Bab 24
Aizat menegakkan badan dan berpura-pura sibuk sambil menatap skrin komputer di mejanya. Sedangkan, fikirannya jauh melayang memikirkan bekas Isterinya Damya. Setiap kali bayangan Damya melintas di mata, hatinya pun semakin sakit dan penuh rasa dendam yang membara. Wanita itu terus menghilangkan diri selepas kali terakhir mereka bertemu di mahkamah.
Sehingga hari ini, Aizat masih tidak dapat menghubungi wanita itu. Ke mana Damya menghilang? Sehingga dia tidak dapat menjejakinya. Saat itu juga, Aizat melihat kelibat Ruslan berjalan memasuki pejabat pemasaran dan menuju ke bilik pengarah. Aizat mengetap rahang dan menggenggam penumbuk. Dia semakin sakit hati apabila Ruslan masih berdiam diri dan tidak memberitahu siapa dalang di sebalik penceraiannya. Dia amat yakin, salah seorang orang atasan mereka yang terlibat dan menyimpan Damya selama ini.
Jika benar, dia pasti akan membuat sesuatu supaya sakit hatinya dapat dilepaskan kepada orang yang tepat. Sehingga kini lelaki itu mahu melindungi imej sendiri dengan menutup mulutnya. Dia semakin yakin apabila kedudukannya masih selamat, dan tidak diberhentikan kerja kerana perjanjian yang telah dipersetujui. Jika dia berdiam diri, dirinya akan selamat dan tidak akan dibuang kerja.
“Encik Aizat!”
Aizat tersentak hebat apabila mejanya diketuk dengan kuat.
“Ya!” jawab Aizat dengan cuak kepada seorang staf pejabatnya.
“Encik Aizat. Tuan Ruslan nak jumpa di office. Sekarang.” kata wanita itu.
“Okey,” Aizat terus bangun dan mencapai telefonnya. Dia bergerak ke pejabat pengarah dengan langkah yang luas.
“Ya, Aizat. Masuk.” Ruslan bersandar santai di kerusinya empuk sambil tersengih kepada Aizat.
Aizat duduk di kerusi berhadapan dengan Ruslan.
“Ada apa, tuan?” soal Aizat dengan serius. Sejak kejadian itu, Aizat lebih berhati-hati dengan lelaki ini. Ruslan seorang yang bijak manipulasi orang lain demi kepentingannya.
“Begini, Aizat. Saya baru turun dari mesyuarat dengan pihak pengurusan. Kita ada buat sedikit rombakan kakitangan seperti kebiasaan. Kali ni… Nama kamu antara yang naik. Kamu akan ditukarkan ke cawangan lain di jawatan yang sama.” jelas Ruslan.
Aizat tergamam. Berita itu amat mengejutkan dan di luar jangkaannya. “Kenapa saya?! Saya baru mendapat jawatan ini belum setahun. Bukan ke pertukaran hanya kepada mereka yang lebih 5 tahun?”
“Aizat… sistem tak semestinya akan ikut buku. Kita akan tengok kepada kekosongan dan tahap kecekapan. Begini, bila bertugas di cawangan, kedudukan kamu sebagai pengurus akan nampak besar. Kalau di sini, kamu bukan siapa-siapa pun. Bukan ke itu lebih bagus?”
Aizat tersengih sinis. “Bila tak dapat pecat saya, jadi ‘orang itu’ mahu saya blah dari sini?!”
“Aizat! Kau ingat dengan siapa kau bercakap ni!” Ruslan terus meninggikan suara.
“Dia guna taktik kotor selepas rampas isteri saya. Tak akan saya nak mendiamkan diri?”
“Aizat, kau dengar sini! Aku rasa kau dah dapat semua yang kau patut dapat. Hal perempuan letak ke tepi. Apa yang penting masa depan kau. Kau ingat orang tu tak boleh nak buang kau? Dia cuma masih berhati perut. Dengan rekod kau, tak ada tempat yang akan ambil kau lagi. Sekarang ni, lebih baik kau angkat semua barang kau dan pindah. Ingat Aizat… Jangan melawan. Atau… Kau akan rugi!“ kata Ruslan dengan tegas.
“Siapa orang tu? CFO, COO, CEO atau Chairmain?!” soal Aizat dengan rasa tidak puas hati.
Ruslan merengus kasar. “Kau tak perlu tahu buat masa ni. Lagipun… Kau sendiri yang jual bini kau, Aizat. Kalau bukan asal dari masalah diri kau sendiri, semua ni tak terjadi. Kau sendiri tahu, orang atasan akan tertarik dengan perempuan cantik. Diorang ada wang dan kuasa, bukan setakat isteri kau, kalau mereka nak mana-mana perempuan pun, mereka akan dapat. Bukan kau sorang alami benda macam ni. Guna duit yang dia bagi tu untuk settle semua hutang kau, dan hidup dengan lebih baik. Itu pilihan yang tepat daripada kau cari masalah dengan orang tu.”
Aizat terus bangun dari kerusi dengan wajah yang tegang.
“Baiklah, saya akan pergi. Tapi, saya pasti akan tahu juga nanti siapa orang itu!”
****
“Wah! Lama tak datang sini! Last bila ye? Oh… Masa terserempak Hayden dengan bakal isteri tak jadi dia.” Kayla ketawa suka sambil memeluk lengan Damya yang hanya mampu menggeleng kepala dengan kerenah rakannya itu.
“Apa yang aku happy bila kau single ni, aku boleh ajak kau keluar bila-bila masa aje.”
“Oh… Jadi ini la sebab kau nak sangat aku single.” Damya sengaja menyakat Kayla.
Kayla ketawa seronok. “Aku sanggup buat apa sahaja asalkan kau bebas dari jantan tu. Sekarang aku dapat semula kawan baik aku! Jom, pergi makan!”
Tangan Damya ditarik ke dalam sebuah restoran di dalam gedung beli-belah itu dan mereka mengambil tempat di satu sudut. Setelah memesan makanan, Damya kelihatan termenung sehingga menarik perhatian Kayla ketika itu.
“Masalah apa pulak kali ni? Kau ni memang tak boleh sorok muka tu dari aku tau!” ujar Kayla.
Damya akhirnya mengeluh berat.
“Ada orang lamar aku, Kayla…”
Kayla terus ternganga luas bersama matanya yang terbeliak. Damya sudah agak reaksi sahabatnya itu.
“Aku dah agak. Kawan aku ni kalau jadi janda memang laku keras! Siapa lamar kau? Cakaplah!”
“Puan Sri Rosena,”
“Puan Sri? Who is she?!” Kayla semakin teruja.
“Emak Hayden…”
“Oh my god!!” Kayla menekup mulut tidak percaya.
“Ini betul-betul gila Damya! Eh, kalau dalam TV dah lama kau kena simbah air tau. Pakej duit dalam sampul untuk rasuah kau tinggalkan anak dia. Tapi… kau dilamar?!”
Damya tersandar lemah dan memberi laluan kepada pelayan untuk menghidangkan minuman di meja mereka.
“Aku pun tak sangka…” jawab Damya.
“Jadi, apa jawapan kau?”
“Aku tak diberi peluang untuk bagi jawapan pun. Puan Sri betul-betul nekad. Aku tak tahu sekarang apa sudah jadi. Aku belum bersedia Kayla. Aku baru nak bina hidup aku. Tiba-tiba… Kena bina hubungan semula?” luah Damya dengan wajah yang kusut.
“Hey, Mya. Tak semua perkahwinan itu toksik. Ramai aje yang hidup bahagia. Cuma perlu pilih pasangan yang betul. Dalam kes ni… Hayden dah banyak tolong masa kau susah dulu. Sekarang bila kau senang, kau nak campak dia?” tempelak Kayla dengan berterus terang sehingga Damya terpana.
“Kau ni… Aku kawan kau ke, dia kawan kau.” Muncung Damya ke hadapan.
“Kau tu yang degil sangat. Aku fahamlah keadaan kau sekarang. Baru aje lepas fasa bercerai. Tapi… Peluang ni bukan datang selalu tau. Kalau nak tunggu kau bersedia, silap-silap Puan Sri boleh ubah fikiran. Aku rasa, dia lamar kau sebab dia tahu Hayden perlukan orang macam kau. Kalau tak… Mustahil Damya.”
Damya akhirnya mengeluh berat. Bukan dia tidak faham niat Puan Sri Rosena, cuma perkara ini terlalu mendadak.
Telefon Damya berbunyi apabila ada panggilan masuk dari nombor tidak dikenali. Kayla turut melihat ke skin telefon Damya yang berada di atas meja.
“Siapa?” soal Kayla.
Damya mengangkat bahu. ”Nombor tak kenal. Malaslah…”
“Kau risau Aizat ke? Jawab ajelah! Aku rasa bukan dia!” desak Kayla.
Damya akhirnya mengalah dan menjawab panggilan itu apabila panggilan masuk untuk kali ke dua.
“Hello,”
“Hello, Damya. Mummy Hayden bercakap.”
Mata Damya terus terbuntang luas sehingga Kayla turut terasa ingin tahu siapa si pemanggil.
“Ya, Puan Sri.”
“Kamu lapang? Saya nak kamu datang ke satu tempat.”
“Er… Boleh Puan Sri. Di mana?”
“Saya akan text details.” jawab Puan Sri Rosena sebelum talian diputuskan.
“Apa dia cakap?” soal Kayla dengan tidak sabar lagi.
“Aku kena pergi ke satu tempat. Jom, teman aku.”
“Pergi mana?”
“I’m not sure.”
****
Wanita berusia awal 60-an itu duduk di ruang menunggu sambil membaca majalah dengan tenang. Dia kelihatan lebih muda dari usia dan bertenaga. Kecantikannya juga masih terserlah pada usia seperti itu. Seorang pekerja klinik tersebut datang membawa minuman kepada tetamu VVIP tersebut iaitu Puan Sri Rosena.
Damya melangkah masuk ke ruang menunggu itu bersama Kayla yang masih cuak di sebelahnya.
“Kenapa dia suruh kau datang ke klinik kesuburan?” bisik Kayla di telinga Damya.
“Manalah aku tahu!” balas Damya sebelum memberi senyuman kepada Puan Sri Rosena yang baru sedari mereka menghampiri.
“Kamu sudah sampai,” tegur Puan Sri Rosena.
”Ya, Puan Sri. Ini kawan saya, Kayla.”
Kayla hanya mampu memberi senyuman kepada wanita yang kelihatan tegas dan dingin itu. Tetapi, ada satu sisi lain tentang Puan Sri Rosena yang Kayla dapat rasakan. Wanita itu sebenarnya mempunyai naluri keibuan yang tinggi.
“Kamu duduk dulu, saya akan jelaskan kenapa saya suruh kamu datang.”
Damya dan Kayla akur lalu mengambil tempat berhadapan Puan Sri Rosena. Jelas wajah Damya yang kelihatan gementar.
“Begini, Damya. Saya tahu kamu pernah berkahwin selama 5 tahun tetapi tidak mempunyai zuriat. Betul kan?” soal Puan Sri Rosena memulakan bicara.
Kayla sebenarnya lebih terkejut saat itu berbanding Damya yang berusaha mengawal perasaanya.
“Ya, Puan Sri.”
“Kamu pernah buat ujian kesuburan?” Puan Sri Rosena bertanya lebih lanjut.
“Tidak,”
“Kenapa?”
“Saya… Tak rasa untuk lahirkan zuriat apabila keadaan perkahwinan yang tidak kukuh. Jadi, saya tak ingin buat apa-apa rawatan.” Jujur Damya memberi jawapan kepada Puan Sri Rosena yang nampaknya ingin tahu tentang hal peribadinya.
Puan Sri Rosena kelihatan menarik nafas panjang.
“Baiklah… Kita akan buat pemeriksaan di sini. Jangan salah faham, apa pun keputusan tidak akan menjejaskan status kamu sebagai bakal menantu saya. Saya cuma mahu tahu masalah dari awal supaya nanti lebih mudah. Saya akan bagi kamu dan Hayden tempoh lima bulan. Jika tidak mengandung, kita akan terus buat rawatan.”
“Apa, Puan Sri? Tapi…” Menggigil Damya ketika itu sehingga Kayla terpaksa menyentuh tangannya. Kayla juga bertambah cuak!
“Kamu tentu kurang faham dengan keluarga konglomerat. Tetapi, zuriat adalah perkara yang sangat penting. Dengan keadaan Hayden… kebimbangan saya sangat tinggi. Saya boleh sahaja paksa dia kahwin dengan mana-mana wanita kelas atasan dan dapatkan zuriat dengan cara IVF. Tetapi, saya tidak mahu mendera perasaan wanita yang tidak bersalah.”
“Puan Sri, maaf kalau saya mencelah. Adakah perasaan kawan saya ini tidak bermakna? Sebab dia hanya wanita kebanyakan? Mengapa Puan Sri rasa kawan saya tidak akan menjadi mangsa kepada perkahwinan ini? Kalau benar Hayden tidak dapat jalankan tanggungjawan sebagai suami.” Kayla terus mencelah apabila kenyataan Puan Sri Rosena berbaur berat sebelah.
Damya hanya terdiam dan menanti jawapan Puan Sri Rosena. Adakah wanita ini sama seperti bekas ibu mentuanya? Jika benar, dia tidak teragak-agak untuk melarikan diri dari situ.
Puan Sri Rosena tersenyum nipis sambil meneguk teh yang dihidangkan.
“Rasanya, Damya lebih tahu. Hayden macam mana. Saya bukan mahu jadikan Damya isteri atas kertas yang hanya untuk lahirkan zuriat. Tetapi, saya mahu anak saya turut bahagia. Jika tidak dapat dengan cara normal, jadi saya akan pastikan rawatan yang terbaik dibuat. Supaya kamu berdua akan jadi pasangan yang normal seperti orang lain. Pendek kata, saya mahukan yang terbaik untuk Hayden dan isterinya.” jelas Puan Sri Rosena.
“Apa yang penting, saya mahu wanita yang boleh terima Hayden seadanya. Bukan semata kerana duit dia, kedudukan dia atau… kemewahan yang dia boleh bagi. Wanita itu mesti tahu… Macam mana untuk hargai anak saya.” Kali ini antonasi suara Puan Sri Rosena lembut dengan sepenuh perasaan.
Kayla akhirnya terdiam dan terharu mendengar penjelasan wanita itu. Damya pula menunduk kerana dia turut tersentuh.
“Macam mana kalau saya tak dapat lahirkan zuriat?” soal Damya perlahan.
“Itu kerja Tuhan. Tugas kita cuma berdoa, usaha dan berserah. Sekarang… Kamu mahu atau tidak untuk buat pemeriksaan?” soal Puan Sri Rosena.
“Baiklah… Saya juga ingin tahu keadaan diri saya.” Akhirnya Damya memberi keputusan.
Puan Sri Rosena tersenyum. “Kamu buat keputusan yang tepat. Hayden akan buat pemeriksaan selepas kamu berdua berkahwin. Jangan risau, klinik ini adalah yang terbaik dalam negara.”
Damya sedar dia tiada jalan lain ketika itu melainkan untuk bersetuju.
“Hmm…” Mata Puan Sri Rosena terarah ke jari manis Damya yang kosong.
“Dia belum beri engagement ring?”
Damya terasa wajahnya panas ketika itu. Kayla akhirnya tersenyum.
“Hayden… Kalau bab ni memang lambat. Kalau suruh dia cari duit, memang laju. I’m sorry for him.” kata Puan Sri Rosena sambil menggeleng kepala.
Kayla ketawa sehingga terpaksa menutup mulutnya.
****
Kelas masakan Chef Aariz tidak pernah tidak menarik dan semestinya meriah. Lelaki itu mempunyai daya tarikan tersendiri sehingga pelajarnya semakin bertambah. Malam itu, selesai sahaja kelas, Chef Aariz terus mendekati Damya yang sedang berkemas. Damya juga salah seorang pelajarnya.
“Awak hilang fokus malam ni. Panna cotta awak tak menjadi.” komen Chef Aariz lalu mengangkat piring yang terdapat puding pencuci mulut tersebut. Dia cuba gerakkan pinggang dan ternyata puding itu tidak bergerak. Bermakna tidak cukup lembut.
Damya hanya tersenyum tawar. “Saya akan cuba lagi next time,”
“Nak cuba sekali lagi? Semua orang dah balik awak mungkin boleh fokus.”
“Next time. Saya ada hal sikit,” kata Damya lalu meletakkan pencuci mulut itu di dalam kotak kecil untuk di bawa pulang.
“Saya hantar awak balik. Saya dengar awak datang dengan kawan tadi.” Aariz masih mencuba untuk meluang masa dengan wanita itu.
“Emm…” Damya teragak-agak.
“Lambat lagi ke?”
Damya dan Aariz pantas menoleh ke arah pintu dan melihat Hayden berdiri tegak di situ.
“Tuan Hayden!” Damya gamam apabila melihat kemuculan lelaki itu.
“Hi, chef!” Hayden tersengih nipis saat menyapa Aariz.
Aariz hanya mampu tersenyum tawar.
“Saya tunggu di kereta,” Hayden terus bergerak pergi dan meninggalkan mereka yang terkebil-kebil.
“Saya pergi dulu, chef. Jumpa lagi.” Damya meminta diri dengan sopan lalu bergerak ke pintu keluar.
Hayden kenapa tiba-tiba boleh muncul seperti itu? Lelaki ini semakin tidak boleh diramal!
Suasana dingin seperti kesejukan yang Damya rasai di dalam kereta mewah lelaki itu. Nampaknya Hayden telah menukar kereta baharu. Ataupun dia menambah koleksi keretanya, Damya tidak pasti. Hubungan mereka semakin renggang sejak beberapa bulan lalu dan Hayden sedikit pun tidak memberi penjelasan.
“Hari ni cuti kan, hujung minggu. Awak buat apa hari ni?” soal Hayden memecahkan suasana sunyi di antara mereka.
Damya menarik nafas panjang. Mustahil dia akan beritahu tentang pertemuan dengan Puan Sri Rosena di klinik kesuburan.
“Saya keluar dengan Kayla, lepas tu dia terus hantar saya ke kelas masakan sebab dah lewat.”
“I see…”
“Kenapa awak tiba-tiba datang tadi?”
”Saya tahu awak ada kelas dan saya nak jumpa awak. Kebetulan awak memang tak bawa kereta dan saya boleh hantar awak balik. Kenapa? Awak nak balik dengan Aariz ke?” Hayden masih kelihatan tenang walaupun telah memberi soalan cepumas kepada Damya.
Damya mengetap bibir. “Sekarang ni saya balik dengan siapa?”
Hayden tersengih. “Kenapa awak marah sangat ni?”
“Kenapa saya nak marah awak? Tak ada punca…” Damya mengalih muka ke tingkap.
Kedengaran tawa Hayden yang halus. “I’m sorry, okay. Beberapa bulan ni saya sibuk dengan projek bersama Tengku Abdullah. Saya banyak ulang alik KL-Singapore. Kadang-kadang saya tidur di office. Selain dari busy, saya juga betul-betul nak bagi awak masa untuk bertenang dalam tempoh idah. Saya juga perlu berjaga-jaga dengan bekas suami awak, supaya dia tidak menghidu tentang kita. Sekarang… Rasanya tak ada apa yang perlu kita risaukan lagi.” Hayden menjelaskan satu persatu walaupun Damya sudah memalingkan wajah darinya.
“Kenapa baru nak cakap hari ni? Saya ingat awak sudah tidak peduli dengan saya,”
“Damya… Awak merajuk ke selama ni?” Hayden akhirnya ketawa menyakat.
Diam.
“Mya…” Hayden menarik dagu wanita itu sehingga wajah Damya terpaksa toleh menghadapnya.
“Awak pergi malam tu… Dalam keadaan macam tu. Awak tidur dengan siapa?!” Damya akhirnya menghamburkan kemarahannya yang terpendam sekian lama.
“Malam tu?” Hayden mengerutkan dahi sambil berfikir. Akhirnya dia ketawa apabila dapat mengingati peristiwa itu.
“Come on, Damya. Awak marah saya sejak malam tu ke?”
“Saya cuma risau! Awak abaikan saya sejak malam tu!” Air mata Damya bergenang kerana terlalu lama menahan rasa.
“Dahsyat betul awak punya merajuk. Oh my god!” Hayden memegang kepalanya.
“Jangan main-mainlah!” Damya memukul bahu Hayden bertubi-tubi.
“I’m driving, Mya. Tunggu sekejap.” Hayden masih ketawa dan terus memberi signal ke kiri. Kenderaan itu dipandu ke dalam sebuah taman tasik yang meriah dengan cahaya lampu.
Damya melihat ke hadapan apabila kereta Hayden berhenti di tepi jalan. Sedikit puas hatinya dapat meluahkan apa yang terpendam.
“Malam tu tak ada apa yang berlaku. Saya kuga tak abaikan awak, Mya. Saya tahu semua aktiviti awak. Cuma… Saya betul-betul sibuk. Banyak benda saya kena fikir. Hal kerja, hal peribadi. Saya tahu awak faham.” jelas Hayden.
“Baiklah, saya tak nak panjangkan. Saya cuma nak luahkan.” Damya masih memandang ke hadapan walaupun dia sedar Hayden sedang menatap wajahnya.
“Saya janji, saya tak akan abaikan awak lagi.”
Damya terasa tangannya digenggam erat oleh lelaki itu. Damya memandang ke tangannya dan dia tersentak apabila Hayden sedang menyarungkan cincin bertakhtakan berlian di jari manisnya. Damya terus kaku!
“Will you marry me?” tanya Hayden dengan berbisik garau.
Damya akhirnya menatap wajah Hayden yang kelihatan serius. Lelak itu melamar dalam keadaan yang sangat sederhana namun cukup menyentuh hati. Damya terkedu!
“Yes or no? If no… I can explain to my mom.”
“Saya sudah pun beri jawapan kepada emak awak. Hari ni saya di bawa ke klinik kesuburan untuk preparation nak dapatkan zuriat awak. Awak rasa?”
Hayden terus tergamam. “My mom? Dia sudah sampai tahap tu?”
“Yes, dia cakap awak memang lambat bab ni. Saya setuju dengan dia.” Damya tersengih sinis.
Hayden ketawa lalu melepaskan tangan Damya.
“Baiklah… Ini cuma syarat aje, nanti cakap saya tak melamar pulak.”
Damya mengangkat tangan kanannya untuk melihat cincin yang disarungkan oleh Hayden.
“Kalau awak tak bagi ni… Makin teruk awak kena pujuk nanti.”
“Bukan susah pun nak pujuk awak!”
Damya tidak sempat menoleh dan Hayden terus menarik lehernya. Satu ciuman panas singgah di bibir Damya sehingga wanita itu menjadi kaku seketika. Kemudian ciuman Hayden seperti tidak dapat dihentikan. Damya akur dan perlahan memeluk Hayden serta membalas ciuman itu dan membangkitkan keyakinan Hayden!
Hayden tersenyum walaupun dalam keadaan bibir mereka bersatu. Dia yakin Damya juga menahan perasaan itu selama ini!
Share this novel
aduh....bestnya...
pjjjj hariii ni ada chap x
bibir damya je dia dpt kiss.. hahaaa