Bab 4: Hati Yang mati

Romance Series 733860

Bab 4

Damya cuba untuk memejam mata dan berpura-pura tidur apabila mendengar ahli keluarga itu telah pulang. Riuh rendah di ruang tingkat bawah dengan suara gelak tawa mereka. Kemudian, pintu biliknya dibuka. Aizat masuk sambil menarik bagasi sehingga ke tengah ruang bilik.

Lelaki itu melihat isterinya sedang baring mengiring membelakanginya. Aizat terus menarik tuala bersih di atas rak lalu melepaskan pakaian ke dalam raga.

Damya masih cuba memejamkan mata sambil menahan rasa amarah dan sakit hati yang bercampur-baur. Tetapi, dia perlu menahan perasaan itu. Damya perlu kekal rasional supaya pecaturannya tidak gagal.

Selesai mandi, Aizat berpakaian lengkap dan terus mendekati Damya. Dia duduk di sebelah wanita itu.

“Sayang, awak tak tidur lagi kan?”

Damya merapatkan matanya kerana panas hatinya semakin membara. Sayang? Rasa mahu termuntah sahaja ketika itu.

“Mya… I’m sorry, okay? Awak tahu kan kalau saya bawa awak, yang lain-lain mesti tak selesa. Awak kan tak suka diorang.”

Aku yang tidak suka? Ah, alasan! Kalau aku tidak suka, sudah lama aku racun semua orang dalam rumah ini.

Damya hanya mampu melepaskan marah di dalam hati.

Aizat tiba-tiba menyentuh bahu Damya sehingga dia tidak mampu mengawal rasa terkejut. Damya spontan mengelak. Aizat terkesima.

Damya akhirnya bangun dari pembaringan. Dia duduk bertentangan mata dengan Aizat. Wajah suaminya ketika itu terasa mahu dilempang. Aizat memang begitu! Selepas membuat salah, pandai pula memujuk. Damya sudah muak dengan taktik itu sudah lima tahun lamanya.

“Saya tak peduli awak dan family awak nak pergi mana pun. Tapi, apa yang awak fikir sampai boleh pinjam ah long atas nama saya!” luah Damya setelah lama ditahan-tahan.

Aizat cuba mencapai tangan Damya tetapi sempat ditepis oleh isterinya itu.

“Listen. Tu bukan ah long. Saya pinjam di syarikat pinjaman wang berlesen. Cuma itulah… saya lambat bayar jadi…”

“Awak jangan bagi alasan bodoh, Aizat. Walaupun saya ni tak bekerja saya tahu mana betul mana salah. Selama ni saya dengar cakap awak. Awak tak nak saya bekerja, suruh saya duduk rumah, saya buat semua tu. Tapi, sikit pun awak tak hargai saya.” Damya cuba untuk tidak mengeluarkan air mata di hadapan lelaki itu. Tidak Damya, cukuplah!

“Kenapa awak marah sangat ni? Tak cukup ke saya bagi awak selama ni? Ingat, awak tak ada siapa-siapa pun. Awak cuma ada saya aje. Tak boleh ke awak berkorban untuk saya?”

“Macam ni awak cakap tak berkorban lagi untuk awak? Sampai semua barang kemas saya awak dah gadai, awak buat kereta, awak enjoy sana sini. Saya ni awak buat macam patung dalam rumah ni.” Sekali nafas sahaja Damya mengungkit semua itu.

“Mya! Cukuplah. Saya tak nak gaduhlah. Awak semakin hari semakin suka cari pasal. Ungkit itu ini. Awak dah makin tak hormat saya!” Aizat mula meninggikan suara. Niatnya mahu memujuk jadi terbantut dengan sikap Damya pada malam itu. Pada Aizat, dia tidak mahu kehilangan Damya.

Dia akan sakit hati jika isterinya yang jelita itu menjadi milik orang lain. Ah… Damya juga memiliki tubuh badan yang cukup sempurna. Langsing dan tinggi lampai. Kulit yang putih melepak dengan berambut lurus semula jadi, dan wajahn yang indah dipandang. Aizat seperti mahu gila ketika Damya melarikan diri dua tahun lalu.

Cuma, kadang-kadang kala wanita itu amat membosankan. Dia juga menjadi mudah marah apabila Damya semakin berani meninggikan suara. Malah, dia semakin sukar mengawal Damya. Pernah wanita itu meminta untuk berpisah, sudah pasti Aizat tidak akan sesekali melepaskannya.

“Saya dah letih, Aizat. Ada perkara saya nak bincang dengan awak esok. Saya nak tidur.” kata Damya lalu kembali baring dan menarik selimut tebal.

Aizat mengetap rahang kerana semakin geram dengan sikap Damya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia memaksa Damya pada malam itu.

SELESAI membuat sarapan pagi, Damya naik semula ke bilik untuk bercakap dengan Aizat yang sedang bersiap untuk ke pejabat. Damya nekad, walau apa pun jawapan Aizat, dia tidak akan berganjak dengan keputusannya.

“Saya nak bincang sikit dengan awak.” ujar Damya sambil melihat Aizat sedang memakai tali leher.

“Apa yang awak tak puas hati lagi ni?” sahut Aizat.

“Saya akan bekerja mulai esok.”

Aizat berhenti memakai tali leher. Dia menoleh tepat ke arah Damya yang berdiri tegak di sebelahnya.

“Kau merepek apa ni?”

“Awak mampu ke bayar hutang tu? Sikit hari rumah ni boleh kena simbah cat macam rumah hujung tu. Kalau mak tahu memang awak akan masalah Aizat.” Damya cuba mengumpul kekuatan untuk menghadapi kemarahan Aizat.

“Eh, Mya! Kau jangan nak ugut aku.”

“Kalau tak nak saya beritahu mak hal ni. Tolong izinkan saya kerja. Saya boleh tolong bayar hutang awak. Asalkan saya boleh kerja. Saya dah puas Aizat, jadi hamba dalam rumah ni. Saya pun ada ijazah, malah kelas pertama dan dapat biasiswa penuh! Saya bukan nak kejar pangkat tapi saya nak bekerja untuk masa depan saya.”

“Kau nak kerja apa Mya? Bersepah orang ada ijazah dekat luar tu, bukan kau sorang je.” Mata Aizat sudah menikam tajam melihat Damya.

“Kereta awak nak kena tarik kan? Bukan ke suami isteri yang bekerja lebih stabil kewangan? Sampai bila awak nak hidup macam ni? Abang awak pun senang sebab isteri dia bekerja. Awak tak bagi saya kerja selama ni pun sebab mak awak jugak. Supaya semua orang dalam rumah ni senang. Tapi, kalau saya kerja. Awak yang dapat manfaat. Tak begitu?”

Damya sedar bahawa dia sedang membuat helah. Dia sedar akan dosa menipu seorang suami. Damya sedar! Tetapi hanya ini satu-satunya cara untuknya mencari jalan keluar. Dia akan tunaikan janji untuk membayar hutang tersebut, tetapi selebihnya adalah persiapan untuk masa depannya.

“Kau…” Aizat mencekak pinggang. Dia sebenarnya buntu, tetapi apa yang dikatakan oleh Damya ada benarnya.

“Kau dapat kerja apa?”

“Tukang masak.”

Aizat ketawa sinis. “Berapa sen kau dibayar?”

“Cukup untuk bayar hutang awak bulan-bulan dengan ah long tu.” Damya mempamerkan wajah yang tegas agar Aizat yakin dengannya.

Aizat mengetap bibir.

“Baiklah… Aku izinkan kau kerja sampai habis bayar hutang sahaja. Lepas tu aku nak kau berhenti!”

Damya terdiam. Cukup Damya… tempoh itu cukup. Setahun adalah tempoh yang panjang. Lagipun dia tidak peduli tentang masa, apa yang penting adalah kebenaran dari Aizat. Damya masih sedar dirinya adalah isteri lelaki itu.

“Kalau macam tu… Malam ni saya akan beritahu mak yang awak benarkan saya bekerja. Jadi, diorang tak boleh halang saya.” Damya memaksa dirinya tersenyum.

“Tapi, kalau kau buat hal. Aku suruh kau berhenti waktu tu jugak.” ugut Aizat.

Damya memejam mata dan menarik nafas panjang. Dia tahu Aizat tidak semudah itu melepaskannya.

“Jangan risau Aizat. Dari zaman belajar dulu… Saya tak pernah buat hal. Tetapi, awak yang banyak buat masalah sampai hari ni.”

“Damya!” Aizat memanggil isterinya dengan rasa geram apabila wanita itu selamba melangkah keluar dari bilik selepas mengkritiknya.

“Nasib baik kau cantik, Damya. Kalau tak dah lama aku campak kau.” Aizat bengang. Dia terus melempar tali leher ke atas lantai.

***

“Kerja?! Kau nak kerja apa ni Damya?” Suri lantang bersuara apabila adik iparnya itu tiba-tiba menyuarakan hajat.

Puan Juriah memandang Damya yang berdiri di hadapan mereka sekeluarga. Mereka baru selesai makan malam, tiba-tiba Damya mengajak mereka berkumpul kerana mahu memyampaikan sesuatu.

“Aizat dah izinkan Mya kerja, mak.” ujar Damya perlahan tetapi cukup bertegas.

Iffah hanya memandang satu persatu wajah di ruang tamu itu. Dia sudah gelisah kerana tiada siapa akan menjaga Danish selepas waktu sekolah.

“Mak. Dia ni sengaja kan nak susahkan kita. Tiba-tiba nak kerja pulak. Mendadak macam ni. Siapa nak urus budak-budak sekolah?”

“Kak Suri boleh hantar tadika transit, sampai petang.” jawab Damya.

“Eh, ajar kita pulak!” Suri sudah rasa mahu memgamuk ketika itu.

“Sabar, Suri.” Ammar cuba menenangkan isterinya walaupun dia sendiri sudah terasa panas.

“Kau tak boleh tiba-tiba macam ni Damya. Ingat senang ke kami nak urus semua tu.” kata Ammar.

“Maaf, tapi… Saya akan mula kerja esok.” jawab Damya. Seluruh ahli keluarga sedang memandang tajam ke arahnya.

“Hmm… entah boleh bertahan berapa hari aje tu. Dia bukan pernah bekerja.” Giliran Iffah pula memberi sindiran.

“Mak…” Suri ternyata tidak berpuas hati dan memohon emaknya bersuara.

Damya menahan debar apabila melihat wajah Puan Juriah yang merah padam.

“Kau memang tak sedar diri Damya. Kami terima kau dalam keluarga ni selepas Pak Long kau pun tak nak ambil tahu pasal kau. Konon nak bercerai dengan Aizat. Lepas tu datang balik rumah ni. Kau ingat keluarga kami ni rumah kebajikan?” kata Zaki pula. Dia sejak tadi hanya memasang telinga.

“Sudahlah. Sebab Damya ni je kamu semua nak naik angin. Seronoklah kamu Mya, tengok anak-anak mak serabut macam ni?” Puan Juriah bersuara akhirnya.

“Mak, apa beza Mya dengan menantu mak yang lain? Mya pun boleh bekerja kalau Kak Iffah boleh kerja. Lagipun Aizat dah izinkan.” Damya masih bertahan walaupun debaran di dadanya sudah kemuncak.

“Baiklah, kalau kau nak kerja sangat. Pergilah. Kerja tukang masak konon. Kau dapat kerja kantin mana?” Puan Juriah sempat mengejek Damya. Sebenarnya dia tiada modal untuk menghalang Damya selepas Aizat sendiri mengizinkan Damya bekerja.

Iffah hampir tergelak tetapi menoleh ke arah lain. Suri pula masih masam mencuka.

Damya hanya diam tidak berkutik. Cukuplah itu sahaja yang dia mampu suarakan saat itu.

“Manalah Aizat kutip bini macam ni. Bukannya nak iktiar dapat anak ke apa. Tiba-tiba nak kerja.” Cemuh Suri sebelum bangun dan meninggalkan ruang tamu.

Damya melihat wajah Puan Juriah yang seperti menyimpan dendam. Damya tidak peduli, dia bukan memilih untuk bekerja kerana mahu mengejar dunia, tetapi sedar betapa hinanya hidup apabila tidak mempunyai apa-apa.

****

Hari itu akhirnya tiba… Damya melangkah dengan bersemangat bersama barang-barang basah yang baru dibeli di pasaraya. Wang untuk membeli barang-barang itu diberi oleh Tuan Hayden melalui transaksi ke dalam akaunnya. Damya menolak apabila lelaki itu mahu memberinya kad kredit kerana ia sangat berisiko. Tiada siapa harus tahu di mana tempatnya bekerja dan siapa majikannya. Damya sudah aturkan dengan teliti!

Damya mendongak melihat bangunan tinggi di hadapannya sambil mengecilkan mata.

“Kondo mewah… Kaya betul awak Tuan Hayden. Tetapi kasihan, macam mana boleh ada penyakit gangguan pemakanan.” bisik Damya.

Langkah Damya diteruskan dengan menaiki lif ke tingkat 15. Apabila pintu lif terbuka, dia keluar dan mencari nombor rumah lelaki itu.

Damya menekan nombor katalaluan yang diberi oleh Hayden. Pintu rumah terbuka dan Damya melangkah masuk. Damya menyimpan kasutnya di rak dan menyarung selipar comel di dalam rumah.

“Wah…” Damya terpaku melihat kekemasan di ruang tamu kondo Hayden yang sangat minimalis. Lelaki itu sangat pembersih dan juga pengemas. Tidak dinafikan.

Untuk pertama kali Damya dapat menarik nafas lega kerana rutinnya telah berubah. Rasa sesak dada dan lemas ketika berada di rumah Puan Juriah seolah telah hilang seketika.

Damya sekali lagi teruja apabila melihat keadaan dapur lelaki itu sangat moden. Segala perkakas cukup lengkap, serta canggih.

“Ini dapur impian semua wanita…” Damya ternganga.

Tit… tit.

Damya tersentak apabila telefonnya berdering. Dia melihat nombor yang tidak disimpan naik di skrin. Dia kenal nombor itu dan sengaja tidak disimpan.

“Puan dah sampai?”

Damya melihat jam di tangannya. “Ya, tepat jam 9.00 pagi. Saya pergi pasar dulu seperti yang tuan minta.”

“Good. Saya harap hari pertama berjalan lancar. Puan boleh ke ruang tamu?” pinta Hayden.

Damya menoleh ke belakang dan berjalan ke ruang tamu. “Ya, saya dah sampai.”

“Ada satu bilik tetamu di sebelah hall, puan boleh guna bilik tu untuk rehat atau solat.”

Damya mengetap bibir dan tersenyum lega walaupun lelaki itu tidak melihatnya. Dia menolak pintu bilik itu dan melihat ke dalam. Nampak selesa dan simple.

“Terima kasih Tuan Hayden. Saya mungkin akan guna bilik ni untuk solat je. Saya boleh rehat di ruang tamu.”

“Terpulang. Saya cuma nak beri keselesaan untuk puan bekerja. Jadi, tolong sediakan makanan yang sihat untuk saya.”

“InsyaAllah, saya akan cuba. Tuan ada request untuk lunch?”

“Hmm… anything.”

“Baiklah… Saya rasa saya ada terbaca komen tuan sebelum ni.”

“What?”

“Kenapa saya buat tak jadi?” Damya menahan ketawa. ”Komen di resepi nasi tomato saya.”

Hayden terdiam. Damya menanti reaksi Hayden.

“Awak baca komen saya?”

“Mestilah saya baca semua… So, hari ni tuan akan makan nasi tomato saya for lunch.”

“Yes, please!”

***
Hayden keluar dari bilik tidurnya selepas selesai mandi dan solat. Jam menunjukkan pukul 8.00 malam ketika itu. Hayden sampai di dapur dan melihat keadaan dapur kekal bersih dan kemas seperti yang dia mahukan.

“Cermat dia buat kerja…” komen Hayden. Dia juga masih teringat nasi tomato tengahari tadi. Nasiblah tiada siapa melihatnya makan ketika itu di pejabat. Hayden makan dengan begitu berselera dan menikmatinya. Sangat sedap!

“Jadi, apa menu untuk dinner…” Hayden tertanya-tanya lalu membuka penutup makanan. Dia melihat satu nota yang dilekatkan di tepi hidangan. Hayden membaca nota itu di dalam hati.

‘Mee goreng mamak for dinner. Saya buat mushroom soup with garlic bread untuk hidangan sampingan. Panaskan sup supaya lebih sedap.’

Hayden mengangguk perlahan sambil melihat makanan di atas meja.

“Dia nak aku gemuk ke?”

Akhirnya habis juga semua hidangan di atas meja itu. Hayden tersandar kekenyangan di sofa!

***

“Kenapa kau tak masak? Semua orang kebulur tau tak?!”

Damya yang sedang menyikat rambut selepas mandi hanya diam membisu.

“Eh, kau dengar tak?!” Aizat datang dan terus menarik Damya menghadapnya.

Damya memandang wajah Aizat tepat.

“Kenapa? Saya sorang aje ke yang boleh masak dalam rumah ni? Awak nak makan? Jomlah kita keluar makan. Kenapa saya nak kena masak untuk semua orang lagi? Saya bukan orang gaji. Saya isteri awak Aizat.”

“Eh! Aku izinkan kau kerja, bukan untuk kau lupa tanggungjawab kau.”

“Tanggungjawab saya untuk jaga makan minum awak aje kan? Tapi, selama ni awak buat saya macam hamba untuk seluruh keluarga awak. Baiklah, saya akan masak untuk awak dan mak aje. Orang lain boleh pandai-pandai sendiri.”

“Sejak bila kau berkira ni?!” Aizat terus menangkap lengan Damya dengan genggaman yang kuat.

“Sakitlah, Aizat!” jerit Damya.

“Kau jangan kurang ajar eh! Kau ni dah lama tak kena ajar kan! Sebab tu melampau macam ni!” Berang Aizat.

“Lepaslah!” Damya masih meronta.

”Sekarang kau pergi masak untuk semua orang! Atau kau nak aku suruh kau berhenti kerja!”

Damya mengetap gigi menahan marah. Bertahan Damya… Kau tidak boleh tersalah percaturan. Aizat bukan manusia yang berfikiran waras. Bukan mudah untuk melepaskan diri dari lelaki ini. Hati Damya pun sudah lama mati untuk suaminya!

Share this novel

ayuni
2024-01-18 00:59:18 

tq PJ.. sakit jiwa dapat suami macam aizat.. keluarga pulak macam hantu..

Seri
2024-01-17 13:20:11 

Best… tapi sesak juga nafas dengan peragai izat n fmly..

mynn.nnym
2024-01-17 04:47:13 

Taaaagunaaa nye si aizat tuhhh


NovelPlus Premium

The best ads free experience