Bab 6

Romance Series 18024

TEH disisip sebelum pemandangan sekitar diperhatikan. Hari ini buat kali yang pertamanya aku diizinkan untuk keluar sejauh ini tanpa diikuti pengawal peribadi berenam itu. Sejauh mana itu pun tidaklah jauh sangat, kami hanya ke Pulau Pangkor saja.

Yang bawa aku sudah semestinya Jebat. Kalau bukan dia, rasanya memang dalam mimpi pun tak akan dapat aku ke sini tanpa diikuti bala tentera yang telah ditinggalkan atas persetujuan ayah.

Semalam, Jebat balik bermalam dengan gaya penceroboh handalan dia itu dan pada pagi hari ini, tiba-tiba saja dia mengejutkan aku sebelum subuh dan arahkan aku untuk segera bersiap. Elok saja 15 minit selepas azan subuh, kami sudah masuk ke dalam kereta bersama beg pakaian yang harapnya mencukupi untuk dua malam.

Sebab tadi aku tak punya cukup masa bagi bersiap kerana Jebat kata kami perlu siap sebelum subuh. Kira okaylah terlambat 15 saat untuk kami solat subuh terlebih dahulu. Jadi jangan tanya aku apa yang ada di dalam luggage sebab sumpah, aku hanya mencengkam dan menyumbat mana yang aku nampak saja.

Sekali lagi aku pelik dengan Jebat, macam mana satu beg laptop saja sudah mencukupi untuk dia?

Lamunan aku mati saat kerusi kosong di depanku diseret.

"Hai."

Dahiku berkerut sekejap. Siapa pula lelaki ini yang tiba-tiba berhai dengan aku? Sudahlah siap duduk di kerusi depan ini pula. Kalau kedai ini penuh, aku fahamlah. Masalahnya kedai ini masih banyak meja kosong.

"Ya?" Aku menyahut dalam hairan.

"Seorang aje?"

Kali ini aku senyap. Soalan ini antara soalan yang memang haram untuk aku jawab tak kira sama ada lelaki atau perempuan menyoal. Soalan ini membawa banyak kemungkinan baik dan buruk. Tapi cenderung kepada buruk.

"Oh, saya faham. Perempuan cantik macam awak memang selalu jual mahal. Saya Q." Dia menghulurkan tangannya seperti mengajak aku untuk berjabat tangan.

Namun jemputan itu tidak aku terima. Mungkin kerana itu jugalah dia terus tersengih sebelum tangan ditarik semula.

"Awak nampak takut dengan saya. Muka saya ini ada macam orang jahat ke?"

"Saya tak selesa dengan lelaki. Maksud saya, orang tak dikenali," jawabku.

Dan sekarang aku memang sungguh tidak selesa. Timbul rasa takut dalam hati, namun aku menenggelamkan rasa itu supaya tidak terlalu ketara. Aku hanya sendiri di sini. Tiada pengawal dan tiada Jebat kerana Jebat ada hal yang perlu diuruskan.

Kerana bosan di dalam bilik, aku buat keputusan untuk duduk seketika di restoran ini. Bukannya jauh pun. Berjalan sedikit saja. Itu pun selepas meninggalkan pesanan ringkas kepada Jebat memandangkan panggilan aku tidak dijawabnya.

"Kalau dah berkenalan, mesti awak selesa. Betul?"

Aku tersenyum kelat. Adalah juga rasa nak tampar orang yang tak faham-faham maksud aku. Itu namanya awak dah kena reject tahu tak?!

"Saya dah kahwin. Jadi saya tak boleh berkenalan dengan orang lain lagi."

Hai, sekarang baru nak menyesal kerana tak buat acara memakai inai seperti orang lain. Kalau tidak bolehlah aku tayang depan mata dia yang aku ini pengantin baru. Nak tunjuk cincin pula, Jebat memberikan aku rantai leher. Selalunya orang tunjuk cincin, tak tunjuk rantai.

Aduhai!

Lelaki bernama Q itu tiba-tiba tergelak. Punyalah seronok gelak macam aku baru buat lawak sebabak di depan ini.

"Perempuan cantik memang selalu guna alasan macam ini. Tengok muka awak, saya tak rasa awak dah kahwin. Muka awak memang ada aura anak dara."

Tak tertahan lagi, aku yakin sekarang muka aku sudah bertukar riak. Bukan apa, tapi terkejut jugalah bila dia mampu meneka dengan betul. Anak dara. Betullah itu sebab aku memang anak dara lagi. Hanya status saja sebagai isteri orang.

Aku menarik senyuman nipis. Muka kembali diyakinkan. Jangan tunjuk sangat, Adara. Kau kena tenang.

"Saya memang cantik, terima kasih. Mungkin juga sebab kecantikan itulah awak nampak saya macam anak dara. Tapi saya memang dah berkahwin. Baru aje lagi."

"Oh ya? Kalau macam itu mungkin awak pengantin baru. Biasanya pengantin baru akan berkepit ke mana-mana. Jadi mana suami awak?"

"Dia..." Aku terhenti di situ.

Dah kenapa pula wajah lelaki di depanku ini tiba-tiba bertukar riak. Daripada mula nak menggatal dan mengurat, terus bertukar serius tanpa senyuman sambil memandang ke arah belakangku.

"Kau buat apa dekat sini?"

Suara itu!

Aku terus berpusing ke belakang dan senyuman selebar alam mula terukir saat melihat Jebat sedang berdiri di belakangku. Wajah seriusnya lebih serius berbanding biasa, tapi aku tak peduli. Inilah orang yang aku harapkan akan muncul pada saat seperti ini.

"Saya bosan tadi..."

"Saya baru balik dari lokasi." Tapi suara lelaki bernama Q itu pula yang terlebih dahulu memintas dan menjawab soalan Jebat.

Aik? Dia kenal Jebat ke?

"Habis itu, kau buat apa dekat sini?" soal Jebat lagi. Lebih tegas.

Baru aku menyedari yang sedari tadi dia tidak langsung memandang aku. Matanya lurus ke muka Q.

"Saya nak makan sekejap sebelum balik bilik. Lepas itu saya ternampak perempuan canti tengah duduk sendirian. Saya pun temankan dia." Tiba-tiba Q menjuih mulut ke arahku.

"Cuba bos tengok dia ini, punyalah cantik, kulit muka licin berseri-seri, jelingan mata menggoda dan tak pandai bergaul dengan lelaki. Sah memang anak dara lagi. Tapi dia jual mahal bos. Saya tak cukup hensem agaknya. Dia kata dia dah kahwin. Tapi mana pula suaminya? Ada ke suami nak tinggalkan isteri punya cantik macam ini duduk sendirian dekat tempat macam ini. Kalau bos jadi suami dia, bos nak tinggalkan ke?"

Aku tak tahulah apa reaksi yang nak diberi bila mendengar segala celoteh lelaki bernama Q ini. Dia sedang mempersoalkan suami aku tanpa menyedari bahawa suami aku itu adalah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.

Tiba-tiba mata Jebat turun membalas pandangku. Mulalah bulu roma berkawad bila melihat renungan tajamnya.

Alamak! Dia marah ke?

"Kalau aku jadi suami dia, aku akan tinggalkan dia di bilik dengan persekitaran yang selamat selepas pastikan dalam peti sejuk ada air untuk diminum dan di atas meja ada makanan untuk dimakan."

Keletuk!

Disindir tahap gaban!

Memang akulah itu yang disindirnya. Memang di bilik sana ada minuman botol dan tin yang lengkap. Ada juga bungkusan nasi goreng yang Jebat beli sebelum dia keluar tadi. Hanya aku yang kebosanan lalu memilih untuk keluar.

"Nampak tak?" Q memandang aku. Seakan sedang bangga bila Jebat seolah sependapat dengannya.

Tapi wajahnya terus berubah apabila tangan Jebat hinggap pada lenganku. Tanganku diusap lembut. Tapi lembut itu hanya di mata orang, di mata aku itu usapan menahan geram.

"Melainkan kalau isterinya degil dan tak reti duduk diam-diam di bilik masa suaminya sibuk buat kerja. Kan?" Jebat memandang aku bersama gigi yang sedikit diketap.

Huaaa! Nak balik KL!

"Err, ini isteri bos ke?" Teragak-agak Q menyoal Jebat sambil memandang aku.

"Ya. Suami yang tinggalkan bini cantik sendirian dekat tempat ini itu aku," balas Jebat. Juga bernada geram seakan sedang menyindir Q yang bukan main bercakap lepas tadi.

Q ternganga sebelum dia segera berdiri dan menundukkan kepalanya sedikit. Seakan pesalah yang sudah bersedia untuk dihukum.

"Saya tak tahu yang bos dah kahwin. Jadi saya tak tahu yang bos dah ada isteri. Saya juga tak tahu yang ini isteri bos. Maafkan saya." Macam peluru lelaki itu meminta maaf.

Tapi Jebat tak membalas. Sebaliknya tanganku terus ditarik sehingga aku terbangun lalu kami melintas jalan. Berjalan menuju ke hotel terasa begitu memenatkan kerana langkahnya yang terlalu besar dan laju. Betul-betul ikut sunah ini!

Sampai saja di dalam bilik, barulah tanganku dilepaskan lalu diikuti renungan membunuh sepuluh saat.

"Siapa bagi kebenaran untuk keluar bersendirian?" soalnya.

"Saya dah call awak, tapi awak tak angkat. Jadi saya tinggalkan mesej."

"Ada aku balas?"

Aku terus menggeleng. Tak ada.

"Jadi mana kau dapat izin untuk keluar kalau aku tak balas mesej atau panggilan itu?" Sindiran lagi!

Dahiku terus berkerut. Bibir pun tercebik sedikit. Takut bila berdepan dengan dia yang seperti ini. Biasanya dia serius pun serius saja, marah-marah tidak. Ini pula sudahlah marah, di tempat asing pula itu! Sudahlah pengawal peribadi aku semuanya ditinggalkan. Kalau dia cuba untuk mengapa-apakan aku macam mana?

"Saya minta maaf. Tapi saya bosan. Sampai aje dekat sini, awak terus keluar. Saya nak juga tengok apa yang dekat sekitar sini, jadi saya beranikan diri untuk keluar. Saya memang tak ada niat nak pergi jauh-jauh. Saya ke restoran itu pun sebab masa kita ke hotel tadi, saya nampak di tepi jalan."

"Tak boleh tunggu aku balik dulu ke?" soalnya lagi. Masih bernada marah, cuma sudah mereda sedikit. Mungkin kerana permintaan maaf aku.

"Saya minta maaf. Saya salah." Sebab tak menyabar nak keluar! Aku fikirkan kami ke sini memang kerana kerjanya saja. Aku takut jika tak berkesempatan untuk ke mana-mana.

Ini hari pertama, esok sudah kedua dan hari ketiga kami akan pulang semula. Kalau dia sibuk dengan kerjanya, bila masa aku nak tengok-tengok apa yang ada di sini. Sebab itulah aku keluar.

Makin sedih dibuatnya bila aku mendengar keluhan panjang Jebat sebelum dia meraba belakang tengkuk. Mungkin kerana kepenatan. Dan mungkin juga kepenatan itu ditambah dengan masalah aku.

"Aku tak sejahat yang kau anggap, Adara. Tak akanlah aku nak kurung kau setiap masa dalam bilik macam patung yang aku seret ke mana-mana. Aku akan bawa kau keluar untuk bersiar-siar. Malahan malam ini aku nak bawa kau pergi tengok fire show."

Keningku terus terjongket. Mata sudah membulat memandangnya.

"Betul ke ini?!" Aku menyoal penuh teruja.

"Tapi sebab kau dah puas keluar tanpa izin aku, jadi rasanya cancel ajelah."

Ha?!

"Ah, janganlah! Awak..." Aku terus merenget sambil tangannya digoncang-goncang. Tolonglah bawa aku berjalan! Aku tak tahu bila kali terakhir aku ke tempat seperti ini.

Melihat senyuman senada di bibir Jebat, terus aku tersengih. Aku yakin yang senyuman itu membawa maksud bahawa Jebat hanya mengusik aku.

"Kita nak keluar pukul berapa?"

Aku mengikuti langkah Jebat yang terus ke katil. Bajunya dibuka lalu dia merebahkan badan di atas tilam. Nampak betul-betul keletihan.

"Lepas maghrib."

Yeay! Tak sabarnya!

Kerana keterujaan itu, mulalah aku berpusing-pusing sekeliling bibik bak Cinderella mencari putera rajanya di dewan tari.

Aku akan pastikan untuk minta Jebat bawa aku melihat pemandangan waktu malam kawasan pantai! Aku tak pernah melihat mana-mana pantai pada waktu malam kecuali dalam televisyen.

Sedang sedap berpusing dan melayan keterujaan sendiri, aku tak sedar yang kaki Jebat terlunjur melebihi hujung katil kerana dia yang tak sepenuhnya berbaring betul-betul di hujung kepala katil.

Tubuhku terbongkok, tapi tidak jatuh. Hanya terbongkok. Namun secara tiba-tiba aku ditarik deras terus ke arah katil sehingga aku terbaring...

Di atas Jebat.

Mataku membulat bila tangan betul-betul melekap pada perutnya yang sudah seperti roti enam!

Pandang pula mukanya, rupanya dia juga sedang memandang aku.

Kerana takut dimarahi, aku terus berura untuk turun dari katil. Tapi cubaan itu gagal bila tangan Jebat melingkari pinggangku. Tak sempat nak minta dilepaskan, tiba-tiba dia memusingkan tubuhnya sekali gus aku terjatuh ke ruang kosong pada tilam di sisinya.

Kepalaku dibawa berbantalkan lengannya.

"Aku nak tidur sekejap. Mengantuk," kata Jebat. Tubuh diselesakan dan bantal ditarik dengan tangan yang bebas.

"Kalau macam itu saya..." nak mandi dulu.

"Shh, stay." Tapi dia menghalang dengan itu sekali gus mendiamkan aku.

Kerana tak mahu mengganggu dan hanya menurut perintahnya, aku terus diam berbantalkan lengannya dan berbaring di sisi tubuhnya. Ini bukan kali pertama kali tidur bersebelahan, tapi ini yang paling rapat. Di rumah, katil aku bersaiz king. Di sini, bersaiz queen dan dia menahan aku untuk terus berbaring di lengannya. Jadi jaraknya benar-benar dekat sehingga aku boleh menghidu bau yang ditinggalkan minyak wangi pada tubuhnya.

Beberapa ketika memerhatikan dia yang mungkin sudah lena, aku juga ikut mengantuk sama. Jam telefon dijeling. Masih ada dalam satu jam lagi untuk masuk waktu maghrib. Waktu maghrib di sini rasanya tidak jauh beza dengan maghrib di Kuala Lumpur.

Jadi tidur sekejaplah!

Aku memandang Jebat sekali lagi sebelum mata dipejamkan.

Saya tidur juga, suami. Saya janji tak akan kacau awak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience