Bab 2
Dato’ Haizan mendengar dengan teliti apabila pembantunya Ray menyampaikan satu berita. Dia mengecilkan mata dan memandang jauh ke hadapan. Wajahnya serius tetapi matanya seolah tersenyum sinis.
“Jadi, dia masuk hospital…”
“Betul, Dato’.” ujar Ray.
“Puan Sri ada melawat?”
“Ada, Dato’. Tetapi nampaknya Tan Sri tidak tahu,” tambah Ray.
Dato’ Haizan mengangguk perlahan sambil memikirkan sesuatu. Ray masih berdiri di sebelah bosnya itu. CEO AG Group dan merupakan anak lelaki sulung Tan Sri Musa.
“Hayden dah lama tidak balik rumah, dia kononnya nak berdikari. Dia lupa ke dia tu anak manja?”
Ray menahan senyuman, tetapi Dato’ Haizan tersengih sinis.
“Baiklah… kau tahu apa patut kau buat kan?” kata Dato’ Haizan penuh dengan maksud tersirat.
Ray terus bersiri tegak. “Saya faham, Dato’. Saya pergi sekarang.”
Ray terus menghampiri pintu pejabat Dato’ Haizan tetapi pintu itu telah dibuka dari luar. Ray terpaku di muka pintu sebelum memberi laluan kepada seorang wanita cantik di hadapannya.
Datin Dayana melangkah penuh gaya menghampiri meja pejabat suaminya, Dato’ Haizan. Lelaki itu tersenyum lebar apabila melihat wanita yang telah lama diidamkan itu, akhirnya menjadi isterinya. Datin Dayana membalas semyuman suaminya dengan lebih manja dan elegan.
“You look happy today, darling. Please let me know if I've missed out anything.” Datin Dayana berdiri di belakang suaminya dan mula memicit bahu lelaki itu.
Dato’ Haizan memejam mata menikmati urutan lembut dari Datin Dayana.
“Hmm… tak ada apa yang special. Malam ni kita ada family dinner. Kita kena balik awal.”
Datin Dayana terdiam. Urutannya juga semakin perlahan kerana fikirannya tiba-tiba melayang.
“Hayden tak akan datang…” Dato’ Haizan membuka matanya perlahan apabila merasakan isterinya seperti tidak fokus seperti tadi.
“Kali ini apa pula alasan dia…” kata Datin Dayana perlahan.
“Entah… Mungkin dia semakin sedar yang… Dia tak perlu berusaha gigih. Company ni, akhirnya akan jadi milik I.”
Datin Dayana tersenyum hambar, dia bergerak dari belakang lelaki itu dan duduk di bucu meja.
“I tahu you lebih bercita-cita tinggi dan menjadi harapan daddy. I’m so proud of you.”
“Sebab itu you pilih I daripada Hayden kan?”
Datin Dayana melepaskan tawa. “You jangan nak bergurau…”
“Hayden keluar rumah tu selepas kita berkahwin setahun lepas. Dia pilih untuk jadi pengarah di anak syarikat dan keluar dari syarikat induk. Semua itu dia buat sebab kecewa dengan you… tetapi, mummy dan daddy tak tahu.”
“Kenapa you tiba-tiba ungkit hal ni?”
“Sebab I nak ingatkan you. Kalau mummy dan daddy tahu hal sebenar, you mungkin tidak jadi menantu kesayangan mereka lagi.”
“I tak gila nak cerita semua tu kepada sesiapa. Lagipun, Hayden sendiri tidak mahu ungkit. Hubungan kami dulu… bukan rasmi. Dia cuma suka I, tapi I suka you.” Datin Dayana cuba menafikan hal tersebut. Dia bimbang Haizan akan tahu apa yang sebenarnya berlaku.
Datin Dayana menarik nafas panjang. Dia terbayangkan Hayden, lelaki tampan yang pernah wujud dalam hidupnya. Mereka menjadi rapat ketika belajar di university of Cambridge UK selama 3 tahun.
“You tak boleh tipu I… I tahu you pilih I sebab I lebih berjaya dari dia. Tapi, I tak peduli apa pun alasan you. Cuma jangan sesekali you pandang belakang…” ujar Dato’ Haizan bersama amaran halus.
“Apa you merepek ni. You tak percaya I?”
Dato’ Haizan hanya tersengih. Dayana wanita yang sangat pandai berpura-pura. Tetapi, dengan memiliki wanita itu dia dapat merasakan kemenangan pertama untuk melihat kesakitan Hayden. Pesaingnya sejak kecil!
“Tiba-tiba you bercakap tentang Hayden ni kenapa? Tak cukup ke dia menderita kat luar tu? You nak buat apa lagi?”
“I tak buat apa-apa. I cuma sedang menikmati kejayaan I sekarang dan memastikan pesaing I jauh tertinggal di belakang.” Dato’ Haizan mendepa kedua belah tangannya. Bangga dengan pencapaiannya ketika itu.
Datin Dayana terdiam walaupun dia terasa amat bangga menjadi isteri pewaris AG Group. Sedikit sebanyak apabila nama Hayden disebut emosinya akan terganggu.
“Kalau you sayangkan I… You boleh buat sesuatu untuk I?” soal Dato’ Haizan.
“Buat apa?” Datin Dayana mengerutkan dahi. Suaminya itu sentiasa di luar jangkaan!
***
Petang itu cuaca sangat cerah, angin juga bertiup lembut sehingga Damya dapat menyedut udara yang nyaman walaupun agak tercemar dengan pembangunan yang pesat. Banglo lama itu berada di tengah-tengah bandaraya.
Damya mengemas di stor belakang rumah kerana sudah lama tidak dijenguknya. Bimbang akan bertambah usang kerana masih terdapat barang-barang yang berguna. Entah kenapa dia tidak boleh duduk diam dan akan sentiasa mencari pekerjaan untuk dibuat. Walaupun dia hanya suri rumah, Damya tidak mahu hanya menumpang percuma di rumah itu.
Sebuah kotak sederhana besar yang diletakkan di atas sebuah rak dipandang agak lama oleh Damya. Dia menghampiri rak itu dan mengambil kotak tersebut. Semua itu adalah barang-barang peribadinya yang diambil di rumah pusaka peninggalan datuk dan neneknya.
Damya membuka penutup kotak dan melihat isi di dalamnya. Terdapat album lama yang sudah uzur dan beberapa barangan lain. Damya membuka album itu dan melihat gambar ahli keluarganya. Wajah-wajah itu dipandang satu persatu sehingga mengamit rindu dan rasa sayu di hatinya.
“Ibu ayah…” Damya mengusap wajah ibu dan bapanya. Kemudian wajah seseorang yang berdiri di sebelahnya.
“Kakak… Di mana kakak sekarang?”
Damya mengesat air matanya yang tiba-tiba tumpah. Setelah ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan, ada beberapa keluarga yang mahu mengambil mereka sebagai anak angkat. Tetapi… Damya tidak sampai hati meninggalkan datuk dan neneknya. Manakala kakaknya, terus pergi dengan keluarga angkat dan tidak lagi dapat dihubungi sehingga hari ini.
“Akak akan pergi dengan keluarga kaya tu. Akak tak nak hidup susah macam ni!”
Damya memejam mata apabila terimbas semula kata-kata dari saudara kandungnya itu lebih 20 tahun lalu.
“Akak tak kesian atuk dengan nenek ke? Akak sanggup tinggalkan Mya ke?”
“Akak tak peduli. Akak ada cita-cita tinggi. Tak macam kau!”
Damya membuka matanya perlahan. Wajah kakaknya yang ketika itu berusia 12 tahun terus hilang dari memori. Kini, dia tidak dapat membayangkan wajah kakaknya itu. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia tidak mahu terus tenggelam dalam emosi, hidupnya sekarang pun cukup melemaskan. Bukan dia tidak bersyukur, jauh sekali merungut dengan takdir Tuhan. Tetapi, tidak layakkah dia merasa bahagia, setelah segala perngorbanan ini?
***
Hayden duduk termenung di kerusi panjang sambil melihat suasana petang yang tenang di taman hospital tersebut. Pesakit lain turut mengambil angin kerana cuaca petang itu sangat baik. Hayden memejam mata sambil memikirkan masalah yang sedang menimpanya. Dia perlu segera mencari seseorang untuk menguruskan pemakanannya. Jika tidak, dia tentu akan dipaksa kembali ke rumah agam Tan Sri Musa.
Hayden tiba-tiba membuka matanya apabila teringatkan sesuatu. Dia pantas mengambil telefon pintar di dalam saku baju pesakit lalu membuka laman sosialnya. Dia mencari satu akaun bernama ‘Melur Kitchen’, akaun itu aktif membuat kontent tentang masakan yang pelbagai. Selama ini Hayden belajar memasak dari akaun tersebut kerana video-video dan resepinya sangat menarik. Apa yang paling penting, kebersihan yang content creator itu titikberatkan.
Dapur yang bersih, segala pekakasnya juga bersih, malah cara penyediannya juga sangat kemas dan bersih. Pengikut akaun tersebut juga sangat ramai dan semua orang memuji wanita tersebut walaupun tidak pernah melihat wajahnya.
Hayden membuka hantaran terbaru Melur Kitchen dan melihat satu gambar masakan bersama resepi serta caption di bawah gambar.
‘Nasi ayam penyet ala Indonesia. Video akan diupload kemudia ya. Macam mana? Adakah anda berselera melihatnya?’
Hayden menelan liur. Terus perutnya berkeroncong. Setiap kali dia melihat masakan pemilik akaun itu, pasti akan membangkitkan seleranya. Sukar untuk Hayden mendapat selera makan jika melihat mana-mana makanan di kedai atau restoran. Dalam kepalanya akan berfikir macam-macam. Tetapi, berbeza dengan Melur Kitchen, Hayden sangat berpuas hati dengan cara penyediaan wanita itu.
“Kak Melur masak tak pernah tak best. Bersih dan kemas pula tu. Love you Kak Melur! Moga lebih banyak resepi lagi lepas ni!”
“Awak sangat jujur dan ikhlas bila kongsi resepi dan cara penyedian. Terima kasih dan halalkan ilmu ya!”
Kali ini Hayden membaca pula komen-komen. Rata-rata penyikut banyak memujinya. Hayden menarik nafas panjang sebelum menekan icon untuk personal mesej kepada akaun tersebut.
`Hello, Puan Melur.’
`Jika baca mesej saya, tolong balas kerana saya ada satu tawaran.’
Hayden menutup telefon selepas menghantar mesej tersebut. Dia berharap wanita itu akan membalas dengan segera. Dalam beberapa minit telefonnya bergegar menandakan masuk notifikasi. Hayden teruja dan pantas membuka mesej tersebut.
'Hello. Maafkan saya, tawaran apa ya?'
Hayden pantas menaip.
‘Kita patut berjumpa untuk berbincang. Saya ada tawaran pekerjaan. Sebagai cef atau tukang masak. Saya sudah lama menjadi follower anda. Saya berminat untuk memberi anda pekerjaan.’
Hayden menghantar mesej tersebut dan menunggu balasan. Dia yakin wanita itu tidak bekerja kerana pernah membaca komen, wanita itu menyatakan dia hanya seorang suri rumah yang suka memasak, bukannya seorang professional. Jadi masakannya adalah dari hati yang ikhlas untuk keluarga.
Tersentuh dengan ayat itu, sehingga hari ini ia melekat di ingatan Hayden.
Ting!
Mesej terbaru masuk. Hayden pantas membukanya.
'Maafkan saya… Saya sebenarnya seorang suri rumah. Saya tidak ada pengalaman menjadi tukang masak. Saya juga agak mustahil untuk bekerja.’
‘Saya tahu. Tidak bolehkah anda pertimbangkannya? Jika anda berubah fikiran, boleh hubungi saya. Saya seorang yang boleh dipercayai.’
‘Terima kasih atas tawaran itu.’
Hayden mengeluh apabila mesej itu sebagai penamat perbualan mereka. Dia berharap wanita itu akan berubah fikiran.
“Come on, Hayden. Kau perlu makan untuk teruskan hidup…”
***
Tan Sri Musa duduk di dalam bilik bacaan pada malam itu sambil membaca sebuah buku yang tebal. Ia tentang kisah perjalanan seorang nabi Allah, Muhammad SAW. Ketika di usi muda Tan Sri Musa banyak habiskan waktu dengan bahan bacaan dunia perniagaan, apabila di usia senja dia mula menukar bahan bacaan lebih menjurus kepada keagamaan.
Tuk tuk!
Pintu bilik itu diketuk dari luar sebelum muncul seorang wanita muda di muka pintu.
“Daddy,” tegur Datin Dayana dengan senyuman manis. Dia berjalan menghampiri meja ayah mentuanya itu.
“Ya, ada apa Dayana?” Tan Sri Musa membuka cermin matanya.
Datin Dayana mengambil tempat di kerusi bertentangan dengan Tan Sri Musa.
“Makan malam dah sedia. Mummy suruh datang beritahu Daddy.”
“Baiklah…”
Datin Dayana tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan kerana ayah mentuanya itu sangat serius orangnya. Garang dan sangat tegas.
“Ada sesuatu nak cakap dengan daddy ke?” soal Tan Sri Musa.
Datin Dayana berubah gementar tetapi dia harus juga menyatakan hal itu.
“Daddy tahu kenapa Hayden tidak datang malam ni?”
“Sejak bila kamu ambil berat tentang Hayden?”
Datin Dayana termalu sendiri. Bukan mudah untuk mengambil hati Tan Sri Musa, silap-silap boleh makan diri. “Bukan macam tu, daddy. Saya rasa daddy perlu tahu tentang ni.
“Tak ada siapa beritahu daddy kan? Sebenarnya, saya risau jika daddy tak tahu. Mungkin daddy je boleh nasihati Hayden. Mummy rahsiakan hal ni sebab tak nak daddy risau.”
“Tentang apa?”
“Hayden masuk hospital. Masalah pemakanan dia semakin teruk.”
Berubah wajah Tan Sri Musa ketika itu.
“Bukan ke dia kata dia dah okey?”
Datin Dayana menggeleng perlahan. “Tidak daddy…”
Tan Sri Musa mengetap rahang. Apa hendak jadi dengan anak bongsunya itu? Seorang pewaris sepatutnya tiada kelemahan.
“Sayangnya… ramai client merungut sebab dia kurang adab. Ketika lunch atau dinner meeting. Dia tak akan makan. Semua event dia hadir, dia tidak akan makan. Client besar kita anggap dia tidak menghormati jemputan. Sebab itu ramai lebih suka berjumpa Haizan.” Datin Dayana memgambil peluang itu untuk mengangkat suaminya.
“Tapi Hayden… dia lebih cekap…”
Datin Dayana terpempan mendengar kata-kata balas Tan Sri Musa. Sekali lagi dia termalu sendiri.
“Mungkin kita boleh bantu Hayden… dapatkan rawatan di luar negara contohnya.” Datin Dayana berpura-pura untuk memberi cadangan.
“Kamu boleh keluar dulu. Nanti daddy turun.”
“Daddy tak beritahu mummy yang saya sampaikan berita ni kepada daddy kan? Mummy mungkin akan salah faham dengan saya…”
“Kamu jangan risau.”
Datin Dayana tersenyum. “Baiklah, saya turun dulu.”
Tan Sri Musa tersandar bersama keluhan berat setelah bersendirian.
“Daddy kecewa dengan kamu Hayden… sedangkan kamu lebih berpotensi dari abang kamu yang cuai tu. Dia dapat pangkat pun kerana pandai membodek orang politik. Tapi, kamu bekerja dengan kudrat dan akal fikiran sendiri. Macam mana daddy nak serahkan syarikat kepada abang kamu?”
****
“Apa?! Diorang satu family pergi Thailand?” Kayla melopong dengan wajah yang merah padam. Tahap panas hatinya sudah meledak pada pagi itu. Setelah sekian lama tidak berjumpa dengan sahabat baiknya Damya, hari itu barulah mereka berkesempatan.
“Diorang bertolak semalam. Kalau tak, kau fikir aku sempat keluar mengopi macam ni? Hmm… Bau kopi ni buat aku rasa hidup semula.” Damya memejam mata sambil menyedut haruman kopi di dalam cawannya.
“Langsung tak ada hati perut, eh? Setiap kali pergi bercuti mesti tak ajak kau. Kalau tak sebab kena jaga anak-anak saudara kau, alasan kena jaga rumah. Habis kenapa tak ambil orang gaji je!” Marah Kayla. Dia menyilang kedua belah tangannya.
Nasib baik hanya mereka berdua di kedai kopi itu kerana masih awal pagi. Damya hanya tenang, dia benar-benar mahu menikmati hari-hari tanpa ahli keluarga mentuanya.
“Aku okey… sekurang-kurangnya, aku boleh me time macam ni.” Damya mengukir senyuman pahit. Kemudian dia menghirup kopi latte di dalam cawan. Pahit… sepahit hidupnya.
Kalya menyelak rambutnya ke belakang. Dia merenung wajah sahabatnya itu yang kelihatan seperti tidak bermaya. Bukan seperti yang dia kenal dahulu.
“Mya… Sampai bila kau nak hidup macam ni? Kau kena ubah hidup kau. Aku serius ni. Kau ada ijazah, kau asalnya cantik. Cukup lengkap untuk orang ambil kau bekerja.”
“Aizat tak izinkan…” ujar Damya, mematikan hujah Kayla.
Kayla terus mengeluh berat. “Aizat tu pun satu hal. Masa di universiti dulu beriya kejar kau. Beriya ajak kau kahwin lepas konvo sebab risau kau jumpa orang lain. Iyelah… girlfriend dia ratu cantik kat kampus. Lepas dia dapat… buat kau lunyai macam ni. Eh… aku tak fahamlah!”
“Itulah realiti bila dah kahwin, Kayla. Aku pun tak kata aku menyesal tapi… aku tak sangka hidup aku akan sadis macam ni. Semua kawan-kawan aku dah berjaya, ada kehidupan yang best walaupun dah berkahwin. Mungkin aku tak bernasib baik…”
“Belum terlambat Mya. Kau muda lagi. Baru 27 tahun. Masih ada harapan Mya. Kau kena buat apa yang kau suka. Persetankan keluarga mentua dari neraka tu. Ini hidup kau!” tegas Kayla.
“Diorang tak sokong aku bekerja sebab, tak ada siapa akan uruskan rumah. Diorang tak percaya pada orang gaji. Aku pernah dapat tawaran kerja, tapi gaji sikit. Diorang hanya gelakkan aku.”
“Kurang ajar, eh… Aku ni. Eee… macam nak cakap je. Tapi nanti aku tanggung dosa pulak.” Kayla mengetap bibir.
Damya tersengih. “Kau nak cakap apa? Suruh aku bercerai?”
Kayla hanya diam. Mukanya masih tertekan sedangkan Damya yang menganggung segala beban itu.
“Kau dah lupa? Aku pernah buat 2 tahun lepas. Aku lari dari rumah dan pergi rumah arwah atuk dan nenek aku. Puas aku kena maki dengan Pak Long dan dia halau aku. Kau tahu aku tidur mana masa tu? Aku tidur di pondok entah mana-mana. Aku tak ada duit sesen pun. Aku kebulur. Akhirnya aku balik rumah tu… kau tak faham Kayla. Perempuan tak ada apa-apa macam aku ni, tak boleh buat keputusan terburu-buru.”
Kayla terdiam apabila mendengar kata-kata Damya yang menusuk jiwa, walaupun dia sudah tahu kisah itu. Mungkin Damya ingin ingatkan dia semula.
“Jadi… Aku perlu persiapan.”
Kayla membawa badannya ke hadapan. Dia memandang wajah serius Damya.
“Apa maksud kau?”
“Kalau aku ingin bercerai, aku perlu ada tempat untuk aku tuju. Aku perlu ada duit, aku perlu ada kerja yang menjamin masa depan aku. Tapi bukannya nak kerja pejabat macam kau. Aku dah biasa buat kerja rumah guna banyak tenaga. Aku kena buat sesuatu yang aku suka. Sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan.” jelas Damya sambil memandang jauh ke hadapan.
"Wow…. Oh My God. Dah lama aku tak nampak kau bersemangat macam ni, Mya! Jadi apa plan kau?”
“Aku masih tercari-cari peluang. Aku pun dah letih Kay. Selama ni aku hidup untuk kepentingan orang lain. Aku lupa cita-cita aku, aku lupa siapa diri aku.”
Kayla pantas menggenggam kedua belah tangan Damya. Air matanya bergenang.
“Aku akan support kau 100 peratus. Kau kena bangkit Mya. Betul cakap kau, kau kena ada persiapan. Apa nak jadi masa depan kau nanti, sekurang-kurangnya kau tak goyah. Aku tak sangka kau bijak Mya!”
“Masa zaman belajar dulu, siapa yang tiru assignment siapa?” Seloroh Damya.
“Iyelaaa… Kau memang dari dulu bijak. Cuma si Aizat tu je punca kau jadi macam ni. Aku yakin kalau kau tak kahwin dengan dia, sekarang kau jauh lebih berjaya dari kami.”
“Semua belum terlambat kan?”
“Ya… Masih ada harapan, Mya. Aku sokong kau.”
Share this novel
tq … PJ