Bab 16
Damya membuka mata perlahan dan melihat keadaan bilik yang begitu asing. Badannya yang lemah kembali segar walaupun tidak sepenuhnya. Perutnya berbunyi dan dia terasa amat lapar. Damya cuba gagahkan diri untuk bangun walaupun tubuhnya terasa berat. Dia turun dari katil dan melihat satu beg kertas di atas meja solek.
Damya menyentuh dadanya yang tiba-tiba berdebar. Hayden ada masuk ke bilik ini? Cuba untuk bertenang, Damya membuka beg kertas itu dan dapati terdapat pakaian baru di dalamnya. Damya sempat melihat keadaan dirinya yang memakai pakaian Hayden, kelihatan begitu besar dengan tubuhnya yang kecil.
“Siapa yang hantar baju ni pagi-pagi?” Damya mulai bimbang kerana dia berada di rumah lelaki yang tiada ikatan dengannya. Tetapi, dia tetap mengambil pakaian itu lalu masuk ke dalam bilik mandi.
Selesai mandi, Damya cuba merapikan dirinya ala kadar dengan pakaian yang lebih sesuai itu. Dia melangkah keluar dari bilik dengan perasaan yang aneh, seolah-olah dia tidak biasa dengan rumah itu. Sehingga dia sampai di bahagian dapur, kelihatan sosok seorang lelaki sedang leka menyediakan sarapan pagi tanpa sedar kehadirannya.
“Morning…” tegur Damya. Agak kekok tetapi dia harus berlagak tenang.
Hayden menoleh dan memandang kehadiran Damya dengan segaris senyuman nipis. Cukup untuk membuat Damya terpaku.
“Hi… Morning. Breakfast is almost ready,” kata lelaki itu.
“Awak masak apa?” soal Damya lalu duduk di meja bar. Dia cuba untuk mengintai.
“Nasi goreng. I’m sure you’ll like it.”
Damya tidak mampu tersenyum di saat ini. Dia hanya melihat belakang Hayden yang tegap, begitu tenang, dan bersungguh-sungguh menyediakan sarapan pagi untuknya. Selama 5 tahun, Damya tidak pernah melihat pemandangan seperti ini setiap kali dia membuka mata untuk memulakan hari yang panjang.
Siapakah wanita bertuah yang akan memiliki lelaki ini? Detik hati Damya yang menepis angan-angan sendiri. Dia sentiasa berpijak di dunia yang nyata.
Namun Damya tetap bimbang. Hayden bukanlah beriya untuk mengambil hatinya, tetapi sikap bersahaja lelaki itu cukup membuat hati wanitanya tersentuh. Dia takut akan terjatuh ke lembah derita sekali lagi jika tersalah langkah.
“Tuan Hayden, siapa yang hantar pakaian ni?” soal Damya kemudian.
“Baju skandal saya, muat ke dengan awak?” jawab lelaki itu dengan selamba.
Damya terus kelu dan kaku. Hayden menoleh membawa dua pinggan nasi goreng yang sudah siap dimasak. Masih panas dan baunya sungguh membangkitkan selera. Tetapi, Damya masih memandang Hayden tanpa berkelip kerana jawapan lelaki itu sebentar tadi.
Hayden tersengih lalu meletakkan pinggan di hadapan Damya sambil memandang pakaian di badan wanita itu.
“Well… It fits you perfectly. Jadi, awak ke skandal saya tu?”
“Tuan Hayden…” Damya mengecilkan matanya.
Hayden ketawa halus lalu mengambil tempat di hadapan Damya.
“Zetty hantar pagi tadi. Saiz dia sesuai dengan awak.”
Wajah Damya sekali lagi berubah. “Cik Zetty tahu saya di sini?”
“It’s okay, Mya. She’s my cousin yang boleh dipercayai. Dan… Dia bukan orang yang suka judge.”
“Tapi… Saya tetap malu Tuan Hayden…” Damya menunduk wajahnya lalu memejam mata.
“Nanti kita bincang. Sekarang saya nak awak makan. Tenaga awak banyak hilang. Saya tak nak awak jatuh sakit.” tegas Hayden lalu menghulurkan sudu kepada Damya.
Perlahan-lahan Damya mengambil sudu itu dan mulakan suapan. Ya, dia benar-benar kelaparan.
“Okey ke?” soal Hayden. Menanti reaksi Damya yang sedang menikmati nasi gorengnya.
Damya mengangguk. “Sedap… Awak tiru resepi saya.”
Hayden tersenyum nipis. “I’m your big fan. Apa orang cakap. Die hard fan?”
Damya akhirnya tersenyum. “Dulu… Saya pernah menyampah dengan komen-komen awak. Sebelum saya kenal awak.”
Hayden terus melonggo. “Why?”
“Awak asyik komen masak tak jadi…”
Hayden akhirnya ketawa. Damya tersenyum. Kembang hatinya.
“Sekarang, orang yang menyampah dengan saya tu. Ada di depan saya…” Hayden mengetuk meja beberapa kali.
Damya terasa wajahnya panas apabila mata Hayden tidak lepas dari menatap mukanya.
“Bila kita sepatutnya ke PD?” soal Damya untuk mengalih topik perbualan.
Hayden kembali menegakkan badan sambil menyuap sarapan yang dibuatnya.
“Sepatutnya esok…”
“Baiklah, saya akan buat persiapan.” kata Damya.
“Damya, awak masih belum ready.”
“No! I’m fine. Saya tak akan tunggu lama untuk bangun, Tuan Hayden. Saya sudah terlalu lama jatuh terduduk. Sekarang bukan masa untuk meratap.” tegas Damya. Dia perlu cepat bangkit dan menebus dirinya dari kesengsaraan.
Hayden mengangguk perlahan apabila melihat keyakinan wanita di hadapannya itu. Wajah Damya pucat, tetapi masih anggun. Bibirnya kering dan pecah. Hayden masih menyimpan kemarahannya yang belum reda, tetapi dia perlu kekal tenang supaya setiap perancangannya tidak gagal. Kesakitan yang dialami oleh Damya seolah turut menikam dirinya.
“So… Bila awak nak ceritakan segalanya kepada saya?” soal Hayden, kali ini lebih serius.
Damya meletakkan sudu di atas pinggan. Tidak sangka dia sebenarnya terlalu lapar. Damya masih tidak berani membalas renungan Hayden, dia hanya menunduk melihat pinggan yang kosong.
“Saya… Saya nak bercerai.” luah Damya walaupun dia terasa teramat malu dengan pengakuan itu di hadapan lelaki lain.
Hayden tidak terkejut tetapi hatinya luluh melihat kesayuan wajah Damya ketika itu. Tiada setitis pun air mata yang mengalir di pipi mulus Damya, menandakan wanita itu tidak kecewa, tetapi menanggung keperitan hidup yang ingin dilepaskan.
“Sejak bila?” soal Hayden.
“Sejak dua tahun lepas… Tapi, masa tu saya tidak cukup kuat.” jawab Damya.
Hayden terus mengingati peristiwa itu. Benar, keadaan wanita itu dua tahun lepas amat lemah jika dibandingkan pada hari ini.
“Sekarang… Saya sudah tidak peduli. Saya mahu bebas dari mereka.” Damya memejam mata apabila segala penyeksaan keluarga itu terhadapnya kembali terlayar. Kali ini barulah dia berasa sebak.
“Apa syaratnya?” soal Hayden lagi. Dia seolah dapat agak apa yang keluarga itu mahukan dari Damya.
“Mereka rampas semua duit saya dan harta saya. Tetapi masih tidak cukup. Saya sanggup lakukan apa sahaja… asalkan mereka tidak wujud lagi dalam hidup saya.”
“I can help you, Damya.” kata Hayden dengan bersungguh-sungguh.
“Tidak, Tuan Hayden. Jangan terlibat dalam masalah saya. Saya boleh lakukan sendiri.”
“Awak tahu kan… Bukan mudah untuk bercerai kalau suami tidak setuju. Fasakh pun akan ambil masa yang lama kalau dia tak beri kerjasama.” hujah Hayden.
“Saya tahu sebab itu saya akan guna cara lain.”
“What?”
“Tebus talak,”
Hayden mengangkat keningnya sebelah. Menarik.
“Okey, Damya. Saya tak nak dengar lagi. Bawa Aizat jumpa saya!”
“Tuan Hayden…” Damya mengerutkan dahi tanda tidak setuju.
“Tanpa awak sedar… Saya memang sudah terlibat dalam masalah awak. Jadi, biar saya selesaikan selebihnya.” tegas Hayden.
“Imej awak akan rosak, Tuan Hayden. Awak tahu apa orang label awak nanti? Beli isteri orang?”
“Saya bukan beli. Saya tebus…”
Damya terus terdiam dan kelu lidahnya. Tidak mungkin perkara itu akan selesai semudah itu jika Hayden melibatkan diri. Damya semakin rasa tersepit dalam masalahnya yang sedia rumit.
“Aizat tak akan jadikan benda ni mudah, Tuan Hayden…”
Hayden hanya tersengih melihat kebimbangan Damya yang jelas terpancar di wajahnya.
“Trust me, Mya. Awak nak bebas kan? Dan saya akan bayar harga kebebasan awak.”
“Tuan Hayden… Bagi saya masa untuk saya fikir. Sekarang, saya perlu utamakan untuk cari tempat tinggal.” kata Damya lalu melepaskan keluhan berat. Mana mungkin dia akan berhutang dengan Hayden? Mustahil segalanya percuma…
“Okey… Awak boleh bertenang dulu. Tentang tempat tinggal, awak boleh stay sini. Saya akan pindah keluar.”
Sekali lagi Damya terkejut. “Tuan Hayden nak tinggal di mana? Lagipun saya mana mampu nak bayar sewa kondo ni.”
“Damya…” Hayden terus memegang kedua belah pipi wanita itu dan menatap mata Damya dalam-dalam.
“Listen to me carefully. Tinggal di sini dan jangan fikir pasal sewa atau masalah lain. Anggap awak jaga rumah saya ni. Kalau awak cakap benda merepek lagi… Saya tak akan pindah keluar, dan awak pun terpaksa duduk di sini.” Hayden sengaja mengerutkan dahi sehingga wajahnya tampak garang.
Damya pantas melepaskan dirinya dari pegangan Hayden. Matanya tekebil-kebil tetapi cuba untuk mengawal debaran yang semakin menggila.
“Saya akan bayar sewa ikut kemampuan saya. Sebab saya bukan skandal awak.”
Kata-kata Damya itu berjaya membuat Hayden ketawa perlahan.
“Whatever, Damya. Asalkan awak tinggal di sini…”
Damya mengangguk. Dia tiada pilihan, lokasi rumah Hayden sememangnya tempat yang paling selamat dirasainya. Cuma, sedikit tidak selamat apabila pemiliknya adalah lelaki ini!
****
Datin Dayana terpaksa bangun dari pembaringan apabila tidurnya terganggu dengan cahaya matahari yang menembusi jendela. Tidurnya sudahlah tidak nyenyak kerana memikirkan hal yang masih terbuku di hati. Dayana melepaskan langsir dan menutup rapat sehingga bilik itu menjadi suram dek tidak menerima cahaya dari luar.
“Kenapa bilik gelap? Bukalah langsir.” kata Dato’ Haizan yang baru keluar dari bilik mandi.
Datin Dayana tidak memberi respon atau membalas kata-kata Dato’ Haizan.
Dato’ Haizan mengerutkan dahi melihat perubahan sikap Datin Dayana yang semakin ketara.
“Kenapa dengan you ni? Meroyan apa pulak kali ni?”
Berdesing telinga Datin Dayana ketika itu apabila disindir pedas oleh Dato’ Haizan. Kali ini Datin Dayana bangun dari kerusi meja soleknya dan berhadapan dengan suaminya itu.
“Berapa banyak you tipu I selama ni? Cakap Haizan!” bentak Datin Dayana sehingga Dato’ Haizan terkesima.
“Tipu apa Dayana?! Apa lagi yang tak cukup dalam hidup you ni sampai semua benda you tak puas hati?”
“You yang tak jujur dengan I! Masa I dengan Hayden masih bersama… You goda I dengan banyak janji manis! You cakap Hayden tu gila sebab jumpa doktor sakit jiwa! You cakap you pewaris AG Group dan akan lantik I jadi orang terpenting dalam syarikat. Tapi… semua itu cuma angan-angan you!”
Dato’ Haizan pantas mencengkam lengan Datin Dayana dengan kuat sehingga wanita itu menjerit kesakitan.
“Apa yang I tipu? Memang semua tu betul!”
Datin Dayana terus muak dengan sikap Haizan yang masih berdalih.
“You bukan darah daging Tan Sri dan Puan Sri! I dah tahu semuanya!” luah Datin Dayana sambil menahan kesakitan di lengannya akibat dicengkam Dato’ Haizan.
Dato’ Haizan membesarkan mata dan merenung tajam isterinya itu. Cengkaman di lengan wanita itu juga semakin kejap.
“Perempuan tak sedar diri! You pun anak angkat! Sekarang you nak hina I?! Mummy dan daddy bela I dari lahir, dan I sudah macam anak mereka sendiri! Mereka pun tak pernah ungkit hal ni depan I, tapi you!!” Dato’ Haizan terus menolak Dayana sehingga terjatuh ke lantai.
Datin Dayana cuba untuk bangun apabila dirinya sudah terjelepuk di atas lantai yang dingin. Dia masih memandang wajah Dato’ Haizan dengan bengis.
“Kalau you tak tipu I, I masih dengan Hayden sekarang! Pewaris sah AG Group!”
Pang!
Datin Dayana menjerit apabila menerima tamparan hebat dari Dato’ Haizan yang sudah diamuk marah.
“I tak akan biarkan AG Group jatuh ke tangan adik I yang lemah tu! Kalau you ungkit lagi hal ni, I akan pastikan you menyesal seumur hidup, Dayana!”
****
Damya menikmati perjalanan melalui lebuh raya yang panjang dengan melihat ke luar tingkap kereta Hayden. Walaupun dia baru sahaja menerima tamparan terbesar dalam hidupnya, Damya gagahkan diri untuk pantas merawat emosinya yang tercalar. Dia tidaklah gembira, tetapi dia juga tidak terlalu parah meratap nasibnya. Mungkinkah juga kerana lelaki di sebelahnya itu?
“Damya…”
“Ya,” Damya terus menepis lamunan dan menoleh kepada Hayden.
“Dah berapa lama awak pakai telefon tu?”
Damya terus termalu sendiri apabila Hayden bertanya tentang telefonnya yang sudah uzur. Dia lantas menyembunyikan telefon itu di bawah beg tangan.
“Saya akan tukar bila dapat bonus untuk tugas hari ni…” Damya tersenyum hambar.
“Ermm… Saya ada upgrate telefon baru. So, awak boleh guna telefon lama saya.” kata Hayden lalu menghulurkan telefon pintarnya kepada Damya. Masih kelihatan baru.
“Eh, Tuan Hayden. Ini telefon baru.”
“Saya baru guna sebulan. Tapi, saya rasa tak best.”
“Tapi… ini versi terbaru.”
Hayden akhirnya mengeluh berat apabila tidak dapat menipu Damya.
“Yer, saya beli yang baru untuk awak.”
“Tuan Hayden… saya tak boleh terima barang mahal macam ni.”
“Tak mahal pun, saya tak rugi apa-apa.”
“Saya bukan kuno sangat. Telefon ni paling mahal di pasaran. Saya tak boleh terima.” Damya terus kembalikan kepada Hayden.
Tiba-tiba Hayden membuka tingkap kereta dan mahu membaling telefon itu ke luar.
“Tuan! Kenapa nak buang?” Damya terus cuak.
“Kenapa saya nak guna dua telefon?” kata Hayden dengan selamba.
Damya terus menarik tangan Hayden dan mengambil telefon itu dengan wajah geram.
“Baiklah, saya akan guna. Tapi, saya akan beli dengan awak.”
“Harga telefon tu sebulan gaji awak.”
“Saya akan bayar ansur-ansur.”
Hayden tersengih nipis sambil mengeleng kepala dengan kedegilan Damya. Sempat dia melirik melihat reaksi Damya sedang membelek iphone versi terbaru itu.
“Kita akan selesaikan masalah lain bila selesai tugas di PD. Buat sementara waktu abaikan masalah dengan Aizat. Saya akan uruskan dia.” kata Hayden dengan serius.
Damya kembali menatap Hayden yang sedang memandu. “Apa awak nak buat kepada dia?”
“Jangan tanya…”
Damya menelan liur yang terasa pahit. Kemarahan Hayden itu dapat dilihat dari luar kerana wajahnya sentiasa berkerut apabila menyebut nama Aizat.
“Tuan Hayden… thank you so much for your help… and everything.” luah Damya tanpa mengalihkan matanya dari menatap wajah Hayden dari sisi.
Hayden hanya memandang ke hadapan lalu tersengih. Terbang bara di hatinya sebentar tadi apabila menyebut tentang suami wanita itu.
“Thank you je?” Duga Hayden.
Damya terus mengelipkan mata. “Tuan nak apa?”
“Yang manis-manis tak ada ke?”
“Manis? Gula-gula ke?” Damya terus membuka beg tangannya.
Hayden menggeleng kepala sekali lagi sambil tersandar lemah.
“Awak mengantuk ke?” soal Damya lalu menghulurkan gula-gula kepada Hayden.
“Damya… Saya tinggal awak tepi jalan nanti…”
Damya terus menekup mulut dan menahan tawa. Nak sangat kan!
Hayden terasa hatinya kembang melihat senyuman Damya yang begitu manis. Perlahan dia mengambil tangan Damya dan digenggamnya erat.
Damya tersentak tetapi tidak dapat menarik semula tangannya itu. Hayden pasti tidak akan melepaskannya. Damya menahan debaran yang semakin menggila, sesak nafasnya saat itu. Tiada lagi bicara dari Hayden yang mengelamun jauh, namun genggaman tangan Damya tetap tidak dilepaskan.
****
Share this novel
Hopefully malam ni ada update???
manis sangat...lah, sampai kembang dihati.
yeah !! Hahahahha go go hayden ! Tak sabar nak tgk mya jadi milik hayden yg sah