Bab 18

Romance Series 18843

AKU menuruni tangga terus ke arah dapur. Melihat tukang masak yang sedang sibuk menyediakan makan malam, aku terus menguntum senyuman untuknya. Tukang masak dan orang gaji adalah dua tugas yang berbeza di rumah ini.

Orang gaji hanya mengemas dan sebagainya, sementara tukang masak hanya untuk memasak.

Semuanya kerana ayah hampir dimandrem melalui makanan oleh orang gaji dulu yang ingin ayah menurut segala katanya. Nasib baiklah mama mengesan semua itu segera dan membawa ayah bertemu perawat. Perawat itulah yang memberitahu siapa yang berniat buruk terhadapnya.

Biasalah kalau dah tengok lelaki dengan duit berkepuk itu, setua mana pun sanggup! Orang gaji itu pula orang tempatan yang baru dalam usia 30 an.

Sejak itu, ayah mengajikan seorang lelaki yang memang bekerja sebagai tukang masak dan pernah berkhidmat di sebuah hotel terkenal untuk menyediakan makanan kami pada setiap hari. Orangnya baik. Sudah beristeri dan ada dua orang anak yang comel.

Abang Walid namanya.

"Adara nak makan ke?" soal lelaki itu.

"Eh, tak adalah. Adara nak ambil yogurt dalam peti sejuk je. Kenapa abang masak banyak ya malam ini?" Aku mengerling segala jenis periuk dan kuali di atas dapur.

Macam lauk untuk nasi minyak aje aku tengok.

"Adara tak tahu ke?"

"Tahu apa?" Yogurt dicapai lalu aku memandang Abang Walid.

"Yang kejap lagi ada tetamu nak datang? Datuk kata orang-orang ofis juga."

Oh?

"Tak tahulah pula. Ayah tak ada cakap." Tapi kalau ayah cakap pun bukannya ada kena mengena dengan aku.

Sudahnya aku duduk di bilik juga nanti.

"Mungkin sebab Datuk Zamrul sibuk agaknya. Sebab dengar cerita, mereka ada meeting bersama di bilik kerja nanti. Habis meeting, baru makan malam. Sebab itu abang masak banyak malam ini."

Oh...

"Kalau macam itu Adara masuk biliklah ya?"

Elok Abang Walid mengangguk, aku terus keluar dari dapur dan melangkah ke arah tangga. Melalui ruang tamu, langkahku terus terhenti apabila pintu rumah terbuka dan muncul seorang lelaki yang santai berbaju T lengan pendek dengan jogger pant. Bertopi seperti dia baru habis bersukan.

Gym mungkin?

Mata kami bertentangan sebelum dia melangkah masuk ke dalam tanpa sebarang kata. Macam ini rumah dia pula.

"Awak memang tak ada niat untuk bagi salam atau minta izin sebelum masuk?" soalku sebaik saja dia menutup pintu semula.

Jebat.

Dia tidak menjawab soalanku. Kakinya dibuka merapati aku sebelum berhenti sebaik saja berjarak dua langkah untuk hujung jari kaki kami bersentuhan.

"Untuk apa?"

"Untuk? Ini kan rumah orang? Mestilah kena minta izin sebelum masuk walaupun awak dijemput."

Jebat menjongket bahunya sebelum tiba-tiba yogurt kepunyaan aku diambil tanpa sempat ditahan, lalu dengan tak bersalahnya dia menyudukan yogurt terus ke dalam mulut.

Oh my...

"Biadabnya..." Eii! Lagi biadab bila mukanya tetap kekal seksi tanpa terkecuali walaupun dia sedang mencuri makanan aku.

Geramnya!

"Biadab? Ini bare minimum yang kau boleh buat untuk jalankan tanggungjawab kau terhadap aku, Adara." Dan tak teragak-agak sudu bertukar sasaran sebelum yogurt masuk ke mulutku.

Allah! Dia ini memang lepas laku!

"Tanggungjawab apa? Awak sedang mencuri makanan saya. Ganti balik!"

"Sure thing. Esok, malam. Aku ambil di sini." Dia tersengih nakal.

"Ambil? Bila masa saya suruh awak ambil saya? Saya suruh awak ganti yogurt saya. RM 8.00 lebih di kedai sana. Pergi beli!"

Eii, rasa macam nak lastik aje bibir dia yang makin nakal mendengar balasan aku. Yang tak puas hatinya, semakin nakal, semakin dia nampak seksi!

Baru nak sambung membebel lagi, tiba-tiba loceng berbunyi. Aku terus memandang ke arah pintu sebelum kembali bertentangan mata dengan Jebat. Dia yang tenang dan aku yang sudah berkerut.

"Di luar itu orang ofis juga?" soalku.

Jebat mengangguk sekali.

"Untuk meeting dengan ayah?"

Angguk lagi.

Oh, okay! Aku rasa ada baiknya aku masuk ke dalam bilik sekarang sebelum ayah nampak aku di sini dan paksa aku untuk menyertai mereka. Tak suka!

"Kalau macam itu, saya naik dulu." Bye!

Aku segera membuka langkah untuk ke tangga. Yogurt yang sudah licin dicuri itu tak aku pedulikan lagi.

Tapi baru memijak anak tangga kedua...

"Adara nak ke mana itu?" Suara ayah sudah kedengaran.

Lambat-lambat aku kembali berpusing ke arah ruang tamu. Memandang ayah yang baru saja keluar dari bilik kerjanya sambil memandang aku dan Jebat bergilir-gilir. Ayah dan Jebat bersalaman. Ayah siap menarik lelaki itu ke dalam pelukannya macam akrab benar.

"Nak ke bilik," jawabku.

"Nak ke bilik apa lagi? Mari ikut kami bermesyuarat. Adara boleh dengar dan ikut isu semasa yang berlaku dalam mesyuarat. Mungkin Adara boleh ambil minit mesyuarat."

Ha?! Minit mesyuarat?

"Ayah, tak naklah..." Aku terus merengek. Gila ke nak suruh aku ikut sama? Bosannya! Kalau semuanya tentang perniagaan, mahu berdengkur aku nanti.

"Kenapa tak nak pula? Inilah masanya untuk belajar." Ayah memujuk tegas sambil menggamit aku untuk turun semula.

Argh, ini semua salah Jebat!

Aku terus mengetap gigi sambil memandang lelaki itu yang tenang saja melihat ke arah sini seolah ingin mentertawakan aku.

Aku hampir ternganga bila dalam sibuk bersabung mata, lelaki itu mengenyitkan sebelah matanya sambil tersenyum mengejek. Sekurang-kurangnya itulah apa yang aku nampak. Dia suka dengan nasib malang aku sekarang.

"Jebat, pergi jemput mereka masuk ke dalam. Dah tiga kali tekan loceng itu. Sekejap lagi takut semua balik pula sebab fikirkan tak ada orang dalam rumah ini. Adara, mari masuk." arah ayah.

Fine!

"PROJEK J.A.R itu dah separuh jalan ya, Jebat?"

"Betul, datuk. Kami ada hantar imej terbaru projek itu. Nanti datuk boleh tengok perkembangannya."

Aku menekup mulut bila tanpa sedar aku sudah mula menguap. Air mata meleleh. Topik mereka sangat membosankan sampai aku mengantuk!

Aku mengerling telefon yang masih merakam suara mereka. Sudah satu jam lebih rakaman itu berjalan. Kerana aku malas nak menulis, maka aku merakam saja. Nanti aku mintalah tolong sesiapa untuk dengar semula dan ambil titik-titik pentingnya. Tak ada kuasa aku nak buat kerja seperti ini. Tak mencabar minda dan pemerhatian langsung.

"Kalau macam itu eloklah. Sebab kira-kira dah lebih setahun pun projek itu berjalan. Kalau masih tak ketara lagi perkembangannya, saya nak hantar orang untuk siasat jika ada kepincangan. Berurusan dengan duit ini orang akan gelap mata," balas ayah.

Aku melihat Jebat hanya mengangguk sekali. "Saya nak minta ruang untuk kita bercakap berdua nanti, datuk. Ada yang perlu dibincangkan."

Ayah terus mengangguk setuju.

Lima orang termasuk aku. Ayah, Jebat dan dua orang lelaki tua yang juga antara orang-orang berkepentingan di syarikat keluarga kami.

Cuma ayah dan Jebat nampak lebih akrab dan mesra berbanding dengan yang dua orang lagi.

Dahiku berkerut bila mata bertentangan dengan sepasang mata Jebat. Aku mengerutkan dahi dan terus memandang ayah. Tak mahu pandang lelaki itu lama-lama!

"Rasanya cukuplah mesyuaratnya. Mari kita pergi makan malam. Saya belanja nasi minyak masakan chef di rumah kami ini sebab sanggup ke sini walaupun dah tamat waktu pejabat."

Akhirnya bersurai juga!

Aku yang pertama berdiri sekali gus rakaman suara ditamatkan. Kepala ditundukkan sedikit sebelum aku memberi salam dan ucapan terima kasih, lalu terus pecut keluar dan masuk ke dalam bilik tidur.

Fuh, lega! Ingatkan ayah akan melarang aku untuk cabut lari tadi.

Alat kawalan jauh TV dicapai. Aku segera melompat ke atas katil sebelum Netflix dibuka. Beberapa belas minit mencari filem yang ingin ditonton, akhirnya aku terus menarik bantal dan diam menonton filem yang sudah berpuluh kali diulang. Interstellar.

Larut dalam penceritaan, tiba-tiba aku mendengar bunyi tombol seakan dipulas dari luar. Terus tegak badan aku yang tadinya berbaring. Bantal dicampak ke tepi sebelum aku menarik pasu bunga yang terletak di atas night stand. Aku menyorok di sebelah almari baju bila mendengar sesuatu berderap.

Pasu diposisikan untuk diayun.

Memandang ke lantai, aku melihat sebelah kaki di situ. Segera tangan memberi daya sebelum pasu diayun terus ke arah kaki itu. Namun apabila pasu ditepis sebelum terbang dan menghempas dinding, aku terus terjerit ketakutan.

Tiada lagi senjata!

Harapan terakhir!

Tangan terus memukul-mukul tubuh yang ada di hadapanku. Tapi tak sampai beberapa pukulan, tiba-tiba tubuhku ditolak terus hingga tersandar pada almari. Tanganku ditangkap dan mulutku ditekup dengan sebelah lagi tangannya.

Dalam kegelapan bertemankan cahaya televisyen, aku mengerutkan dahi bila rupa-rupanya penceroboh di malam hari ini adalah lelaki kepercayaan ayah itu. Jebat.

Mungkin kerana aku sudah kurang paniknya, lelaki itu melepaskan tekupan tadi sebelum jarinya naik menyentuh bibir. Isyarat untuk aku senyap.

Tanpa melepaskan tanganku, Jebat mencapai alat kawalan jauh untuk lampu bilik sebelum dihidupkan. Cahaya menerangi dan wajahnya semakin jelas. Anehnya, segala panik tadi terus ghaib walaupun hakikatnya berada berdua bersama dia di dalam bilik juga adalah sangat berbahaya.

"Suami borek, isteri rintik." Aku menangkap suaranya. Gumam.

"Apa dia?" Tolong ulang semula. Apa yang suami borek, isteri rintik? Bukan bapa borek, anak rintik ke?

"Kenapa terus keluar? Kan ayah ajak makan malam tadi?" Tapi dia tidak mempedulikan soalan aku.

Tengoklah itu, dia berayah lagi. Itu ayah akulah!

"Saya tak lapar dan awak tak patut menceroboh ke dalam bilik saya."

Barulah Jebat melepaskan tangan aku.

Aku segera memeriksa diri dan menarik mana yang patut. Takut ada yang terselak, tapi mujur tiada. Selamat!

Jebat berundur selangkah dua sebelum dia seakan memerhati ke seisi bilik ini.

"Tak banyak yang berubah," katanya. Perlahan, tapi cukup untuk aku dengar.

Jebat melangkah ke arah bilik air sebelum keluar semula bersama senyuman nipis di bibirnya.

"Awak buat apa merayau dalam bilik anak dara orang ini?" soalku, hairan.

Dia macam tak malu langsung!

"Tak ada apa."

Tak ada apa, tapi dia masih terus merayau dalam bilik ini.

"Waktu malam, kunci pintu. Jangan biarkan pintu tak berkunci macam tadi."

"Bukan ada sesiapa dalam rumah ini," balasku.

"Pembantu, pengawal peribadi dan pengawal rumah itu pun manusia. Jangan percayakan makhluk yang bernama manusia. Bila-bila masa saja kau boleh diterkam."

Berkerut dahiku mendengar kata-kata itu. Sudahlah tegas semacam. Dia sedang mensyaki orang-orang di dalam rumah ini untuk hilang kawalan dan melakukan sesuatu yang jahat ke?

"Jom turun, makan." Jebat menghampiriku sebelum tanganku terus ditariknya.

"Jangan pegang sayalah!" Tangan direntap semula.

"Turun makan. Aku tunggu di bawah."

"Saya tak lapar."

"Jangan nak memyombong. Turun dan makan sikit walaupun tak lapar. Mereka di bawah itu orang penting dalam syarikat ayah. Buat mereka rasa dihargai dengan turun dan bermesra."

"Dah kenapa awak panggil ayah saya macam dia ayah awak pula ini?"

Tak menjawab, Jebat hanya mencuit hidungku sebelum sekali lagi tanganku digenggamnya. Kali ini erat hingga aku tak mampu untuk merentap lagi. Aku dibawa terus ke meja makan dan disambut dengan pandangan mesra ketiga-tiga mereka yang sudah menunggu kami.

"Maaf buat semua menunggu, ada orang merajuk sebab secawan yogurt hari ini," kata Jebat sekali gus menarik kerusi dan menolak aku untuk duduk di situ.

Dia melabuhkan duduk di sebelahku.

Tapi merajuk? Bila masa pula aku merajuk? Aku tengok TV dan dia yang pecah masuk!

"Jebat dan Adara dah duduk serumah semula ke?" Lelaki tua di depanku menyoal. Tak silap aku namanya Razali. Ke Rosli?

Entah!

"Serumah?" Aku memandang Jebat dengan dahi yang dikerutkan.

"Apa yang serumah?" Aku kembali memandang Encik Razali. Atau Rosli?

Mendengar soalanku, lelaki tua itu seperti tersentak sedikit sebelum laju dia menggeleng sambil mata memandang kedua Jebat dan ayah. Nampak panik.

Wajah ayah juga sudah serius dan Jebat...

Dia sentiasa serius.

"Maafkan saya. Saya bergurau aje tadi," kata Encik Razali.

Minta maaf pula dah?

"Tak ada masalah. Lagipun bermula minggu depan, saya memang akan berpindah masuk ke dalam rumah ini." Jebat menguntum senyuman nipis sebelum mereka mula membaca doa tanpa mempedulikan aku yang sudah terbeliak di sebelah ini.

Pindah masuk bermula minggu depan? Rumah ini?!

"Kenapa pula?" soalku. Bukan Jebat yang menjadi mangsa soalanku, tapi ayah. Aku menagih jawapan daripada tuan rumah ini.

"Ayah jemput Jebat menginap di sini untuk beberapa minggu. Biliknya bertentangan dengan bilik Adara. Bilik arwah mama dan ayah dulu," jawab ayah.

Bilik arwah mama dan papa? Maksudnya bilik utama itu? Dulu mama dan papa memang tidur di dalam bilik itu sampailah mama sakit dan berpindah ke bawah. Bila mama meninggal dunia, kadang-kadang ayah akan naik tidur di atas sebab katanya tak boleh biarkan bilik ditinggal lama. Takut ada yang menumpang. Tapi disebabkan sekarang ayah pula yang sakit, jadi bilik itu memang tak berpenghuni lagi.

"Tapi ayah kan ada anak dara dalam rumah?"

"Kenapa kalau ya pun ada anak dara?" Ayah menyoal balas.

Pula?

"Tak manislah, ayah."

"Apa pula tak manis? Tak payah fikir yang bukan-bukan. Jebat ini tidur di bilik utama itu, bukannya tidur dalam bilik kamu."

Eii, tak adilnya! Sudahlah menumpang, tidur pula dalam bilik utama yang besar.

Bila mereka sudah mula menjamah segala hidangan yang tersedia, aku terus senyap.

Agaknya kalau aku minta tukar bilik, ayah bagi tak ya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience