AFFENDI melangkah ke arahku sebaik saja Akim membukakan pintu untuknya. Bibirnya tersenyum manis memandang aku, namun senyuman itu hanya kubalas dengan senyuman nipis. Seadanya.
Matanya melilau memerhati kawasan rumah ini sambil kaki melangkah ke arah sofa di ruang tamu yang sedang aku duduki sekarang.
"Wah, makin cantik rumah ini." Dia bersuara kagum.
"Cantik apa? Tak ada beza pun daripada kali terakhir awak tinggalkan dulu."
"Makin berseri. Dulu tak macam ini. Mungkin sebab gadis di dalamnya dah semakin mekar dan cantik?"
Aku tergelak mendengar pujian itu. Ada-ada sajalah dia ini.
"Duduklah," jemputku.
Sebaik saja lelaki itu duduk, datang seorang pembantu rumah menatang dulang berisi sedikit pencuci mulut dan jus oren. Gelas dan piring disusun atas meja antara kami sebelum pembantu rumah itu berlalu pergi.
"Adara kata nak beri jawapan. Jadi apa jawapannya?"
"Minumlah dulu. Kenapa tergesa-gesa sangat?"
Lelaki itu tergelak kecil sebelum anggukan ringkas diberikan. Gelas dicapai lalu dibawa ke bibirnya.
"Macam mana kalau air itu ada racun?"
Soalanku automatik membuatkan dia yang baru nak menyisip jus oren, terhenti. Dengan dahi yang sedikit berkerut, Affendi memandang aku semula. Matanya mengerling gelas sebelum aku kembali dipandang hairan.
"Maksud Adara?"
"Saya bergaduh dengan tukang masak semalam. Saya tengok dia macam marah sangat dengan saya. Awak pun tahu yang dulu ayah kena mandrem dengan tukang masak kan? Macam mana kalau..." Suaraku meleret di situ sambil mata turun memandang kedua gelas yang terletak di atas meja.
"Jadi kita tak perlu minum," balas Affendi. Gelas ditolak ke tepi.
"Tapi saya nak minum. Nampak sedap." Aku mencebik sedih.
"Gila? Kalau ada racun macam mana?"
"Awak tak nak rasa untuk saya? Kalau tak ada apa, saya boleh minum kan?"
Dahinya berkerut. "Awak ini biar betul, Adara? Kalau saya minum dan dalam ini memang ada racun, matilah saya."
"Jadi macam mana?"
"Macam mana apa? Awak nak minum jus oren? Nanti saya cari di luar. Tak perlu minum yang ini."
"Tapi yang ini nampak lagi sedap."
Wajahnya berubah, sedikit bengis dan nampak geram. Aku rasa dia sedang menahan diri untuk terus bersabar.
"Tapi saya takut nak minum. Dahlah air bersitrus ini paling bagus untuk dipadankan dengan dadah atau apa-apa pil. Masam itu dapat sorok rasa pahit daripada pil. Tapi saya teringin sangat nak rasa air ini." Tanganku mengambil gelas di atas meja.
Tapi aku berhenti saat mata mendarat pada piring berisi pencuci mulut. Karipap.
Aku teragak-agak untuk menyuapkan karipap itu ke dalam mulut, sementara Affendi hanya memerhati dengan kerutan yang setia di dahi. Tak jadi, aku terus suakan karipap itu ke mulutnya pula.
Affendi mengelak.
"Tolong rasakan boleh? Tadi saya nampak bibir dia terkumat-kamit masa uli doh karipap ini," kataku.
"Habis itu awak nak saya yang kena? Kena racun dan kena mandrem?" bidas Affendi, geram.
"Awak kata awak suami saya. Suami mesti lindungi isterinya. Jadi rasalah. Tolong saya."
Sengihan terukir sebelum lelaki itu meletuskan tawanya. "Adara, awak serius ke main-main ini? Kalau dah tahu benda ini boleh memudaratkan, kenapa nak kena telan lagi? Kita ada pilihan lain. Beli di luar atau buat saja sendiri. Kenapa nak ambil risiko?"
"Macam kalau tak ada pilihan? Di luar sana mungkin tak sesedap ini. Awak akan cuba untuk saya?"
"Tak. Saya tak akan korbankan diri untuk orang lain, terutamanya yang macam dah kebulur sangat sampai nak telan benda-benda macam ini."
Wajahku terus berubah riak. Sedih. Mata merenung piring sebelum aku memgangguk lemah.
Karipap yang tadinya disua ke mulutnya, berganti arah. Aku menyuapkan mulut itu ke mulutku sebelum ia dikunyah berselera. Kemudian gelas dicapai sebelum jus oren diteguk rakus.
Dan burpp!
"Alhamdulillah, sedap! Tak ada racun pun!" Aku bersuara suka. Nada gembira ditekan sehabis baik sambil tersenyum memandang Affendi yang sudah semakin hairan melihat aku.
Tangan bergesel antara satu sama lain. Mengusir habuk karipap yang dijamah tadi.
"There you go. Awak dah dapat jawapannya. Selamat tinggal." Aku terus berdiri.
Baru mahu angkat kaki ke tangga, tiba-tiba tanganku dicapai. Mata bertentangan tiga saat sebelum tanganku ditarik semula.
"Apa jawapannya? Awak tak bagi saya jawapan lagi."
"Jawapannya, awak tak layak jadi suami saya. Saya perlukan seorang pelindung, dan awak bukan orangnya," balasku.
Affendi bungkam seketika. "Merepek apa awak ini, Adara? Awak nak cari suami ke nak cari Superman? Lelaki mana yang sanggup mati demi perempuan yang baru masuk dalam hidupnya tak sampai separuh hayat? Melindungi itu kerja Tuhan. Kalau orang sentuh awak, saya akan kerjakan dia orang. Tapi untuk makan racun..." Affendi menggeleng tanda enggan dan itu tak akan berlaku.
Aku tersenyum. "Jus dan kuih itu selamat. Tak ada racun. Saya hanya nak tengok sejauh mana lelakinya awak. Betul, melindungi itu kerja Allah. Tapi saya jumpa lelaki yang boleh melindungi dan menjadi suami dalam masa yang sama untuk saya. Kenapa saya kena pilih awak yang hanya nak menjadi suami, tapi tak mahukan tanggungjawab atau sifat lainnya, berbanding orang yang dah membuktikan segalanya?"
"Apa maksud awak? Suami mana? Suami awak itu saya, Adara!"
Aku tergelak keras. Apa bendalah! Ingat aku ini bodoh sangat agaknya sampai semudah itu nak menipu aku.
"Saya memang dah berkahwin. Betul, saya berkahwin pada lebih dua tahun yang lepas. Saya berkahwin pada hari lahir saya sendiri. Saya dah bergelar isteri dan saya ada suami, tapi suami saya bukan awak."
Kerutan di dahinya terus hilang. Wajahnya senada. Baru menangkap permainan aku kali ini.
"Saya tak hilang ingatan. Memori saya ada di sini." Jariku mengetuk kepala sendiri.
"Saya hanya berlakon untuk melihat siapa yang boleh saya percayai dan untuk balas dendam pada seseorang. Saya kenal suami saya dan dia Jebat Arrayan, bukan Affendi ataupun Taipan. Saya tak tahu apa motif awak menipu, tapi saya tak peduli. Saya harap dengan apa yang saya buat dan reaksi awak tadi, awak boleh faham kenapa bukan awak yang menjadi suami saya."
Deruman enjin menyentak.
Jebat dah balik! Tepat pada masanya. Aku yakin lelaki ini tak akan berani untuk mengapa-apakan aku, kami atau sesiapa saja jika Jebat ada bersama. Aku tak tahu siapa Jebat, kenapa ramai orang takut pada dia, tapi satu yang pasti, dia dihormati.
Pintu sekali lagi terbuka dan Jebat masuk dengan kening yang terus terjongket saat melihat Affendi bersama aku. Ada marah pada wajahnya, namun marah itu bukan untuk aku, tapi Affendi.
Dia mencampak kot ke atas sofa sebelum mendekati kami. Matanya tajam memandang Affendi.
"Kau buat apa dekat rumah ini?" soal Jebat, keras.
Tanganku segera naik memeluk lengannya. Sempat. Jebat mengerutkan dahi melihat aksi mesra aku sebelum dia kembali memandang Affendi.
"Dia tak buat apa-apalah. Melawat rumah ini aje. Kan dah lama dia tak datang lepas berhenti kerja dulu? Saya yang jemput. Ini pun dia dah nak balik, kan?" Aku berpura-pura mesra. Tak mahu Jebat mengesan apa-apa kerana ini bukan waktu yang baik untuk dia tahu tentang aku dan ingatan ini.
Lambat-lambat Affendi mengangguk. Jebat dikerling bengis selepas bersabung mata buat beberapa ketika lagi, dan lelaki itu terus berlalu keluar selepas memandang aku.
Aku harap dia tak berdendam!
Elok saja pintu kembali tertutup, terus Jebat menarik tangannya daripada pelukan aku.
Kecil hati! Tak sudi dipeluk ke? Kata nak jatuh cinta sekali lagi!
"Dah pandai bawa lelaki masuk rumah?"
Eh!
"Itu kan tetamu? Lagipun ada ramai orang dalam rumah. Ayah pun ada dalam bilik." Aku membela diri.
Jebat mendengus sebelum tanpa salam, dia terus mencapai kot tadi dan berlalu mendaki tangga. Tak ada perang mulut lebih lanjut tanda Jebat memang sedang berang dengan aku.
Alamak! Tak boleh jadi ini.
"Awak!" Aku segera berlari mengejar langkahnya.
Setibanya di depan pintu bilik yang hampir ditutup rapat, tanganku naik menahan pintu.
Nasib baiklah Jebat tak main lawan siapa tolak paling kuat dengan aku. Bila nampak aku menahan, dia terus mengalah dan berhenti menolak pintu.
Satu lagi sebab kenapa dialah yang bergelar suami aku!
"Kenapa tak panggil ayah untuk duduk di ruang tamu bila mamat itu datang? Kenapa duduk berdua?" soal Jebat, tegas.
Dia melucutkan baju kemeja yang melekap di tubuh. Meninggalkan singlet hitam yang juga ikut dilucutkan sama.
Oh, suami! Seksinya.
"Sengaja."
Terus menghelang mata Jebat memandang aku. Dia menerpa sebelum tangannya mencengkam rahangku. Tak sakit pun. Hanya menyentuh supaya aku kekal memandangnya.
"Berduaan dengan lelaki, sengaja?"
"Mana ada berdua. Akim pun ada. Bibik pun ada."
"Sungguh Adara? Lepas semua yang berlaku, kau masih percayakan orang?"
"Saya tak percayakan orang. Tapi saya percayakan awak. Saya tahu yang awak dah nak balik. Saya yang suruh dia datang beberapa puluh minit sebelum awak balik rumah."
Wajahnya terus melembut bila mendengar jawapan aku. Nafas dihela sebelum jarinya mengusap daguku. Terasa seperti kucing yang dibelai penjaganya. Hanya ini, usapan melindungi dan risau.
"Lain kali, nak jemput sesiapa, beritahu aku dulu. Tak pedulilah waktu itu aku dah nak balik atau apa, beritahu."
Cair hatiku mendengar bisikan lembutnya. Santun suaranya membuatkan kepala laju saja mengangguk.
"Jadi, bercakap tentang apa dengan mamat itu?" Tangannya kembali turun. Jebat menarik tuala.
"Dia mengaku yang saya isteri dia."
Mata Jebat terus terjegil. Takut aku dibuatnya!
"Tapi saya dah kata yang saya bukan isteri dia." Cepat-cepat aku menambah.
Takut tak pasal-pasal aku pula yang dimarahinya nanti.
Dahiku berkerut bila tiba-tiba tuala tadi dicampak ke atas katil sebelum almari dibuka dan dia menyarungkan baju T begitu sahaja. Dompet, telefon dan kunci kereta dicapai sebelum dia mendekati aku semula.
"Pergi masuk bilik dan berehat. Aku nak keluar sekejap," katanya. Tegas.
"Awak nak keluar ke mana? Kan baru aje balik kerja?"
Kepalaku diusap sebelum dia merapat dan sebuah kucupan hinggap pada ubun-ubunku tanpa izin. Curi cium! Tak sempat nak menyoal lagi, dia sudah berlalu terlebih dahulu menuruni tangga.
Alamak, macam mana kalau dia pergi jumpa Taipan?
Oh, ya!
Aku berlari keluar dan terus masuk ke dalam bilik. Suatu alat kecil yang sudah aku sediakan di atas meja dicapai, dan aku kembali berlari untuk mengejar langkah Jebat.
"Awak!" jeritku bila melihat dia yang sudah berura untuk masuk ke dalam kereta.
Jebat berdiri, menanti di situ.
"Kenapa?"
"Awak jangan balik lambat sangat tahu?" Aku merapatinya. Tangan aku memeluk tangannya.
Aku rasa Jebat akan menghidu sesuatu bila aku berkelakuan mesra seperti ini, tapi lantaklah!
"Tak. Sekejap saja."
Tanganku turun lalu alat tadi dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Nasib baiklah dia tak sempat tanggalkan seluar slack ini. Ada poket.
Sesudah itu, barulah aku berundur dan tersenyum.
"Hati-hati," ucapku.
Jebat hanya mengangguk lembut sebelum masuk ke dalam kereta.
Aku melambai saat kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah ini.
Aku harap dia baik-baik saja. Sebab kalau tidak, aku akan hubungi polis!
"AKIM CEPATLAH!" Aku sudah mula menepuk-nepuk kerusi yang diduduki Akim. Geram pula melihat dia yang masih terpisat-pisat dan begitu lambat nak menyambungkan peranti ke spy recorder tadi.
"Apa yang kita buat ini illegal tau, cik?" kata Akim sambil tangan semakin laju mengetuk kekunci komputer ribanya.
"Lantaklah!" Itu suami aku kut!
Aku terus mengecilkan mata saat skrin mula bertukar rupa. Kami dalam aplikasi spy recorder itu sendiri. Beberapa transkrip keluar memberi status semasa.
24 : 21 - Motion detected.
01 : 04 - Motion detected.
"Mana suaranya? Saya beli mahal-mahal tak akanlah dapat kesan pergerakan aje kut?"
Akim mengetuk-ngetuk lagi sebelum tiba-tiba kedengaran bunyi geseran. Bunyi rakaman langsung! Gila betul teknologi zaman sekarang ini walaupun aku terpaksa berbelanja hampir RM 1000 demi spy recorder yang sekecil duit syiling itu.
Aku terus menolak Akim ke tepi. Memaksa dia untuk memberi ruang buat aku.
"Saya boleh keluar dah kan? Saya mengantuklah cik," kata Akim.
"Keluarlah. Terima kasih."
Elok saja pintu bilikku tertutup semula, terus aku menyambungkan headphone kepada komputer riba. Aku mula mendengar suara yang sepertinya berjarak sedikit jauh.
"Kau tak tahu ke yang Adara baru aje call aku tadi?" Suara Affendi.
Menipu! Bila masa aku call?
Tiada balasan. Tiada suara Jebat.
"Come on, Jebat. Tak akan kau tak tahu apa maksudnya kalau perempuan call pada waktu malam? Bermanja, bertanya khabar?" Affendi bersuara lagi. Seperti sedang mencuit Jebat. Provokasi.
"Aku tak peduli motif Adara hubungi kau. She's not in her right mind. After all, kau baru saja menipu dan mengada-adakan cerita yang tak ada. Isteri? Kahwin? As if!" Suara Jebat!
Jantannya suara suami aku!
"Kenapa? Kau takut penipuan itu akan buatkan kau hilang Adara?"
"Aku mungkin akan hilang Adara, tapi satu yang pasti, bukan kau yang akan dapat Adara."
Wow! Posesif.
"Kau nekad, Jebat? Dah bertahun dia hilang ingatan, kau masih berharap yang dia akan kembali pada kau? Aku dah tahu semuanya. Termasuklah siapa yang hentam kepala Adara malam itu. Aku tak rasa Adara akan maafkan kau kalau dia tahu siapa kau."
"Kenapa tidak?" Jebat menyoal. Sinis bunyinya.
"Sebab kau Notorious. Kau banyak musuh, Jebat. Dan Adara hanya perlukan perlindungan yang dia tak akan dapat kalau dia bersama kau. Kau akan hanya bawa lebih banyak bala kepada Adara dan kau dah bawa satu. Lelaki yang cederakan Adara adalah antara orang yang buru kau selama ini. Dia sakit dan cedera disebabkan kau."
"Jadi dengan siapa yang dia akan dapat perlindungan itu? Kau?" Sinis lagi.
"Taipan, kau tahu yang kau lagi banyak musuh daripada aku. Selama ini kau buat tahi, aku dan Hail yang cuci. Disebabkan kau, Hail angkat kaki. Jangan cakap tentang musuh kalau keluar saja daripada sini, dah ada mata yang menunggu untuk terajang kau. Adara lebih selamat bersama aku."
"Oh, sekejap!" Aku rasa Jebat baru saja menahan atau memotong Affendi yang mahu bersuara.
"Aku lupa yang aku tak perlu jelaskan apa-apa dekat kau. Adara isteri aku dan akan terus jadi isteri aku. Bangunlah, mimpi kau dah tinggi sangat. Kau sedang berharapkan isteri orang. Dan suaminya tak akan lepaskan isterinya. Kalau aku tak dapat dia, semua orang pun tak akan dapat dia. Hanya mati memisahkan."
Affendi tiba-tiba tergelak. Kuat ketawanya.
"Kau nak bunuh Adara? Statement hangat. Kalau bapa mentua kau dengar, habislah kau."
Tiba-tiba Jebat pula tergelak. Lebih kuat dan lebih jahat!
"Dah kenapa aku nak bunuh isteri sendiri? Jahat aku pun, depan isteri aku tak akan tunjuk lagak."
"Jadi?"
"Aku akan bunuh kau. Kau dan semua manusia yang boleh mengahwini Adara. Jadi Adara akan terhimpit memandangkan tak ada siapa lagi yang boleh dipilih. Dan akhirnya, tetap aku yang akan jadi suami dia."
Mama! Seramnya!
"Tapi mestilah aku tak akan kotorkan tangan aku semudah itu. Kenapa nak masuk penjara dan dihukum gantung kalau aku boleh bersama isteri aku setiap masa? Jadi berundur dan jangan ganggu Adara lagi. Semua penipuan yang kau dah tabur, aku akan bersihkan. Hanya. Jangan. Ganggu. Isteri. Aku. Lagi." Sepatah demi sepatah disebutnya. Tegas dan berkuasa.
"Kau dan bapa kau gunakan dia untuk dapatkan dana daripada syarikat Datuk Zamrul. Kau tak pernah ikhlas untuk bersama dia, Jebat."
"Jangan bercakap soal ikhlas dengan aku kalau kau bukan Allah."
Aku mendengar bunyi geseran sekali lagi.
"Aku nak balik. Ada isteri yang sedang menunggu di rumah. Kau pun, bawa bertaubatlah daripada mengharapkan isteri orang. Dia haram untuk kau."
Aku mengerling skrin kecil di sisi kanan. Sekali lagi motion detected keluar.
"Ingat sikit, kepura-puraan kau buatkan dia sengsara dalam harapan dia sendiri. Kau patut lindungi dia daripada diri kau sendiri. Korbankan yang satu itu, dan kita boleh bercakap cara jantan." Tapi suara Affendi kedengaran lagi.
"Korbankan?" Jebat tergelak.
"I'd drag the world and every soul in it to hell, just to let her live in heaven. I'm no exception. So don't come and speak to me about sacrifice, Taipan. You have no idea what I'm willing to do and prepared to lose for her."
Geseran lagi. Lebih kuat sebelum secara tiba-tiba sambungan terputus. Skrin tiada lagi sebarang status. Tiada lagi suara.
Apakah?!
Share this novel