Bab 8

Romance Series 18024

SEHARIAN kami di luar beraktiviti bersama-sama, akhirnya malam yang aku tidak nantikan tiba jua. Malam ini aku perlu tidur bersendirian kerana Jebat perlu keluar untuk bekerja. Kalaulah aku ini jahat, mahu aku ikat dia di pagar balkoni supaya dia tak boleh ke mana-mana dan meninggalkan aku.

Aku takut!

Lagi-lagi bila melihat Jebat yang sudah menghilang ke dalam bilik mandi untuk bersiap walaupun jam baru menunjukkan angka 11.

Aku menghantar semua gambar-gambar yang kami sempat ambil tadi ke nombor Jebat. Kemungkinan dia tak perlukan pun gambar ini. Entah-entah dia tak muat turun pun nanti. Tapi aku menghantar semuanya sebagai syarat saja. Dia nak, dia simpan. Dia tak nak, aku tak akan memaksa.

Banyak juga gambar yang kami ambil dan kami minta orang untuk ambilkan. Banyaknya akulah yang paksa dia untuk bergambar berdua. Melihat dia, aku yakin yang Jebat tak suka kamera. Sesuai sangat dengan karakter pendiam dan dingin dia itu.

Tadi kami melakukan aktiviti island hopping. Naik bot berdua sambil menikmati pemandangan. Seronok betul. Aku tak pernah rasa perasaan seperti ini.

Boleh kata yang hari ini Jebat meluangkan masa untuk aku. Pagi-pagi lagi kami sudah keluar bersarapan, lalu balik sekejap untuk bersiap dan akhirnya beraktiviti sampailah aktiviti terakhir iaitu makan terlajak awal malam. Balik bilik semula, langit sudah gelap dan isyak sudah tiba.

Pintu bilik mandi terbuka dan Jebat keluar bersama kain tuala yang diikat pada pinggangnya.

Aduhai, dia memang suka begitu! Sudah tahu badan itu cantik, asyik nak menunjuk aje.

"Lapar lagi tak? Kalau nak, aku ke restoran untuk bungkus makanan." Jebat menyoal sambil tuala aku ditarik. Tuala itu dilalukan pada rambutnya yang basah.

Suka dia aje berkongsi tuala tanpa izin aku. Tapi tak apalah, sebab dia seksi sangat. Aku izinkan!

"Tak apalah. Kan tadi dah makan?"

"Betul? Malam nanti kalau lapar, jangan berani nak keluar. Aku tak izinkan."

Aku tersenyum dan mengangguk. Memang tak akan keluar pun.

"Kenapa awak bersiap awal sangat?" Aku menyoal bila melihat Jebat yang sudah menyarungkan seluar panjangnya. Kalau waktu tidur, biasanya dia berseluar pendek.

"Saja." Sepatah!

Seperti biasa. Tiada yang aneh dengan itu. Malahan kalau dia bercakap banyaklah yang akan membuat semuanya menjadi begitu aneh.

"Nampak sangat awak dah tak sabar nak tinggalkan saya." Aku bermonolog sendiri sambil memerhati dia yang sedang memeriksa poket jaket kulitnya. Entah apa yang dia cari.

Mendengar kata-kata aku, tiba-tiba Jebat melepaskan jaket dan memandang ke arah katil tempat aku duduk sekarang. Matanya merenung lama sebelum hembusan panjang dilepaskan dan dia mendekati aku. Sebelah kakinya berlutut di atas tilam dan sebelahnya masih memijak lantai. Kedua tangan dipasak di atas tilam betul-betul memagari kedua sisi kaki aku.

Kepalanya merapat sehingga meninggalkan jarak sejengkal antara hidungku dan hidungnya.

"Come again?" bisiknya.

"Tak adalah. Awak bersiap awal-awal padahal awak kena keluar pada jam 1 nanti. Sekarang baru jam 11. Awak mesti dah tak sabar nak tinggalkan saya..." sendirian.

Tapi satu patah perkataan itu tertelan bila kepalanya semakin merapat hingga pucuk hidung berlaga. Jebat seakan sengaja menyengetkan kepalanya dengan mata mengerling bibirku. Sebuah provokasi.

Sebelah tangannya naik separas muka. Daguku diusap dengan ibu jarinya.

"Aku bersiap awal supaya kau boleh tidur di sebelah aku sampai ke saat akhir sebelum aku perlu bergerak ke lokasi, si manja." Jebat berbisik.

Hidungku dicuitnya sebelum tangan kembali menongkat di atas tilam

Oh? Si manja?!

Argh, kenapa aku suka dengan gelaran itu!

"Awak akan temankan saya?" Serius?!

"Hm. Jadi cepat baring. I'll be next to you until the last second before I have to go. Jadi lebih baik kau tidur segera, sebab we both know that my presence is the only lullaby that works for you, Adara."

Aku dapat merasakan yang pipi sudah membahang apabila mendengar kata-katanya. Entah kenapa romantik semacam pula ini!

Aku segera memejamkan mata bila dia seakan semakin merapat. Betul-betul seperti dia mahu menyasarkan dua ulas bibirku, tapi sudahnya aku mencelikkan mata semula bila terdengar bunyi degusan lembutnya.

Mataku melihat bibir Jebat menyenget kemenangan. Seakan seronok dapat mengusik aku.

Tangannya naik mencuit bibirku sebelum dia kembali berdiri seperti biasa bersama senyuman sama masih setia di bibir. Jebat menutup kesemua lampu bilik ini sebelum menuju ke arah katil semula.

Dia berbaring di sebelahku dan aku ditarik untuk berbaring di sebelahnya. Hanya kali ini bukan di atas lengannya. Mungkin dia tidak mahu aku terjaga semasa dia perlu mengalihkan tangan itu untuk bangun nanti.

"Tidur..." Dia menarik aku lebih rapat. Tangannya naik mengusap rambutku.

"Nanti tolong bukakan lampu tandas dan biar pintunya terbuka ya? Saya takut gelap."

"Mana boleh biarkan pintu tandas terbuka. Nanti bukan manusia yang datang, tapi..."

Ah! Jangan cakap.

Aku segera menekan bibirnya dengan jariku. Takut!

Jebat tersenyum. Jariku tadi ditangkap sebelum secara tiba-tiba dia merapatkan jari itu ke bibir dan melekap sebuah kucupan di situ.

Oh, mama! Kenapa personalitinya berubah romantik pula ini?

"Jangan takut. Kan aku dah kata yang aku jaga kau?"

"Tapi..."

"Aku akan jaga kau setiap masa, Adara. I’ll walk through hell to keep you safe."

Jantungku ditembak! Aku rasa aku sudah jatuh cinta! Buat yang pertama kalinya pada suami sendiri!

"Hari ini kau gembira?" soal Jebat. Mematikan topik tadi.

Hari ini?

"Sangat! Saya suka tengok laut dari dalam bot tadi. Angin dia, bunyi air dia..." Mulalah aku berangan membayangkan laut aku di atas bot semula.

Ah, seronoknya!

"Baguslah."

"Awak macam mana?" soalku pula.

"Macam mana apa?"

"Gembira?"

Jebat tidak menjawab, namun hanya tersenyum nipis.

Dan itu mengecewakan. Aku sangat berharap yang dia gembira walaupun bukan kerana aku.

"Saya harap awak gembira walaupun awak tak jawab. Sebab kalau awak tak gembira, saya akan rasa serba-salah sebab mungkin penyebab awak tak gembira itu adalah kewujudan saya." Aku juga ikut tersenyum nipis sebelum tangan ditarik semula daripada bibirnya.

"Selamat malam dan selamat bekerja. Jaga diri."  Aku terus memusingkan tubuh dan berbaring membelakanginya. Aku sempat mengesot supaya ada jarak di antara kami.

Bantal ditepuk sedikit sebelum aku memejamkan mata. Memujuk diri untuk segera terlena sebelum Jebat perlu keluar untuk bekerja.

Beberapa ketika seperti itu, tiba-tiba tilam seperti dihenyak mendekati aku. Mata terus memandang ke arah perut yang terasa disentuh. Tangan sasa itu sedang merangkul tubuhku dan tak semena-mena, tubuhku ditarik sehingga kembali rapat ke tubuhnya.

Dalam posisi yang membelakanginya, aku dapat merasa hembusan nafasnya pada cuping telingaku seolah dia sudah bersedia untuk membisikkan apa-apa di situ.

"Selamat malam." Suara Jebat berbisik membuatkan bulu tengkuk terasa meremang.

Aku menggenggam tangan sendiri bagi menenangkan jantung yang seperti mahu tercampak keluar tak lama lagi. Mata dipejamkan semula dan aku lena dalam pelukannya.

MATA tercelik dan aku terus memandang ke arah pintu bilik yang tertutup rapi. Aku mencapai telefon lalu memeriksa waktu semasa. Sudah jam 4:02 pagi dan aku tinggal berseorangan di dalam bilik ini. Di atas katil ini hanya ada aku.

Namun, di atas tubuhku ada hoodie kepunyaan Jebat. Seakan sengaja diletak menyelimuti bahagian atas tubuhku. Entah apa motifnya.

Aku sekali lagi memandang ke arah pintu bila telinga mendengar seperti ada yang sedang berjalan di luar sana. Berjalan itu tak ada pelik, cuma yang peliknya bunyi berjalan itu memang betul-betul di depan pintu bilik dan sudah berlangsung buat beberapa ketika.

Sebab tadi aku ada terjaga sekejap kerana bunyi yang sama, lalu aku menyambung tidurku semula. Cuma kali ini, bunyinya agak mengganggu kerana diselangi dengan suara orang berbual.

Aku menuruni katil sambil hoodie Jebat disarungkan ke tubuh. Pyjama satin ini seperti tak sopan untuk dipertontonkan kepada orang luar kerana aku memang nak pergi tengok siapa yang ada di luar sana.

Cuma sebelum itu...

Aku mengintai melalui peek hole.

Dahi berkerut saat melihat seorang lelaki sedang bersandar pada dinding bilik di depanku, dan ada dua kepala sedang berdiri di kedua sisi pintu bilik ini. Seperti pengawal keselamatan. Cuma mereka sedang berbual.

Tambah peliknya, lelaki yang menghadap ke arah bilik aku itu...

Q.

Ya, dialah lelaki yang menegur aku di restoran. Dan dia pekerja Jebat kan?

Aku segera membuka pintu bilik, namun hanya sedikit untuk memberi ruang aku menjengah kepala.

Elok saja pintu terbuka terus ketiga-tiga mereka berpaling memandang aku. Ketiga-tiganya seperti terkejut melihat aku di sini.

"Apa awak bertiga buat depan bilik saya?" soalku. Sebenarnya aku menujukan soalan itu kepada Q.

Sebab aku pernah bertemu dia sebelum ini.

Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri sebelum Q tersengih.

"Cik Adara terbangun sebab kami ke?" soal Q.

"Tak adalah. Tapi suara awak bertiga memang dengar sampai ke dalam."

"Maaf, cik. Kami bersembang sebab tengah tahan mata aje ini. Mengantuk. Duduk pula setempat dan bawah pendingin hawa."

Ha? Tengah tahan mengantuk dekat pintu bilik ini?

"Kenapa awak bertiga tak tidur dan terpacak depan bilik ini?" Tak fahamlah aku. Kalau dah mengantuk itu, pergilah tidur. Ini kan sudah jam empat pagi?

"Kami nak tidur? Fuh, mahu melayang kepala kena tendang dengan Jebat." Lelaki asing pula membalas. Antara dua lelaki yang aku tidak kenali itu.

"Dah kenapa pula? Saya tak fahamlah."

Tolonglah lurus saja! Aku ini tengah mamai, lagi pula buat aku keliru.

"Sebenarnya kami tengah jaga cik. Jadi cik jangan risau atau fikirkan sangat. Cik sambung aje tidur macam biasa. Bila bos balik, kami akan pergi."

Ha?

Kejap, apa dia?

Mataku berkelip-kelip memandang mereka sambil cuba mencerna maklumat yang diberi. Mereka tengah menjaga aku? Kepala mereka akan melayang jila mereka tidur? Bila bos balik, mereka akan pergi?

Jangan-jangan...

"Awak semualah saka-saka yang Jebat hantar untuk jaga saya itu?" Itu ke?!

Mereka bertiga terus terkulat-kulat berpandangan sesama sendiri sebelum memandang aku semula dengan dahi berkerut hairan.

"Saka? Kami manusia, cik." Lelaki asing kedua pula membuka mulut.

Eh, bukan itu maksud aku! Kan semalam Jebat mengeyakan tentang saka itu? Aku ingatkan dia hanya bergurau untuk menakutkan aku dan geram dengan aku. Tapi sudahnya memang betul-betul muncul tiga ketul saka di depan pintu!

Maksudnya, Jebat memang menjaga aku walau di mana pun dia berada!

Argh! Baru beberapa jam lepas aku kecewa, sekarang aku sudah terbang ke bulan semula!

"Jadi awak bertiga akan pergi bila Jebat balik?" Aku memastikan lagi.

"Ya, cik. Jadi cik boleh tidur dengan tenang. Jangan takut, kami ada. Hotel ini tak mahal, dinding pun tak tebal. Cik jerit sikit aje, kami akan terus robohkan pintu ini." Q mengeyakan.

Aww!

"Awak tahu bila kerja Jebat selesai?" Aku sudah tak sabar untuk berjumpa dengan dia.

"Kerja kami tak ada time frame, cik. Bila dia mula, mungkin boleh jangka. Tapi bila dia habis, kami pun tak tahu," balas Q lagi.

Aku tak faham apa maksud dia, tapi lantaklah. Asalkan aku tahu yang Jebat akan pulang sebelum zohor seperti yang dijanjikannya. Harapnya lebih awal!

Kalau macam itu...

Aku terus masuk ke dalam bilik semula. Peti sejuk mini dibuka sebelum tiga tin Wonda Coffee yang dibeli oleh Jebat aku ambil. Pintu dibuka lebar dan aku menghulurkan ketiga-tiga tin itu kepada mereka.

Tapi mereka tak terus mengambilnya. Aku dipandang macam ada tanduk di kepala.

"Ambillah. Mungkin boleh fresh sikit lepas dapat kafein. Awak nak snack? Saya ada snack sikit."

"Eh, tak apa. Ini pun dah cukup, cik." Mereka terus mengambil tin itu satu untuk seorang.

"Terima kasih, cik. Nak dibandingkan dengan bos, cik memang macam bidadari. Kalau tak sebab bos dah sambut tangan tok kadi dulu, saya mesti terus masuk meminang." Q mengusik sebelum kopi diteguk.

Haha, banyaklah dia. Bila tahu aku ini isteri Jebat pun terus pucat satu muka, ada hati pula nak masuk meminang.

"Saya masuk tidur dulu ya?"

"Sila." Mereka mengangguk.

Baru pintu hendak ditutup...

"Cik nampak comel dalam hoodie bos. Nampak benar bos itu cutting pak arab," tegur Q sebelum ketiga-tiga mereka tertawa. Tapi tawa yang ditahan-tahan supaya tak mengganggu penghuni lain.

Aku hanya tersengih malu sebelum pintu ditutup dan dikunci. Bsrsama senyuman lebar, aku terus melompat ke atas katil. Bantal yang mengalas kepala Jebat tadi diambil lalu dipeluk ke dada.

Argh, dengan adanya mereka aku boleh bertenang dan tidur dengan aman.

Tak sabarnya! Cepatlah balik, Jebat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience