Bab 28
Langkah kaki Damya diatur perlahan di laluan pejalan kaki sambil menikmati suasana malam yang indah ketika itu. Dia mendongak ke langit dan mencari bintang yang bertaburan tetapi hampa. Langit hanya gelap, tiada penampakan bulan atau cahaya. Malam itu hanya diterangi oleh lampu jalan dan bangunan kedai berhampiran kondominium.
Hayden menghantarnya pulang selepas makan malam keluarga Tan Sri Musa, tetapi lelaki itu mengajaknya berjalan di sekitar kawasan kejiranan untuk mengambil angin malam.
“Daddy suka masakan awak. Saya nampak dia makan banyak tadi.” ujar Hayden bersama langkahnya yang semakin perlahan.
“Saya cuma harap hubungan awak dan keluarga awak kekal baik. Walaupun saya bukan calon menantu idaman.” Damya tersenyum hambar.
“Don’t put yourself down. Saya cuma nak tekankan yang… Saya bukan nak jadikan awak orang gaji atau tukang masak untuk keluarga saya. Tadi tu… Sebab hari jadi mummy.”
“Jangan risau, saya suka dan rela hati.” jawab Damya.
“Beritahu saya kalau, ada perkara yang menyusahkan.” Hayden berhenti melangkah apabila mereka berada di hadapan kondominium.
Damya angguk perlahan lalu mendongak memandang Hayden yang kelihatan serius.
“Apa yang menganggu awak, sekarang?” soal Damya.
Hayden melepaskan keluhan halus. ” Tentang Dayana… Saya rasa tak sedap hati.”
“Jangan risau… Walaupun apa pun terjadi, saya tetap adik dia. Family is family…”
“Keluarga pun boleh menyakiti… Trust me.” Hayden memandang Damya tepat. Dia tidak bergurau ketika itu.
Damya tergamam. Wajah Hayden penuh dengan kebimbangan seolah memendam sesuatu.
“Apa-apa pun, awak kena berhati-hati.” tegas Hayden.
Damya terpaksa angguk dan bersetuju dengan Hayden.
“Baiklah… Saya naik dulu. Jumpa nanti…”
Hayden tersenyum hambar lalu memusingkan badan. Damya kaget apabila lelaki itu tidak mengucapkan selamat tinggal dan terus berlalu seperti itu.
“Awak tak cakap apa-apa?!” jerit Damya. Wajahnya terus berubah dengan sedikit rasa rajuk.
Langkah Hayden terus mati dan dia menoleh dengan terpinga-pinga.
“Kenapa?” soal Hayden, bingung.
Damya mengeluh lalu menggeleng kepala.
“Nothing. Bye…”
“Hold on!” balas Hayden apabila Damya mula melangkah.
“Why?” soal Damya apabila melihat Hayden kembali datang ke arahnya.
Damya sekali lagi tergamam apabila Hayden memeluknya erat. Kemudian Damya tersenyum manis.
“Good bye, have a good rest.” bisik Hayden.
“Awak tak perlu buat macam ni…” Damya mengusap belakang lelaki yang lebar.
“Saya tak pandai bercinta. You should teach me,” bisik Hayden.
Damya ketawa lalu menolak badan lelaki itu. “Siapa nak bercinta pada usia macam ni? Kita bukan budak-budak.”
“Habis tu… Kenapa muncung tadi?” Hayden mengangkat kening lalu mencuit mulut muncung Damya.
Damya menepis dan tersengih malu. “Mana ada!”
“Tell me if you want more…”
“No! Pergi balik sekarang!” Damya terus menolak Hayden sehingga lelaki itu terpaksa berundur.
“See you, honey.” Hayden melambai tangan bersama senyuman kacak.
Kembang hati Damya saat itu sehingga merona merah wajahnya. Hayden lelaki yang bersahaja tetapi kadang kala tetap membuat hati wanitanya berdebar hebat!
****
Rutin harian Damya masih tidak berubah. Waktu pagi dia akan pergi ke pasar untuk membeli-belah barangan dapur. Tetapi, dia semakin sibuk apabila barangan dapur perlu disediakan untuk kelas masakan juga. Ketika itu, dia akan dibantu oleh pekerja lain untuk mencari keperluan kelas masakan yang lebih rumit.
Pagi itu Damya hanya ke pasar awam untuk membeli barang keperluan masakan untuk Hayden. Keadaan pasar yang sesak dan padat membuatkan Damya terpaksa berhimpit. Ketika itu telefonnya berbunyi dan Damya terkial-kial untuk mencapai telefon di dalam beg silangnya.
“Hello?” Damya menjawab panggilan dari nombor yang tidak dikenali itu dengan suara yang agak kuat kerana suasana yang bising.
“Hello, Damya?”
“Ya, saya. Dengan siapa saya bercakap?” soal Damya.
“Tan Sri Musa. Boleh kita berjumpa?”
Damya terus kaku di situ sehingga bahunya dilanggar orang yang lalu lalang. Dia kembali tersedar dari gugup dan memberi fokus kepada pemanggil.
“Ya… Ya, Tan Sri. Kita nak berjumpa di mana?”
“Kamu di mana? Pemandu saya akan jemput kamu.”
“Saya memandu sendiri. Saya di pasar.”
“Pasar?” Tan Sri Musa diam sejenak.
“Baiklah, kamu datang ke lokasi ni. Saya akan hantar lokasi.”
“Baik, Tan Sri.”
“Hayden tak boleh tahu hal ni.” pesan Tan Sri Musa dengan tegas sebelum memutuskan talian.
Damya melepaskan tangannya ke bawah dengan telefon masih dalam genggamannya. Dia memandang lurus ke hadapan kerana memikirkan tujuan bapa Hayden mahu berjumpa dengannya. Tidak banyak perkara positif yang boleh difikirkan waktu itu! Damya tidak nafikan dia sangat gementar.
****
Aizat berdiri sambil bersandar di badan keretanya ketika menunggu ketibaan seseorang. Dia mendapat mesej dari seorang individu yang mahu bertemu dengannya secara peribadi. Aizat masih tertanya-tanya tetapi dia dapat menghidu sesuatu. Kemungkinan ada kaitan dengan bekas isterinya, Damya. Aizat tersengih sendiri kerana dia tidak pernah mengaku kalah seperti anggapan Damya.
Sebuah kereta mewah berhenti mendadak di hadapan keretanya sehingga Aizat tersentak dari lamunan. Kemudian dia berdiri tegak dan menanti siapa yang bakal muncul di depan matanya.
Aizat mengecilkan mata apabila melihat seorang wanita bergaya dengan berkaca mata hitam keluar dari kenderaan itu. Wanita itu mengatur langkah dengan teratur ke arahnya.
“Aizat?” soal wanita itu apabila tiba di hadapan Aizat.
Aizat masih meneliti wajah di sebalik cermin mata hitam itu. Wanita itu tersengih lalu menanggalkan kaca matanya.
“Do you know me?”
Aizat terus tergamam. Matanya tidak berkelip melihat Pengarah HR dari AG Group sedang berdiri di hadapannya.
“Datin?!”
Datin Dayana kembali memakai cermin mata dan tersenyum sinis.
“Aizat… Rasanya kenapa I datang jumpa you?” soal Dayana selamba. Sengaja memberi teka-teki hambar.
“Datin, saya tak faham. Kalau ada masalah kerja, kenapa jumpa saya di luar pejabat? Kenapa tidak panggil saya ke HQ? Tetapi, Datin sendiri datang ke sini?” Aizat masih belum mengerti walaupun dia sudah tidak sedap hati.
“Lembab betul you ni. Sebab itu kot… Senang-senang ex-wife you cari lelaki lain.” sindir Dayana.
Terus berubah wajah Aizat sehingga merah padam. Dia menatap tajam wajah atasannya itu tanpa gentar.
“Datin kalau datang nak kutuk saya, Datin memang sudah salah orang. Apa kena mengena hal peribadi saya dengan Datin?!” jerkah Aizat.
“Hey… Calm down! Tak kan you belum faham lagi? Nampak sangat you tak tahu siapa skandal ex-wife you!”
Aizat selangkah ke hadapan dengan berang. Fikirannya mula mencerna situasi yang sedang berlaku.
“Maksud Datin? Datuk ke skandal ex-wife saya? Sebab tu Datin meroyan macam ni? Betul ke?!” herdik Aizat lantang.
Dayana terus menolak Aizat supaya tidak terlalu dekat dengannya. Dia meneliti wajah Aizat yang sedang berang. Boleh tahan bekas suami Damya itu, tetapi Hayden lebih bergaya.
“Perempuan macam tu, bukan taste Datuk Haizan. You ingat, suami I buta sangat ke?” Dayana tersengih sinis.
“Dan Datin ingat… Bekas isteri saya ada taste dengan suami Datin? Jika nak bandingkan saya dengan suami Datin… perempuan tak akan buta melainkan kerana duit. Seperti Datin…”
Dayana terus panas hati mendengar sindiran Aizat dan lantas menanggalkan kaca matanya dengan kasar.
“Eh, yang you beriya membela bekas isteri you kenapa? You seronok ke tengok dia dapat lelaki yang lebih bagus dari you?!”
“Nampaknya, Datin pun sedang berdendam dengan bekas isteri saya. Tapi, saya nak tahu sebab apa? Sampai Datin sanggup turun sini.” Soal Aizat kerana tidak mahu berbasa-basi lagi.
“Okey, you jawab dulu soalan I… Adakah you mahu bekerjasama dengan I? I tak nak tengok Damya bahagia… Depan mata I!”
Aizat membalas renungan tajam Dayana yang penuh dengan dendam itu. Nampaknya dia bukan keseorangan.
“Saya memang tunggu masa yang sesuai sahaja… Saya tak pernah mengalah.” jawab Aizat yang mula tertarik.
Dayana akhirnya tersenyum lebar. Itulah tujuannya bertemu dengan lelaki ini walaupun perbincangan mereka agak sukar.
“Well… Kita akan ada banyak perkara untuk dibincangkan,"
Aizat mengangguk beberapa kali. “Jadi… Siapa lelaki itu?!”
*****
Padangan mata Damya terarah ke kawasan padang yang luas terbentang dan berbukit. Di satu tempat, terdapat seorang lelaki sedang bermain golf ditemani pembantunya yang setia di sisi. Langkah Damya maju kearah lelaki itu dengan penuh debaran. Dia tidak selesa dengan penampilannya ketika itu kerana baru pulang dari pasar. Sudah tentu baunya juga tidak enak
Bagaimana pun Damya harus berdepan juga dengan Tan Sri Musa. Lelaki itu pernah memuji masakannya di hadapan Puan Sri Rosena, tetapi hari ini dia dipanggil secara diam-diam sehingga menimbulkan rasa panasaran di hati Damya.
“Tan Sri, minta maaf saya lambat. Jalan sesak sikit tadi.” Tegur Damya dengan berhati-hati.
Tan Sri Musa menghayunkan satu pukulan yang jauh sebelum menoleh memandang Damya di sebelahnya. Dia menurunkan kayu golf ke tanah dan menongkat tangannya. Seorang lelaki berpakaian kemas di sebelah Tan Sri Musa terus berundur dari situ dan tinggal hanya mereka berdua.
“Tak apa, janji kamu sampai. Mari kita cari tempat duduk.”
Damya akur dan mengikuti lelaki itu ke bangku dan meja berhampiran. Mereka duduk di situ dan membuang pandangan jauh ke tengah padang.
“Hari tu kita tak dapat berbual panjang. Sebab saya tak akan bercakap perkara ini di depan semua orang. Sebab itu saya panggil kamu ke sini.” Tan Sri Musa memulakan bicara.
Damya berdebar tetapi masih kekal bersahaja. Dia sudah masak dengan personaliti manusia di sekelilingnya. Pengalaman hidup banyak mematangkan Damya.
“Tan Sri boleh berterus terang. Saya sedia mendengar,” balas Damya.
Tan Sri Musa mengangkat kedua belah keningnya tanda agak tertarik dengan cara wanita itu mengawal situasi.
“Hayden… Adalah anak saya yang paling berharga. Bukan sedikit ahli korporat, keluarga bangsawan yang mahu menjadi besan saya. Tetapi, kamu sendiri tahu kekurangan Hayden yang menjadi penghalang.” tutur Tan Sri Musa dengan tenang.
Damya memilih untuk diam dan mendengar apa lagi yang mahu disampaikan oleh Tan Sri Musa. Mukadimah itu sahaja sudah tidak menyebelahinya.
“Saya setuju kamu memang calon isteri yang baik untuk Hayden. Sebab kamu mampu membuat Hayden selesa. Kamu mampu menjaga Hayden seperti mana Puan Sri buat selama ni. Tapi…”
Tan Sri Musa menoleh memandang Damya yang masih diam tanpa kata.
“Latarbelakang kamu… Bekas suami kamu adalah pekerja AG Group. Dan saya dapat tahu kamu bercerai kerana hubungan sulit dengan Hayden.”
“Bukan macam tu, Tan Sri!” Mendadak Damya menafikan tuduhan itu dengan wajahnya yang serius.
“Kamu ada suara rupanya…”
“Hayden bukan punca saya bercerai. Kami memang sudah ada masalah.” Damya cuba memberi penjelasan walaupun sia-sia.
“Hayden bayar bekas suami kamu setengah juta untuk tutup mulut. Kalau semua orang tahu!” Tan Sri Musa menghentak meja sehingga Damya hampir melompat kerana terkejut.
Tangan Damya terus menggigil melihat kemarahan Tan Sri Musa saat itu.
“Saya tidak tahu apa niat sebenar kamu dekati Hayden. Tetapi… Apa yang kamu buat sehingga Hayden terjebak hal seperti ini… Bukan sesuatu yang saya boleh tutup mata!” tegas Tan Sri Musa.
“Adakah kerana kakak kamu menjadi menantu saya, dan kamu juga memasang cita-cita?”
Damya pantas menggeleng. “Saya tahu, walau apa pun yang saya cuba jelaskan, Tan Sri tak akan terima. Jadi, saya tak akan bazirkan masa. Saya tidak tahu apa-apa tentang bayaran tu… Saya cuma tahu Hayden bantu saya dapatkan peguam yang bagus.”
“Kamu ingat bekas suami kamu senang-senang nak lepaskan kamu macam tu aje bila dia tahu kamu ada skandal dengan lelaki kaya? Lepas ni tak tahu apa lagi dia boleh buat. Kenapa Hayden langsung tak fikir panjang!”
“Saya akan minta dia pulangkan wang tu!” Air mata Damya terus bergenang. Entah kenapa dia amat kesal saat itu.
“Itu bukan jalan penyelesaiannya!” tegas Tan Sri Musa.
Damya menggenggam tangan mencari kekuatan. Dia perlu mehanan air mata dari tumpah.
“Macam mana pun kamu tetap menjadi pilihan Hayden. Tetapi… Perkahwinan kamu tidak boleh dihebahkan. Untuk melindungi nama baik keluarga dan syarikat. Hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang akan tahu. Sesiapa pun di luar kita akan tutup mulut mereka!”
Kali ini Damya tidak mampu berkata-kata apabila melihat ketegasan Tan Sri Musa ketika itu.
“Kamu jangan terlalu selesa. Pastikan kamu dapat lahirkan zuriat Hayden dan bantu Hayden menjadi pewaris. Selepas itu… Kita akan tentukan nasib kamu. Dan, kamu jangan fikir untuk lari dari Hayden sekarang selepas apa yang berlaku. Kamu harus bertanggungjawab selepas Hayden terjebak dengan skandal ni. Kalau kamu faham… Boleh balik sekarang.” Tan Sri Musa terus bangun dan berjalan semula ke tengah padang.
Damya mengetab bibir dan menahan rasa yang amat perit. Ketegasan dan amaran Tan Sri Musa bukan satu gurauan, ia melekat di hati Damya sehingga terasa satu tusukan yang tajam.
Ya… Dia sudah terjebak. Dan tiada jalan keluar lagi. Melainkan jalan itu dibuka oleh mereka.
*****
“Agaknya kenapa Hayden belum kahwin lagi? Sudah banyak calon yang dia tolak. Cikgu Damya mesti tahu sebab business partner dia kan?”
“Tak kanlah cikgu nak ambil tahu hal peribadi orang lain! Tanyalah soalan bila cikgu nak kahwin dengan Cef Aariz!”
Damya terus tergamam apabila mendengar soalan-soalan dari peserta kelas masakannya itu. Dia bingung seketika sehingga tangannya terhenti ketika sedang mengambil gambar hidangan yang telah siap.
“Chef Aariz memang sesuai dengan Cikgu Mya. Kami sokong kalau cikgu dan chef bersatu!”
Damya akhirnya tersenyum hambar. “Sebenarnya kami…”
“Kenapa saya dengar nama saya disebut di sini?” Aariz muncul dari pintu dan berjalan masuk ke kelas Damya.
Semua peserta kelas itu menoleh kepada Aariz dan menjerit suka.
“Chef! Oh my god…”
Aariz tersenyum lalu berjalan sehingga menghampiri Damya yang tercegat di situ. Dia berdiri di sebelah wanita itu bersama senyuman manis.
“Kelas dah habis kan? Boleh bagi masa untuk kami berbual?” soal Aariz.
“Of course! Kami akan balik sekarang!”
Kedengaran gelak tawa dari mereka sehingga Damya tidak mampu berkata apa-apa. Sekelip mata sahaja kelas menjadi kosong dan tinggallah mereka berdua.
Damya menanggalkan apron dan sangkut di penyangkut khas. Kemudian dia kembali kepada Aariz yang bersandar di meja.
“Ada apa chef?” soal Damya agak tidak bersemangat.
“Hujung minggu ni pelancaran buku kita. Jangan lupa tu.” Aariz kekal tersenyum.
“Ya, mestilah saya ingat. Persiapan sudah siap? Maaf tak banyak dapat membantu. Saya sangat sibuk kebelakangan ni.”
“Jangan risau. Saya sudah siapkan semua. Ramai peminat awak akan datang nanti. Buat kali pertama bersua muka dengan Melur Kitchen, mereka mesti excited.”
Kali ini Damya tersenyum hambar. Dia gembira, tetapi seolah ada sesuatu yang menghimpit jiwanya. Bukan sahaja kerana pertemuan dengan Tan Sri Musa, tetapi dia mempunyai kebimbangan yang sukar untuk diungkapkan. Tarikh pernikahannya juga semakin hampir. Adakah sekali lagi dia akan masuk ke dalam neraka perkahwinan?
“Damya, are you okay?” Aariz memetik jari di hadapan muka Damya sehingga wanita itu tersentak.
“Oh… Sorry, chef. Saya letih.”
“Saya boleh nampak tu. Jom saya hantar awak balik. Bahaya awak memandu dalam keadaan macam ni.”
“Tak apa, chef! Saya masih boleh drive.”
“No, Damya. Saya cakap pun awak sudah berangan jauh. Let’s go!” Aariz terus menarik lengan Damya.
Damya akur kerana dia sememangnya sudah kehabisan tenaga. Sehingga dia tidak sedar Aariz memegang tangannya sampailah mereka keluar dari bangunan itu.
Langkah Aariz terhenti secara mendadak apabila melihat Hayden berdiri tegak di hadapan selepas keluar dari kereta mewahnya. Damya tergamam dan tersedar lalu cuba menarik tangannya dari genggaman Aariz. Namun, Aariz tidak lepaskan walaupun sedikit!
“Chef!” panggil Damya yang sudah cuak.
“Kenapa? Ada apa yang salah?” soal Aariz sambil menatap Damya.
Hayden melangkah ke hadapan apabila melihat Aariz dan Damya berpegangan tangan seperti itu.
“Damya!” panggil Hayden dengan serius.
Damya terus merentap tangannya dengan kuat sehingga terlepas pegangan Aariz.
“Saya balik sendiri!” Damya terus melangkah luas ke arah keretanya kerana dia tidak mahu menjelaskan apa-apa kepada Hayden. Buang air liur!
“Mya! Awak tak larat nak memandu!” jerit Aariz.
“Berjalan pun tak larat sampai chef kena pegang tangan dia?” soal Hayden penuh sindiran kepada lelaki itu.
Aariz menoleh kepada Hayden. “Dia memasak sepanjang hari. Mesin pun boleh rosak. Sebagai bos, Tuan Hayden sepatutnya lebih peka.”
Hayden terpempan. Tidak mahu terus bertelagah dengan chef mahal seperti seperti Aariz, Hayden terus melangkah laju ke arah kereta Damya.
Aariz terpaku melihat Hayden membuka pintu kereta itu dan menarik Damya keluar dengan paksaan. Akhirnya Damya mengikuti Hayden masuk ke dalam kereta lelaki itu.
Aariz mengeluh berat. Hayden tidak pernah memberi peluang kepadanya dan Damya sentiasa akur. Apa kelebihan lelaki itu?!
*****
Damya memejam mata dan tangannya memegang kepala yang terasa berat. Hayden memandu dengan kelajuan sederhana dan sesekali melihat keadaan Damya di sebelahnya.
“Saya letih sangat tadi. Tak perasan Aariz pegang tangan saya.” jelas Damya. Sebenarnya fikirannya yang jauh melayang.
“Saya maafkan sekarang. Kalau awak sudah jadi isteri saya… Tak selamat chef kita malam ni.”
Damya menjeling Hayden. “Tak perlu bergaduh pasal perempuan.”
“Saya tak bergaduh. Saya bagi amaran.”
Damya terus diam. Malas mahu bertekak.
“Awak letih sangat ke? Awak boleh berhenti memasak untuk saya dan fokus kepada kelas.” Cadang Hayden.
“Saya bukan kena paksa masak untuk awak. Saya dibayar dan itu pekerjaan saya. Saya cuma…” Damya berjeda. Dia memikirkan ayat yang sesuai untuk dituturkan saat itu.
“Ada masa kita akan rasa letih itu perkara biasa…” sambung Damya.
Hayden mengeluh berat secara tiba-tiba sehingga menarik perhatian Damya.
“What’s wrong?” soal Damya.
“Mya…” Hayden sekali lagi melepaskan keluhan.
“Perkahwinan kita tidak akan dihebahkan.”
Damya tidak terkejut kerana sudah mendengar dari mulut Tan Sri Musa tetapi dia perlu memberi reaksi juga.
“Boleh saya tahu kenapa?”
“Keadaan tak mengizinkan. Awak tentu faham… Gossip tak baik boleh jejas saham syarikat.”
“Akhirnya awak akui… Jika berkahwin dengan saya, akan timbul pelbagai anggapan buruk.” Damya tersengih hambar.
“Jangan manipulasi ayat saya, Mya. Bukan saya yang anggap macam tu.”
“Baiklah… Mari berkahwin senyap-senyap. Saya pun suka begitu. Saya tak perlu hadiri majlis-majlis rasmi dan tersenyum palsu di hadapan semua orang. Sedangkan orang akan berkata buruk di belakang saya.”
Hayden terus tersentak dengan kata-kata Damya yang seperti meluahkan hakikat sebenar yang mungkin akan terjadi.
“Sampai masa… Semua akan reda. Kita cuma perlu bersabar.” balas Hayden perlahan.
“Saya akan tidur sekejap,” Damya terus memejam mata dan mengosongkan fikiran. Dia perlu mengecas semula tenaga yang hilang.
Hayden terus terdiam dan membiarkan Damya berehat. Nampaknya, hubungan mereka lebih sukar dari jangkaannya.
Share this novel
akhirnya kahwen jgk Hayden dgn Mya. tp ntah apa lg ujian yg kena mereka hadapi dgn plan jahat dayana Dan aizat. risau ahhh
tq PJ
Alah PJ kejap sgt Tggu lama tau..xpuas baca..kesian mya kan...harap Hayden sentiasa di sisi mya....