Bab 22

Romance Series 18024

"SUATU hari, ada salah faham berlaku. Dia fikir aku ada perempuan lain. Peliknya, macam manalah dia boleh terfikir sampai situ? Padahal kalau bukan sebab kerja, aku akan hanya terperap dalam rumah dan temankan dia." Senyumannya pudar sedikit.

"Tapi aku tak salahkan dia. Mungkin sebab tugasan aku dan jadual yang terlalu padat itu buatkan dia fikir yang bukan-bukan."

"Apa kerja awak sampai padat sangat?" soalku.

"Jahat sikit daripada polis." Tenang saja Jebat menjawab.

Masalahnya jawapan itu pun aku tak faham! Memang hari ini aku yang slow lain macam atau dia yang terlalu berkias-kias?

"Sampailah bila segala-galanya mula berubah arah bila dia tahu tentang cerita di sebalik penyatuan kami. Kekecewaan dan kelukaan yang ada pada wajahnya secara tiba-tiba hadirkan bermacam-macam perasaan dalam hati aku. Aku rasa ada sesuatu yang perlu dijelaskan, tapi aku tak tahu apa dia. Aku nak mempertahankan diri, tapi tak tahu dengan cara apa. Aku bersalah, jadi aku hanya diam bila mendengar amukan dia."

"Salah apa yang awak buat sampai dia mengamuk?" Aku menyoal lagi.

"Banyak. Yang mungkin paling buatkan dia marah, sebab aku mempergunakan dia demi kepentingan diri sendiri. Untuk dana yang besar dengan kiasan demi melindungi, aku terima sesuatu yang aku tak pernah sangka akan memakan diri sendiri. Betul, pada mulanya semua hanyalah perniagaan semata-mata. Tapi hari demi hari, aku dah lupakan tentang itu semua. Aku hanya ada di situ sebagai suami. Aku tak peduli lagi tentang dana, perniagaan atau apa-apa saja yang dijanjikan termasuklah kebebasan selepas beberapa ketika. Aku dah bersedia untuk hilang segalanya demi dia. Segala-galanya termasuklah keluarga."

Tangan naik menyentuh dada yang tiba-tiba lain rasanya. Tidak selesa. Getaran yang menyesakkan.

"Aku tak pernah percaya yang kasih, sayang dan cinta itu benar-benar wujud. Bagi aku, itu semua hanya perasaan bila tanggungjawab sudah terikat. Hanya semua itu berubah bila aku bergelar suami. Pada mulanya, semua hanya tanggungjawab. Melindungi dan menjaga. Terlalu sibuk dengan dua hal itu sampai aku tak sedar yang sekarang ia bukan lagi sekadar tanggungjawab, tapi juga kerana aku sayangkan dia."

Jantungku hampir syahid bila tiba-tiba Jebat membuka matanya dan terus menikam lembut mataku. Renungan yang redup dan lembut.

"Dulu aku ingat, aku faham apa yang orang kata tentang nilai seseorang pada kita akan terlihat selepas orang itu tak lagi milik kita. Tapi sebenarnya tidak. Hanya selepas aku sendiri yang mengalaminya, baru aku faham rasa itu. It's only after losing someone, that you truly grasp how much they meant to you. Dan dalam kes ini, dia."

Elok saja Jebat habis bercakap, telefonku yang ada di dalam poket seluar tiba-tiba berdering pendek. Notifikasi.

Aku segera memeriksa telefon.

"Siapa?"

Aku mengangkat kepala semula. Memandang Jebat yang wajahnya sudah bertukar serius.

"Adalah." Aku tak mahu beritahu!

Padahal mesej itu hanyalah mesej ayah yang bertanyakan keadaan aku sekarang. Berbunyi...

Adara tengah buat apa? Tak bergaduh dengan Jebat kan?

"Dekat mana saya tidur malam ini?" soalku. Sudah bersedia nak masuk ke bilik untuk membalas mesej ayah.

Sekali gus meninggalkan dia yang sudah berkerut-kerut itu dengan tanda tanya. Muahaha!

"Master bedroom."

"Huh, nice try. Tapi saya tak nak tidur di katil awak. Bilik sebelah kosong kan? Saya tidur situ ya?"

"Sila."

Okay!

Aku terus bangun dan berjalan ke arah bilik, namun terhenti bila Jebat bersuara semula.

"Cuma bilik itu tak pernah ada penghuni. Aku pun tak ada masa untuk solat di situ. Jadi kalau malam-malam nanti rasa macam katil kena henyak..."

"Arghhh!!!" Aku terus menjerit bila elok saja Jebat menekan mood seram, tiba-tiba bunyi barang terjatuh tadi kedengaran lagi.

Kali ini aku dah tak fikirkan apa lagi. Terus aku berlari dan melompat ke arah Jebat. Sadaqallah hualazim, aku selamat duduk di ribanya sambil kedua tangan memeluk lehernya.

"Saya kata dah yang tempat ini berhantu!" Huaaaa, nak balik!!!

Ayah!!!

"Awak, jomlah balik rumah ayah," rayuku sambil mengetatkan lagi rangkulan pada lehernya.

Takut silap-silap terus tercekik anak orang ini karang!

Baru nak merengek lagi, tiba-tiba Jebat berdiri dengan aku yang sudah dicempungnya. Kakinya melangkah ke suatu arah, dan aku hanya mampu mengunci mulut dalam perasaan yang serba tak kena.

Langkah Jebat berakhir saat aku diletakkan di atas tilam dalam bilik utama. Dia menarik comforter sehingga ke paras dadaku.

"Tidur." Sepatah.

Bila melihat dia yang sudah berura untuk keluar, aku segera mencapai tangannya. Menghalangnya untuk meninggalkan aku dalam ruangan besar dan sepi ini bersendirian.

"Saya takut..."

Entah apa reaksinya, yang pasti Jebat terdiam lama dalam kegelapan bilik ini.

"Then what can I do for you, stella?" soalnya. Lembut sekali.

"Boleh tak kalau awak tidur dalam bilik ini?" Argh, malunya aku!

"Maksud saya, saya boleh tidur dekat bawah. Awak tidur atas katil. Hanya jangan tinggalkan saya sorang-sorang. Saya takut." Aku bersuara lagi bila Jebat masih senyap.

Kalau dia masih nak tinggalkan aku, memang aku akan terus hubungi pengawal peribadi di rumah sana untuk mengambil aku segera. Aku tak nak tidur sendirian di tempat puaka macam ini!

Bila akhirnya dia melabuhkan duduk di sebelahku, aku terus mengesot ke belakang. Jebat berbaring di tempat aku tadi, jadi maksudnya dia bersetuju kan?

Okay, mari tidur bawah!

Aku mengambil bantal dan bangun untuk turun ke bawah, tapi belum sempat nak meninggalkan katil lagi, giliran tangan aku pula yang ditarik.

"Tidur atas," arah Jebat.

"Tapi saya takut kalau..."

"I won't do anything to you, Adara. I can, but I won't."

Kerana itu, aku kembali berbaring. Hanya kali ini aku mengecilkan tubuh di hujung katil bersaiz king ini. Kalau diikutkan, katil ini memang besar. Tapi kerana saiz badan Jebat juga besar, maka katil king sudah terasa seperti queen.

Sunyi mula menghiasi bila masing-masing memilih untuk diam. Jebat masih belum tidur. Aku tahu kerana dia masih bergerak-gerak sedangkan aku sedang memeluk comforter yang memeluk tubuh.

"Tadi ayah yang mesej..." Tak tahulah kenapa aku memberitahu dia tentang itu di ambang ketiduran ini.

"Ayah cakap apa?" Tapi Jebat melayan!

"Dia tanya kalau kita ada bergaduh."

Jebat senyap.

"Tapi kenapa kita kena bergaduh?" Tak ke soalan ayah itu pelik? Orang tanyalah dah makan ke, apa ke. Ini bergaduh?

Tapi soalanku tak dijawabnya.

"Awak jangan tinggalkan saya bila saya dah tidur tahu?"

Jebat senyap. Lagi!

"Kalau awak nak ke mana-mana, beritahu saya dulu. Asalkan saya boleh tengok awak, takut saya akan berkurangan. Sekurang-kurangnya saya tahu yang saya tak bersendirian."

"Kau tak akan pernah bersendirian." Jebat membalas akhirnya.

"Saya sentiasa bersendirian, Jebat. Walau saya ada pengawal yang mengiringi, pembantu yang sentiasa ada, tapi saya tetap bersendirian. Saya kesunyian dan hidup saya membosankan. Saya harap suatu hari nanti akan ada lelaki yang ikhlas untuk menemani saya supaya saya tak bersendirian lagi."

Aku menutup mata.

Sunyi kembali menghimpit.

"Janji tahu?" Mataku sudah mula mengantuk. Namun aku masih tak yakin sebelum mendengar janji dan persetujuannya untuk tidak meninggalkan aku.

Dan bila tangannya naik menyentuh rambutku, aku terus terdiam. Tiada lagi soalan. Yang ada hanya sebuah rasa tenang dengan kantuk yang mula menarik-narik ke alam mimpi. Usapan tangan itu terasa sehinggalah aku terlena di sisinya.

TANGAN melingkar pada pinggangnya. Muka tenggelam di celah lehernya. Sebahagian tubuh sudah menghempap sisi tubuhnya. Memeluknya dengan tak tahu malu dan seperti tak mahu lepas langsung.

Argh!

Bila diingatkan semula hal pagi tadi, aku rasa seperti mahu menjerit biar satu galaksi mendengarnya. Malu gila! Nasib baiklah aku yang terjaga dulu sebelum dia. Kalau dia yang sedar dan nampak posisi kami seperti itu, tak ke teruk aku kena bahan demgan dia nanti?

Aku melangkah ke arah dapur sebaik saja selesai berkemas. Bukanlah berkemas mana pun, hanya pastikan yang aku sudah cukup elok untuk keluar selepas selesai mandi tadi.

Terhidu bau yang bukan main harum, terus aku mempercepatkan langkah. Mentega!

Masuk saja ke dapur, mataku disapa dengan pemandangan indah lagikan seksi bila Jebat sedang sibuk memasak di dapur. Lengkap berapron putih dan sedang memegang sudip.

"Morning." Sedar akan kehadiran aku, Jebat bersuara. Hanya suara, pandangnya tidak.

"Wanginya..." Semakin merapat dan aku dapat mengintai ke dalam kuali leper. Oh, pancake!

Lama memerhati, akhirnya barulah Jebat memandang aku.

"Ambil strawberi dalam peti sejuk dan potong. Boleh?"

Aku terus mengangguk.

Peti sejuk dibuka lalu aku mencari strawberi. Fuh, banyak betul buah-buahan dalam peti sejuk dia ini. Oren, pear, anggur, strawberi dan buah naga. Sayur-sayuran pun bermacam jenis. Dah rasa macam masuk kedai aceh pula. Patutlah badan dia cantik! Makan pun yang sihat-sihat saja.

Papan pemotong ditarik bersama pisau. Strawberi yang mahu digunakan terus dicuci. Aku mula memotong. Memandangkan table top ini terletak di belakang dapur, aku juga berpeluang untuk menyaksikan Jebat yang sedang sibuk menterbalikkan pancake dalam kuali leper. Dia nampak profesional. Pancake juga cantik seperti dalam Instagram sana. Mesti dia sudah biasa masuk dapur.

Kontranya dengan aku!

"Auch!"

Aku terus tunduk melihat tangan sendiri. Jari telunjuk sudah mula berdarah.

Baru nak melihat kedalaman luka itu, tiba-tiba tanganku disambar. Kedua belah tangan Jebat menggenggam tanganku sebelum dia memeriksa luka itu. Tak sempat nak bernafas lagi, dia sudah menarik aku singki. Jariku dilakukan bawah air yang mengalir.

"Mengelamun?" Dahi Jebat berkerut.

"Ha?" Aku rasa itu bukan soalan. Tapi tuduhan.

Tapi memang betullah. Aku mengelamun. Lamunan itu pula disebabkan dia!

"Bila bekerja dengan sesuatu yang tajam, mata tengok ke arah alat itu. Sekeping kertas pun boleh menghiris, Adara. Belajarlah untuk berhati-hati."

Lah, aku dileteri pula!

"Tak ada apapun. Luka sikit aje."

"Kau tak boleh terluka. Sikit pun jangan." Jebat melepaskan aku seketika. Dia berlalu ke suatu arah sebelum laci ditarik. Kotak first aid dikeluarkan.

Tanganku ditarik semula sebelum plaster dibalut.

"Berdiri sini diam-diam," arahnya sebelum kotak first aid disimpan, tangan dibasuh dan Jebat kembali memasak. Sekeping pancake hangus!

Agaknya dia terus terbang ke arah aku sampai tak sempat nak matikan api.

"Tapi buah..."

"Aku akan buat."

Okay...

Sudahnya aku hanya mampu memerhati sambil berdiri statik di sini. Takut nak bergerak.

Elok saja pancake siap dimasak, Jebat terus memandang aku semula. Matanya merenung aku buat beberapa ketika sampai segan aku dibuatnya.

Satu helaan nafas terbit di bibir sebelum Jebat mendekat. Tangannya menyentuh sebelah tanganku, lalu getah rambut yang dibiar melilit pergelangan sedari tadi, ditariknya. Jebat memusingkan tubuh aku membelakanginya.

Aku terus meremang saat rambut disentuh. Kiri dan kanan rambut disauk sebelum disatukan. Rambut aku diikat dengan lembut sampai meremang leher dibuatnya.

"Masuk dapur, terus ikat rambut. Tak rimas ke masa menunduk bila rambut ikut jatuh sama?"

Aku senyap.

Satu lagi ikatan dan aku dipusingkan semula olehnya. Kembali berdepan.

"Sini..." Aku dibawa kembali ke table top. Ditolak lembut sehingga aku berdiri kembali di depan papan pemotong yang ditinggalkan tadi.

Baru nak menyoal apa yang perlu aku buat sekarang, tiba-tiba tangan Jebat muncul seakan sedang melingkari pinggangku. Hanya ini, tangannya menggenggam pisau dan yang sebelah lagi terus memposisikan buah strawberi untuk dipotong.

Tengkuk terasa meremang saat Jebat berbisik.

"Watch and learn."

Jebat mendekatkan pisau dengan strawberi. Sebelah tangannya mula membengkok di bahagian jari. Bahagian kukunya yang menahan buah itu.

"Bila potong apapun, posisikan jari macam ini. Kuku ini Allah bagi untuk dijadikan salah satu pelindung. Jadi gunakan dengan baik. Sekurang-kurangnya kalau nak terhiris pun, kuku yang akan kena dulu." Jebat memotong buah. Laju dan kemas kerjanya. Tak sampai dua minit, habis semua buah yang sudah dibasuh tadi dipotong cantik.

"Kenapa malam tadi kau tiba-tiba resah semacam?"

Oh.

"Panic attack. Saya tak boleh tukar tempat tidur. Setiap kali saya tukar tempat tidur, saya akan kena nocturnal panic attack."

Jebat senyap.

"Saya mengganggu awak tidur kan?" soalku.

Yelah, aku terbangun secara mendadak. Dia yang memeluk aku juga ikut terjaga sama. Dia yang memerhati dan menemani sepanjang aku resah, sesak nafas dan sebagainya.

"Tidur tak ada apanya berbanding membiarkan kau berseorangan sekali lagi, Adara. A sleepless night feels beautiful as long as I’m with you."

Gulp!

Sekejap...

Sekarang buah sudah selesai dipotong. Jadi kenapa Jebat masih tetap dalam posisi yang sama? Dia tak nak lepaskan aku ke?

Jantung sudah mula lain rentaknya saat pisau dilepaskan, lalu papan pemotong ditolak jauh, sebelum tangannya memeluk tubuhku. Nafas ikut semput saat dagunya mula menompang pada bahuku. Senyap, hanya hembusan nafasnya yang kedengaran menyentuh sekitar leher dan telingaku. Pastinya kepala Jebat sedang menyenget memandang ke arah wajahku.

Oh, aku nak terkencing! Terlalu gementar!

"Awak..." Aku memanggilnya. Suara tenggelam bagai tak nak timbul kerana terlalu gementar!

"Hm?"

"Awak tengah ambil kesempatan ke?" Aduh, itu pun nak tanya! Dah tentulah ya!

"Mungkin," jawabnya, sepatah dan senada. Tenang tanpa rasa serba-salah.

"Tapi awak dah janji yang awak..."

"I guess I'm falling for your temptation again, no surprise there."

"Again?" Bila yang pertama? Dan aku tidak menggoda dia sama sekali!

"Again." Dia mengulang seakan sedang mengeyakan. Tapi hanya itu. Tiada lebihnya. Tiada penjelasan panjang.

Tahu-tahu saja perut aku sudah bergendang lapar. Kerana itu jugalah Jebat melepaskan aku bersama sengihan terukir di bibirnya. Nampak gembira.

"Have a seat. Kita sarapan." Jebat terus membawa buah-buahan yang sudah dipotong tadi lalu diletakkan dalam mangkuk kecil.

Dia mengeluarkan maple syrup.

"Lepas ini, aku hantar kau balik. Aku ada kerja."

Oh...

"Okay." Tak habis-habis dengan kerja!

"Jangan nak keluar ke mana-mana. Tunggu aku balik, dan aku akan temankan kau."

Aku mengangguk lagi.

Eh, kejap! Dah kenapa pula kena tunggu?

...

Bekalan untuk minggu ini. Bab yang saya post semasa saya bercuti ini, saya akan tolak daripada jumlah bab yang saya post selepas habis bercuti nanti.

....

Giveaway masih berjalan!

Dan untuk yang malas nak join giveaway, cepat-cepat dapatkan buku fizikal saya di Karangkraf Mall, terbitan Alaf 21! Sekarang tengah promosi di Tiktok!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience