagi bersandar pada tubuhnya. Sebaliknya aku bersila menghadap Jebat sambil merayu jawapannya.
Tapi desakan itu hanya dibalas dengan senyuman nipisnya tanda dia memang tak mahu menjawab.
Hm, hampa lagi!
"Esok awak kerja pukul berapa?" Kerana hampa dengan soalan yang tidak dijawab dan dalam masa yang sama, tak mahu suasana terllau senyap, aku terpaksa membuka topik baru.
"Malam."
Terus berubah muka aku mendengar jawapan itu.
"Malam? Habis itu saya macam mana?" Tak akan dia nak meninggalkan aku sendirian di tempat seperti ini? Malam pula itu!
"Macam mana apa? Tidur ajelah sampai aku balik."
"Tapi saya takut. Kenapa awak tak cakap yang awak akan kerja waktu malam? Bolehlah saya bawa Sumitha untuk tidur dengan saya."
"Habis itu kalau dia tidur dengan kau, aku nak tidur mana? Depan pintu?"
Terus berbahang pipi bila dia sepertinya mahu tidur bersama aku. Padahal kalau diikutkan, dia boleh saja ambil dua bilik berbeza kalau situasi itu berlaku.
"Maksud saya, malam ini."
"Tidur aje. Aku keluar lebih kurang jam satu pagi dan akan balik sebelum zohor." Tapi dia tetap dengan pendirian sendiri. Tidur aje!
Senanglah cakap. Bukan dia yang kena bermacam-macam tragedi oktober itu. Karang ada orang panjat balkoni bilik hotel ini macam mana? Walaupun bilik kami terletak di tingkat 16, tapi tiada apa yang mustahil. Mungkin penceroboh itu adik beradik James Bond.
Aku yakin Jebat faham ketakutan dan kerisauan aku tanpa perlu aku menerangkan kenapa dan apa. Sebab sebaik saja aku senyap, tangannya terus melekap pada rambutku dan melurut helaian rambut sehingga ke hujungnya.
"Jangan takut. Jadi isteri aku, kau tak boleh takut. Kau kena kuat dan berani sebab aku ada untuk jaga kau. Aku sentiasa ada walaupun zahirnya aku tiada."
Zahirnya tiada?
"Awak bela saka ke?"
Pap!
Aduh! Dahiku dijentik. Syukurlah lembut saja kalau nak dibandingkan dengan apa yang jarinya boleh lakukan. Jari lelaki bertubuh sepertinya, besar! Kalau dia jentik betul-betul mahu benjol seminggu.
"Ya, aku bela saka. Saka-saka aku akan jaga kau. Jadi jangan takut dan tidur dengan tenang. Faham?" Tapi dia mengeyakan juga. Muka menahan geramnya memandang aku seperti mahu digigit-gigit kepalaku yang biul.
Hai, aku harap dia bergurau sajalah. Sebab aku tak boleh kata yang aku lebih takutkan saka berbanding manusia. Sebab tak disangkal lagi, dengan segala yang aku pernah lalui, manusia jauh lebih menyeramkan berbanding makhluk lain.
"Dah, sini. Bersandar semula. Ini malam terakhir aku dapat bawa kau keluar di sini." Jebat menarik aku semula untuk kembali membelakanginya.
Pucuk dicita ulam mendatang, laju saja aku mengesot sehingga kembali ke posisi tadi. Tubuh disandar pada tubuhnya dan aku terus tersenyum suka bila tangan Jebat kembali memeluk tubuhku. Tanganku naik menyentuh tangannya. Mengusap lembut melalui urat timbul yang begitu seksi.
Apa saja yang ada pada dia, semuanya seksi. Terlalu seksi, sampai aku yang terseksa!
Share this novel