Bab 1

Romance Series 18843

"BUKANNYA kita tak tahu budak-budak zaman sekarang ini macam mana perangainya. Macam-macam ragam. Lagi-lagilah bila tengok si gadis tuan yang cantik jelita ini. Miang buluh melekatlah jawabnya."

Dahiku berkerut bila ayah ketawa bukan main besar. Cara gelak saja pun sudah tahu mesti orang kaya. Betullah itu, aku anak orang kaya. Nak apa, semua boleh dapat. Tapi yang semua boleh dapat itu tidak merangkumi kebebasan. Satu-satunya yang aku tak boleh dapat hanyalah kebebasan.

"Saya pun tak tahulah apa yang dia orang tergila-gilakan sangat dekat si Adara ini. Yang adanya memang cantik aje. Lain semua ke bulan. Memasak tak pandai, buat kerja rumah tak pandai, nak jaga suami jauh lagi. Agaknya orang zaman sekarang memang dah tak peduli tentang semua itu. Yang penting rupa," balas ayah bersama tawa yang masih tersisa.

Hm, inilah dia. Bapa buka aib anak sendiri. Cananglah lagi, biar sampai negara-negara jiran itu semua tahu.

Mataku memandang pula pintu yang tiba-tiba terbuka dari luar sebelum muncul seorang lelaki dingin melangkah masuk penuh yakin sampai tak pandai nak beri salam dulu.

"Bukan tentang rupa, tapi tentang harta. Tak ada siapa peduli tentang rupa kalau harta lebih menggiurkan. Kahwin dengan perempuan ini dan automatik akan jadi suami kepada anak tycoon perniagaan terkenal. Easy money." Lelaki itu bersuara tanpa rasa sambil berjalan ke arah meja ini.

Kerusi di sebelah lelaki tua sebaya ayah ditarik sebelum dia melabuhkan duduk di situ. Langsung tak peduli dengan pandangan orang lain termasuklah pandangan aku. Matanya hanya terhala pada apa yang ingin dihala. Dan buat masa ini, dia hanya memandang ayah.

"Jebat! Muncul juga kamu akhirnya. Ingatkan dah tak jumpa peta Malaysia lagi sejak duduk di luar negara sana." Ayah terus menyapa mesra. Mereka berjabat tangan.

Hm, ayah aje yang mesra. Jebat itu jabat tangan pun tanpa senyuman dan dingin. Nampak sangat dia tak mahu wujud di sini pada masa ini. Entah siapalah yang sudah berjaya menyeret dia ke sini.

"Dia bukannya duduk di luar negara itu pun. Setakat berpindah-randah dari New Zealand ke Italy, tukar ke Turkiye dan balik Malaysia semula." Lelaki tua sebaya papa itu mencelah, bapa Jebat.

Aku panggil dia uncle saja. Jangan tanya nama sebab aku tak tahu. Aku rasa kalau nak dibandingkan dengan lelaki dingin itu, aku terlebih-lebih lagi 'nonchalant' berbandingnya.

Apa ya nama uncle ini? Kalau anaknya Jebat, mungkin nama dia Tuah? Lekir?

Entahlah, selamat! Ayah pun hanya bersaya engkau dengan lelaki tua itu. Manalah aku nak tahu namanya. Mungkin aku kena minta sekeping kad bisnesnya atau panggil polis untuk saman dia supaya aku boleh periksa nama di kad pengenalannya.

Ah, merepek apa ini!

"Baguslah itu. Orang yang merantau ini mesti banyak ilmu dan pengalaman. Ye tak, Jebat?" kata ayah.

Tapi lelaki itu hanya memandang kosong tanpa balasan.

Nak pelik apa. Memang itulah perangainya. Aku tak tahulah macam mana boleh ada ramai perempuan termasuklah pengawal peribadi aku boleh sukakan dia. Bayangkanlah bersuamikan lelaki macam itu. Boleh mati hati, jiwa, organ segala bagai kalau hari-hari dilayan seperti itu.

"Jebat dengan Adara dah berkenalan lama kan?" Ayah mengerling aku di sebelahnya lalu kembali memandang Jebat di depan.

"Mana pula tidak! Zaman Adara kena buli dulu, bukan ke dia yang pergi belasah budak-budak itu? Anak aku inilah yang paling buas sekali. Pening nak membesarkannya. Itulah satu-satunya benda baik yang kebuasan dia pernah buat." Uncle mencelah sambil menepuk bahu Jebat.

Tapi muka lelaki itu masih kosong. Langsung tak berminat dengan perbualan mereka. Tak beremosi. Hanya dingin dan beku.

"Kalau macam itu mesti Jebat pun dah tahu apa masalah anak pak cik, kan?"

Masih tiada balasan. Lelaki itu hanya memandang dingin.

"Pak cik dah gajikan lima orang pengawal peribadi tak termasuk yang perempuan itu. Tapi Adara masih diganggu tak henti-henti sampai ada yang berani cuba pecah masuk ke dalam rumah dan panjat balkoni bilik dia. Hari itu kami ada terjumpa bunjut yang ditanam di belakang rumah kami. Dalam bunjut itu ada gambar Adara. Beberapa bulan lepas, ada cubaan nak mencalit minyak dagu atau minyak pengasih pula. Terkini, pengawal di rumah sana nampak dua kereta menunggu di luar sampai ke malam."

"Jadi?" Barulah lelaki itu buka mulut semula. Tapi sepatah!

Ayah tersenyum. Tak ada sedikit pun baur terasa dengan keangkuhan dan kedinginan lelaki itu. Seperti yang aku kata, dia memang macam itu. Semua orang tahu.

"Jadi pak cik ada terfikir untuk cari aje suami untuk Adara ini..."

"Ayah!" Giliran aku yang sedari tadi membisu untuk mencelah. Terus tegak badan aku memandang ayah.

Suami?!

Drama betul! Ada nampak muka aku ini macam Emma Maembong ke?

Tapi ayah mengisyaratkan aku untuk senyap dengan meletakkan jari telunjuk pada bibirnya. Muka ditegaskan.

"Macam yang Jebat kata tadi, orang tergilakan Adara ini sebab harta saja. Nak gunakan Adara supaya mereka boleh masuk ke dalam keluarga kami. Kakak-kakaknya semua dah kahwin, tak ada siapa ganggu. Jadi rasanya kalau Adara pun berkahwin, mungkin tak ada lagi gangguan itu," sambung ayah.

"Panggil ustaz. Saya bukan ustaz," balas Jebat.

Berkerut dahiku jadinya. Apa pula yang tiba-tiba ustaz ini? Atau sebab cerita ayah tentang barang yang ditemui di rumah itu? Cubaan mencalit minyak pengasih?

Mataku mengecil bila aku melihat uncle menepuk-nepuk bahu Jebat sekali lagi. Cuma kali ini, agak kuat dan muka uncle seperti sedang menahan geram. Hanya Jebat yang masih beku seperti tadi.

Agaknya nak menghilangkan kejanggalan kerana anaknya, terus uncle ketawa besar diikuti oleh ayah. Dua lelaki ini ketawa semula dengan aku dan Jebat yang memerhati.

"Maksud pak cik kamu ini, kalau Adara bersuami, adalah orang yang boleh jaga dan tengok-tengokkan Adara. Tak perlulah tambah banyak-banyak pengawal peribadi lagi. Silap haribulan, tak payah lagi berpengawal macam sekarang." Uncle menerangkan maksud sebenar ayah kepada Jebat.

"Maaflah, tuan. Dia ini memang hati dan kepala sama-sama batu. Kalau Arjuna itu masih bujang, saya bagi saja Arjuna itu untuk jaga Adara." Uncle menambah lagi.

Uncle dan ayah adalah dua orang yang tak ada langsung kaitan antara satu sama lain. Hanya kenal kerana perniagaan. Uncle ada sebuah syarikat yang memilik sebuah hospital swasta dan ayah pula adalah antara pemegang saham terbesar di syarikat itu.

Orang panggil ayah tycoon dalam perniagaan. Syarikat ayah memiliki beberapa jalurnya. Logistik, hartanah dan pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur sana.

Bagi aku, ayah hanya bernasib baik sebab lahir dalam keluarga serba cukup. Ayah berdarah kacukan Cina dan Melayu. Kalau bab bisnes, memang kebolehannya turun daripada darah Cina itu sendiri rasanya kerana semua yang wujud pada hari ini dimulakan oleh keturunan yang satu itu.

Sebut saja Leek Properties, semua akan kenal syarikat gergasi itu. Leek diambil daripada nama atok aku itu sendiri. Lee Kuan. Orangnya sudah tiada. Aku pun tak pernah berkesempatan untuk melihat orangnya. Hanya legasi yang ditinggalkan.

"Okaylah itu. Ada tiga kosong lagi. Nanti saya sampaikan pada Arjuna."

Aku hampir ternganga mendengar balasan Jebat. Dengan tak bersalahnya dia mahu mencampakkan aku kepada suami orang yang satu itu? Tiga kosong lagi?

Huh, dasar lelaki!

"Tapi pak cik tak nak Arjuna, pak cik nak kamu yang jaga Adara. Sebab itu pak cik ajak kamu berjumpa dengan kami berdua." Dalam sisa tawa dan mesra, ayah menegaskan suaranya. Nampak serius.

Tapi aku dan Jebat?!

Jebat senyap sebelum tiba-tiba saja matanya bertukar sasaran. Terus memandang aku sampaikan aku yang tak bersedia untuk dipandangnya terus terkebil-kebil. Ini bukan pandang lagi, sudah seperti merenung saja. Renungan maut!

Eh, jangan dia fikir aku sekapal dengan ayah sudahlah! Aku wujud di sini pun kerana dipaksa. Aku tak tahu menahu sampailah sekarang.

"Lagipun antara keluarga kita ini tak asing lagi, Jebat. Kalau nak cari orang yang pak cik percaya, memang kamu sajalah orangnya. Bukan apa..."

"Setuju. Segerakan akad nikah."

Aku hampir jatuh kerusi bila tiba-tiba lelaki itu memotong kata-kata ayah dan memberi persetujuan yang tak pernah aku jangkakan.

"Tapi ayah..."

"Kita bincang di rumah." Ayah pula yang memotong aku.

Pula! Habis itu apa guna aku ke sini kalau aku tak boleh menyuarakan pendapat atau penolakan? Baik aku duduk saja di rumah kalau dah memang antara aku dan ayah perlu berbincang di rumah. Huh, tension mak!

Lelaki bernama Jebat itu berdiri semula.

"Kalau tak ada apa lagi nak dibincangkan, saya pergi dulu." Tak ada salam, terus Jebat melangkah ke arah pintu.

Betul-betul dia tak mahu berlama di sini. Pula itu boleh dia terima macam itu saja?

"Kamu betul-betul bersetuju ke ini?" Uncle menyoal Jebat sebelum lelaki itu sempat membuka pintu.

Tengoklah, bapanya pun tak percaya yang anak dia akan terus bersetuju.

"Kalau tak nak pun, kena terima juga. Jadi apa sajalah. Kahwin? Okay. Hanya jangan mengharapkan apa-apa yang selebihnya selepas itu. After all, it's just business." Pintu dibuka, mata kami bertentangan tak sampai dua saat dan lelaki itu terus hilang di sebalik pintu yang sudah tertutup rapat.

Melihat ayah dan uncle yang sudah terangguk-angguk suka dengan jawapan Jebat itu, aku terus angkat beg tangan dan cabut keluar untuk mengejar langkah panjang lelaki bertubuh sasa bagai gym itu adalah rumah dan isterinya.

Buka saja pintu, terus semua pengawal peribadi yang memang sudah terpacak di depan pintu memandangku.

Argh!

Langkah dibuka dan aku berlari menuju ke arah lif. Ditekan bertalu-talu butang pada lif itu sehinggalah pintunya terbuka. Elok aku masuk, terus enam lagi bala tentera mengikut masa sama.

"Cik nak ke mana lepas ini?" soal Sumitha. Wanita berbangsa India yang juga merupakan pengawal peribadi aku. Dia satu-satunya wanita di sini. Ayah gajikan supaya aku tak janggal dan bosan bila kesemuanya lelaki.

Ya, dia jugalah yang syok dekat Jebat! Walaupun syok itu hanya tahap jamu mata dan berangan saja memandangkan dia sudah ada teman lelaki.

"Encik Jebat ke?" tekanya.

Aku mengangguk.

Esok saja lif terbuka, aku terus sambung berlari mengejar langkahnya. Nampak saja dia yang sedang melangkah ke pintu masuk, terus aku melajukan kaki.

Namun apalah daya nak mengejar langkah besar itu dengan tumit tujuh inci ini.

Hai, apasal aku tak pakai kasut saja tadi?!

"Cik nak kami bantu?" Pengawal aku yang lelaki menyoal.

Oh, ya! Aku ada enam pengawal kut!

"Awak bertiga, tolong tahan dia. Saya nak bercakap dengan dia."

Dapat saja arahanku, terus tiga daripada mereka berlari menuju ke arah Jebat. Tepat sebelum Jebat melintas jalan untuk ke tempat meletak kenderaan, pengawal-pengawal aku berjaya memintas lalu menghalang laluannya.

Aku menyambung langkahku. Tak berlari, tapi laju. Takut pula kalau dia terlebih baran hari ini lalu membelasah ketiga-tiga pengawal aku itu.

"Maaf, encik. Ini atas arahan Cik Adara." Pengawalku yang menghulurkan bantuan tadi meminta maaf.

Pastinya lelaki itu sudah menyoal awal-awal tadi. Tapi eloklah sekarang aku sudah pun berada di belakangnya. Kerana elok saja pengawal itu meminta maaf, terus Jebat berpusing memandang aku di belakang dengan muka dingin bersama kerutan di dahinya.

"Kau nak apa?" soalnya. Dingin.

Wah, memang tidaklah aku nak kahwin dengan dia ini!

Aku menghalau pengawal peribadi aku untuk menunggu jauh sedikit daripada kami. Tak mahu mereka mendengar perbualan aku dan lelaki ini. Bila mereka sudah menjauh sedikit, barulah aku boleh bercakap.

"Kenapa awak terima?" soalku.

"Kenapa kau tak tolak?" Dia menyoal balas pula.

"Saya nak buka mulut pun ayah tak bagi. Macam mana saya nak tolak? Awak lelaki, patutnya awak yang tolak."

Aku senyap bila dia tidak menjawab dan hanya memandang aku. Matanya tak dapat dibaca. Dia orang yang pandai berselindung di sebalik imej dingin dan bekunya. Yang pasti, dia memang sama sekali tidak mesra dan sangat sombong!

"Awak memang..." nak terus tenung saya aje ke?

Yang selebihnya tak dapat aku lantun keluar kerana secara tiba-tiba saja tangannya mendarat pada bahuku, sebelum bahu itu ditolak sehingga aku terketepi. Saat aku hampir terjatuh, tangannya menyauk pula bahuku sebelum aku ditarik dan disorokkan di belakang tubuh besarnya.

Tapi pap!

Argh! Tumit aku patah!!!

Tak sempat nak menangisi Jimmy Choo yang sudah arwah, tiba-tiba aku baru sedar akan keriuhan yang sedang berlaku bila enam pengawal berlari ke arah kami. Namun terhenti bila secara tiba-tiba seorang lelaki asing menjerit kuat dengan tangan yang dikilas oleh Jebat.

Aku terus terlompat melihatkan itu.

Apakah?

Dalam beberapa saat kemudiannya, aku sudah dikepung oleh pengawal dan Jebat terus menolak lelaki itu sehingga dia terjatuh ke atas jalan tar. Botol kecil berupa aneh ikut tergolek bersama jatuhan lelaki asing itu.

Saat lelaki itu mahu bangun dan berlari, terus kaki Jebat naik memijak dadanya. Lelaki asing itu mengerang sakit.

"Kau ini tengah hari buta pun berani buat kerja macam ini. Minyak apa itu?" Jebat menyoal keras.

"Bukan minyak apa-apa, bang!" balas si lelaki asing.

"Kau ingat aku ini bodoh macam kau? Itu minyak dagu kan?"

Minyak dagu? Lagi?!

Oh Allah, susah betul jadi cantik ini!

Tapi kan... Adakah Jebat baru saja melindungi aku?

Entah kenapa pipi terasa panas dan jantung terus berdegup suka. Satu sengihan tak tertahan beraja di bibir bila Jebat terus menyepak botol minyak dagu itu sehingga terseret jauh dan tak kelihatan lagi.

Oh, dia kelihatan segak dan hebat sekali!

Jebat memandang ke arah kami. Lebih tepatnya, ke arah pengawal aku.

"Kau berdua, bawa dia ke balai." Jebat mengarah sambil menuding ke arah dua pengawal aku.

Kedua-dua yang dituding tadi terus melaksanakan arahan yang diberi. Yalah, hampir saja mereka hilang nyawa dan kerja kalau tak kerana Jebat yang menyelamatkan aku. Kerana jarak yang agak besar, mereka tidak sempat tiba pada masa yang tepat.

Elok saja lelaki asing itu diseret pergi, barulah Jebat memandang aku semula.

"Pergi balik. Jangan nak merayap lagi." Satu arahan diberikan terus ke muka aku sebelum lelaki itu memasukkan tangan ke dalam poket seluarnya dan berlalu ke Lamborghini yang terletak tidak jauh di belakang sana.

Melihatkan dia dan aksinya tadi, aku tukar fikiran!

Aku tak mahu menyoal lagi. Aku akan kahwin dengan Jebat! Dia terlalu seksi untuk ditolak! Aku rela makan hati!

Tapi apa maksud Jebat dengan 'after all, it's just business' itu ya?

....

Diingatkan, tak perlu beri coins pada saya. Cukup baca dan komen :)

Enjoy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience