Bab 21

Romance Series 18024

"KENAPA awak bawa saya ke sini? Kan dah lewat malam? Kalau ayah marah, habislah saya." Sambil mengikut langkah kaki Jebat yang berjalan selangkah di depanku, aku menyoalnya dengan mata memerhati sekeliling kawasan.

Sebuah kawasan perumahan yang tak nampak biasa-biasa langsung. Aku yakin ini sebuah luxury residences. Baru berdiri di lobi, sudah nampak seperti hotel. Cahaya lampu berwarna jingga sedikit keperangan menerangi malam dengan begitu cantik.

"Ayah dah tahu."

"Tahu apa?"

"Yang kau akan bermalam di rumah aku." Jebat menekap kad pada dinding lif sebaik saja kami melangkah masuk ke dalam.

Angka lapan muncul pada skrin.

Tengoklah, lifnya juga cantik dan mewah. Persis seperti di hotel. Tak ada sebarang butang bernombor untuk ditekan. Hanya perlu menyentuh kad pada petak hitam yang berada di situ, dan ia akan automatik membawa ke aras rumah tuan kad.

"Tapi kenapa saya kena bermalam di rumah awak pula? Kalau kena tangkap khalwat macam mana?"

"Macam itulah."

Wah, senangnya dia!

Tak sempat nak berperang mulut lagi, pintu lif sudah terbuka dan Jebat terus berlalu keluar terlebih dahulu. Belok kiri, dan tadaaa. Dia terus membuka pintu rumahnya dengan kad yang sama.

Aku baru nak membuka kasut tumit supaya tak mengotorkan lantai rumahnya, tahu-tahu saja pintu sudah tertutup dengan dia yang sudah ghaib di sebalik pintu.

Huargh, Jebat tinggalkan aku sendirian!!!

Aku memandang sekeliling. Walaupun di koridor ini cerah, tapi aku tetap tak berani. Lihatlah betapa terbahaginya setiap unit. Berpagar moden ala-ala di taman bunga minu sebagai pemisah dengan tulisan lobby 01 dan lobby 02. Mesti kalau jiran meninggal dalam rumah sebulan pun tak akan dapat kesan.

Lif pula...

Pap!

"Argh! Jebat!" Aku panik! Loceng ditekan bertalu-talu sambil aku terlompat-lompat ketakutan bila mendengar bunyi sesuatu bersentuhan dengan sesuatu. Seperti ada benda jatuh dan di sini tiada sesiapa!

Jarak unit sebelah sangat jauh dan terpisah!

Sebaik saja pintu dibuka, aku terus berlari masuk ke dalam. Kasut tumit dicampak saja ke sudut tepi pintu.

"Ada hantu!" jeritku sebaik saja Jebat menutup kembali pintunya.

Jebat hanya menggeleng beberapa kali sambil mengutip kasutku di atas lantai. Dia membawa kasut itu ke sebuah rak perang gelap yang dibina selari dengan dinding berdekatan pintu. Dimasukkan ke dalamnya. Acuh tak acuh. Nampak benar dia tak peduli.

"Saya tak nak duduk sini. Saya takut!"

"Takut apa?"

"Hantulah."

Tengok itu! Jebat buat muka! Nampak sangat dia fikir aku dramatik.

"Betullah. Tadi ada bunyi benda jatuh."

Jebat tidak mempedulikan aduan aku, malahan dia terus berlalu ke sebuah ruang yang aku rasa adalah dapurnya.

Tapi wow!

Rumah ini begitu cantik. Memang sah kawasan perumahan mewah. Warna gabungan perang tua, putih dan hitam. Hanya tiga ini. Ada beberapa dekorasi bermotifkan kayu seperti sebuah rak buku yang membahagi antara ruang tamu dan sebuah sudut bacaan.

Beberapa elemen marble seperti meja kopi.

Cantiknya!

Aku menapak ke dapur bila Jebat tak muncul-muncul semula. Rupanya dia sedang duduk di meja makan sambil meneguk sebotol jus oren.

Sekali lagi aku kagum melihat rumah ini.

Dapur pun cantik! Kalau macam ini, orang yang tak pandai memasak macam aku pun boleh tak nak tinggalkan dapur. Tengoklah peti sejuk dua pintunya yang siap berskrin besar. Yang menariknya, kebanyakan perabot besar seperti peti sejuk di sini semuanya dibina di dalam dinding. Jadi ia berjaya menghasilkan ruang yang lebih luas dan kemas.

"Ada berapa bilik dalam rumah ini?" soalku sambil menyentuh segala jenis perabot di dapur.

Sentuh sikit-sikit saja. Takut terbang ke rumah uncle semula kerana ditendang Jebat kalau aku melebih-lebih.

"Tiga bilik tidur," jawabnya.

Wah!

Aku segera berlari anak ke meja makan. Bersandar perut di situ sambil memandang Jebat.

"Tapi kenapa awak bawa saya ke sini?"

"Sebab aku malas nak memandu ke rumah ayah."

"Kenapa malas? Padahal ke sini lagi jauh berbanding jarak ke rumah ayah."

Soalanku yang ini tidak dijawabnya. Jebat hanya senyap sampai aku sendiri yang berputus asa untuk menunggu jawapannya.

"Saya takut kalau ada orang report. Kalau pencegah maksiat datang macam mana? Tapi saya percaya yang awak baik. Awak tak akan buat apa-apa pada saya kan?" Soalan lain pula.

Di hujung bibir Jebat ada senyuman. Tidak sinis, tidak mengejek atau apa saja. Nampak tenang seakan itu sebuah pujukan yang aku tak perlu memikirkan tentang itu.

"Kalau ada orang report sekalipun, pencegah maksiat itu tak boleh buat apa-apa. Itu kelebihan kita, Adara. Kelebihan yang dihadiahkan untuk kau dan aku. Jadi sekarang, pergi mandi dan bertukar pakaian. Dah malam."

Ah, lega! Lagi lega bila mendengar suara seksinya.

Kenapalah apa saja yang dia buat akan jadi begitu seksi? Paling seksi bila dia berbaju kemeja dan mengenakan vest hitamnya. Tambahan pula jika lengan dilipat.

Aduh, bukan saja terpanah, malahan meleleh terus jantung aku. Rezeki siapalah dia ini!

Oh ya!

"Bertukar dengan apa? Saya tak ada baju. Awak tak beritahu yang awak nak bawa saya ke sini."

"Nanti aku hantar tuala dan pakaian. Pergi masuk dan mandi. Bilik pertama depan ruang tamu."

Aku mengangguk dan terus berjalan ke ruang tamu semula. Masuk ke bilik pertama yang dimaksudkan, sekali lagi aku keterujaan. Kali ini pakej menjerit sambil berlari terus ke arah kiri bilik yang berdindingkan sebuah kaca lut sinar dari hujung ke hujung. Aku dapat melihat pemandangan Damansara Heights dari sini!

Cantiknya!!!

Tengoklah langsir blackout yang menutup dari siling hingga ke lantai ini. Bila aku menekan butang kecil yang tergantung di sudut dinding, langsir mula mengesot dan menutupi kaca ini.

Silingnya begitu tinggi dan ruang ini begitu besar!

Agaknya berapa harga rumah ini? Mampu tak aku beli kalau dah bekerja nanti? Mungkin ke aku akan menghabiskan seumur hidup untuk membayar loan rumah jika rumah inilah yang aku nak beli?

Aku menghidupkan pendingin hawa terlebih dahulu.  Panas.

Lampu bilik mandi dihidupkan sebelum mata mengerling bingkai gambar di atas meja almari.

"Kenapa tak masuk mandi lagi?"

Perhatian aku dicuri oleh Jebat yang masuk ke dalam bilik ini secara tiba-tiba. Dia melangkah ke arah sebuah bilik yang aku yakin adalah sebuah bilik wardrobe.

"Baru nak masuk. Tadi tengok pemandangan di luar sekejap," jawabku.

Jebat keluar semula bersama tuala dan persalinan untuk aku. Sehelai baju T hitam dan seluar pendek. Kalau dia pakai, mungkin boleh tutup sekadar atas  lutut. Tapi kalau aku, mungkin bawah lutut.

Tapi...

"Kenapa awak bagi seluar pendek? Awak nak cuci mata eh?!" Ambil kesempatan punya lelaki!

Jebat menghela nafas pendek. Hanya 'huh' dan selesai. Dia seperti tak sangka tuduhan itu akan keluar daripada mulut aku.

"Setakat paha dan ke bawah, I've seen it all," katanya.

Aku menayangkan muka saspens.

"Awak mengintai saya ya?!"

"Kau yang berlenggang depan aku dengan pakaian nauzubillah minzalik, aku pula yang dipersalahkan?"

"Saya tak pernah berlenggang depan lelaki ajnabi," bidasku. Mempertahankan diri.

"Ya?" Jebat sudah mula geram. Aku sempat melihat dia mengancing giginya di sebalik senyuman nipis.

Aku terus berpeluk tubuh dan mengangguk yakin. Memang tak pernah!

"Just wait until it all comes back to you, and we’ll see if you can repeat those words, stella."

Tak sempat aku nak bertanya apa maksudnya dengan 'it all comes back to you' itu, dia sudah meninggalkan aku sendirian dan menutup pintu bilik. Mungkin mahu memberi aku ruang dan keselesaan untuk membersihkan diri, sekali gus bagi menepis dakwaan aku tadi.

SUIS pengering rambut dimatikan sebelum aku terus keluar ke ruang tamu. Mencari kelibat lelaki itu yang mungkin sudah lebih setengah jam tidak aku lihat.

Bunyi pintu ditutup berjaya menangkap perhatian. Rupa-rupanya Jebat yang baru masuk ke dalam rumah semula bersama plastik makanan di tangan.

"Awak tinggal saya sendiri ke tadi?" Bukan soalan dia dari mana yang aku ajukan, tapi tentang meninggalkan aku sendiri.

Sudahlah baru tadi aku dikejutkan dengan bunyi benda jatuh padahal tiada siapa di luar sana. Jangan pula dia tinggalkan aku sendirian di rumah ini. Mahu menangis aku nanti!

"Kenapa, takut?"

Laju saja aku mengangguk sambil mencebik sedih. Memang takut!

Jebat tersenyum segaris sebelum dia melangkah ke arahku. Bukanlah ke arah aku pun, dah kebetulan aku berdiri di sebelah meja kopi dan dia mahu meletakkan makanan itu di atas meja makan.

"Aku turun bawah untuk ambil pesanan. Tak sampai lima minit pun," katanya.

Oh...

Patutlah dia sudah bertukar pakaian juga. Ringkas berbaju T dengan rambut yang tidak disikat. Masih nampak lembapnya. Kerana rambut itu jugalah, entah macam mana tangan aku laju saja naik bagi mengemaskan rambutnya. Aku melalukan rambutnya di celah-celah jari sehingga sedikit lebih kemas.

Sampailah mataku bertentangan dengan sepasang matanya, automatik tangan ditarik semula.

Mata itu...

Jebat seperti sedikit terkejut, dan bakinya...

Dia seperti sedang... sedih?

"Sorry. Tak sengaja." Takut-takut aku bersuara sebelum sengihan malu dikuntum senget.

Cepat-cepat aku melabuhkan duduk di atas sofa dan memandang ke arah lain sambil berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku. Seram perut bila melihat Jebat yang masih memandang aku.

Dia marah ke?

Aku mengerling seketika bila Jebat berpusing membelakangi aku, sebelum tangannya naik meraup muka dan turun mengurut tengkuk.

Sah dia marah!

Bila dia kembali berpusing, wajahnya sudah kembali serius. Seperti dia turut berlagak seperti tiada apa-apa yang baru terjadi, terus Jebat melabuhkan duduk di sebelahku.

Plastik dibukanya. Hanya sebungkus bekas makanan.

"Nasi goreng pattaya. Kau tak akan boleh habis, jadi kita kongsi."

"Macam mana kalau saya boleh habis?" soalku. Bukan maksudnya aku nak semua itu untuk diri sendiri, tapi sengaja nak tahu apa yang membuatkan dia yakin sangat.

Matanya naik memandang aku.

Entah apa yang berbeza, namun pandangannya sentiasa beremosi setiap kali pandangan itu berubah menjadi renungan. Emosi yang tak dapat aku baca, namun dapat aku rasakan di hati sendiri. Seakan emosi itu dihantar ke tubuhku untuk aku merasainya sendiri.

Dan renungan ini, rindu.

"Kau tak akan boleh habis." Tekannya sebelum bekas dibuka dan dia mengeluarkan sudu plastik yangt tersedia.

Nasi disudukan sebelum dia menyuakan ke mulutku.

Suap?

"Saya ambil pinggan." Baru nak angkat punggung, aku sudah terduduk semula bila tanganku ditarik.

Jebat menjongket keningnya sambil mendekatkan lagi sudu dengan mulutku sampai akhirnya aku tiada pilihan lagi selain menganga. Aku sudah berbismillah juga ya!

Aku disuap terus menerus. Tak sempat nak telan yang dalam mulut ini lagi, Jebat sudah suakan yang lain.

Empat sudu ditelan, aku sudah menyerah kalah. Kenyang! Rasa macam nak paksa perut menerima makanan lagi. Tak mahu kalah dengan kata-kata Jebat yang mengena. Tapi tak boleh!

"Argh, kenyanglah..."

"Macam nak muntah."

Terus terdiam aku dibuatnya bila Jebat menyambung kata-kata itu. Terkebil-kebil mata memandangnya yang sudah mula menyuapkan nasi ke mulut sendiri pula.

"Awak ni menyeramkan. Macam mana awak tahu apa yang saya nak cakap?"

Jebat tidak menjawab soalanku. Dia hanya diam dan makan sampailah bekas plastik itu licin.

Setelah plastik diikat, Jebat terus bersandar di sofa. Memandang televisyen yang hitam tidak bergambar. Dia menghela nafas panjang sebelum menutup mata.

Dia nak berehat ke? Hm, pergi buang plastik ini dululah.

"Apa yang kau faham dengan erti bahagia?" Tapi tak jadi bila Jebat tiba-tiba menyoal dengan keadaannya yang masih sama seperti tadi.

Erti bahagia? Tiba-tiba aje dia ini.

"Bebas dan tenang kut." Tapi aku menjawab juga.

"Macam mana kalau akhirnya kebebasan dan ketenangan itu tak lagi dapat membahagiakan?"

"Maksudnya?"

"Maksudnya, apa akan berlaku kalau dengan ketenangan dan kebebasan itu pun kau masih tak bahagia kerana ada sesuatu yang paling penting hilang atau tiada?"

Dahiku berkerut. "Saya tak fahamlah."

Bibirnya tertarik sedikit. Tersenyum hambar.

"Orang kata, semua orang akan ada sesuatu yang paling penting dalam hidupnya. Sebab untuk bertahan. Sesuatu yang jika ia hilang, hilangnya akan membawa separuh hidup kita bersamanya. Kosong, tak berpunya dan tak lagi bahagia walaupun kita bebas dan tenang."

Aku senyap. Bukan sebab masih tak faham, tapi kerana aku rasa bukan hanya itu yang ingin disampaikan Jebat. Dan tekaan aku benar bila dia membuka mulut lagi.

"Aku pernah fikir yang bahagia itu palsu. Tak ada siapa boleh bahagia atau membahagiakan di dunia ini. Aku tak berkawan, aku juga tak pernah terikat hati pada sesiapa sebab bagi aku permainan hati hanya membuang masa dan tenaga. Aku tolak untuk percaya bahawa suatu hari nanti akan ada seseorang yang mampu buatkan aku ingin mempertahankan, ingin melindungi, ingin menjaga dan bahkan ingin mencintai."

Jebat menarik nafas dalam-dalam. Dadanya naik dan turun semula.

"Aku kenal seorang gadis. Sangat naif, sangat sopan, sangat lembut dan sangat cantik. Oh, sangat manja juga." Bibir Jebat menyenget sesaat. Tersengih seperti menahan lucu.

"Tak boleh ditinggalkan, nanti dia takut. Macam suatu hari itu, aku ada tugasan. Kerja yang sangat penting dan memerlukan aku untuk sentiasa ada di lokasi. Tapi elok saja dia mengadu takut, terus aku tinggalkan semua kerja untuk balik dan temankan dia. Habuannya, misi gagal. Tapi sekurang-kurangnya aku dapat satu pelukan." Bibir Jebat melebar. Nampak bahagia di mataku.

"Bila tidur, dalam tidurnya, tangan dia akan meraba sampai dapat peluk aku. Mula-mula peluk, nanti sejam dua kemudian, dia akan mengesot dan tidur berbantalkan tangan aku pula. Bila bangun, dia akan terkejut dan malu. Pipinya akan memerah dan mulutnya akan ternganga sebelum berlakon macam tak rasa apa-apa. Comelnya dia." Kepala Jebat tergeleng-geleng bersama beberapa letusan tawa kedengaran. Seperti sedang membayangkan saat itu di sebalik mata yang terpejam.

...

I heard you! Saya masih bercuti. Tapi saya akan bagi satu bab untuk bekalan sementara saya bercuti. Bye!

Oh, giveaway novel Cinderlisa (Calon Isteri Upahan) masih on tau! Join cepat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience