"AKIM, teman saya ke farmasi sekejap." Sambil melangkah menuruni tangga, aku memanggil Akim yang sedang duduk di atas sofa ruang tamu.
Mendengar permintaan aku, Akim terus berdiri sebelum pintu rumah dibuka selepas kunci kereta dicapai.
"Cik tak nak breakfast dulu?" soal Akim sebaik saja pintu kembali ditutup.
Aku menggeleng. "Breakfast dekat luarlah. Bosanlah kalau hari-hari makan makanan yang orang rumah masak."
Dapat makan ayam penyet pun sedap ini! Terus makan tengah hari itu. Dah hilang sarapannya. Haha!
Baru nak menuju ke kereta, tiba-tiba bunyi ngauman ekzos kedengaran sekali gus pagar rumah terbuka, dan sebuah Lamborghini membelok masuk ke dalam.
Jebat.
Hai, bila masa pula dia keluar ya? Aku tak sedar pula.
Keluar saja lelaki itu daripada perut kereta, dia terus memandang ke arah kami.
"Nak ke mana?" soalnya.
"Keluarlah. Kenapa?"
"Masuk. Aku hantar."
"Tak nak. Saya pergi dengan Akim. Akim, awak..." Eh? Mana pula Akim ini?
Aku melilau mencari kelibat lelaki itu sehinggalah mata mendarat pada pintu rumah yang sedang bergerak sebelum tertutup rapat. Dasar! Dia lari masuk ke dalam rumah awal-awal lagi rupanya!
Jebat sudah menjongket keningnya. Kalau dia bercakap, mungkin bunyinya begini. 'Akim yang mana? Tak ada siapapun?'
Pakej bunyi sarkastik dalam suara seksi dia itu!
"Jadi?" Jebat terus melangkah ke arah pintu penumpang. Berdiri di situ dengan penuh seksinya sambil menanti keputusan aku.
Erh, fine!
Masuk saja ke dalam kerata, Jebat terus membongkok sebelum tangannya menarik tali pinggang keledar. Masalahnya, tali pinggang yang ditarik itu adalah tali pinggang aku! Sudah tak pasal-pasal hidung hampir berlaga dengan lehernya bila dia sibuk membongkok tadi.
"Saya boleh buat sendirilah," kataku.
Jebat tak membalas, malahan aku hanya dikerlingnya sebelum Jebat masuk ke dalam kereta juga. Bila kereta bergerak, terus sunyi menyinggah di antara kami. Aku merenung paha, dia pula fokus memandu.
"Ini nak ke farmasi mana?" Lima minit berlalu, barulah Jebat bersuara.
Oh, ya! Aku lupa.
"Yang ada klinik sebelah dia itu. Lepas roundabout depan sana." Aku menuding ke arah yang dimaksudkan.
"Kau nak beli apa dekat farmasi?" soal Jebat sementara kereta berpusing mencari tempat meletak kenderaan.
Di sini memang sentiasa sesak. Selalunya Akim akan duduk di dalam kereta dan aku keluar bersendirian memandangkan sangat susah untuk mendapatkan kotak parkir.
"Ubat."
"Ubat apa?"
"Adalah. Yang awak banyak tanya ini kenapa?"
Terus menghelang mata Jebat bila mendengar balasan itu. Okay, aku terlalu kasar.
"Sorry." Tak sengaja!
Dua kali berpusing di tempat sama, sudahnya aku mengeluh sendiri. Ini tiga empat kali pusing pun belum tentu dapat parking kereta.
"Saya turun dululah. Awak tunggu aje dekat sini." Baru nak berura mencabut tali pinggang keledar, sebelah tangan Jebat sudah menjalar bagi menahan aku terlebih dahulu.
"Tunggu." Sepatah, dia mengarah. Tegas.
Sudahnya aku terpaksa menunggu lagi hinggalah rezeki timbul bila sebuah kereta mula mengundur keluar daripada kotak parkir. Elok saja kereta itu berlalu, Jebat terus membelok dan mengisi ruang yang ditinggalkan.
"Awak dari mana?" Sambil berjalan ke arah farmasi, aku menyoal Jebat.
"Gym."
"Saya tak perasan pun yang awak keluar?"
"Aku keluar lewat malam tadi."
"Kenapa awal sangat? Gym buka ke?"
Jebat mengerling aku. "Banyak gym 24 jam, Adara. Tapi aku keluar untuk kerja. Balik kerja baru singgah gym sekejap."
Oh, kerja.
Berdiri di pintu farmasi, aku terus menahan dia daripada ikut masuk sama. Walaupun Jebat sudah berkerut seperti tak berpuas hati, tapi aku hiraukan saja. Terus masuk ke dalam bersendirian sebelum menguntum senyum buat wanita yang berdiri di sebalik kaunter.
"Ada Zolterol 100mg SR itu tak?"
Wanita itu segera mengangguk sebelum menarik sepapan ubat daripada kotanya.
"Satu aje ke?"
"Bagi dua papanlah."
Selesai membayar, aku terus memasukkan ubat ke poket seluar. Menyorokkan itu daripada Jebat.
"Mana ubatnya?" Jebat menyoal sambil aku dipandang atas bawah seakan mencari bayangan ubat yang sudah disorok.
"Adalah. Jom, saya nak pergi kedai runcit pula." Aku terus berlari anak ke kedai runcit di sebelah sana tanpa memberi Jebat ruang untuk menyoal lagi. Padahal itu hanya ubat untuk masalah sakit badan ayah.
Muehehe.
Elok saja melangkah masuk ke dalam kedai, aku terus mengambil beberapa cawan yogurt perisa berry untuk disimpan dalam peti sejuk. Sebab ada orang itu dah sita yogurt kita!
Baru nak bergerak ke kaunter pembayaran, tiba-tiba seorang lelaki muncul di sebalik bukaan pintu berlabel No Entry di dalam kedai ini. Lelaki itu tersenyum lebar sambil melangkah ke arahku.
Tauke yang aku tak ingat namanya!
"Hi, Adara!" Dia menyapa mesra.
"Hai."
"Lama tak nampak. Adara sibuk ke?"
Aku tersengih. Sibuk apanya. Kerja aku menanam anggur saja di rumah itu.
"Tak adalah. Cuma saya tak ke sini aje."
"Oh, kalau macam itu Adara nak beli apa hari ini? Biar saya tolong ambil barangnya."
Tengok. Kan aku dah kata yang dia selalu menolong aku bila aku ke sini? Ingatkan itu layanan tauke kedai yang ingin menjaga pelanggan saja. Tapi bila Sumitha dan Akim memberitahu tentang surat itu, aku baru faham kenapa dia baik sangat.
"Tak apalah, saya dah ambil barangnya pun." Aku mengangkat yogurt. Isyarat yang inilah barangannya.
"Kalau macam itu, tak payah bayar. Saya belanja," balasnya.
Pula!
Baru nak menolak, tiba-tiba saja kedua-dua cawan yogurt di tanganku ghaib. Ghaib sebab Jebat terus merampas keduanya lalu dibawa ke kaunter pembayaran tanpa disuruh. Dia mengeluarkan kadnya dan membayar yogurt itu sendiri.
Tapi baguslah itu! Tak perlu aku susah-susah untuk menolak pelawaan lelaki ini.
"Itu bodyguard ke?" Jebat yang kembali semula kepada aku, dipandang oleh tauke kedai ini. Nampak hairan. Mungkin sebab dia tak pernah melihat Jebat bersama aku.
"Ini peker..." Kejap!
Kalau kata pekerja ayah, mungkin ke lelaki itu akan terus menghantar surat dan berharapkan aku? Adakah patut aku menepisnya awal-awal supaya tak menjadi barah di masa akan datang?
Aku memandang Jebat di sebelah.
Matanya tepat bersabung dengan mata tauke kedai ini. Mukanya tiada kemesraan sama sekali.
Mungkin sedar yang aku memandangnya, Jebat menoleh seketika. Berpandangan, aku lekas menguntum senyuman.
Tolong jangan malukan saya, Jebat!
Aku kembali memandang tauke itu. Senyuman paling yakin diukir.
"Ini suami saya." Jeng!
Wajah mesranya terus hilang, diganti dengan kerutan yang tidak dapat disembunyikan. Aku dipandang lama sebelum matanya naik memandnag Jebat di sebelah yang entah seperti mana rupanya sekarang.
"Suami? Sejak bila pula awak kahwin? Bukan ke awak masih bujang, Adara?"
"Saya tak pernah kata pun yang saya masih bujang. Malahan satu-satunya informasi tentang diri saya yang awak tahu hanya sepatah nama kan? Adara." Itu sahaja. Umur aku pun dia tak pernah tahu walaupun dia pernah bertanya.
"Tapi mustahillah sampai dah kahwin. Selama ini awak ke mana-mana dengan bodyguard aje, terutamanya Akim itu. Tak akanlah suami awak nak biarkan awak keluar dengan lelaki lain dan tak pernah muncul dalam lebih setahun perkenalan kita. Kalau saya jadi suami awak, saya tak akan biarkan isteri yang cantik macam awak berseorangan atau bersama lelaki lain." Lelaki itu masih cuba memerangkap aku.
Tapi soalan seperti ini mudah saja untuk ditepis.
"Dia..."
"Somebody said the exact same thing to me before. Tinggalkan isteri yang cantik."
Aku menoleh memandang Jebat yang sudah tersengih di hujung bibirnya.
Adakah Jebat mahu bermain sama?
"But as you can see, I'm a busy man. Nak berkepit dengan isteri 24 jam itu tak boleh nak dibuat selalu. Kan, si manja?" Dia tersenyum kepada aku.
Err, senyumannya menggoda!
Dengan mata yang masih memandangku, Jebat menyambung katanya.
"But worry not, I always keep my eyes on her. I see what she doesn't. A single touch from anyone intending to harm her will make me go berserk, and I'm certain nobody wants to see that."
Senyuman menggodanya mati, diganti dengan mata yang memanah tajam sebelum Jebat menoleh dan kembali menikam mata tauke kedai ini.
"Dan ini termasuk orang yang cuba untuk menyentuh hatinya walau dengan sekeping surat cinta."
Tangan Jebat naik menepuk bahu lelaki yang sudah terkulat itu beberapa kali sebelum dengan selambanya dia mengelap tangan sendiri pada baju. Seperti baru menyentuh najis!
Gosh, Jebat! Perlu ke kejam macam itu?
Tanpa salam, tanganku dicapai sebelum ditarik tanpa sempat aku mengucapkan selamat tinggal buat tauke kedai itu. Sebab aku yakin ini akan jadi kali terakhir aku ke kedainya. Aku tak akan berani tunjuk muka selepas apa yang berlaku hari ini.
Titik!
AKU mengetuk pintu bilik arwah mama dan papa yang sekarang sudah dihuni oleh lelaki kepercayaan ayah kononnya itu. Cubaan untuk menukar bilik gagal bila ayah tak membenarkan aku dan hanya kata 'bila tiba masanya' macam biasa.
Bila tiba masanya apa? Aku boleh berpindah ke bilik itu? Kenapa kena tunggu masanya tiba? Ada apa dengan masa?
Pintu diketuk sekali lagi bila tiada sahutan sama sekali.
Beberapa minit menunggu dan orangnya masih tak muncul, aku terus menunduk. Baru saja nak menyelitkan duit not 20 itu ke celahan pintu, tiba-tiba saja pintu terbuka.
Aku terus menegakkan badan semula.
Nasib baik tak tertonggeng ke belakang bila melihat pemandangan yang azab amat oleh lelaki yang sedang berdiri di muka pintu ini.
Bertuala paras pinggang hingga ke bawah lutut semata. Badannya sedikit lembab dengan air pada rambut yang merenik-renik.
"Argh!" Tanganku terus naik menutup mata sekali gus berpusing membelakangi dia.
Waduh, seksinya!
"Dah puas cuci mata baru nak menjerit ya?" Jebat bersuara. Mengejek tahap gaban!
"Pergilah pakai baju." Aku menghiraukan ejekan Jebat.
"Untuk apa? Aku tak pakai baju dalam bilik."
"Pakailah sekejap. Tak malu ke?"
"Nak malu apa? Aurat lelaki atas pusat sampai bawah lutut. Kain tuala ini lengkap menutup aurat itu."
Aku terus berpusing semula lalu memandang dia. Tak, lebih tepatnya ke arah tubuhnya. Pusat!
"Mana ada! Tu, tengok. Pusat awak masih nampak." Aku menuding ke perutnya.
Apa bendalah yang pusat pun nak dijadikan topik!
Jebat tersengih kecil sebelum bibirnya tersenyum segaris. Aku dipandang lama sebelum dia menyandarkan sebelah bahu pada bingkai pintu dan terus berpeluk tubuh.
"Aku tak ada batasan aurat dengan kau, Adara. Macam itu juga kau, tak ada batasan aurat dengan aku."
"Ha?"
"Tak ada apa. Kenapa ketuk?"
Oh!
Aku terus menghulurkan not 20 itu.
Tapi Jebat tidak mengambilnya. Malahan mata lelaki itu hanya mengerling sekilas sebelum aku kembali ditenung bagai tiada esok.
"Ini untuk yogurt yang awak bayarkan tadi. Saya lupa nak bagi balik duitnya."
Jebat senyap.
Namun senyapnya bukan senyap biasa. Tapi disertakan dengan senyuman yang terus mati dan wajah yang bertukar semakin serius. Matanya tajam bagai aku baru menggores egonya dengan ingin membayar harga yogurt itu.
"Awak janganlah pandang saya macam tu." Takutlah!
Duit yang aku hulurkan tadi diambil. Ingatkan dia memang betul-betul nak ambil, tapi sudahnya dia memasukkan pula duit itu ke dalam poket pyjama aku. Sampai terkulat-kulat aku jadinya.
"Kau tu di bawah tanggungjawab dan tanggungan aku. Apa yang aku keluarkan untuk membayar keperluan dan kemahuan kau, tak perlu dibayar semula."
"Dah kenapa pula saya tanggungjawab awak?"
"Jangan nak dekat-dekat dengan lelaki itu lagi. Aku tak suka."
Eh? Tukar topik.
Tapi lelaki? Tauke kedai itu ke? Kalau ikutkan situasi semasa, rasanya memang itu ajelah lelaki yang dimaksudkan.
"Tapi saya memang tak dekat dengan dia," balasku.
"Jangan bergaul dengan dia lagi."
"Kan dia yang tegur saya? Lagipun dia tauke kedai itu."
"Lantaklah tauke ke, pekerja ke, asalkan jangan bergaul lagi. Faham?"
"Dah kenapa awak nak atur saya?" Tak puas hati pula jadinya!
"Sebab aku ada hak untuk mengatur, Adara. Jadi jangan ke sana lagi. Ada beratus ribu kedai runcit di Malaysia ini, pilih saja satu tanpa tauke atau pekerja yang gatal dan tak sedar diri. Kau haram untuk mereka, kecuali aku. Kau juga haram untuk jatuh hati pada lelaki lain kecuali aku. Ingat." Daguku dielus seperti kucing sebelum dia terus menutup pintu bilik dan meninggalkan aku terpinga sendirian di luar ini.
Hak untuk mengatur? Pilih kedai tanpa tauke atau pekerja gatal? Haram?
Dah kenapa dia ini?
Eh, tapi!
"Awak!" Aku mengetuk pintu biliknya sekali lagi.
Tak lama menunggu, pintu kembali terbuka. Hanya sekarang dia sudah bertukar. Memakai seluar panjang tanpa baju.
Jebat memandang aku dengan kening dijongket.
"Awak sibuk?" soalku.
Jebat senyap. Mungkin dia mahu tahu punca aku mengetuk semula, barulah dia buat keputusan sama ada dia sibuk atau tidak.
"Lampu dalam bilik mandi saya tak menyala dan saya tak pandai nak tukar." Aku tersengih malu.
Jebat masih senyap. Hanya merenung aku.
Dia ini memang suka tenung aku macam itu. Seram.
"Kalau awak tak boleh tukar, saya minta tolong Akim..."
"Aku pakai baju dulu," potongnya.
"Oh, okay. Saya tunggu dekat dalam bilik."
Eh, kejap. Macam lain aje bunyi.
"Maksud saya, saya tunggu dekat dalam bilik mandi untuk awak tukar mentol." Okay, ini lebih baik.
Jebat tak mengangguk atau menggeleng. Dia hanya masuk ke dalam dengan pintu yang masih terbuka dan terus mencapai baju T di dalam almari.
Aku pula terus berlalu masuk ke bilik yang terletak bertentangan dengan biliknya. Sempat aku mengerling ke dalam bilik sesaat. Melihat dia yang sedang menyarungkan baju ke tubuhnya.
Makhluk yang satu ini begitu seksi! Lirikan matanya saja sudah mampu membuatkan jantung aku syahid.
Share this novel