AKU mengetuk papan kekunci komputer riba. Notorious. Itulah perkataan daripada gabungan huruf yang terbentuk hasil ketukan itu. Aku menggeser pad kecil di bahagian bawah papan kekunci. Ketik ikon carian sebelum timbullah segala jenis carian berkaitan Notorious.
Notorious definition and meaning.
Generally known and talked of.
Example : Iron is a notorious conductor of heat.
Especially : Widely and unfavorably known
Example : A notorious gangster
Aku termenung seketika memandang skrin komputer riba. Mencerna maklumat. Jadi notorious adalah orang atau benda yang terkenal dalam sesuatu hal?
Hampir terjerit dibuatnya apabila tiba-tiba saja pintu bilikku diketuk. Aku mengerling sudut bawah skrin komputer riba, jam 11:56 minit malam. Empat minit saja lagi untuk ke angka 12, jadi siapa pula yang rajin benar nak mengetuk pintu bilik anak dara orang ini?
Sekali lagi pintu diketuk, aku terus bangun. Berdiri saja di depan pintu, aku terus bersuara.
"Siapa itu?"
"Jebat."
Oh, shoot!
Aku segera mengemas meja. Komputer riba dimatikan lalu aku sorok di dalam laci. Inilah dia kalau orang bersalah sedang panik. Kalau boleh, diri sendiri pun nak disorok dalam laci itu.
Aku membuka pintu. Elok saja pintu terbuka, tak sempat nak menahan, Jebat sudah menerpa masuk ke dalam terlebih dahulu sampaikan aku terpaksa berundur ke belakang. Tangannya menolak pintu bilik. Tertutup dan gelap.
Dinding diraba dan suis lampu ditekan. Cerah saja bilik, terus berkerut dahi aku bila melihat Jebat yang sedang berdiri di depanku ini seakan berang dan marahkan sesuatu. Mukanya garang, seriusnya terlebih dan auranya berubah gelap.
Seksi tetap ada!
"Is there something I need to be aware of?"
Mama, kenapa suaranya dalam sangat? Seksi! Tapi menakutkan juga.
"Maksud awak?"
"How much longer are you going to keep pretending?" soalnya lagi, lebih tegas.
Aku terus terkebil-kebil memandang Jebat. Soalannya...
Adakah ini bermakna yang dia sudah tahu? Affendi beritahu ke? Tapi macam mana kalau dia belum tahu?
"Awak..." Kata-kata aku terhenti bila Jebat menyeluk poketnya sebelum alat yang aku selit secara sembunyi beberapa jam lepas, dikeluarkannya.
Terus bibir digigit resah.
Alamak! Patutlah terputus. Dia jumpa rupanya.
Agaknya sebab inilah dia marah tadi. Nasib baiklah aku tak terus mengaku tentang isu hilang ingatan itu. Kalau tidak, haru!
"Mana dapat benda ini?" soalnya.
"Err, saya minta Akim carikan."
"Sungguh, Adara? Dah pandai nak curi dengar perbualan orang lain?"
Tapi awak bukan orang lain. Awak suami saya!
Hish, nak cakap macam itu, tapi kantoilah nanti.
"Saya takut apa-apa jadi dekat awak aje," balasku.
"Ya? Sampai boleh rancang berminggu-minggu sebelum untuk beli benda ini?"
Argh, diperangkap. Mana pula dia tahu aku sudah merancang beberapa hari sebelum? Akim ke?
"Awak janganlah marah. Saya bukannya rakam perbualan awak pun. Saya dengar aje."
"Jadi apa yang kau dengar?"
Errr!
"Adalah sikit..."
"Apa yang sikit?"
Aduh, nak kena cakap ke?
"Err, yang awak beri amaran dekat dia."
"Itu aje?"
"Err, lagi awak kata awak sanggup hancurkan dunia untuk saya." Hehe, yang ini paling aku terbang mendengarnya.
"Lagi?"
"Err... Yang awak Notorious?"
Bibirnya menarik senyuman. Langkah dibawa mendekat sehingga aku terpaksa berundur. Hanya unduran itu membawa tubuhku terus menyentuh meja. Tersekat di situ.
"Dan kau tahu kenapa aku Notorious?"
Aku menggeleng. Tak tahu!
"Sebab aku tumbuk orang, aku pukul orang..."
"Kenapa awak pukul orang?"
"Sebab aku orang jahat."
"Tapi awak tak nampak macam jahat pun," balasku.
"Sebab aku tak buat depan kau."
"Jadi apa yang awak buat di belakang saya? Awak bunuh orang?"
Bibirnya tersengih senget. Ada letusan tawa kecil terbit di hujung bibirnya.
"Childish. Ingat aku ini mafia hangat tahi ayam macam dalam novel itu?"
Terasa ditampar! Tahulah aku suka baca novel, tak payah sindir-sindirlah. Nanti makin lambat aku mengaku yang aku mengingat segalanya!
Namun tanpa sempat bertanya, tiba-tiba nafas terhenti saat dia menunduk dan kedua belah tangan memagari tubuhku. Melekap terus ke permukaan meja.
Oh, tidak! Gempar perut!
"Aku perangkap orang yang layak untuk ditangkap," bisiknya.
Mata bertentangan. Dalam.
Darahku sudah entah ke mana. Mungkin ke kepala. Kerana hujung kaki sudah terasa sejuk seakan tak berdarah lagi.
"Siapa yang layak untuk ditangkap?"
"Orang jahat. Perogol, pembunuh, pedophile, pencabul, penculik, pencuri. Name it."
"Jadi awak polis? Macam dalam drama? Awak tengah undercover ke?!" Wow!
Dia tertawa sekali lagi. "Do I look like one?"
Aku segera menggeleng. Tak langsung! Dia terlalu seksi dan jahat untuk menjadi seorang anggota polis. Keseksian itu jahat! Dia patut ditangkap dan digari kerana mampu mencetus perang dunia ketiga antara aku melawan penyondol di luar sana.
"Jadi awak vigilante ke?" Aku meneka lagi.
Kali ini Jebat hanya tersenyum. Tiada tawa, namun tiada juga anggukan.
"I'm no vigilante. I simply get things done. Terlalu banyak penjenayah yang masih bebas. Tugas kami adalah untuk mencari bukti, memerhati, memerangkap dan melapor."
"Jadi kenapa awak kata, awak jahat? Bukan itu baik ke?"
Jebat tersenyum sebelum tubuh kembali ditegakkan. Kakinya berundur selangkah dua sambil tangan turun menanggalkan baju T yang tersarung di tubuh.
"Orang lain tak rasa macam itu. Aku banyak musuh, Adara. Betul apa yang Taipan kata, aku hanya membawa lebih bala dalam hidup kau. Aku salah langkah bila menerima..." Kata-katanya terhenti di situ. Seakan baru tersedar sesuatu.
Dan mungkin ke sesuatu itu adalah untuk menggelakkan mulut daripada menyentuh isu perkahwinan kami? Jika begitu, berkahwin dengan aku adalah sebuah salah langkah?
Tambahan lagi, kenapa Jebat tak mempersoalkan aku? Maksud aku, tak akan dia tak tahu yang aku juga mendengar dia menggelarkan aku sebagai isteri dalam perbualan tadi?
"Aku dah jujur. Sekurang-kurangnya untuk hal ini. Aku tunggu giliran kau untuk jujur."
"Jujur tentang apa?"
Mendengar soalan aku, Jebat terus mendengus perlahan. Kepalanya menggeleng beberapa kali sebelum alat rakaman itu diletakkan atas meja.
"Lepas apa yang kau dengar, kau masih tak faham? Atau kau memang tak nak faham?"
Aku terus menayangkan muka tak faham walaupun jantung sudah lain macam rentaknya. Aku tak bersedia untuk mengaku. Bukan malam ini! Tapi kalau Jebat yang tangkap, itu lain cerita.
Melihat aku seperti ini, riak Jebat sempat bertukar seketika. Nampak tertekan dan kecewa.
Aku yakin Jebat sedar. Sama seperti aku. Jika aku menunggu dia untuk mempersoalkan tentang gelaran isteri daripada perbualan tadi, pastinya dia sedang mempersoalkan aku dalam hatinya tentang hal sama.
Tapi kenapa tak diluahkan?
"Bario, nama kumpulan kami. Bukan kongsi gelap. Ia hanya nama pusat latihan. Aku, Taipan dan Hail adalah kepalanya. Sekurang-kurangnya dulu. Sekarang tinggal aku dan Taipan yang aku dah tak boleh baca lagi gerak-gerinya. Hail dah undur diri. Kami ada budak-budak lain. Pengawal keselamatan di depan sana antara orangnya."
Dan itu dia... Jebat melupakan topik tadi.
Lah, patutlah laju benar mereka sampai selepas pengawal lama dipecat. Rupanya sebab mereka budak-budak Jebat. Kiranya Q dan yang lain-lain itu juga budak-budak Jebat kan? Bukanlah pekerja semata-mata.
"Kami tak buat kerja percuma. Organisasi, keluarga mangsa dan badan terlibat akan membayar dan mengupah. Kami akan kenakan bayaran untuk kes besar atau mangsa daripada keluarga berada. Bayaran itu akan diagihkan kepada budak-budak kami sama rata kecuali aku."
"Kenapa kecuali awak?" soalku.
"Aku tak perlukan duit. Apa yang ada dah mencukupi."
Okay...
"Maklumat kami sangat tersembunyi. Tutup mulut walaupun ada yang menyoal. Jangan mengaku yang kau kenal kami. Cari mati namanya."
"Awak nak bunuh saya?!" Sampainya hati!
Pap!
"Auch!" Dahiku dijentik!
"Aku dah kata, kami ramai musuh. Musuh-musuh itu semuanya penjenayah. Jadi kalau mereka tahu yang kau tahu tentang Bario, mereka akan cari dan gunakan kau. You're playing a very dangerous game, Adara. Mereka tahu yang kelemahan aku adalah kau."
Mata berkelip malu bila mendengar kata-kata akhirnya. Kelemahan dia adalah aku?
Jebat menutup lampu. Bilik bertukar gelap, sebelum tak lama kemudian lampu night stand menyala malap. Aku dibawanya terus ke katil.
"Enough talk. Tidur." Dan Jebat berlalu ke arah pintu.
Ah, sekejap!
"Awak!"
Langkah terhenti. Aku kembali dipandang.
"Awak boleh tak tidur dengan saya?" Permintaan tak tahu malu untuk orang yang sedang berlakon hilang ingatan, tapi lantaklah! Selepas mendengar ayat tangkap lentok sanggup menghancurkan dunia demi aku itu, aku rasa aku perlukan dia malam ini!
Entah apa reaksinya, aku tak nampak. Tahu-tahu saja dia sudah kembali memulas tombol pintu.
"Thanks, but no thanks." Pintu tertutup dan aku ditinggalkan bersendirian.
Apa? Kenapa?!
Argh, Arrayan! Sampai hati! Kata sanggup hancurkan dunia. Ajak tidur sebilik pun tak mahu! Bencinya!
Aku terus memandang alat yang dipulangkan Jebat tadi. Ini semua sebab kau!
Tak boleh jadi ini. Mana boleh bergaduh dengan Jebat. Kalau Jebat marahkan aku macam mana? Mungkin dia akan tawar hati? Mungkin dia akan cari yang lain? Mungkin dia akan bersama Dhia?
Argh, tak nak!
Aku cepat-cepat mengambil bantal peluk. Bersama bantal yang dipeluk ke dada, aku menutup segala suis dan terus berlari anak menuju ke arah bilik arwah mama dan papa yang kini dihuninya.
Telinga dilekap ke permukaan pintu. Cuba mencuri dengar jika ada apa-apa yang berlaku di dalam sana. Kutlah dia sedang mencarutkan aku ke.
Tapi tak ada. Sunyi.
Kerana itu, pintu dibuka tanpa salam. Tak terus masuk, aku mengintai dulu melalui bukaan pintu. Tapi bilik ini terlampau gelap. Hanya ada sedikit cahaya daripada balkoni yang sudah ditutupi langsir.
"Awak?" Aku memanggil lembut.
Tapi tiada sahutan.
Perlahan-lahan kaki melangkah masuk ke dalam. Bilik air gelap. Katil pun, kosong.
Mana pula Jebat ini?
Dekat balkoni ke? Tapi tak ada pun sebarang bayangan di sebalik langsir itu.
Aku automatik berpusing ke arah pintu bila tiba-tiba saja pintu tertutup. Baru nak berdrama The Conjuring di sini, rupa-rupanya yang menutup pintu itu tak lain tak bukan adalah Jebat. Dia sedang bersandar pada pintu yang sudah tertutup rapat sambil memandang aku. Sebelah tangannya masih memegang tombol pintu dan klik.
Tombol dikunci.
Oh, oh...
Macam seram aje ini.
"Well, well, well, look who we have here." Jebat melangkah perlahan, namun begitu mengerunkan ke arah aku.
Sangat seksi!
Berdiri di depanku, tangannya diseluk ke dalam poket seluar sebelum kepalanya sedikit senget merenung seluruh wajahku.
"Awak..."
"Tak takut ke masuk bilik lelaki?" Jebat memotong.
Baru nak tanya kalau dia marah aku!
Tapi takut? Kenapa nak takut? Oh! Dia sedang merujuk diri sebagai 'orang kepercayaan ayah' berbanding sebagai seorang suami.
Jebat seperti menunggu jawapan. Keningnya sedikit terjongket. Matanya tajam. Hujung bibirnya tertarik sedikit.
"Tak apalah. Saya masuk bilik dulu." Tapi kerana aku tak mahu menjawab, maka aku terus meminta diri.
Bersama bantal yang masih dipeluk, terus aku melalui Jebat. Namun belum sempat tangan menyentuh pintu, tiba-tiba saja tubuhku sudah terawang dan tak lama kemudian, terus terbaring di atas katil.
Bantal peluk yang masih kemas dalam pelukan, tiba-tiba ditarik oleh Jebat. Aku segera memeluk lebih kemas.
Semakin terjongketlah kening lelaki itu bila aku tak mahu melepaskan bantal peluk ini.
"Berapa lama lagi nak peluk bantal itu?" soalnya. Sedikit garang bunyinya.
Aku tahu yang itu satu isyarat untuk aku segera membuang bantal itu ke tepi sebab Jebat tak sukakannya. Tapi aku tak mahu!
"Sampai esoklah."
"How about me then?"
Erk!
Mataku terus membulat memandang Jebat yang masih berdiri di sisi katil sambil menunduk pandang aku itu. Muka tak puas hati.
Tapi, macam mana dengan dia? Adakah ini bermakna yang dia mahu dipeluk oleh aku?!
Argh! Sukanya!
Tak bertangguh lagi, aku terus mencampakkan bantal itu ke bawah. Tanganku bebas.
Sayonara, bantal!
Jebat pula terus tersenyum senget. Puas hati!
Sementara Jebat membuka bajunya, aku terus menepuk-nepuk bantal. Aku rasa bantal ini bantal yang biasa digunakan oleh Jebat. Ada baunya.
Selesai berpakaian selesa, Jebat terus melabuhkan baringnya di sebelah aku.
Tapi sekejap!
"Telefon saya!" Aku terus bangun.
Kena ambil telefon. Tak boleh hidup tanpa telefon!
Tapi tak sempat untuk turun daripada katil lagi, aku sudah terbaring semula bila tangan Jebat melingkar pada pinggangku dan tubuhku ditolak sehingga kembali terbaring di sisinya. Cuma kali ini, kepalaku selamat berbantalkan tangannya.
"Telefon tertinggal. Nak kunci jam."
"Here, use mine." Jebat terus berkalih seketika tanpa melepaskan aku. Mengambil telefon yang terletak di atas night stand sebelum dihulurkan kepada aku.
Bila telefon Jebat sudah ada di tangan ini, takut pula aku dibuatnya. Jarang-jarang lelaki bagi perempuan guna telefon dia ini.
Mungkin mengerti apa yang ada di dalam kepalaku, Jebat terus tersenyum nipis.
"Tak ada apa yang nak disorokkan," katanya.
Oh? Okay...
Selesai mengunci jam, terus kesunyian menghimpit.
Aduhlah, kenapa aku masuk ke dalam bilik ini? Patutnya aku duduk diam-diam saja di dalam bilik sendiri. Tak ke dah macam perigi cari timba namanya? Kecuali, aku dan dia memang sudah berkahwin.
Tapi...
"Kenapa senyap?" Jebat menyoal.
"Kan waktu tidur?" Teragak-agak aku membalas. Sebenarnya aku tak peduli tentang tidur. Kalau dia mahu melayan, sampai esok pun aku boleh bercakap dengan dia.
Tapi Jebat mesti penat.
"Esok aku keluar."
"Ke ofis?" soalku.
"Lokasi."
Oh, itu lagi.
"Hati-hati..." Mahu menghalang, namun sedar diri.
"Kau yang perlu berhati-hati bila aku tiada."
"Kalau apa-apa jadi, awak akan balik segera?"
Belakang tubuhku terasa sentuhan tangan Jebat. Mengusap seakan sedang mendodoi.
"I won't let anything happen to you. Not again. Not ever," bisiknya sebelum aku memejamkan mata saat dia cuba mengintai wajahku.
"Promise?"
"Sumpah demi Allah, aku akan menjaga kau lebih baik daripada seisi dunia dan semestanya. Hanya jangan buat sesuatu yang aku larang. Jangan lari keluar bila mengamuk. Jangan dan jangan, ingkar arahan aku."
Dan aku mengerti yang Jebat memaksudkan peristiwa itu. Yang mengubah segalanya antara aku dan dia.
"Terima kasih, awak..." ucapku. Tanganku naik menyentuh tubuhnya. Memeluk longgar. Bersedia untuk lena.
"Tak, terima kasih untuk kau dan Allah. Wujudnya kau, melengkapi aku. Seseorang pernah beritahu yang kita mesti ada seseorang sebagai penyebab untuk bertahan hidup. And it's you. It's always you."
Ubun-ubunku dikucupnya. Begitu lama, begitu syahdu.
....
Dahlah eh. Saya nak pergi cari Jebat Arrayan untuk diri sendiri juga. Bye!✋????
Share this novel