Bab 7
“Damya…”
Langkah Damya terhenti di anak tangga pertama untuk naik ke biliknya. Dia tidak terkejut tetapi sudah menjangkakan Puan Juriah akan menegurnya. Ketika dia pulang, wanita itu berada di ruang tamu dan merenung tajam ke arahnya.
“Ya, mak.” jawab Damya seraya menoleh ke arah ibu mentuanya itu.
“Aku nak cakap sikit,”
Damya menghela nafas perlahan lalu mengubah laluannya dan bergerak ke sofa di ruang tamu.
“Mimi, Mirza, Danish, pergi main di luar.” arah Puan Juriah kepada ketiga-tiga orang cucunya yang sedang menonton siri kartun di TV.
Melihat nenek mereka serius, mereka pantas bangun dan berlari ke pintu untuk keluar bermain.
Damya duduk dengan tertib di hadapan ibu mentuanya itu. Dia sudah bersedia jika wanita itu mahu berceramah panjang.
“Kenapa balik lambat? Kamu ada buat apa di belakang Aizat ni?”
Damya kekal bertenang. “Kerja saya tidak tentu masa mak. Kadang-kadang habis awal, kadang-kadang lambat sikit…”
Puan Juriah kelihatan sinis. “Orang tak biasa bekerja macam kau ni, tak pandai nak bawa diri. Kejutan budaya orang cakap. Jangan sampai aku tahu kau buat benda tak elok di belakang Aizat. Aku akan beritahu Pak Long kau nanti. Dia cukup pantang kalau kau buat perangai. Sikit-sikit nak lari rumah. Dia ada pesan, kalau kau buat hal lagi, dia sendiri akan ajar kau Damya. Ingat… Kau tu bukan ada siapa-siapa, Aizat yang mula-mula kutip kau. Bela kau, bagi kau makan. Aku bagi kau tempat berlindung. Tapi, kau ni jenis tak tahu diuntung. Bila kau rasa kau boleh berdikari, kau lupa asal usul.”
Damya memejam mata untuk menghadam kata-kata Puan Juriah yang menghiris jiwa. Entah dia patut bertenang atau membalas. Damya sudah tidak mempunyai keinginan untuk mempertahankan diri. Dia sudah berada di fasa tidak peduli.
“Kenapa kau diam? Apa tak betul ke aku cakap?!” Nada suara Puan Juriah semakin keras.
“Pak Long bukannya apa mak… Dia cuma tak nak saya menyusahkan dia kalau saya buat masalah. Jangan risau, saya tak akan cari dia lagi. Jadi, mak tak perlu nak beritahu Pak Long tentang hal saya. Walaupun saya tak ada sesiapa, saya yakin saya boleh membela diri sendiri.”
“Kau nak bela apa ni? Kau jangan nak bercakap macam kau ni mangsa. Kau tu yang tak ikhlas jadi isteri Aizat. Mulalah kau fikir kami ni jahat. Selama ni ada kami dera kau? Kau penat buat kerja rumah? Eh, itu memang kerja seorang isteri. Bukannya kau ada anak kecik pun. Sebut pasal anak, kau tu sudahlah tak boleh mengandung, tapi Aizat masih simpan kau sebagai isteri. Kalau orang lain dah lama kahwin lain. Aku semakin sakit hati dengan perangai kau ni Damya! Kenapalah Aizat kahwin dengan kau. Sepatutnya, ramai lagi calon yang lebih layak. Anak aku tu kerja bagus, ada rupa, belajar pun tinggi. Kau buat hidup dia jadi macam ni, nak balik rumah pun meluat tengok bini muka ketat macam kau ni.” Puan Juriah semakin rancak melepaskan rasa yang terbuku di hati. Kecil besar sahaja dia melihat wajah Damya ketika itu.
“Kau jangan nak sakitkan hati anak aku ye Damya. Aku tahu dari dulu Aizat tergila-gilakan kau. Walaupun aku tak berkenan dengan kau ni. Sebab ada mak bapak nak ajar adab dengan orang tua. Kau fikir diri kau aje!” sambung Puan Juriah dengan lebih keras.
Damya menggenggam tangannya sendiri dan memandang ke lantai. Kata-kata Puan Juriah berlegar-legar di kepala dan sukar untuk diterima. Beginilah kata-kata hinaan yang sudah lima tahun menghentamnya dan masih belum berakhir.
Aizat hanya mahukan saya… Tetapi, anak mak tak pernah cuba bahagiakan saya. Kongkongan dia selama ni bukan kerana sayang, tetapi kerana mahu mengawal. Saya tidak pernah rasa dicintai, atau dihargai. Adakah ini sebenarnya erti sebuah perkahwinan. Hanya sebelah pihak merasai kepuasan? Sedangkan sebelah pihak lagi memendam rasa. Sampai bila dia harus berdamai dengan takdir, bukankah bahagia itu sebuah pilihan?
Hanya tersekat di dada. Damya tidak mampu meluahkan isi hatinya itu kepada sesiapa pun di dalam rumah ini, hatta Aizat. Aizat hanya akan mengamuk, ibu mentuanya hanya akan memakinya, dan ipar birasnya akan mengejeknya. Itulah yang pasti jika Damya jujur dengan rasa hatinya kepada semua. Cukuplah Tuhan sahaja yang mengerti walaupun Damya tidak pasti adakah langkahnya ini direstui.
“Aizat dah balik tu. Pergi siapkan makan dia. Jangan tunjuk muka ketat kau tu dekat anak aku!” kata Puan Juriah apabila mendengar kereta Aizat memasuki perkarangan rumah banglo itu.
Ya, wajah Damya sudah lama tidak mempamerkan apa-apa perasaan. Bukan ketat tetapi kosong. Sama ada dia sakit atau tertekan. Jiwanya benar-benar mati.
“Saya naik mandi dulu, minta maaf mak. Buat mak risau tentang saya di luar tu. Terima kasih sebab ambil berat.” luah Damya dengan ayat yang melontarkan sindiran tetapi cukup bersopan. Sehingga Puan Juriah hanya mampu merengus bersama jelingan marah.
Selesai makan malam, Aizat terus naik ke bilik tanpa membantu Damya mengemas dapur. Damya sedar dia semakin letih dengan pekerjaan harian dan sambung pula di rumah. Tetapi, tiada siapa pun yang akan peduli. Ipar birasnya pandai pula turun makan tetapi tidak pernah membantunya untuk mengemas apatah lagi memasak. Alasan mereka sudah letih dan mahu uruskan pelajaran anak-anak di waktu malam.
Damya bukan tidak ikhlas, tetapi kadang-kala dia mahukan hidup yang lebih tenang. Supaya dia dapat menghargai diri sendiri. Otaknya sudah menghantar isyarat keletihan yang melampau, tetapi Damya gagahkan diri untuk mencuci pinggan mangkuk.
Selesai kerjanya di dapur, Damya melangkah ke biliknya dengan berat hati. Tetapi, dia perlukan rehat yang cukup untuk esok hari. Esok? Tiba-tiba Damya tersedar sehingga fikirannya bekerja kembali. Hampir dia melupakan tentang esok dia akan membuat perjalanan yang jauh. Lantas, dia menjadi berdebar jika sesiapa mendapat tahu rahsianya.
Aizat menoleh ke arah pintu apabila melihat Damya masuk ke dalam bilik dengan wajah suram. Hilang tumpuannya kepada skrin komputer tempatnya bermain game.
“Sepatutnya kau seronok dapat kerja kan? Kenapa nak tunjuk muka macam tu lagi? Banyak betul kau tak puas hati dalam hidup kau ni kan?” Sembur Aizat tanpa sempat Damya duduk di katil untuk berehat.
“I’m tired, Aizat.” balas Damya tidak bermaya.
“Tak ada mood aku macam ni,” Aizat bingkas bangun apabila melihat Damya yang nampak keletihan. Damya sudah tidak kelihatan menarik di matanya kebelakangan ini. Semuanya kaku dan beku. Ah! Adakah Damya sengaja? Berang hati Aizat memikirkan hal tersebut.
Damya menghela nafas lega apabila Aizat keluar dari bilik. Dapatlah dia berehat dengan aman. Jiwanya semakin sakit apabila mengingati hubungan suami isteri yang masih mengikatnya. Setiap kali Aizat menyentuhnya, Damya meraung di dalam hati! Kali ini air mata mengalir juga di tubir mata Damya yang bening. Dia tidak mampu lagi bertahan dengan menanggung rasa itu…
****
“Hai, saya Zetty!”
Damya menyambut huluran salam wanita cantik di hadapannya. Damya membalas senyuman mesra itu dan sempat kagum dengan penampilan Zetty yang sangat elegan. Walaupun agak seksi dengan skirt pendek paras lutut dan kemeja sendat, Zetty sangat manis orangnya. Begini rupanya setiausaha korporat? Bisik hati Damya yang mula merendah diri dengan penampilan yang sederhana. Dia hanya memakai jeans dan kemeja polos biasa.
“Hai, saya Damya.”
“Mya kan? Nice to meet you! Tuan Hayden dapat makan dengan baik sebab awak. Yang paling penting… bila dia dapat makan cukup, mood dia pun bagus. Kami pun untung tak kena marah.” Zetty sempat ketawa sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan.
Marah? Dia tidak pernah melihat Hayden marah. Adalah lelaki itu seorang yang tegas? Ada sisi lain Hayden yang Damya belum sedari.
Damya hanya tersenyum, dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan orang-orang kanan Hayden. Ketika itu mereka sedang menunggu di balai perlepasan. Damya melihat Hayden berada sedikit jauh kerana sedang menjawab panggilan penting, manakala Encik Fairuz berdiri di sebelah Zetty.
“Let’s go Tuan Hayden. Flight dah ready.” Zetty memanggil Hayden.
Hayden melangkah ke arah mereka dan Damya menatap lelaki itu yang lengkap bersut kemas. Hayden tidak kalah kalau bergaya, sentiasa memastikan penampilannya sempurna.
“Are you ready, Mya?” soal Hayden sambil menyimpan telefonnya di dalam saku kot.
Damya mengangguk lalu berjalan bersama kumpulan itu. Zetty kelihatan ceria sambil berbual bersama Hayden, Encik Fairuz berada di hadapan tetapi Damya agak kebelakang. Ramai penumpang lain ketika itu bergerak dengan pantas.
Hayden menoleh ke belakang dan mencari Damya. Sehingga tanpa sedar Damya terdorong ke hadapan apabila lengannya terasa ditarik oleh seseorang.
“Stay with me…” ujar Hayden tanpa melepaskan lengan Damya.
Damya kelu seketika lalu membuka langkah yang lebih luas. Dia berjaya bersaing dengan langkah Hayden barulah lengannya dilepaskan. Zetty hanya tersenyum melihat Damya di sebelah kanan Hayden. Hayden sesekali menoleh untuk memastikan Damya kekal di sebelahnya.
Untuk pengalaman pertama menaiki penerbangan, Damya agak kekok dan berdebar. Tetapi, melihat Hayden sentiasa di sisi, ketenangan pun mampir di jiwanya. Damya tidak mahu terlalu melayan rasa, walaupun Hayden lelaki yang sentiasa mempamerkan sisi gentleman. Dia tidak boleh terlalu leka.
Tempat duduk kelas perniagaan sudah cukup memberi keselesaan. Hayden tidak memilih kelas pertama untuk penerbangan yang singkat.
Damya mengambil peluang penerbangan yang singkat itu untuk mendengar dan melihat perbincangan antara Hayden dan orang-orang kanannya. Hayden ketika bekerja sememangnya serius dan tegas. Sesekali dia mengerutkan dahi apabila tidak bersetuju dengan Zetty. Apabila Zetty cuba menjawab, Hayden akan menyuruhnya berhenti dengan wajah tegang. Akhirnya Zetty mengetab bibir dan mengalah.
Damya hanya tersenyum kerana dia sangat gembira melakukan perjalanan business walaupun hanya sebagai personal chef.
****
Rupa-rupanya Hayden menempah guest house di atas bukit berdekatan hotel tempatnya bermesyuarat. Damya membuka tingkap di ruang tamu dan melihat pemandangan pantai Batu Ferringhi dari jauh. Cuaca agak mendung tetapi pemandangan tetap indah. Sejenak Damya menepis rasa suram, lalu menggamit ketenangan dan cuba menyambut rasa bahagia untuk diri sendiri. Dia baru selesai menyiapkan makan tengahari ketika seorang diri. Hayden, Encik Fairuz dan Zetty pergi menghadiri mesyuarat di Hotel Hard Rock tidak jauh dari rumah penginapan.
Rumah banglo dua tingkat itu mempunyai banyak bilik, tetapi mereka hanya menggunakan untuk berehat dan solat. Damya yakin dengan Hayden, dan meletakkan kepercayaan yang penuh. Walaupun kadang kala Hayden cuba untuk melintasi garisan. Damya hanya memejam mata kerana setiap lelaki yang normal pastilah ada sisi seperti itu. Tidak semuanya sempurna. Selagi mana Hayden kekal menghormatinya, Damya bertenang sahaja.
Tetapi, kenapa Hayden hanya meminta Damya untuk memasak untuknya sahaja? Kali ini Damya tertanya-tanya juga…
Kelihatan kereta jenis Alphard yang mereka sewa masuk ke perkarangan rumah tersebut. Damya bersiap sedia untuk memyambut mereka tetapi…. Hanya Hayden yang keluar dari kereta sebelum kenderaan itu bergerak pergi.
Damya membuka juga pintu yang berkunci walaupun dia sudah gementar. Hayden berdiri di hadapannya dengan wajah yang tenang. Damya menjenguk ke belakang untuk kepastian dan benar, tiada Zetty dan Encik Fairuz.
“Oh… Diorang gerak pergi tempat makan viral. Biasalah Penang, memang famous dengan makanan.” jelas Hayden yang masih berdiri tegak di hadapan pintu.
Damya masih gugup dan fikirannya masih bercelaru. Terbang rasa ketenangan yang tadinya menggebu diganti pula dengan rasa libang-libu.
“Awak tak bagi saya masuk ke?” soal Hayden apabila melihat Damya keras di hadapannya seperti patung.
“Tuan… Cuma kita?” Akhirnya Damya bersuara.
“Kalau macam tu bawa makanan keluar. Saya boleh makan di luar,” arah Hayden. Dia kekal bersahaja. Apa pun boleh… yang pasti dia sudah kelaparan.
Damya menarik nafas panjang. Dia berganjak ke belakang lalu memberi laluan kepada Hayden.
“Masuklah… Lunch dah sedia di meja makan. Saya tunggu di luar,”
“Come on, Mya… Awak tak percaya saya ke?”
“Saya tak selesa.” jawabnya. Biarlah dia jujur sahaja.
Hayden ketawa melihat wajah jujur itu.
“Kalau saya jahat, awak tak sampai rumah malam tu…”
“Hah?” Damya terkebil-kebil. Wajah polosnya semakin ketara.
“Boleh saya makan sekarang, sebelum saya mati kelaparan?”
Damya akhirnya mengikut rentak lelaki itu. Dia tidak perlu bimbang sebarangan. Bukanlah dia tidak percayakan Hayden, cuma dia rasa tidak mahu menunjukkan terlalu mudah. Apa pula fikiran Hayden terhadapnya.
***
Damya cuba mengalih perhatian dengan membaca majalah di ruang tamu. Dia langsung tidak menemani Hayden di meja makan sehingga lelaki itu selesai. Damya cuba membuat dirinya selesa ketika itu walaupun hakikatnya dia amatlah tidak tenang.
“Nak jalan di pantai ke?” soal Hayden tiba-tiba yang muncul entah bila dari dapur.
Damya tersentak namun menoleh dengan pantas. Baguslah, diluar lebih baik dari mereka berdua di rumah ini.
“Boleh juga,” jawab Damya. Tetapi, sepertinya hari mahu hujan. Semoga cepatlah awan mendung itu berlalu.
“Tunggu saya solat sekejap,” Hayden memandang jam di tangan.
Damya tersenyum nipis. Lelaki ini… Kenapa membuatnya berdebar seperti mahu kehilangan nafas?
Bayu laut menyapa dengan begitu lembut menampar pipi Damya. Dia memejam mata untuk menghayati suasana itu untuk sekian lama. Deru ombak menghempas pantai lalu membawa pergi kesedihan hatinya. Damya membuka mata lalu mengukir senyuman.
“Nice smile…” tegur Hayden di sebelah.
Damya tersipu malu lalu mengalihkan muka ke arah lain. Ketika itu Damya melihat beberapa orang pelancong sedang menunggang kuda.
Damya akhirnya menoleh kembali kepada lelaki yang berdiri di sebelahnya itu.
“Awak pernah tunggang kuda?” soal Damya.
“Ya, kenapa?”
“Tak nak cuba?” Damya semakin berani menyuarakan.
“Saya hanya percayakan kuda saya je. Bella namanya.” jawab Hayden.
“Are you serious?” Damya akhirnya ketawa. Entah apa yang lucunya, tetapi dia gembira. Lelaki itu nampak serius tetapi kadang kala pandai mecuit hati.
“Yes, I’m serious. Tapi, kalau awak nak cuba jomlah. Saya teman.”
Damya mengetab dan berfikir sejenak. Sudah lama dia teringin sebenarnya.
“Ya! Saya nak cuba.” Damya kelihatan teruja.
Damya seakan tidak percaya dia akan membuat aktiviti itu untuk seumur hidupnya. Kali ini dia mahu mencuba segalanya. Dia mahu bebaskan jiwanya yang selama ini membelenggu.
Pada mulanya Damya agak bimbang, tetapi Hayden kekal di sisinya sambil mengawal kuda yang ditunggang Damya dengan memegang bridle atau tali mengawal kuda. Hayden membawa kuda itu mengikuti langkahnya di gigi pantai. Damya gayat tetapi dia sangat gembira. Dia ketawa dengan bebas dan Hayden hanya melayani sahaja.
“Baiknya awak ni. Apa nama awak ye?” Damya mengusap kepala kuda dengan lembut.
“Hmm… Kuda juga beruntung…” Hayden menghela nafas.
“Apa awak cakap tu?” soal Damya kerana suara Hayden tenggelam timbul dengan ombak pantai yang kuat.
“Hati-hati… Kuda boleh berubah mood,” jawab Hayden. Dia kekal mengawal kuda itu walaupun kaki seluarnya sudah basah.
Damya hanya tersenyum lalu melemparkan pandangan yang jauh. Saat itu dia leka dan tidak memegang dengan kuat. Tiba-tiba kuda itu bergerak seperti terkejutkan sesuatu. Hayden tidak sempat mengawal bridle dan Damya tidak dapat mengimbangi badannya.
Ahhh! Damya hampir terjatuh kerana dia sangat cemas.
“Turun!” arah Hayden lalu menghulurkan tangan.
“I’m okay,” balas Damya. Dia cuba menstabilkan diri.
Sekali lagi kuda itu bergerak agresif dan kali ini Damya terus terjatuh.
“Arghh!” jerit Damya.
Damya membuka mata dan kini dia sudah berada dalam pelukan Hayden. Kedua belah tangan sasa itu dapat menyambut Damya.
“Kan saya dah cakap, hati-hati,” tegas Hayden. Dahinya berkerut. Bimbang.
“I’m sorry…” Damya masih terkejut.
“Nak saya baling dalam air? Degil sangat.”
“Jangan! Saya tak bawa baju lebih!”
Hayden mengangkat kening. “Saya dah pesan kan?”
Damya baru tersedar dia masih dalam pelukan Hayden yang tegap mencempungnya.
“Tuan… turunkan saya,” pinta Damya.
“Kalau awak cedera tadi macam mana? You know I’m serious?”
“Saya percaya Tuan ada di sisi saya…”
Hayden terkedu… dan kelu dengan jawapan Damya. Sehingga dia terlupa untuk melepaskan wanita itu dari pelukannya yang kejap.
Share this novel
makin menarikkkkkkk . hihi
woww woww hahaha kes kejadian jatuh hati..hehe