"FAIL apa ini?"
Aku memandang fail yang baru saja diserahkan oleh ayah. Failnya tebal, tapi tidaklah tebal tahap buku. Seperti dokumen penting sebab sudah berfail kemas tanpa sebarang label.
"Adalah. Urusan kerja. Nanti kamu bagi saja kat si Jebat. Pekerja ayah hantar ke J.A.R tadi tapi Jebat tak ada, bapa mentua kamu pun tak ada. Arjuna suruh serahkan terus kepada Jebat. Jadi dah alang-alang itu, kamu ajelah yang bagi," balas ayah sambil tersenyum nipis.
"Okaylah kalau macam itu, Adara naik atas dulu." Baru nak bergerak.
"Kamu jangan buka ya? Itu dokumen sulit." Ayah berpesan.
Aku hanya tersenyum sebelum langkah dibawa menaiki tangga dan masuk ke dalam bilik tidur yang gelap-gelita kerana lampu tidak dibuka. Aku meraba mencari suis lampu.
Sejak balkoni sudah diruntuhkan, bilik ini memang berubah suram jika tiada pencahayaan dari dalam. Biasanya cahaya dari luar saja sudah cukup untuk menghiasi bilik ini, tapi kerana balkoni sudah bertukar menjadi dinding maka pencahayaan hanya bergantung dari dalam sepenuhnya.
Aku melihat Jebat sedang berdiri di depan almari. Sedang mengambil seluar pendeknya yang bersih. Nak mandilah itu selepas tak bekerja hari ini.
Jangan tanya kenapa dia tak bekerja, tapi memang dia tiada di ofis seperti yang ayah cakap. Dia ada di rumah sampai jam 2 petang, kemudian dia keluar sampai maghrib baru balik. Tadi dia berehat sekejap dan sekarang baru dia nak membersihkan badan. Aku tak tahu dia ke mana dan dari mana.
"Ayah suruh bagi ini." Aku menghulurkan fail itu sebaik saja Jebat memandang aku.
Fail dipandang sebelum matanya naik ke muka aku pula. Lama di situ sebelum fail dicapai dan dibuka. Diselak beberapa ketika sebelum fail dimasukkan ke dalam beg komputer ribanya.
Tanpa sebarang kata, Jebat terus mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik mandi. Tertutup saja pintu, aku terus duduk di atas katil. Termenung seketika mengingatkan usia perkahwinan kami yang baru nak mencecah angka tiga bulan ini.
Sejak kejadian di J.A.R, aku dan dia memang tak sama seperti sebelumnya lagi. Sekurang-kurangnya sebelum kejadian itu, dia masih boleh melayan aku berbual walaupun sekadar beberapa patah. Sekarang, dia nak melayan pun tak boleh kerana aku memang tak bercakap sama sekali melainkan jika perlu. Bila dia balik, aku akan terus tarik bantal dan tidur di atas sofa. Kadang-kadang dia tak balik pun ke rumah dan membiarkan aku sendirian pada waktu malam.
Taktik meluangkan masa di Pahang juga tak menjadi bila balik saja ke sini, dia kembali sibuk dengan urusannya dan aku kekal makan hati.
Aku rasa dia ada perempuan lain.
Kalau tidak, kenapa dia selalu menghilang pada waktu malam dan hanya akan pulang bila langit sudah cerah?
Aku mengerling telefon yang menyala. Telefon Jebat.
Perempuan lain...
Seakan tepat pada waktunya. Entah-entah yang mesej itu perempuan lain tak? Pada waktu sebegini, memang antara waktu paling dinantikan oleh pasangan hangat bercinta.
Aku memandang ke arah bilik mandi. Bunyi pancuran air masih ada dan Jebat pun baru saja masuk ke dalam.
Ah, bantailah!
Aku lantas bergerak ke arah telefonnya. Terletak di atas bantal yang saban hari menyokong kepalanya pada setiap malam. Telefon yang sudah tidak bercahaya itu aku ambil sebelum dibawa ke separas dada. Dihidupkan semula lalu aku membuka aplikasi yang memberikan notifikasi tadi. Whatsapp.
Mesej paling atas dan baru...
Papa?
Kiranya yang menghantar mesej tadi papa dan bukan perempuan.
Aku melihat ke bawah pula. Memeriksa jika ada perbualan berbaur aneh atau mana-mana gambar perempuan, tapi tiada. Memeriksa ke log panggilan, juga tiada. Lega.
Tapi sekejap...
Tangan mengetik nama papa. Membuka perbualan mereka.
Mesej terbaru...
Dah dapat proposal itu?
Proposal?
Mataku terus terhala ke arah beg komputer riba. Agaknya itulah dia. Fail itu adalah sebuah proposal. Itu saja rupanya. Ingatkan apalah tadi.
Baru nak menutup telefon itu, tiba-tiba satu lagi mesej masuk.
Lepas semuanya dah okay, projek dah selesai, kamu tunggu lagi setahun dua. Kemudian ikut kamulah nak buat apa.
Dahiku berkerut. Hati mula rasa tak sedap.
Projek dah selesai, tunggu setahun dua sebelum boleh berbuat apa-apa? Ikut Jebat?
Jika dalam itu adalah proposal...
Aku segera menarik perbualan. Mencari mesej lama kerana hatiku mendesak untuk aku melakukan itu. Sehinggalah jari terhenti pada satu perbualan yang dibalas oleh Jebat. Ye, hanya perbualan ini kerana yang baru-baru langsung tidak dibalas.
Dapatkan kepercayaan Adara. Itu satu-satunya cara untuk dapatkan kepercayaan Datuk Zamrul.
Lagi...
Ingat. Dana yang Datuk Zamrul nak bagi bukan sejuta dua. Dengan dana itu J.A.R boleh dikembangkan sehabis baik. Kalau bukan J.A.R, masih banyak syarikat yang nyawa-nyawa ikan sedang menunggu peluang. Tak ada ruang untuk silap, Jebat.
Balasan Jebat...
What if I don't want to?
Dan balasan papa.
If you fail, there's no place for you at J.A.R. Semuanya tanpa terkecuali akan jatuh buat Arjuna.
Tanganku terus menyentuh dada yang terus terasa sakitnya. Seperti dicucuk-cucuk kesakitan. Bukan sakit fizikal, tapi mental yang dirasai oleh seluruh tubuh.
It's just business...
Itu yang Jebat katakan pada hari perjumpaan. Bisnes.
Damn me!
Semua ini hanyalah tipu daya demi sebuah keuntungan!
Yang aku paling tak boleh terima...
Ayah!
Tanganku terus mengetik skrin telefon. Membalas mesej papa.
Jumpa di rumah Datuk Zamrul. Now. Emergency!
Aku terus menggenggam telefon Jebat sambil melangkah ke arah beg komputer ribanya. Fail tadi aku capai sebelum aku meletakkannya di atas tilam.
Hoodie milikku disarungkan ke tubuh sebelum aku mencapai dompet dan telefon. Dimasukkan juga ke dalam poket hoodie.
Fail dan telefon Jebat kembali diambil lalu aku melangkah ke arah pintu. Tepat aku membuka pintu bilik, pintu bilik mandi juga ikut terbuka. Jebat memandang aku sebelum matanya turun memandang apa yang ada di tanganku.
Keningnya berkerut.
Tapi aku tak memberi peluang untuk dia mencerna segalanya. Terus saja aku berlari turun ke bawah. Enam orang pengawalku yang berada di bawah terus mendekati. Agaknya mereka fikir aku nak keluar.
Melihat ke ruang tamu, ayah tiada. Mesti dah masuk bilik.
Telefon Jebat menyala sekali lagi. Mesej dari papa.
I'm on my way.
Lebih kurang lima minit di ruang tamu, Jebat turun bersama pakaian yang sudah lengkap di tubuh. Tak hanya berseluar pendek, tapi berseluar panjang dan berbaju T seolah tahu yang ribut akan melanda sebentar lagi.
Dia mendekati aku.
"Bagi fail dan telefon itu," kata Jebat sekali gus menadah tangan.
Aku segera menyorokkan fail ke dalam baju. Telefon pula hanya digenggam erat. Kalau dia berani mencabuli aku, memang aku akan menjerit biar semua bala tentera pengawal luar dalam membelasahnya.
"What are you doing, Adara? Bagi fail itu. Itu fail sulit."
Aku tersengih senget. "Oh, is it? Sulit sebab apa?"
"Itu fail projek. Fail syarikat."
Huh! Setakat itu saja nak beritahu? Tak nak beritahu macam mana projek ini boleh diraih sekali?
Sabar, Adara. Kau perlu melengahkan masa sebanyak yang mungkin sampai bapa mentua kau itu datang. Dari rumah keluarga Jebat ke sini mungkin mengambil lebih kurang 20 ke 25 minit. Tapi kerana aku sudah beritahu yang ini kecemasan, mungkin boleh berkurang sehingga 10 ke 15 minit. Kena seribu speed trap setiap saat pun tak akan ada masalah lagi dah.
"Boleh saya tanya awak sesuatu?" soalku.
"Sila. Tapi pulangkan fail itu dulu."
"Jawab dulu." Aku menggeleng.
"Okay, apa dia?"
"Pernah tak awak ikhlas untuk bersama saya?"
Dahinya semakin berkerut. Aku dipandang dengan wajah menahan kepelikan.
"Dah kenapa pula tanya soalan pelik-pelik ini?" soal Jebat.
Ha, got you.
"Saya perasan yang selama kita berkahwin, yang tak layak pun digelar selama itu, awak ada satu corak ruji yang tak berubah. Awak tak nak menipu, jadi awak akan senyap. Macam yang awak kata juga. Kalau awak tak jawab soalan, ia sama ada awak memang tak nak jawab atau memang tak ada jawapan untuk itu."
"Okay, jadi?"
"Jadi? Senang. Awak tak pernah ikhlas bersama saya. Kan?"
Wajahnya berubah. Kerutan hilang, wajah menahan kepelikan juga ghaib. Hanya dingin begitu tanpa riak seolah mengeyakan tekaan aku.
Ha, entah kenapa sakit pula bila mendapat jawapan tak lamgsungnya. Padahal aku sudah menjangkakan ini.
"Selama ini saya fikir macam-macam. Setiap hari saya menyoal diri saya tentang perkahwinan kita, tapi tak pernah ada jawapannya. Kadang-kadang awak baik dengan saya seolah awak ambil berat tentang saya, tapi di lain waktunya, awak berubah. Awak dingin, acuh tak acuh dan tak peduli. Pada mulanya saya menyalahkan diri saya sendiri. Mungkin saya yang tak pandai ambil hati awak sebab selama ini saya jarang bergaul dengan lelaki kecuali pengawal peribadi saya. Mungkin saya tak cukup perempuan kerana itu."
"Kenapa tegang semacam aje suasana malam ini?"
Aku mengerling ke arah tangga bila mendengar ayah menyoal ke arah kami. Seorang lagi sudah tiba. Tinggal yang terakhir.
"Awak keluar rumah tak kira masa, balik lambat, keluar pada waktu malam dan tak balik sampai keesokan harinya. Saya tertanya-tanya apa yang awak buat di luar sana pada malam hari itu. Mungkin awak bersama perempuan lain?"
"Adara..." Jebat cuba membangkang, tapi aku segera mengembangkan lima jari depan mukannya.
Ini masa untuk aku bercakap!
"Tapi walau apapun yang awak buat di luar sana, di dalam rumah ini atau di hadapan saya, saya yakin yang awak tak pedulikan saya sama sekali. Satu lagi soalan, pernah ke awak anggap saya sebagai isteri awak atau hanya sebagai batu loncatan untuk awak sekeluarga?"
"Apa cakap macam itu dekat suami, Adara?" Ayah yang sudah tiba di tangga terakhir menyoal sedikit marah. Mungkin tak sangka yang aku boleh lancang secara tiba-tiba.
Aku mencebik kecil. Bukan sedih, bukan menyampah. Tapi lucu dengan soalan itu. Mereka tahu persis apa soalan ini dan apa tujuannya, tapi mereka buat-buat tak tahu dengan harapan yang aku tersasar.
"Apapun, sebelum itu. Saya nak ucapkan terima kasih atas segala jasa awak kepada saya. Termasuklah kejadian pecah masuk pada malam pertama kita. Dan terima kasih juga sebab awak tak pernah sentuh saya."
"Adara, tak baik bercakap macam itu. Minta maaf, cepat!" Ayah sudah mula memarahi aku.
"Oh, Adara yang kena minta maaf? Bukan ayah yang sepatutnya minta maaf pada Adara?" Aku menyoal sinis dengan bibir yang tersengih.
Tak sempat ayah mahu membalas, loceng rumah sudah berbunyi. Salah seorang pengawal peribadiku terus membuka pintu dan muncullah orang terakhir yang ditunggu-tunggu. Sedang sedikit tersemput dan kelam-kabut melangkah ke rumah ini.
Dia memandang Jebat sebelum memandang ke arah aku dan ayah. Papa.
"What is the emergency?" soal papa dalam lelahnya. Memandang lurus ke muka Jebat.
"Emergency apa pula ini?" Ayah pula menyoal hairan.
Tapi Jebat hanya senyap seakan tahu bahawa soalan itu hanya aku yang dapat menjawabnya.
Aku terus tersenyum. Tubuh dibawa memandang papa sambil berundur menjauhi ketiga-tiga lelaki yang sudah melucutkan segala kepercayaan aku buat mereka. Bila jarak cukup selamat, telefon Jebat dimasukkan ke dalam poket seluar dan aku mengeluarkan fail tadi.
"This is the emergency." Fail dibuka lalu aku mencarik segala kertas di dalamnya selaju yang mungkin sehingga berderai jatuh berteraburan di atas lantai.
Ayah sudah mengucap panjang sementara papa sudah terbeliak memandang setiap impian yang musnah. Jebat hanya memandang dingin tanpa perasaan.
"You people are despicable." Aku menggeleng kesal sebelum segala kertas yang berterabur itu dipijak.
Menambah setiap hinaan ke dalam hati mereka.
"You, selling your only daughter to this greedy scum?" Aku memandang ayah.
Makin mengucap panjanglah ayah dibuatnya. Tapi aku nampak riak yang tak dapat disorok. Yang membuktikan tuduhan aku sekarang adalah benar. Ayah nampak resah.
Aku memandang papa pula. "You, using your son's pretty face to fuel your business?"
Muka papa sudah pucat. Entah dia takut dengan aku atau takut jika segala yang diusahakannya gagal.
Dan akhirnya mataku naik memandang Jebat.
"And you too, Jebat. You're the worst of all. Awak terima permintaan papa awak untuk mempergunakan saya demi J.A.R. Awak buat saya berharap yang saya akan ada masa depan bersama awak, padahal awak hanya akan bertahan selama setahun dua sebelum angkat kaki bila semuanya dah selesai."
"Adara tak ada bukti untuk tuduh Jebat macam itu." Papa bersuara. Mencelah.
Ha?
Aku terus ketawa. Ha. Ha. Ha!
"Are you sure?" Aku menyengih. Memandang papa dengan pandangan provokasi.
Papa senyap dan itu sudah cukup untuk buat aku tergelak besar.
Poket seluar diseluk sebelum telefon Jebat dikeluarkan.
"Tahu ini telefon siapa?" soalku terus buat papa.
"Dalam ini ada semua bukti jahatnya papa dan awak. Sanggup awak bersetuju untuk gunakan saya, Jebat?"
Air mata mengalir, namun aku lekas menyekanya. Bodoh! Jangan menangis. Kau sepatutnya bersyukur dan bergembira kerana Allah menunjukkan semuanya seawal ini.
"You too, ayah. Jangan berlagak naif dan terkejut. Ayah tahu apa yang Adara katakan sekarang. Ayah juga dah khianati Adara. You're no different."
Ayah segera merapati aku, tapi aku berundur dan secara tiba-tiba Sumitha datang dan berdiri di hadapan aku dengan tangan yang didepa seolah sedang melindungi aku daripada ketiga-tiga mereka.
"Ayah minta maaf, Adara," kata ayah. Cuba untuk mendekatiku, namun gagal kerana ada Sumitha sebagai bentengnya.
Ditempik dan dimarahi juga, Sumitha tidak berganjak.
"I'm so pathetic, am I? Ayah yang paling Adara percaya, satu-satunya yang Adara ada selepas mama meninggal dunia akhirnya khianati Adara juga. If it's not you, I have no one left to believe in." Setitis lagi air mata keluar, dan ini tidak kuseka.
Ayah rapuh melihat air mataku. Aku tahu itu.
"Baik. Ayah akan tamatkan semuanya. Adara maafkan ayah, dan ayah akan tamatkan semuanya. Ayah akan putuskan semua hubungan yang terjalin bersama J.A.R." Ayah terangguk-angguk memujuk aku.
Namun ada yang tidak bersetuju. Papa.
"Tuan, mana boleh macam ini. Jebat dah berkahwin pun dengan Adara."
"Shut up! Anak kau tak ada pentingnya kalau Adara tak bahagia. Jebat, kau ceraikan anak aku." Ayah menuding ke arah Jebat pula.
"Oh!" Aku mencelah sebelum Sumitha membuka laluan buat aku.
Melangkah ke arah Jebat yang masih seperti tadi, bibirku tersenyum nipis. Telefonnya dipulangkan semula, namun Jebat tak mengambilnya. Hanya diam dan merenungku dingin. Jadi aku hanya memasukkan telefon ke poket seluarnya.
"Tough luck. I'm the winner in here. You won't get a penny, Arrayan," bisikku. Sama seperti yang dikatakannya kepada Taipan. Satu sindiran.
Aku merapati papa pula. Mukanya sudah merah seperti marah dan malu.
"Dan kepada papa... Oh! Maafkan saya, tak lama lagi ia akan bertukar. Jadi let me do the honor, uncle. Saya harap uncle tahu yang uncle adalah bapa terburuk sepanjang zaman. Tapi tahniah, uncle berjaya membesarkan anak uncle untuk menjadi penipu handalan sampai saya juga tertipu dengannya. Hanya ia akan terhenti di sini sebab sekarang, saya tak mahu lagi ada kaitan dengan lelaki itu." Jariku lurus menuding ke muka Jebat.
"Dan saya juga tak mahu duduk di celah ketiak lelaki ini sampai dia perlu membayar orang untuk berkahwin dengan saya." Dan jariku menuding ke arah ayah.
"Adara..." Ayah cuba memujuk lagi, namun gagal kerana aku terus mengabaikannya.
Kunci kereta yang tersangkut pada rumah kunci dicapai. Sumitha setia mengikut gerak langkahku ke mana saja.
Sebelum berlalu keluar, aku sempat memandang Jebat sekali lagi.
"Maaf kalau saya mementingkan diri sendiri. Tapi saya bahagia bersama awak, walaupun awak mungkin tak bahagia bersama saya."
Nafas ditarik panjang. Fuh, sakitnya dada ini.
"It hurts knowing that I've been used. But I can't deny that I've never been happier than I am as your wife," tambahku.
Matanya melembut. Aku nampak itu. Pandangannya berubah menjadi begitu lembut sehingga aku hampir meraung merayu kepadanya untuk sekali saja, benar-benar menerima aku sebagai isteri.
Tapi tidak.
"Terima kasih kerana sudi meminjamkan kebahagiaan itu walaupun untuk seketika."
...
Ada sesiapa pembaca lama versi Notorious? Sedikit jalan cerita asal akan bermula di sini.??
Share this novel