Bab 17

Romance Series 18843

AKU berdiri di depan pintu bilik sambil sesekali menjeling jam di tangan. Sudah setengah jam aku terpacak di sini, tapi orang yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Kalau aku tinggalkan saja barang-barang ini di ruang legar sana, takut pula ayah marah kerana tak sopan. Jadi aku terpaksa menunggu.

Dokumen yang dikepit di celah ketiak itu, aku jeling seketika. Tak cukup tangan kerana ada salad buah dan sedikit sandwic yang terpaksa aku pegang, maka dokumen terpaksa bertahan di celah ketiak. Harapnya tak lecaklah.

Argh, cepatlah Jebat Arrogant oi!

Seperti terus termakbul doaku, tiba-tiba pintu lif terbuka dan tubuh yang membuatkan aku terpacak di depan pintu bilik ini selama setengah jam akhirnya muncul. Ada briefcase. Berbaju kemeja dan vest semata. Kot hanya dipegang. Dia sedang memandang iPad di tangan.

Beberapa langkah menghampiri, barulah dia mengangkat muka dan matanya terus tertumpu ke arahku. Keningnya sedikit terjongket sebelum tiba-tiba kot yang dipegang tadi terus diletakkan atas kepalaku. Macam aku ini penyangkut!

What...

Aku mendengar pintu bilik dibuka sebelum kepalaku kembali bebas.

"How dare you..."

"Morning, stella." Tak mempedulikan aku, Jebat terus masuk ke dalam bilik setelah kunci pintu dimasukkan ke dalam poketnya semula.

Aku ikut masuk ke dalam bilik. Salad buah dan kotak sandwic diletakkan atas meja sebelum dokumen tadi dikeluarkan. Sempat aku memeriksa dokumen itu kalau-kalau sudah lencun dengan peluh aku, tapi tidak. Selamat!

Jebat yang baru saja menyangkut kot pada penyangkut baju dan meletakkan barangannya di atas meja, terus memandang aku.

"Makin kerap kau ke sini. Tak akan dah rindu kut?" katanya.

"Rindu dekat siapa?"

"Aku."

Terus terjuih bibir mendengar itu. Perasan!

"Jangan haraplah. Saya tak berkenan dengan awak sama sekali," bidasku.

Tapi Jebat hanya menyambutnya dengan sebuah senyuman senget. Nampak nakal dan jahat di mata aku. Seakan dia sedang menepis bidasan tadi dalam hatinya.

"Funny how there used to be this woman who would literally jump with joy every time I came home from work. Funny, really." Lelaki itu terangguk-angguk sebelum kotak sandwic ditariknya.

Tak menyempat aku nak memperkenalkan apa yang aku bawa, dia sudah terlebih dahulu mengambilnya. Disebabkan itu, aku hanya berdiri memerhati dia yang terus membuka kotak itu.

Bila melihat sandwic yang dipotong menjadi segitiga kecil tersusun cantik di dalam kotak, dia kembali memandang aku.

"You really must be in love with me, Adara." Dengan mata memandang aku, dia terus mengigit sepotong sandwic.

"Awak jangan perasan boleh tak? Itu ayah yang suruh saya bawa ke sini sebab dah alang-alang saya buat untuk agihkan kepada orang ramai."

"Agihkan untuk apa?" Dia membuka pula bekas salad buah.

Aku membantu Jebat dengan menarik sudu plastik yang sudah aku selitkan bersama.

Bila dia menyudukan salad buah ke dalam mulut, aku melihat dia mencebik bibir sedikit sambil menjongket kening seakan salad itu kena dengan harapannya. Harapnya harapan dia itu sedaplah. Kalau tak sedap, habislah aku! Ada 200 bekas yang akan diagihkan di stesen minyak sana.

"Sempena hari lahir arwah mama saya," jawabku.

Terhenti seketika kunyahan Jebat sebelum dia mengangguk beberapa kali. Tahu-tahu saja isipadu dalam bekas sudah ghaib separuh ditelannya. Sah sedaplah itu!

Alhamdulillah!

"Dah berapa lama arwah mama meninggal dunia? Ada 10 tahun?"

Arwah mama? Wah, macam itu mama dia pula.

"Lebih."

"Apa rasa hidup tanpa ibu?" soalnya.

Aku rasa nak marah dengan soalan itu, tapi melihat wajahnya yang sama sekali tiada sebarang riak bergurau atau mengejek, aku terus membatalkan niat itu. Mungkin Jebat memang ingin tahu sahaja.

"Entah. Sunyi, gelap, muram, kusam, sendiri dan banyak lagi. Dulu, saya cemburu dengan orang yang tak ada mak sebab mereka tak dikongkong. Tapi lepas mama meninggal, saya cemburu melihat orang yang dikongkong oleh mak mereka. Rindu. Ya, rindu yang tak ada penghujung. Rasa macam nak putarkan masa untuk hargai arwah mama sebaik-baiknya."

Aku tersenyum di hujung kata. Sebak! Rasa nak menangis.

"Kenapa nak putarkan?"

"Untuk ubah segalanya. Tak nak tinggikan suara, nak hormat mama, ikut segala cakap mama, tak bantah arahan mama dan semuanya. Orang kata, kita akan hanya nampak betapa besarnya nilai seseorang itu bila seseorang itu dah tak lagi ada untuk kita. Saya rasa itu. Sedang merasainya."

Jebat senyap. Senyap itu hanya digunakan untuk merenung aku buat beberapa ketika sebelum Jebat tersenyum nipis. Hanya nipis.

"Salah."

"Ha?" Salah?

"We know exactly how important and vital someone is in our lives. Kau tahu, yang kau sayangkan dia. Kau tahu, yang kau mahu menggembirakan dia. Kau juga tahu, yang kau sanggup mengorbankan satu dunia untuk selamatkan dia seorang. Kita tahu, Adara. We just never thought we would lose them. Disebabkan kebodohan itu, manusia selalu mensia-siakan peluang yang ada dan mungkin peluang itu tak akan datang kembali."

Mataku berkelip lembut membalas renungannya yang terasa dalam dan syahdu lain macam. Segala kata-katanya tadi walaupun bernada tenang, tapi seakan membawa sebuah kesakitan dan penyesalan.

Seakan dia yang merasai itu. Seakan dia manusia di sebalik 'kau tahu.'

"Macam mana kalau peluang itu datang kembali?" soalku.

Jebat tiba-tiba mendekati aku. Berdiri di hadapan aku sambil menunduk kerana ketinggian yang jauh berbeza. Wajahnya serius. Senyumannya hilang. Namun pandangan matanya masih dalam. Masih seperti tadi.

"Aku akan buat dia menyampah dengan setiap belaian manja, kata cinta dan kehadiran aku sampai dia akan merayu untuk aku berhenti."

"Kenapa kena menyampah?"

"Sebab ia tak akan berhenti walau sesaat untuk seumur hidup."

Mata bertentangan lebih lama sebelum aku terus menunduk dan memandang ke arah lain bila terasa degupan jantung bertukar rentak secara mendadak. Aku segera berundur beberapa langkah sebelum kepala diangguk.

"Lucky her."

"Lucky you."

Makin nazak jantung aku dibuatnya bila Jebat membalas seperti itu. Lucky you. Seperti ditujukan kepada aku, atau mungkin dia sedang berimaginasi saja.

Err, apa-apa sajalah.

"Saya kena minta diri dulu. Selamat bekerja." Aku terus berura untuk keluar, namun terhenti bila tanganku ditangkap Jebat.

Aku terus memandang jarinya yang melilit pergelangan tanganku. Cukup kemas dan erat seperti tidak mahu aku meneruskan hajat untuk keluar.

"Aku hantar," katanya.

"Hantar ke mana?" Dahiku berkerut.

"Ke stesen minyak."

"Akim tengah tunggu di bawah. Saya boleh ke sana sendiri."

"Boleh tak jangan rapat sangat dengan mamat itu?" Suaranya tiba-tiba kedengaran marah pula.

Hai, pelik ini. Sudah kenapa dia mahu melarang aku pula?

"Dan awak boleh tak jangan sentuh saya sesuka hati?" Aku terus menarik-narik tanganku sehingga dia sendiri yang melepaskan genggamannya.

"Saya pergi dulu." Aku terus melangkah laju supaya tiada lagi ruang untuk dia bercakap lagi.

Hanya sempat sebuah pandangan diberikan untuk dia yang sudah bercekak pinggang sambil memandang aku.

Anehnya tak ada pula gaya seperti itu membuatkan dia nampak seperti mak cik-mak cik. Malahan dia nampak seksi! Geesh!

"KENAPA bagi salad ini percuma aje, dik?" Wanita yang baru saja menyambut huluran aku itu terus menyoal hairan.

Yalah, zaman sekarang ini kalau tak sebab nak membuat content. Datang bersama kamera tersembunyi atau tidak tersembunyi, memang tidak sah.

"Hari ini hari lahir arwah mama. Akak tolong doakan arwah mama ya?" balasku sambil tersenyum nipis.

Wanita itu seakan tersentak seketika sebelum laju saja sebuah senyuman terukir di bibirnya.

"InsyaAllah, akak akan doakan. Awak jangan sedih ya, dik? Hidup kita ini memang macam itu. Seumur hidup kita akan berhadapan dengan perpisahan. Tapi tak ada perpisahan yang selamanya. Kematian juga tidak selamanya sebab Allah dah beritahu yang kita akan dihidupkan semula nanti. Adik jadi manusia yang baik, yang diredai Allah dan akak akan doakan adik supaya dapat bertemu arwah mama di syurga nanti."

Oh, aku hampir menangis mendengar itu. Sudah lama sepasang telinga ini tidak mendengar sebuah ayat yang mampu memujuk dan menenangkan. Bertambah pilu bila ucapan itu diucapkan oleh seorang wanita asing yang tidak pernah aku kenali.

Sebaik saja wanita itu berlalu ke keretanya, aku terus mencebik kecil. Rasa sedih. Rasa seolah kehilangan seseorang yang mampu menenangkan.

Atau memang aku saja yang cepat jatuh sayang.

"Cik."

Aku terus mengangkat kepala. Tangan sudah bersedia untuk mengambil sebekas salad buah, tapi terhenti bila mata mendarat pada seraut wajah yang sedang tersenyum nipis itu.

Ini...

"Awak..." Bodyguard lama!

Dia tersengih.

"Gosh, apa nama awak? Saya lupa."

"Affendi."

Oh ya! Affendi! Lelaki bertubuh besar dan bermuka garang ini bernama Affendi. Pengawal keselamatan aku di awal-awal kekacauan itu berlangsung.

"Awak buat apa dekat sini?" soalku.

"Saya isi minyak. Tadi dengar dekat dalam ada orang suruh pelanggan ambil makanan percuma di luar. Saya belum breakfast, jadi saya ingat nak ambil satu. Tapi bila tengok ramai-ramai pengawal, saya rasa saya tahu siapa yang punya kerja ini." Dia tersengih sebelum menuding ke arah pengawal yang sedang membentuk bulatan berjarak di sekeliling aku.

Menjaga dengan tekun.

Aku terus tertawa. Oh, begitu!

"Kalau macam itu..." Aku terus mengambil dua bekas salad buah lalu menghulur kepadanya.

"Ambillah."

"Satu pun dah cukup."

"Ambil ajelah. Badan awak yang besar macam ini mana cukup satu."

Akhirnya dia terpaksa akur dengan desakan itu. Affendi mengambil kedua-duanya.

"Dah lama kita tak jumpa. Tak silap, setahun lebih yang lepas kali terakhir kita bertemu. Cik sihat?"

Aku mengerutkan dahi.

"Setahun lebih? Bukan ke kali terakhir kita berjumpa masa saya 22 tahun?"

Giliran Affendi pula untuk mengerutkan dahi. Aku dipandang lama sebelum bibirnya tersengih.

"Saya tahu yang saya ini tak penting, tapi terluka hati saya kalau cik tak ingat macam mana saya hampir bertumbuk untuk cik."

Seakan faham dengan situasi semasa dan aku yang sudah terpinga-pinga ,Akim terus mendekati kami. Dia berdiri di sisi aku sebelum berpandangan dengan Affendi.

"Cik Adara kemalangan lebih setahun setengah yang lepas. Disebabkan kemalangan itu, Cik Adara tak sihat. Tolong jangan paksa dia untuk mengingat apa-apa," kata Akim.

Affendi memandang aku dan Akim dengan riak tak percaya. Wajahnya sedikit tidak mesra seolah dia rasa dirinya cuba ditipu. Namun sebaik saja aku mengangguk, terus dia menyoal.

"Kemalangan kereta?"

Aku menggeleng. "Ada orang serang hendap dan ketuk kepala saya dengan batu bata."

"Siapa?" Dahi Affendi berkerut. Wajahnya yang sudah sedia tak mesra, jadi semakin tak mesra. Malahan wajahnya bertukar menyeramkan.

"Tak ada siapa yang tahu," jawabku.

"Lepas lebih setahun, masih tak ada siapa yang dapat tangkap pelaku itu?"

Aku menggeleng. Memang tak ada.

"Kalau ada pun, apa sangatlah yang undang-undang akan buat? Masuk penjara, dirotan? Cukup masa, dia keluar semula dengan dendam lebih besar."

"Kenapa nak tunggu undang-undang yang menghukum?" Affendi menyoal balas.

Aku pula terus terdiam mendengar soalan itu. Bukan, tapi nadanya. Nadanya kedengaran sedikit menakutkan. Seolah ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikirannya.

"Jadi tak akan saya yang kena hukum dia?" Aku cuba berseloroh. Tak mahu situasi begitu serius.

"Cik Adara..." Pengawal yang seorang lagi menghampiri.

Terus aku melupakan Affendi seketika. Aku memandang pengawal itu yang sudah terlebih dahulu melihat ke satu arah. Arah itu...

Ada sebuah kereta Lamborghini terparkir di sana. Di kerusi memandu ada seorang lelaki berkaca mata hitam seperti memandang ke arah kami.

Jebat?

"Apa yang dia buat dekat sini?" Aku menyoal walaupun tak tahu soalan itu untuk siapa. Kalau ada yang tahu, jawab sajalah.

Sebab aku dapat merasakan suasana mula berubah sebaik saja sedar akan kemunculan dia di sini. Rasa menakutkan walaupun di sudut hati, aku dapat merasai keselesaan dan rasa selamat yang lebih hebat berbanding sebelumnya.

"Saya tak tahu, cik. Nak saya pergi tanya Encik Jebat?" balas pengawal itu.

"Tak payahlah. Mungkin dia kebetulan aje dekat sini kut." Sebab aku tak ada memberitahu lokasi kami pun. Jadi kebetulan sajalah itu. Tak akanlah dia rajin sangat nak menjelajah semua stesen minyak di kawasan sini semata-mata nak mencari aku pula kan?

"Kalau macam itu, baiklah." Pengawal itu segera kembali ke posisinya.

Aku memandang Jebat sekali lagi sebelum kembali memandang ke depan. Affendi sedang ikut memandang ke arah sana. Nampak tekun benar. Tajam pandangan matanya.

"Affendi?" Aku memanggilnya.

Bila dia kembali memandang aku, terus senyuman dikuntum nipis buatnya.

"Kalau ada kelapangan, awak datanglah rumah. Ayah tengah sakit. Rasanya awak boleh melawat ayah memandangkan dah lama awak tak bertemu dengan orang-orang di rumah sana."

"Saya tak nak cari gaduh dengan orang itu." Affendi mengerling ke arah Jebat.

"Jebat? Apa yang menyebabkan jemputkan ke rumah itu buatkan awak boleh cari gaduh dengan dia?" Aku menyoal hairan.

Tiba-tiba dahi lelaki itu mula berkerut. Aku dipandang dengan mata yang sedikit mengecil sebelum Affendi tergelak kecil.

"Cik buat-buat tak faham ke? Cik gaduh dengan dia lagi ya?"

Aku segera menggeleng. "Saya memang tak faham."

Akim kembali merapati kami bila mungkin sekali lagi dapat mengesan situasi yang semakin meruncing buat aku. Akim mendekat Affendi sebelum lelaki itu membisikkan sesuatu yang rasanya aku pun sudah faham.

Pastinya tentang masalah aku secara terperinci berbanding tadi yang hanya sekadar kemalangan itu. Kerana sebaik saja Akim berbisik, wajah Affendi terus berubah dan aku dipandang dengan pelbagai emosi timbul pada wajahnya.

"Saya akan melawat cik nanti." Affendi mengangkat bekas salad buah itu sebelum dia tergesa-gesa menuju ke arah keretanya.

Aku hanya memandang sehinggalah kereta itu tidak lagi kelihatan.

Mendengar deruman garang, aku berpaling pula ke arah Jebat. Mata hanya melihat Lamborghini yang memecut laju meninggalkan stesen minyak ini.

Apalah yang dia buat dekat sini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience