"CIK, kita dah sampai."
Aku terus menarik diri daripada lamunan. Melihat sebuah kafe di depan, aku segera mencapai beg tangan dan melangkah keluar dari kereta.
"Awak tunggu sini tau?" Aku berpesan kepada Akim yang hari ini menemani aku.
Jangan tertipu dengan hanya kami berdua di dalam kereta ini. Hakikatnya di belakang sana ada kereta ayah dengan kesemua pengawal peribadi aku yang selebihnya.
Dapat saja anggukan Akim, aku terus berlalu masuk ke dalam kafe. Aku mencari susuk yang berjanji untuk bertemu denganku di sini.
Oh, itu dia!
Affendi.
"Maaf lambat," kataku sebaik saja melabuhkan duduk di kerusi bertentangannya.
"Tak apa. Saya pun baru aje sampai."
Aku tersenyum.
"Cik sibuk ke?" soalnya.
"Oh, adalah sikit. Tapi saya ada masa sekarang. Jadi apa yang awak nak cakap tentang kita itu?" Aku punya sibuk itu sebenarnya sebab ayah ada beri tugasan untuk menghantar barang ke ofis. Tapi kerana hal ini, aku terpaksa menolak dan meminta orang lain untuk ke ofis bagi pihak aku.
"Cik betul-betul nak tahu?"
Aku segera mengangguk. Kalau aku tak nak tahu, tak adalah aku susah-susah nak ke sini pada hari ini. Siap ponteng kelas pilates kerana Taipan memberitahu yang dia ada sesuatu untuk dikatakan. Katanya tentang kami.
Bunyinya macam serius, jadi aku datanglah.
"Saya harap bila saya beritahu, cik tak terkejut dan jauhkan diri daripada saya."
Dahiku sedikit berkerut, tapi aku mengangguk saja.
"Saya sorokkan sebab saya tak nak antara kita semakin jauh. Apa yang jadi dah cukup teruk untuk kita berdua dan saya tak nak menambah lagi masalah. Tapi lepas beberapa bulan berlalu, saya rasa saya tak boleh tahan lagi. Saya tak boleh biarkan cik hidup tanpa tahu kebenarannya."
"Kebenaran apa pula ini?" Aduh, sakit kepala aku. Apa yang dia cakap ini?
Kebenaran apa yang aku tak tahu?
Aku melihat Affendi menarik nafas dalam-dalam sebelum tersenyum nipis. Tangannya turun menyeluk poket seluar sebelum dia meletakkan sesuatu di atas meja. Cincin. Hanya cincin, tiada kotaknya.
"Kita dah berkahwin pada dua tahun yang lepas."
"I'm sorry?" Aku terkejut. Kahwin?!
Affendi angguk kepala. "Ini cincin kahwin kita yang saya berikan kepada cik semasa hari pernikahan."
Dahiku semakin berkerut. Terus sakit satu kepala bila mendengar apa yang disampaikan Affendi. Cincin? Kahwin? Apakah ini?
"Saya tak fahamlah. Bila masa pula kita kahwin?"
"Cik isteri saya. Isteri yang sah. Kita berkahwin selepas sama-sama jatuh cinta setelah berkenalan selama saya bekerja sebagai pengawal peribadi cik sendiri. Kita dah berkahwin sebelum cik kemalangan dan hilang ingatan. Kira-kira dua tahun yang lepas," jawabnya.
Aku terdiam. Terbisu!
Aku sudah berkahwin dengan dia selama dua tahun? Kahwin kerana jatuh cinta selama dia bergelar pengawal aku?
"Tapi setahu saya kita tak pernah serapat mana sampai boleh jatuh cinta selama awak bekerja dengan ayah dan saya." Ya, aku bukan orang yang mesra sangat. Terutamanya dengan lelaki.
"Kita jatuh cinta selepas saya berhenti. Kita berjumpa semula dan saya ajak cik kahwin selepas beberapa bulan berkenalan dengan lebih serius."
Wajah Affendi nampak yakin. Dia seperti benar-benar memaksudkan segala yang dikatakannya. Tekad dan yakin.
"Saya tak faham..."
"Cik tak faham sebab cik tak ingat apa yang berlaku. Cik tak faham sebab semua orang di sekeliling cik tak dedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Cinta kita dihalang oleh semua orang termasuklah ayah. Sebab saya miskin, saya tak ada apa-apa dan saya tak sekufu dengan cik, jadi mereka rasa saya tak layak untuk memperisterikan cik."
"Jadi kenapa kita boleh kahwin kalau semua tak setuju?" soalku. Masih terkebil-kebil dalam menahan hairan.
Aku bukan anak derhaka yang sanggup meninggalkan ibu bapa dan berpaling daripada keluarga demi seorang lelaki dan cinta. Aku yakin itu.
"Mungkin sebab cinta kita lebih kuat? Sebab cik betul-betul menerima saya seadanya dan dah bersedia untuk hidup bersama saya dalam susah dan senang."
Kembali senyap, aku sudah tak tahu apa yang nak dikatakan lagi. Aku hanya mampu memandang Affendi yang masih berusaha untuk menerangkan segalanya kepada aku.
"Kita hidup bahagia, Adara. Sangat bahagia. Setiap saat hanya awak yang ada dalam kepala saya. Dan saya yakin, awak juga begitu. Tapi disebabkan kejadian pada malam itu, semuanya berubah. Ayah ambil kesempatan itu untuk tarik awak jauh daripada saya. Mereka nak kita berpisah dan terpisah, tapi saya tak akan mengalah. Saya akan berusaha untuk perkahwinan ini sampai akhirnya awak kembali kepada saya semula."
"Macam mana kalau..." Kata-kata aku terpotong saat telefonnya berdering.
Aku sempat menangkap dengusan Affendi sebelum dia mengeluarkan telefonnya. Panggilan itu terus dijawab.
"Helo?" Affendi berhelo dan senyap. Aku rasa dia sedang mendengar apa yang dikatakan oleh si pemanggil.
"Aku datang." Dan telefon terus dimasukkan ke dalam poket seluar.
Affendi berdiri sebelum mendekati aku. Tanganku ingin dicapai, namun aku mengelak. Syukurlah dia tidak menunjukkan sebarang ciri-ciri orang yang sedang tersentak atau marahkan aku kerana itu.
"Fikirkan tentang kita. Saya akan bagi awak masa. Bila dah ada jawapannya, hubungi saya semula. Saya harap awak akan kembali kepada saya, Adara. Hidup sangat sepi tanpa awak dan senyuman awak." Tangannya naik menyentuh rambutku. Hanya seketika sebelum senyuman diukir kelat.
"Saya akan rindukan awak, Adara," ucapnya sebelum berlalu pergi meninggalkan aku yang masih terkebil-kebil tak mengerti.
Cincin yang ditinggalkan di atas meja, aku pandang semula. Tangan mengambil cincin itu sebelum dahiku berkerut lagi.
Cincin dan kahwin. Dengan dia?
GITAR disandarkan pada meja tepi kolam sebaik saja melihat Lamborghini milik Jebat membelok masuk ke dalam perkarangan rumah. Dengan hati yang tiba-tiba berkobar, aku segera melambai saat dia berjalan ke arah pintu rumah.
Mungkin tak sedar yang aku dan Akim sedang duduk di tepi kolam ini. Atau memang dia tak peduli.
Tapi bila Jebat melihat aku yang sedang melambai, aturan langkahnya berubah arah. Menuju ke arah kami. Dahinya sempat berkerut...
Hm, berkerut bila pandang Akim.
"Saya masuk rumah dululah, cik." Akim pula laju saja minta diri. Macam takut benar dengan Jebat itu.
Peliklah mereka berdua ini.
Melalui Jebat, langkah Akim terhenti bila Jebat mendepa tangan dan menghalang Akim daripada meneruskan langkahnya. Akim pula terus menunduk seperti biasa.
Dari sini, aku nampak bibir Jebat terbuka dan bergerak. Cuma aku tak dengar apa yang mereka bualkan. Masing-masing berbisik atau bercakap perlahan.
Beberapa ketika seperti itu, akhirnya Jebat menyambung langkah ke arahku, sementara Akim terus cabut lari masuk ke dalam rumah.
Berdiri di depanku, matanya turun memandang gitar yang disandar pada meja.
"Buat apa?" soalnya.
"Tak buat apa. Saya petik gitar sambil menyanyi aje." Sengih.
Dahi Jebat sedikit berkerut. "Aku tak tahu pula yang kau minat dengan gitar dan nyanyian?"
"Macam mana awak nak tahu? Awak tak pernah peduli tentang saya."
Riak wajahnya berubah. Emosi. Tapi tidak lama. Seperti biasa, dia orang yang pandai mengawal riak wajahnya.
Jebat menarik kerusi yang tadinya diduduki oleh Akim. Dia melabuhkan duduk di situ, menghadap aku sebelum kot di tubuh dilucutkan. Kot itu dilipat dan diletakkan atas meja.
"Sambung, aku nak dengar."
Sambung? Dia nak aku petik gitar itu dan menyanyi di depan dia ke?
"Tak naklah. Saya malu." Ehek!
"Depan lelaki lain tak malu pula?"
Setepek! Terus mati sengihku.
Akhirnya aku mencapai kembali gitar tadi. Diribakan, dan dipetik. Hanya petikan itu tidak membawa ke mana-mana melodi yang ingin dinyanyikan. Sebab aku tak tahu apa yang patut aku nyanyikan. Rasanya semua lagu yang aku suka, aku sudah nyanyi tadi.
"Awak ada idea? Saya tak tahu nak nyanyi apa," kataku.
Jebat hanya menjongket bahu tanda dia pun tak tahu. Atau dia memang malas nak menyumbang buah fikiran.
Huh, benci!
Kerana dia tak mahu bekerjasama, aku terpaksa termenung seketika bagi memikirkan lagu yang aku tahu dan boleh aku bawa. Takut kalau bawa lagu Dato' Siti Nurhaliza, mahu terkucil pula.
Hah!
"Saya dah tahu!" Yes! Aku baru ingat yang sejak dua minggu lepas, lagu ini sudah menjadi lagu kegemaran aku.
"Tapi saya takut salah lirik..."
"Aku bukannya tahu pun kalau liriknya salah," balas Jebat. Tenang saja.
Aku terus mengangguk setuju. Dia bukan tahu pun!
Okay, bismillah.
Jari memetik semula sambil aku berdehem kecil. Mata hanya fokus memandang gitar.
Melodi yang bermula lembut, membuatkan bibirku tersenyum nipis. Suasana berubah tenang secarw tiba-tiba.
"Jika wangimu saja bisa, memindahkan duniaku. Maka cintamu pasti bisa, mengubah jalan hidupku."
"Cukup sekali saja. Aku pernah merasa, betapa menyiksa kehilanganmu. Kau tak terganti, kau yang selalu kunanti. Takkan kulepas lagi."
Aku mengangkat muka saat angin menampar tubuh sehingga rambutku ikut ditiup sama. Baru tangan mahu merapikan rambut yang sudah menutup sebahagian muka, tanpa dijangka, tangan lain pula yang terlebih dahulu naik menguis dan merapikan rambutku.
Jebat...
Kepala mendongak memandang dia yang sudah berdiri di depanku. Getah rambutku yang ada di pergelangan tangan, terus ditariknya. Rambutku diikat longgar sebelum mata kami bertentangan saat matanya jatuh memandang wajahku.
Jantung mula berubah rentak. Aku hampir sesak nafas saat sebuah senyuman nipis terukir di bibirnya.
"Sambung," arahnya sebelum kembali melabuhkan duduk.
Aku dah sampai mana tadi?
Argh, lupa! Ini semua kerana jantung yang hampir berhenti berdegup dibuatnya.
Okay, tak apa. Mulakan dengan verse kedua.
Jari mula memetik. Hanya kali ini, mata tidak lagi fokus memandang gitar, tapi melekat memandang keindahan ciptaan Allah yang sedang duduk tenang memandangku di depan ini.
Bibirnya masih tersenyum nipis. Seakan sedang tenang dan suka dengan suasana ini.
Dan aku juga menyukainya.
"Jika senyummu saja bisa, mencuri detak jantungku." Alamak, kenapa sama dengan keadaan aku ini?
"Maka pelukanmu ya bisa, menyapu seluruh hatiku. Cukup sekali saja, aku pernah merasa betapa menyiksa kehilangamu. Kau tak terganti, kau yang selalu kunanti. Takkan kulepas lagi."
"Pegang tanganku, bersama jatuh cinta. Kali kedua, pada yang sama. Kedua kali kita bersama lagi. Pegang tanganku, bersama jatuh cinta. Kali kedua, pada yang sama. Sama indahnya."
Pandangannya meredup. Senyumannya pudar.
"Pegang tanganku, bersama jatuh cinta. Kali kedua, pada yang sama. Sama indahnya."
Petikan habis di situ saat dahinya berkerut memandang aku.
Aku segera bangun. Gitar dipeluk ke dada.
"Saya masuk bilik dulu." Dan langkah terus dibawa menuju ke arah rumah.
Baru tangan mahu menolak pintu bilik, tiba-tiba Jebat menyelinap masuk juga. Tangannya menolak pintu sehingga tertutup rapat sebelum tombol kunci ditekan. Kakinya menapak ke arah aku yang sudah semakin kejap memeluk gitar.
"Kau ingat aku kan?" Sebuah soalan keluar daripada dua ulas bibirnya.
Dalam kegelapan tanpa sebarang cahaya, aku hanya dapat melihat tubuhnya semakin merapat.
"Mestilah ingat. Awak Jebat."
"Stop playing tricks on me, Adara." Dia semakin mendekat sehingga aku terpaksa mendongak walaupun kegelapan ini tak mampu memberi aku peluang bagi mencerna riak wajahnya.
"Apa yang awak cakap ini?"
"Kau ingat aku. Betul?"
"Mestilah saya ingat awak. Hari-hari saya tengok muka awak. Awak sedang berdiri di depan..."
"Kau ingat memori kita!"
Bahuku terenjut saat suaranya sedikit meninggi. Jantung terus bertukar rentak. Takut.
"Mengaku yang kau ingat dan aku tak akan marah. Hanya mengaku, Adara." Suaranya berubah pula. Seperti merayu.
"Saya tak faham, Jebat. Apa yang awak cakap ini? Memori apa?" Suaraku ikut berubah nada. Bergetar seperti mahu menangis.
Tak suka dengan situasi ini.
Dan dia seperti menangkap getaran pada suaraku.
Sebuah nafas berat dihela sebelum dia senyap. Tiada lagi soalan dan desakan yang tadinya.
Namun secara tiba-tiba, gitar yang aku peluk, ditariknya. Dicampak ke atas katil.
Belum sempat aku menyoal tindakannya itu, tiba-tiba tubuhnya semakin merapat hingga akhirnya aku ditarik sehingga tubuhku bersatu dengan tubuhnya. Berpelukan.
Aku terdiam.
Kegelapan mula ditambah dengan seram sejuk saat bulu roma mula meremang.
Mata dipejam saat pelukannya semakin erat. Tangannya melingkat pada tubuhku. Menarik aku rapat seperti tidak mahu dilepaskan. Telinga dapat mendengar bunyi tarikan nafas panjang saat wajahnya rapat ke rambutku.
"The mere trace of your scent is surely enough to turn my world upside down."
Leherku meremang mendengar bisikan lembutnya.
"Your love can surely turn my living hell into a paradise." Dia berbisik lagi sebelum sebuah sentuhan hangat menyentuh leherku.
Pelukan sedikit berjarak saat Jebat tunduk merenung wajahku. Tangannya naik menyentuh daguku.
"Betul, senyuman kau saja dah cukup untuk mengubah detak jantung aku yang sentiasa berdegup untuk kau." Wajahku mendekat sehingga terhenti hanya beberapa inci jarak hidungnya daripada hidungku.
Jantung semakin kencang. Aku seperti lemas dalam nafas sendiri.
"Sure. Let’s fall in love again. Whether or not you remember our past, I’ll make you fall for me all over again. Once again." Dan semakin rapat.
Pucuk hidung berlaga, dan bibirnya...
Oh, tidak!
Tanganku segera naik menyentuh dadanya. Tangan menolak lembut sebelum sempat segalanya berlaku.
Bila tubuhnya semakin berjarak, aku segera berundur meninggalkan dia di situ.
"Tolong keluar dan jangan sentuh saya sesuka hati, atau saya akan laporkan pada ayah dan minta dia untuk halau awak keluar daripada rumah ini."
Satu helaan keras kedengaran sebelum kepalanya terangguk-angguk beberapa kali. Tangannya naik meraup muka sekali gus berpusing dan keluar meninggalkan aku sendirian di sini setelah pintu kembali ditutup rapat.
Tuannya hilang, namun harumannya masih meninggalkan jejak di sini. Seakan masih terasa bibirnya pada leherku, hidungnya pada rambutku, helaan nafasnya dan suaranya. Seakan keberadaannya masih di sini.
Tangan menyentuh dada. Memujuk jantung yang tidak lagi baik-baik saja.
Tenang, Adara.
Tenang.
Share this novel