AKU memandang ke arah balkoni bilik yang secara tiba-tiba berbunyi seakan ada sesuatu yang menyentuhnya. Di sebalik tirai dan pintu gelangsar yang berkunci, aku dapat melihat bayangan figura berbentuk manusia bertubuh rendah di luar sana. Pintu gelangsar sedikit bergegar seperti dia sedang cuba untuk menceroboh masuk ke dalam.
Kerana bilik ini gelap dan di luar sana bercahaya, aku dapat melihat bayangannya. Tangannya sedang menghala ke satu arah dan arah itu adalah letaknya tempat kunci pintu gelangsar.
Kerana ketakutan, kakiku terus berundur walau suara tenggelam. Aku berundur ke arah bilik mandi dengan sehabis boleh derap langkah cuba dimatikan sambil tubuh menghala ke arah pintu gelangsar itu demi melihat gerak-geri si penceroboh di luar sana.
Tiba di pintu bilik mandi, aku menekan-nekan pintu itu supaya orang di dalam menyedari pintu yang bergerak, namun tetap menghasilkan bunyi yang lebih sedikit berbanding ketukan.
Dan cubaan itu berjaya bila pintu bilik mandi dibuka dan cahaya lampu menyuluh ke kawasan berdekatan.
Jebat memandang aku dengan kening yang sedikit terangkat. Hairan.
Aku mengangkat jariku lalu menyentuh bibir sendiri. Isyarat untuk dia senyap. Bila dia memahami, terus aku menuding ke arah pintu gelangsar.
Aku yakin yang Jebat juga melihat apa yang aku lihat tadi kerana dia terus melangkah keluar dari bilik mandi. Baju T yang ada dalam bakul baju kotor disarung semula. Seluar pendek yang sudah dikeluarkan sebelum mandi tadi disarungkan juga.
Semuanya dilakukan dengan cukup tenang dan perlahan.
Sedang Jebat bersiap dan aku masih terpacak di depan pintu bilik mandi, tiba-tiba bayangan itu berubah sedikit. Tangannya tidak lagi hanya tangan, tapi seperti ada bayangan sesuatu yang tajam dipegang bersama.
Pisau!
Aku memandang Jebat.
Namun tidak sempat kepala mahu memberi jawapan atas apa yang perlu aku lakukan, secara tiba-tiba pintu gelangsar itu ditolak perlahan dari luar. Tinggal tirai yang tersisa.
Jebat sudah berdiri berdekatan pintu gelangsar. Aku masih di sini dan sebaik saja tirai diselak, muncul seorang lelaki kurus bertubuh rendah bersama pisau rambo di tangannya. Matanya terus menala ke arah aku kerana aku memang tepat di depannya. Hanya jarak yang memisahkan.
Senyuman tertarik. Nampak mengerikan. Senyuman seorang yang sudah ada bermacam agenda jahat termasuklah begitu bernafsu.
Lelaki itu melangkah ke arahku sambil pisau digenggam semakin erat.
"Kau menjerit, aku baling pisau ini atas dahi kau." Lelaki itu bersuara, ugutan.
Aku memang tak ada niat sama sekali untuk menjerit. Kalau biasanya, ya. Kejadian yang sama pernah berlaku dulu, tapi aku menjerit sebaik saja aku melihat bayangan penceroboh di luar sekali gus aku berlari keluar daripada bilik. Penceroboh itu tidak berjaya ditangkap, tapi sekurang-kurangnya dia berlari keluar dan bukan menyorok di mana-mana bahagian dalam rumah ini.
Kali ini, aku tak menjerit kerana aku tahu Jebat akan melindungi aku.
Aku percayakan dia. Dia suami aku. Kami baru bernikah pagi tadi dan aku mahu percayakan dia walaupun melibatkan senjata tajam seperti ini.
Mataku hanya fokus memandang penceroboh itu. Semuanya supaya dia tidak tahu bahawa ada orang lain bersama kami. Aku tak tahu apa yang Jebat sedang lakukan. Aku hanya nampak dari ekor mata yang dia sedang tunduk seperti mahu mengambil sesuatu.
"Tak ada pula pengawal kau ramai-ramai itu hari ini ya?" Lelaki itu bersuara lagi. Semakin dekat.
"Kau nak apa?" Aku memberanikan diri untuk bertanya walaupun kaki sudah longgar. Rasa mahu rebah.
Aku hanya mahu mengambil segala perhatiannya supaya Jebat boleh melakukan apa saja yang perlu dilakukannya.
"Nak apa ya? Aku nak kau bagi aku barang kemas atau wang ringgit yang kau ada. Tapi dah alang-alang dalam bilik berduaan, dalam gelap macam ini. Ada baiknya kalau aku dapat merasa tubuh..."
Prang!
Aku tertunduk lalu terjerit ketakutan saat sebuah pasu kaca menghentam belakang kepala penceroboh itu. Lelaki itu terus tertunduk kesakitan. Saat dia ingin berpusing melihat siapa yang punya angkara pasu itu boleh terbang ke kepalanya, tiba-tiba Jebat yang rupanya sudah bersedia di belakang terus melayangkan sebuah tumbukan padu. Hinggap terus ke muka penceroboh itu.
Aku segera membuka pintu bilik sebelum menjerit sekuat hati memanggil kesemua yang ada di dalam rumah ini.
Bila aku memandang ke arah Jebat semula, rupa-rupanya penceroboh sudah terbaring di atas lantai dengan sebelah tangan yang masih erat menggenggam pisaunya. Hanya kali ini, pergelangan tangannya sudah dipijak oleh Jebat. Setiap kali lelaki itu cuba untuk menyerangnya dengan sebelah tangan lagi, Jebat terus menghenyak seluruh berat tubuhnya pada pergelangan penceroboh itu.
Jeritan kesakitan diikuti rayuan untuk dilepaskan bersatu di dalam bilik ini sehinggalah sebelah kaki Jebat terus menendang kepala penceroboh itu.
Dan senyap...
Penceroboh tidak berkutik lagi dan Jebat terus meninggalkan sekujur tubuh itu.
Aku terus berundur dan bersandar pada pintu bilik mandi saat keenam-enam pengawal masuk ke dalam bilik tidur ini. Dua orang daripada mereka datang bersama sepucuk pistol dan sudah siap sedia mengacah.
Sumitha membuka lampu dan bilik ini terus terang-benderang.
Melihat penceroboh itu yang sudah tak sedarkan diri, Sumitha terus menghampiri aku sementara yang lima lagi menerpa ke arah Jebat. Mereka memeriksa penceroboh itu. Jebat hanya dipandang bagaikan lelaki itu diperbuat daripada besi dan ta akan boleh terluka.
Seakan sama sekali tak bimbangkan keadaan Jebat.
"What happened, cik? Orang itu ceroboh ikut balkoni lagi?" Sumitha menyoal aku sambil tubuhku diperiksa atas bawah. Memastikan yang aku baik-baik saja.
Aku mengangguk saja. Tak larat nak bercakap selepas segala tenaga sudah dikerah ketika saat-saat cemas tadi.
Mataku memandang pengawal peribadi yang sudah mula menyeret lelaki itu untuk keluar dari bilik tidur. Sampai di depan pintu bilik, penceroboh itu dilepaskan begitu saja sehingga sempat terhantuk di atas lantai, sebelum mereka menghubungi pihak polis.
Fokusku teralih saat menyedari kehadiran orang lain yang sedang berdiri di depanku. Jebat.
Sumitha terus berundur dan ikut menguruskan penceroboh tadi bersama yang lain. Mereka sedang begitu geram sehingga Sumitha sempat menampar pipi lelaki itu.
"Pervert!" marahnya.
Aku memandang Jebat yang masih berdiri di depanku. Lama berada di bawah renungannya, tanpa sedar dahiku berkerut, bibirku tercebik dan lantas air mata mula mengalir. Aku menangis buat kedua kalinya di depan Jebat.
Kali pertama, saat aku dibuli dulu.
Fikiran yang Jebat mungkin akan cuba untuk menenangkan aku hancur begitu saja saat lelaki itu terus menutup pintu bilik semula, sebelum berlalu ke arah balkoni. Entah apa yang dia buat di luar sana, tapi aku hanya melayan perasaan di sini.
Ketakutan masih tersisa. Terkejut? Tak lagi. Ini bukan yang pertama.
Baru nak sambung menangis, secara tiba-tiba aku mendengar suara Jebat menengking kuat.
"Kau tak reti nak buat kerja ke?!"
Apa pula yang dia tengking itu?
Aku terus bangun dan segera melangkah ke arah balkoni itu.
Berdiri saja di balkoni, barulah aku sedar bahawa yang ditengking oleh Jebat itu adalah sekumpulan pengawal keselamatan rumah ini. Mereka sudah berdiri beramai-ramai di bawah sana sambil menunduk seperti pesalah.
"Kau kemas barang-barang dan pakaian kau, sebab sebaik saja matahari tegak atas kepala, aku akan pastikan kau semua tanpa terkecuali satu pun akan hilang kerja."
Seram sejuk aku mendengar katanya. Mereka di bawah seperti mahu merayu dan meminta maaf, tapi tiada satu pun yang berani untuk membuka mulut.
Bila Jebat menoleh ke arahku, barulah aku mengerti kenapa mereka semua gerun sangat. Mukanya sudah seperti singa yang menunggu masa untuk mematahkan leher hasil buruan.
Begitu mengerikan.
Baru ingat nak masuk ke dalam bilik dan sambung melayan perasaan lagi, tiba-tiba tanganku digenggamnya. Mata turun memandang tangan sendiri dan tangannya. Tangan lelaki itu sudah sedia berurat timbul. Banyak benar urat di sekitar tangannya. Genggamannya erat.
Tapi dah kenapa Jebat memegang aku pula ini?
Aku memandang wajahnya semula.
Dan pada waktu itu, segala ketakutan tadi seakan terbang melayang di bawah angin malam sebaik saja mataku berlabuh pada seraut wajahnya yang berubah drastik. Riak mengerikan tadi berganti dengan pandangan risau. Matanya meredup.
Aku tertarik masuk ke dalam bilik saat Jebat melangkah masuk semula. Pintu gelangsar ditutup dan tangan aku dilepaskannya.
"You may cry now," katanya.
"Siapa kata saya nak menangis?"
Jebat senyap saja dan hanya memandang aku. Di bawah pandangan itu, sekali lagi mata menderhakai mulut saat air mata kembali meluru keluar membasahi pipi yang hanya sempat kering buat beberapa minit.
Muka ditekup dalam tangisan kerana malu bila Jebat merenung aku yang sedang menangis seperti anak kecil.
"Kenapa dia orang suka sangat kacau saya?" Aku menyoal. Tapi bukan menyoal Jebat. Aku sendiri tak tahu pada siapa soalan itu diajukan, yang pasti aku hanya mahu meluahkan soalan dalam hati ini.
"Saya tak pernah kacau orang. Tapi kenapa dia orang kacau saya? Ganggu privasi saya, bencikan saya dan cuba buat perkara buruk pada saya."
"Saya tak dapat untuk rasa hidup macam orang lain disebabkan mereka. Saya tak dapat bekerja dalam bidang yang saya pelajari bertahun-tahun lamanya kerana mereka. Saya takut. Saya takut setiap kali saya pejamkan mata. Saya takut setiap kali sekeliling saya gelap dan saya tak berteman. Saya takut." Dan aku terus jatuhkan tubuh ke atas lantai. Menangis di bawa pula.
Entahlah apa rupa aku sekarang, yang pasti kalau orang luar nampak pastinya Jebat akan dituduh sudah mendera bini yang serupa kanak-kanak lima tahun menangis teresak-esak di tepi pintu gelangsar.
Kenapalah dengan hidup aku ini. Tak sudah-sudah bermasalah. Baru pagi tadi sah bergelar isteri orang, malamnya pula hampir dirasmikan orang yang bukan suami. Nampak sangat aku hanya seorang wanita lembik yang tak berdaya untuk melakukan apa-apa dan hanya mampu menunggu penyelamat datang setiap kali berdepan masalah seperti ini.
Terasa tak berguna sungguh jadi manusia.
"Apa salah saya?" Aku mengumam lagi.
"Kau tak ada salah apa-apa. It's not your fault for being insanely perfect, Adara. It's not on you."
Terus tersedut air mata bila mendengar kata-kata Jebat itu. Apa dia? Insanely perfect? Aku? Dia sebut nama aku kan di hujung-hujung itu? Aku sempurna?
Argh! Adakah Jebat baru saja memuji aku?!
Aku terus mengintai dia di sebalik bukaan jari. Melihat dia yang sudah berlutut di depanku, aku terus merapatkan jari semula. Malulah pula!
"Kalau dah okay, pergi mandi. Dah jam 11 malam." Jebat bersuara tenang sebelum aku tidak lagi merasai kehadirannya di hadapan ini.
Aku terus menjatuhkan tangan lalu langkah Jebat diperhati. Lelaki itu sudah berdiri di depan beg kecil yang dibawa bersamanya pagi tadi. Beg komputer riba, tapi diisi dengan barang-barang keperluannya.
Barang keperluan itu merangkumi pakaian, alatan pembersihan diri dan barang elektroniknya. Aku tak tahulah macam mana dia boleh muatkan semua benda itu ke dalam beg yang sempit seperti beg komputer riba. Beg seperti itu tahu sajalah, bukannya banyak ruang, tapi banyak span memandangkan ia dicipta untuk melindungi komputer riba.
Sehelai baju dikeluarkan daripada beg sebelum baju yang dipakainya sekarang ditanggalkan.
Mataku membesar. Mulut hampir ternganga melihat pemandangan indah kurniaan Tuhan di depan mata sekarang. Tadi cukup punya ketakutan sampai aku boleh tak perasan semua keindahan ini walaupun dia bertukar di depan mata aku. Maksud aku, dia bertukar dari kain tuala ke seluar dan daripada tak berbaju, kembali ke baju kotor yang sudah masuk ke bakul.
Bukanlah maksudnya dia beri aku free show. Cara dia bertukar pun cukup sopan dan aku tak nampak apa-apa. Cuma sekarang, apa yang terukir cantik pada abdomennya sedang ditayangkan secara langsung.
Oh, suara dan tubuhnya memang selari. Kurnian! Keduanya sama-sama seksi. Kali pertama aku melihat otot di sebalik tubuh besar dan tingginya.
Sungguhlah, aku perlu buat sujud syukur sekejap lagi kerana berpeluang untuk memanggil dia suami!
"Adara..." Namaku diseru, tegas.
Aku terus fokus kembali pada wajahnya. Ya? Apa yang boleh saya bantu suamiku? Bagaimana malam pertama kita akan berjalan malam ini, wahai suami?
"Pergi mandi. Tak elok mandi lewat malam. Aku nak tidur."
Srttt! Tidur?
"Aku dah kunci pintu gelangsar itu. Sebelum tidur, kunci pintu bilik. Aku tak suka kalau ada orang masuk sesuka hati ke dalam bilik kelamin."
Walaupun hati kecut dengan dia yang langsung tak menunjukkan sebarang minat terhadap aku, tapi aku mengangguk saja. Faham, suami.
Bila Jebat merebahkan tubuh di atas katil, aku terus mencebik sembunyi.
Huaaa! Sedihnya. Aku isteri yang tidak dipandang.
Share this novel