Bab 2

Romance Series 18843

"ADARA."

Langkah aku terhenti bila namaku diseru oleh ayah yang berada di ruang tamu. Aku memandang ayah dengan kening terjongket sedikit.

"Ya?"

"Duduk di sini." Ayah menuding kerusi di sebelahnya.

Walaupun hairan, tapi aku menurut saja. Hajat nak ke dapur untuk mencari makanan dibiarkan seketika sebelum aku terus melabuhkan duduk di kerusi tadi. Tubuh dibawa menghala ke arah ayah.

"Dah makan malam?" soal ayah.

"Baru aje nak pergi makan tadi."

"Kenapa tak turun masa semua orang tengah makan tadi?"

Oh!

Aku terus tersengih.

"Ada kerja sikit." Tipu! Sebenarnya aku sibuk menggeledah bapa angkatku, Pak Cik Google tentang lelaki bernama Jebat Arrayan itu.

Dia bukanlah artis atau apa. Cuma adalah sedikit data tentangnya yang ada di situ memandangkan dia anak orang kenamaan. Tapi hairannya, kenapa data dalam Google itu mengatakan yang syarikat itu diberikan kepada anak angkat keluarga itu dan bukan dia?

Arjuna, dia anak angkat. Jebat, anak kandung.

Hairan, tapi entahlah.

"Hai, penganggur terhormat macam kamu ini pun ada kerja?" usik ayah.

Aku terus memasang muncung. Mulalah nak merajuk.

"Ayah yang tak bagi kerja. Kalau tidak, Adara mesti tengah sibuk jadi houseman di mana-mana hospital."

Ayah tersenyum. "Bukan tak bagi. Masanya belum sesuai. Ayah tak nak jadi apa-apa pada kamu. Tadi pun katanya ada orang cuba calit minyak dagu lagi kan? Di hospital itu berlambak mayat. Dibuatnya ada yang gatal buat ritual, berbotol-botol minyak boleh dapat. Kalau dicalit dekat kamu?"

Aku senyap. Bukan apa, tapi itu memang sudah jadi hujah ayah sejak kali pertama percubaan mencalit minyak dagu itu berlaku. Kali pertama tak silap pada dua tahun lepas semasa aku masih belajar. Kali kedua, baru-baru. Kali ketiga, tadi.

Percubaan pertama dan kedua dilakukan oleh orang yang sama. Yang ketiga ini berbeza.

"Lepas kamu kahwin nanti, mungkin ayah akan fikirkan semula untuk lepaskan kamu bekerja." Tiba-tiba ayah menambah.

Dan itu membuatkan mataku terus bersinar!

"Really?!"

Ayah menjongket bahu. "Hanya kalau Jebat kata ya. Dan hanya kalau kamu bersetuju untuk..."

"Adara setuju!"

"Hai?" Ayah sudah berkerut seribu. Pelik dan terkejut.

"Bila nak kahwin? Percepatkan!" tambahku.

"Ini sebab nak kerja atau..."

"Sebab dia terlalu seksi! Too sexy to resist!" Lalu aku terus membebel menceritakan alkisah kejadian tadi. Macam mana Jebat tiba-tiba menyelamatkan aku tanpa sedikit pun teragak-agak.

Argh! Seksinya!

"Kamu ini biar betul? Tak akanlah Jebat ada calit minyak dagu dekat kamu juga?"

Terus tergelak dibuatnya. Jebat? Minyak dagu? Dia itu tompang dagu saja sudah berderet perempuan nak jadi isteri. Susah-susah saja nak main calit-calit minyak dagu dan berdamping dengan syaitan untuk hal seperti itu.

"Adara betul-betullah, ayah. Adara setuju. Lagipun kalau lepas kahwin, Adara dapat kerja mesti seronok!"

"Ayah pilih Jebat sebab dia saja yang boleh jaga kamu. Macam mana dia boleh belasah tiga orang budak perempuan yang buli kamu tanpa fikir dua tiga kali, ayah yakin yang dia boleh buat perkara sama untuk lindungi kamu sekarang. Dan dia juga bukan calang-calang orang, Adara. Ayah hanya percayakan dia seorang dalam dunia ini untuk masuk dalam keluarga kita, sekali gus untuk ayah serahkan kamu."

Ah, tak perlu susah-susah nak beri alasan. Aku tak tanya! Yang aku tahu, aku nak kahwin dengan dia. Dia terlalu seksi untuk aku tolak. Terlalu jahat untuk dipandang sebelah mata. Dia Jebat Arrayan yang aku kenal sedari sekolah menengah, akan aku kahwini tanpa paksaan!

"Kalau tak ada apa-apa, Adara nak ke dapur dulu." Baru nak bangun...

"Kita buat majlis akad nikah masa hari jadi kamu." Ayah bersuara semula.

"Ha? Alah, tak seronoklah kalau nak sambut hari anniversary. Nanti sama dengan hari jadi. Hadiah pun mesti dapat satu aje!"

Ayah tergelak mendengar rengekan aku.

"Uncle kamu kata, Jebat yang minta untuk nikah masa hari jadi kamu. Tapi kalau Adara tak nak..."

"Nak! Adara nak! Lupakan aje pasal semua hadiah itu. Tak ada hadiah pun tak apa!" Aku lantas memotong dengan tangan terkipas-kipas ke kiri kanan supaya ayah tak pergi sampaikan penolakan aku kepada pihak sebelah sana.

Jangan! Takut dia marah kerana aku banyak songeh, tak pasal-pasal dia batalkan semuanya pula!

Tapi hari jadi aku?

Kiranya bulan depan? Hujung bulan depan? 28 haribulan sembilan? Kiranya congak-congak ada dalam sebulan lebih saja lagi.

"Sempat ke ayah?"

"InsyaAllah sempat. Kamu pergi ambil kursus kahwin segera. Buat permohon, pergi buat pemeriksaan kesihatan dan yang lain-lain biar ayah yang uruskan. Kamu anak bongsu, lepas ini tak ada lagi dah."

"Persiapan majlis macam mana pula?"

Tiba-tiba wajah ayah bertukar riak. Nampak serba-salah untuk menjawab soalan aku yang satu itu.

"Kenapa? Tak ada majlis ke?" Aku meneka.

"Jebat nak begitu," kata ayah.

Oh, jadi untuk tak ada majlis juga atas permintaan Jebat?

"Adara okay saja kan?"

Lambat-lambat aku mengangguk. Walaupun sebahagian hati mula fikir macam-macam, tapi aku tetap mengangguk. Kerana selain aku yang naik syeikh melihat tahap keseksian dia, aku juga bergantung pada dia untuk mendapatkan kebebasan bagi diri sendiri yang tak pernah aku terima sejak peristiwa gangguan pertama itu berlaku.

Gangguan aku dibuli oleh tiga orang budak sekolah sehingga ditampar bergilir-gilir. Cerita zaman sekolah menengah. Sejak itu, ayah mengajikan pengawal peribadi untuk aku dan mengambil tindakan terhadap ketiga pelajar itu walaupun hukuman mereka tidaklah besar pun. Sebab mereka budak sekolah, maka semuanya jadi mudah bagi mereka.

Hanya aku berharap yang aku tak akan bertemu lagi dengan tiga orang manusia itu.

Tersedar daripada lamunan, tiba-tiba ayah menghulurkan telefonnya kepada aku. Terkebil-kebil aku memandang ayah dan telefon di tangannya.

"Ayah call Jebat untuk kamu. Berbincanglah dengan dia," kata ayah.

Ha?!

Aku terus memandang skrin telefon ayah. Nama yang tertera di baca. Jebat.

Ayah! Orang tak kata pun nak bercakap dengan dia!

Nak kata seperti itu, tapi tak terlepas!

Akhirnya aku terpaksa mengambil telefon itu juga kerana takut untuk biarkan dia berlama menunggu. Elok saja aku berhelo, kaki terus berlari masuk ke bilik tetamu tingkat bawah yang tidak berpenghuni. Pintu ditutup dan aku menarik nafas yang sempat semput.

Bukan penat berlari, tapi jantung ini yang tiba-tiba kencang sangat seperti aku baru berlari dari Perth ke Kodiang!

"Hello?" Aku berhelo sekali lagi bila tiada balasan yang dapat aku dengar. Mana orangnya? Tak akan aku kena scam dengan ayah kut!

"Bagi aku nombor telefon kau."

Mak! Seksinya suara dia! Dalam dunia nyata memang semua sudah tahu. Tapi dalam panggilan pun sama?!

Aku terus membacakan nombor telefon aku. Padahal boleh saja aku ambil nombor dia daripada telefon ayah dan mesej dia kemudian. Tapi lantaklah! Sel otak tak berfungsi lagi selepas mendengar suaranya yang begitu seksi.

"Okay, I'll call you later."

Kejap! Nak tamatkan panggilan dah ke?

"Awak!" Aku segera memanggilnya. Tak mahu dia menamatkan panggilan ini lagi.

"Hm?"

Oh, nasib baik! Dia masih ada di hujung sana.

"Kenapa awak tak nak buat majlis untuk kita?" soalku.

"Kenapa, kau nak?"

"Eh, bukan macam itu. Saya tanya aje." Tapi saya sebenarnya memang nak! Melainkan kalau kita bercerai suatu hari nanti, bila lagi saya nak merasa naik pelamin!

Namun aku takut kalau aku jujur, nanti dia membatalkan semuanya. Harapan aku hanya dia! Tak akan kau nak menyondol Arjuna pula? Sudahlah lelaki itu pelik semacam. Mood dia bertukar-tukar macam jam berdetik. Aku takut dengan dia!

"Cobra! Kau..." Dan suara di hujung sana tiba-tiba meredam. Bukan suara Jebat. Suara orang lain. Lelaki.

Tapi siapa pula Cobra itu?"

Nama ular pula masalahnya. Dah tak ada nama lain ke nak guna kalau ya pun nak nampak gagah? Nasib baiklah nama dia, Jebat. Sudah tak payah nama pelik-pelik macam si Cobra itu. Jebat pun sudah gagah.

"Awak sibuk ke?" soalku.

Mungkin dia sedang bekerja atau bersama kawan-kawannya?

"Tak." Sepatah.

"Saya nak tanya juga, kenapa awak pilih hari jadi saya? Maksud saya, saya tahu hari jadi saya dah dekat. Tapi kenapa hari jadi itu? Dan macam mana awak tahu bila hari jadi saya?"

"Senang ke depan harinya. Nak beli hadiah, beli satu saja."

Cis! Persis seperti yang aku fikirkan tadi.

"Lain kali kalau tak nak orang tahu apa nama, bila birthday, jangan nak isi maklumat di Fac atau media sosial yang lain. Macam mana tak senang-senang orang cuba hantar sihirlah, calit minyak dagulah kalau semua maklumat kau boleh diakses semudah itu?"

Erk! Mana pula dia tahu aku ada Fac dan media sosial ini!

"Tapi semua itu private. Saya tak pernah buka untuk orang luar. Instagram saya pun ada 17 orang aje yang saya terima untuk follow akaun saya. Itu pun, enam orang pengawal, dua orang kawan, tiga saudara dan selebihnya keluarga dan saudara rapat saya."

"Adara..." Dia menyebut namaku. Cara sebut itu seperti sedikit menakan.

Aku mendengar keluhan dia. "Enam orang pengawal peribadi kau lebih kuat daripada satu batalion pekerja setiap syarikat media sosial itu. Sekarang semua di hujung jari. Kau tak tahu jari siapa yang berlegar pada papan kekuncinya untuk mencari data kau. Dan kau juga tak tahu kalau ada antara 17 orang itu yang hanya berlakon baik. Jadi cerdik dan jangan kongsi segala perkara yang kau buat dalam media sosial. Faham?"

Aku terkebil-kebil mendengar segala kata-katanya. Masyaallah! Aku rasa inilah kali pertama dia bercakap sebanyak ini dengan aku atau dengan orang-orang yang ada di sekeliling kami.

Rasa macam nak saja suruh dia cakap lagi banyak dan jangan berhenti sampai lusa. Biar semalaman aku boleh mendengar suara yang seksi itu.

Argh! Suaranya seperti nicotine, morphine, methamphetamine, cocaine dan heroin! Begitu mengkhayalkan dan menagihkan. Aku perlu digari dan disabit kesalahan kerana sudah begitu ketagihan dengan suaranya!

"Ada soalan lagi?" Dia menyoal.

"Oh! Satu lagi, macam mana dengan baju nikah? Awak pergi kursus kahwin dengan siapa? Boleh tak kalau pergi sama-sama?"

"Itu dah tiga soalan, Adara."

Hehe. Aku tersengih saja walaupun dia tak boleh melihat sengihan ini.

"Aku dah daftar dan bayar untuk ambil kursus kahwin. Minggu depan, khamis. Aku ambil kau di rumah."

Aku terus terlompat dan ternganga. Argh! Nak keluar bersama minggu depan?!

"Baju pula?" soalku. Dah tak ingat lagi tentang soalan terakhir itu. Semua soalan jadi yang terakhir walaupun selepas itu ada lagi soalan lainnya.

"Kita ke butik pengantin selepas kursus."

Argh, maksudnya kami akan bersama lama. Kiranya aku akan berpeluang untuk mendengar suaranya lebih lama berbanding ini. Oh Allah! Tak sabarnya!

"Okay!" sahutku.

Tak sempat mahu ucapkan apa-apa kata lagi, tiba-tiba panggilan tamat begitu saja. Aku memandang skrin telefon yang terus bercahaya dan memaparkan tempoh panggilan yang baru ingin mengorak ke angka 18 itu.

Macam itu aje dia tamatkan panggilan?

Sumpah, aku akan makan hati berlauk jantung bila kahwin nanti!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience