Bab 3

Romance Series 18024

AKU segera berlari menuju ke pagar rumah bila melihat Lamborghini yang sedang terletak elok di depan pagar. Untung pula tadi aku buat keputusan untuk menyarungkan kasut saja. Tiada tumit lima ke tujuh inci seperti biasa. Hanya hari ini aku berbaju kurung dan berselendang kerana kursus sekejap lagi.

Berdiri di depan pagar yang masih tertutup, aku melihat Jebat sedang bersandar pada keretanya sambil memandang ke arahku. Berkaca mata hitam, berbaju T di dalam dan berjaket kulit hitam di luar.

Masyaallah anak orang yang seorang ini kan! Kau dah kenapa hensem sangat, Jebat oi!

"Hi!" Aku menyapa ceria sambil pagar yang mempunya bahagian kecil untuk orang keluar dan masuk itu dibuka.

"Masuk," arahnya sambil mengerling tempat duduk sebelah pemandu. Pintu ternaik seperti sayap dan aku terus berura untuk masuk.

"Encik! Encik tak boleh bawa Cik Adara ke mana-mana tanpa kami."

Srttt! Datang sudah peminat setia aku yang berenam itu. Enam-enam sekali gus berlari ke arah kami. Seorang lagi sudah siap dengan kunci Alphard ayah yang biasanya akan digunakan untuk menghantar aku ke mana-mana. Sebab itu saja yang muat untuk bala tentera ini.

Jebat senyap.

"Encik Jebat boleh ikut kami. Cukup untuk seorang lagi. Kami boleh berhimpit di belakang," kata Sumitha.

Aku memandang Jebat yang masih memandang keenam-enam pengawal peribadi aku itu. Seperti sedar yang dia sedang diperhatikan, mata kami bertentangan saat dia berkalih memandang aku. Aku menayangkan muka sedih.

Aku tak nak mereka ikut sama!

Jebat memandang mereka kembali. Dia menyeluk tangan ke dalam poket sebelum nafas dihembus tenang.

"Aku keluar berdua dengan dia. Tak ada siapa lagi selain kami," kata Jebat.

"Tapi Encik Jebat..."

"Aku dah minta izin pak cik," potong Jebat.

Pengawal peribadi aku terus berpandangan sesama snediri. Seperti hairan, mungkin kerana mereka tidak mendapat apa-apa maklumat tentang itu. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengeluarkan telefon.

"Kalau macam itu, saya call Datuk Zamrul dulu." Lelaki yang mengeluarkan telefon tadi terus berlalu sedikit jauh daripada kami.

Sedang dia menghubungi ayah, yang enam orang lagi masih memandang kami.

Sebelum secara tiba-tiba, tanganku dipegang sebelum tubuhku ditolak asal cukup masuk ke dalam kereta. Tak hilang rasa terkejut lagi, pintu sudah tertutup dan Jebat melompat masuk ke dalam tempat duduk pemandu.

Kesemua pengawal peribadi aku sudah mula kelam-kabut cuba menahan kereta ini. Sumitha cuba membuka pintu kereta, namun tak berjaya.

Kereta mula menderum ganas bila Jebat menekan minyak sedangkan gear masih di P. Amaran!

"Pakai seatbelt," arah Jebat.

Aku segera menurut. Tali pinggang dipakai sebelum aku memeluk beg tangan rapat ke dada. Takut!

Gear ditukar. Namun kaki Jebat masih memijak brek sebelum perlahan-lahan brek dilepaskan dan minyak ditekan sedikit demi sedikit supaya kereta berjalan. Mereka yang cuba menahan tersentak dan mula berundur. Sekali lagi deruman garang, dan kesemuanya terus melompat ke tepi. Kereta membelah jalan dengan laju sehingga masuk ke jalan raya.

Yakin yang tiada kereta mengekori kami, aku terus mengeluh lega. Nasib baik!

Tapi kan...

"Ayah memang bagi kita keluar tanpa pengawal?" soalku sambil memandang Jebat yang sedang fokus memandu.

Aku dikerlingnya sebelum dia menggeleng.

What! Dia menipu?

"Habislah kalau ayah tahu..."

"Dia yang nak aku kahwin dengan kau, maksudnya dia tahu yang kau selamat dengan aku. Jadi bawa bertenang. Hari ini kita ada banyak hal perlu diselesaikan."

Aku terus menarik nafas dalam-dalam dan dihembus. Harapnya semua akan baik-baik saja dan ayah tak akan mengamuk! Ayah orang yang lembut dengan anak, tapi kalau dia mengamuk. MasyaAllah. Aku tak mahu bayangkan!

SEBATANG pen mendarat tepat di atas paha mengejutkan aku yang tadi sudah hampir terbabas masuk ke alam mimpi. Aku memandang pen itu sebelum mengangkat kepala memandang ke sekeliling kami hinggalah mataku mendarat pada seraut wajah Jebat yang sedang menopang kepala memandang aku dari sana.

Tempat duduk kami dipisahkan. Lelaki dengan kumpulannya dan perempuan dengan kumpulan perempuan. Di tengah kami ada ruang kosong yang mencukupi untuk tiga orang manusia berdiri serentak. Lembu lalu pun muat lagi.

Aku dan dia masing-masing duduk di hujung kerusi. Kiranya sebelah-sebelah, hanya dipisahkan oleh jarak.

Jebat menyentuh hujung bibir sendiri. Seakan sedang mengesat sesuatu.

Mataku mengecil memerhati dia. Apa yang dia tengah buat itu? Menggoda aku ke?

Sekejap!

Tanganku terus menyeka mulut sendiri. Tapi tak ada apa!

Aku melihat Jebat tersengih kecil di hujung bibir sebelum kembali memandang ke depan.

Cis, dia kenakan aku saja rupanya. Aku ingatkan air liur basi dah meleleh tadi.

Aku ikut memandang ke depan. Seorang tenaga pengajar sedang sibuk bercakap di depan sana, namun aku sudah terlalu mengantuk!

Aku perlukan sesuatu yang dapat merangsang mata dan jantung supaya aku kembali segara. Nak berlari, tak akan di sini?

Hmm...

Aku memerhati sekeliling bilik ini sehinggalah mataku berlabuh pada wajah orang di sebelah aku ini. Dia sedang leka mendengar segala yang diajar dan dinasihatkan oleh tenaga pengajar di depan. Entah dia sedar atau tidak yang aku sedang memerhatikannya.

Hmm, aku rasa aku sudah jumpa apa yang mampu merangsang mata dan jantungku.

Hidungnya, mancung. Bulu matanya, tidak redup dan tidak juga melentik. Rahangnya terbentuk cantik dan garang. Matanya besar dan cantik. Keningnya tebal dan berbentuk sempurna. Dahinya tidak begitu luas, cukup empat hingga lima jari. Sempurna!

Aku terus menopang dagu memandangnya.

Ah, mata aku sudah segar dan jantung aku sedang berdegup kencang.

Genetik manalah yang dia dapat sampai boleh ada rupa seperti ini ya? Aku tengok uncle itu tidaklah kacak pun. Mungkin sebab dah tua. Tapi dia...

Ah! Aku tak sabar nak kahwin dan pandang muka ini setiap hari!

Bibirku tersengih bila melihat sudut bibirnya yang sedikit terangkat seperti sedang tersengih sinis.

Eh, sinis?

Aku mengecilkan mata. Memandangnya betul-betul sebelum tiba-tiba dia berkalih memandang aku bersama senyuman sinis itu di sudut bibirnya.

Ha! Dia sedar yang aku memandangnya.

Aku cepat-cepat menoleh ke depan semula. Buku nota kecil aku angkat lalu dibawa menutup sisi muka supaya dia tidak boleh melihat aku sekarang.

Okay, buat tak tahu. Buat tak tahu saja, Adara!

Jam mengorak angka 2:37 petang, dan pada waktu itu jugalah baru tenaga pengajar memberi salam perpisahan dan mengucapkan selamat pengantin baru kepada yang akan berkahwin nanti. Keluar saja dari bilik itu, aku terus menghembus nafas panjang. Lega benar!

Masuk saja ke dalam kereta, terus tudung ditanggalkan. Begitu panas! Itulah tapi, panas dunia pun tak boleh tahan, apatah lagi panas akhirat kelak. Sehelai rambut ini memiliki banyak dosa bagi setiap mata yang melihat. Satu kepala aku entah ada berapa helai rambut. Cuma menurut kajian, satu kepala seorang wanita boleh memiliki dari 90,000 hingga 150,000 helaian rambut!

Malahan warna rambut juga memainkan peranan dalam menentukan jumlah rambut seseorang. Contohnya, orang yang lahir dengan rambut hitam lebih kurang helaian rambut berbanding orang berambut perang.

"Kalau kau penat, kita boleh pergi butik lain kali."

Aku terus memandang Jebat di sebelah.

"Tapi saya nak pergi hari ini. Ayah kata awak selalu sibuk. Jadi kalau saya tunda-tunda mesti akan menyusahkan awak," balasku.

Jebat memandang seketika sebelum mengangguk sekali. Kereta mula mengundur dan bergerak ke lokasi seterusnya. Butik. Tapi butik mana satu aku pun tak tahu dan tak tergerak pun mulut ini untuk menyoalnya.

Mungkin kerana suasana dalam kereta yang terlalu sunyi...

Kurang 25 minit kemudian, kereta berhenti di sebuah butik yang aku kenali malahan memang punya koleksi pakaiannya. Dabay's!

"Kita beli baju dekat sini?" soalku bila Jebat berura untuk keluar.

Bila Jebat mengangguk, terus dahi aku berkerut. Dabay's? Baju pengantin? Di sini?

"Bila masa pula Dabay's ada buat baju pengantin?"

"Custom made by request."

Mataku terbeliak. Custom made?! Di Dabay's?! Mesti berpuluh ribu walau hanya untuk baju kurung putih bersama sedikit manik. Kerana yang dijual bukan hanya gaya, tapi jenama. Jenama Dabay's sudah dikenali serata dunia.

Tapi tak apalah. Sebab pakai duit ayah, maka aku tak peduli. Kalau perlu menggunakan duit lelaki di sebelah ini, barulah aku akan menolak. Rasa teruk benar untuk aku mengikis dia sebelum kahwin lagi.

Masuk saja ke dalam butik, aku terpegun melihat seni reka dalaman jenama ini. Warnanya hanya dua, warna sedikit putih kekuningan dan coklat. Namun yang menyerikan lagi adalah setiap aksesori yang berada di dalam butik ini. Termasuklah rak yang penuh dengan pelbagai pakaian itu juga!

Semuanya melengkapi satu sama yang lain.

"Ini sketches yang designer buat mengikut permintaan encik hari itu. Dia ada beri beberapalah untuk encik pilih. Kalau ada yang nak ditambah atau dibuang, encik boleh beritahu saja sama ada terus pada saya atau mesej dia semula."

Lamunan aku lantas mati bila mendengar suara seorang perempuan yang sedang bercakap dengan Jebat. Lelaki itu sudah melabuhkan duduk di atas sofa. Di atas meja ada beberapa kertas.

Aku melangkah ke arah mereka sambil mengerling kertas-kertas itu.

Oh, baju! Baju pengantin yang nampak seperti baju kurung, tapi bukan.

Aku ikut melabuhkan duduk sambil mata tak lepas memandang setiap lukisan itu. Hanya lakaran dengan pensel, namun berjaya untuk menyerlahkan ideanya yang cantik.

"Sebab encik minta untuk baju itu tak terlalu menonjol dan tak ketat, jadi designer akan tambah beberapa cm lebih besar berbanding ukuran badan Cik Adara."

Aku mengerling Jebat bila mendengar kata-kata wanita itu. Dia sudah buat semuanya sebelum kami ke sini lagi rupanya. Siap sudah selesai buat permintaan itu dan ini tanpa pengetahuan aku.

"Encik dan cik boleh berbincang dulu. Saya akan tinggalkan sekejap ya?" Wanita itu tersenyum sambil memandang kedua kami.

Aku membalas senyumannya dan mengangguk lembut sementara Jebat hanya seperti biasa, dingin sambil hanya memandang apa yang dia nak pandang. Kali ini, matanya hanya tertumpu khusus untuk semua lakaran yang ada di atas meja.

"Pilih, yang mana satu." Jebat bersuara.

"Saya pilih?"

"Jadi kau nak aku yang pilih?" Tak menunggu jawapan aku, terus lelaki itu mencapai salah satu lakaran daripada lima lakaran yang terdapat di situ.

Dan aku perasan yang memang dari tadi matanya tertumpu pada lakaran yang ini.

Lakaran itu diletakkan atas paha aku sebelum dia kembali ke posisi asal dan mula merenung lakaran yang tersisa semula.

"Awak dah berurusan dengan mereka sebelum awak bawa saya ke sini lagi?" soalku sambil lakaran yang dipilih oleh Jebat tadi aku perhatikan.

Cantik. Rekaannya minimalis. Tapi nampak seperti baju untuk wanita bertudung. Dari hujung ke hujung bertutup. Motif baju kurung, namun ada campuran gaun. Kainnya seperti kain pada gaun.

Aku memandang lakaran yang lain. Lakaran lain dicapai dan aku menunjukkan kepada Jebat.

"Macam mana kalau yang ini?" soalku.

Yang ini lebih kena dengan gayaku. Motifnya sedikit seperti baju kebaya. Berkain duyung yang akan menyerlahkan tubuh tinggu aku.

Jebat menggeleng. Tidak bersetuju.

Kalau macam itu...

Satu lagi dicapai.

Geleng juga.

Dahiku sudah mula berkerut. Satu lagi dicapai. Dan dia masih menggeleng.

Yang terakhir ...

Geleng!

"Kalau awak dah ada pilihan sendiri, baik tak payah suruh saya buat pilihan." Ish, geram pula dibuatnya!

Jebat memandang aku. Lama matanya merenung sebelum kesemua lakaran yang ditolaknya tadi disatukan. Satu persatu ditayang depan mataku. Yang terakhir dan tunggal, barulah dia menarik lakaran awal tadi. Yang dipilihnya.

Itu juga turut ditunjukkan depan mataku.

"Nampak beza empat lakaran ini dengan satu yang aku pilih?" soalnya.

Aku mengangguk. Nampak. Empat itu rekaan yang sesuai untuk wanita tidak bertudung. Sama seperti aku dan ia lebih sesuai dengan aku berbanding yang satu itu.

"Pada hari kau pakai baju ini, dosa kau akan jadi saham akhirat aku. Kalau aku tak tegur, aku akan kena juga di sana nanti. Aku kahwin dengan kau dan terima amanah untuk menjaga kau, dan kau patut jadi isteri yang baik dan turut menjaga aku. Caranya? Dengan jaga diri baik-baik. Luar dan dalam."

Empat lakaran tadi terus dicampak ke atas meja. Satu yang dipilihnya diambil sebelum lelaki itu berlalu ke meja yang diduduki oleh wanita tadi.

Gambar itu diserahkan kepada wanita itu.

"Yang ini. Baju saya, tolong minta dia pilih," kata Jebat sebelum dia kembali memandang aku.

"Fair and square?"

Ha? Begitu pula cara dia nak berlaku adil?

"Aku keluar sekejap. Ada hal sikit. Lagi 45 minit aku datang dan ambil kau. Pilih baju aku, tambah apa yang kau nak pada pilihan kita tadi. Asal jangan nak cuba minta mana-mana bahagian diketatkan." Jebat mengarah lagi. Sempat pula itu dia sabdukan pilihan kita.

Pilihan dia!

"Tolong tengok-tengokkan dia. Jangan benarkan dia tinggalkan butik ini sampai saya datang." Lelaki itu mengarah wanita tadi pula.

Hai, semua orang dia nak mengarah-arah!

Bila Jebat meninggalkan hanya aku dan wanita itu, aku terus tersengih malu sebelum kembali duduk. Tak lama kemudian, wanita itu datang bersama lakaran untuk pakaian Jebat. Yang paling buat aku mendidihnya, lakaran untuk pakaian dia hanya ada dua!

Dan kedua-duanya lebih kurang saja! Bezanya, satu teluk belanga dan satu lagi cekak musang.

Ya Allah, sabar ajelah aku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience