Bab 8: Pegun

Romance Series 733860

Bab 8

“Tuan Hayden!”

Damya menjerit nyaring apabila tubuhnya sekelip mata dilempar ke dalam air laut. Damya tenggelam di dalam ombak sebelum dapat bangun berdiri dengan terkebil-kebil. Dia basah kuyup!

Hayden berdiri sambil tangan menyeluk kedua belah saku seluar. Dia hanya selamba melihat Damya yang sedang membetulkan pakaiannya.

Damya merenung tajam ke arah Hayden. Dia memeluk tubuh. Bajunya basah sehingga menampakkan bentuk badannya yang langsing.

`Nice…’ bisik hati Hayden. Matanya masih menatap Damya.

Damya berdiri kaku kerana malu dengan pandangan Hayden. Mahu sahaja dia mencungkil mata itu, tetapi tidaklah sampai hatinya.

Lelaki itu mengatur langkah bersahaja meninggalkan Damya di belakang bersama senyuman senang.

“Tuan Hayden!” Damya melangkah luas di dalam air ombak sehingga dia dapat mencapai lengan Hayden.

Hayden tidak menjangkakan tindakan drastik Damya sehingga dia tidak sempat menahan diri dari terjatuh ke dalam air. Giliran Damya ketawa melihat Hayden tenggelam.

“Damya!” Hayden bangun dalam keadaan basah kuyup. Rambutnya jatuh ke dahi, kemejanya melekat di dada. Kemeja jenama Fendi bukan untuk dibuat mandi laut Damya! Hayden hanya mampu mengetab bibir menahan geram. Bukan masalah bajunya yang mahal, tetapi sikap Damya petang itu mengusik hati lelakinya, melemaskan jiwa dan raganya.

Damya berpura-pura tidak melihat dan memandang ke arah lain. Hayden hanya melihat Damya berlari anak meninggalkan pantai. Dia berdiri agak lama di situ dan melihat keadaan dirinya.

“Hayden… Jangan bermain dengan api,” Sempat Hayden menasihati diri sendiri bersama keluhan berat.

Encik Fairuz dan Zetty terpaku di hadapan pintu rumah pencutian ketika melihat Hayden dan Damya pulang dengan berjalan kaki dalam keadaan basah kuyup. Mereka hampir tidak berkedip ketika itu, kebetulan mereka pun baru sahaja tiba.

“Tu… Tuan Hayden.” Encik Fairuz menegur bosnya yang melangkah luas ke arah pintu rumah tanpa pedulikan sesiapa.

Damya menunduk kerana malu dengan keadaan itu. Pandangan mata Encik Fairuz benar-benar menghantar rasa kurang senang. Zetty hanya tersenyum lalu mengikuti Damya ke dalam rumah.

“Awak ada bawa baju salin?” soal Zetty.

Damya menggeleng. ”Kita sempat keringkan baju kan?”

“Jangan risau, saya ada bawa baju lebih. Jom, masuk bilik saya.” Zetty menarik lengan Damya dan menaiki anak tangga.

Damya selesai mandi dan menukar pakaian. Baju milik Zetty terletak cantik di badan Damya tetapi agak terlalu bergaya. Tidak sesuai dengan imejnya yang sederhana.

“Cantiknya! Sesuai dengan awak!” Komen Zetty.

Damya memandang cermin dan melihat penampilannya. Blaus labuh plain berwarna putih, dan berleher luas. Damya menarik sedikit bahagian leher kerana dia tidak selesa.

“Garisan bahu awak macam model… Awak cantik Mya,” puji Zetty lagi. Tersenyum.

Damya membalas dengan senyuman nipis. Dia tidak dapat bayangkan untuk pulang ke rumah dengan berpakain seperti ini. Adakah dia perlu menukar baju itu apabila sampai di KL?

“Terima kasih Cik Zetty… Awak sangat baik dengan saya,” ucap Damya. Dia terharu.

“Tolong jaga Tuan Hayden… Dia dah lalui banyak perkara sepanjang hidupnya.” balas Zetty dengan tersenyum pahit.

Damya terkedu. “Kenapa dengan Tuan Hayden?”

Zetty ketawa untuk menutup ketelanjurannya membuka cerita Hayden.

“Awak akan tahu juga nanti… Tuan Hayden pasti akan bercerita,”

“Kamu berdua nampak rapat… Adakah…” Damya sebenarnya agak tertanya-tanya hubungan Hayden dan Zetty. Mereka kelihatan lebih rapat dari seorang bos dan pekerja. Namun, Damya bukanlah seorang yang mahu ambil tahu hal peribadi orang lain. Tetapi, kali ini dia meluahkan juga pertanyaan itu apabila ada peluang.

Zetty ketawa lebih galak. “Jangan salah faham! Saya dan Tuan Hayden… We’re cousin. Selain bos, saya cuma anggap dia macam big brother!”

Ternganga Damya ketika itu kerana tidak menjangkakan jawapan Zetty.

“Sepupu…”

“Yes, Damya. Jangan salah faham tau…” ujar Zetty lalu mengemas barang-barangnya di dalam beg.

“Saya rasa… Saya juga perlu jelaskan,” ujar Damya perlahan.

Zetty menoleh kepada Damya. “Apa tu?”

“Saya sudah berkahwin… Saya cuma, tukang masak di rumah Tuan Hayden.”

Zetty kembali berdiri tegak dan memandang Damya tanpa berkedip.

“Saya tahu… Saya agak keterlaluan hari ni, tentu Encik Fairuz pun dah pandang serong kepada saya,” ucap Damya. Wajahnya kembali keruh penuh penyesalan.

Damya dapat agak Zetty kecewa kerana wanita itu diam membisu. Dia hanya mampu menunduk malu.

“Damya… Saya tak peduli apa status awak. Cuma, tolong jangan curi hati Tuan Hayden kalau awak tidak bermaksud untuk datang kepada dia. Sebenarnya saya tahu status awak. Tetapi… Saya yakin Tuan Hayden tak akan buat perkara yang salah. Dia pernah kecewa sebelum ni, dia sepatutnya lebih berhati-hati. Walaupun dia tidak tunjukkan perasaan dia, tapi dia pun boleh terluka.” ujar Zetty lalu duduk di bucu katil.

Damya masih kekal berdiri dan menghadam setiap butir bicara Zetty.

“Pada mulanya saya tidak tahu… Sehingga saya terjumpa gambar Tuan Hayden dengan bekas kekasih dia di dalam komputer dengan tidak sengaja. Gambar tu semasa dia belajar di UK. Apa yang paling saya terkejut… perempuan tu sekarang, adalah kakak ipar Tuan Hayden. Perempuan tak guna tu…” Zetty tersengih sakit hati sambil membayangkan wajah Dayana. Dasar pisau cukur!

Damya sekali lagi tersentak dengan penceritaan Zetty. Begitukah kisah silam Hayden? Dia langsung tidak sangka.

“Jadi… Semoga Tuan Hayden tidak kecewa berkali-kali. Saya percaya awak pandai jaga diri, jangan ambil hati dengan nasihat saya. Saya cuma nak awak tahu kebenaran dan berhati-hati dengan perasaan abang sepupu saya…”

Damya kekal tenang apabila melihat senyuman ikhlas Zetty. Dia tahu sesiapa pun akan menasihati perkara yang sama tambahan lagi berkaitan dengan ahli keluarga terdekat.

“Saya minta maaf, Cik Zetty…”

“Don’t worry about it. Saya bukan siapa-siapa nak judge awak. Kita semua ada kisah sendiri dan tak sempurna. Jangan muram ye Damya, awak patut enjoy dengan kehidupan awak sekarang. Saya tahu awak bercita-cita tinggi. Saya pun terlibat dalam membuat kertas kerja Kelas Masakan tu. Saya harap awak dan Tuan Hayden berjaya.” Zetty berjaya mententeramkan hati Damya dengan ucapan ikhlasnya.

“Thank you…” Damya akhirnya tersenyum walaupun pahit.

“Jom, kita kena gerak.” Zetty pantas mengambil beg galasnya dan menarik tangan Damya keluar dari bilik itu.

***

Sepanjang penerbangan Hayden hanya diam dan termenung. Damya berubah suram apabila mengingati kata-kata Zetty. Benar… Dia tidak boleh bermain dengan perasaan orang lain. Walaupun Hayden mungkin tidak akan tertarik dengannya, tetapi lelaki tetap lelaki. Dialah yang perlu menjaga diri daripada membuka ruang itu dengan luas.

Damya keletihan kerana otaknya tidak henti berfikir dan jiwanya berkecamuk. Dia memejam mata dan akhirnya terlelap. Hayden mengambil peluang itu untuk menatap Damya di hadapannya. Lama dia merenung sehingga dapat melihat satu persatu keindahan Damya. Bentuk kening yang halus, kelopak mata yang bundar, hidung yang mancung terletak dan… bibirnya yang merah bak delima.

Kemudian pandangan Hayden jatuh kepada bahagian leher jinjang Damya. Leher baju agak luas sehingga menampakkan garisan dada yang mulus. Akhirnya Hayden memejam mata sambil mengeluh berat. Dia menanggalkan kot dan bangun.

Damya membuka mata perlahan apabila terasa ada sesuatu menyentuhnya. Hayden meletakkan kot di badan Damya dan pandangan mereka bertemu.

“I don't want you get cold.” bisik Hayden walaupun alasan sebenar dia bimbang dengan kerterbukaan pakaian Damya. Dia sendiri goyah!

Damya kembali memejam mata kerana dia terlalu keletihan dan berharap semua itu hanya mimpi.

****

Damya berjalan dengan longlai dan lemah di sepanjang lorong menghala ke rumah ibu mentuanya. Encik Fairuz memberhentikan kereta agak jauh dari rumah dan Damya memilih untuk berjalan kaki.

Dia tidak berani untuk bergembira walaupun pengalaman hari itu sungguh bermakna. Hayden juga tiba-tiba berubah senyap sejak dalam penerbangan. Mungkinkah perasaan masing-masing terganggu?

“Kau pakai apa ni?”

Damya sudah dapat agak soalan yang bakal diterima. Dia tidak sempat menukar pakaian lain dan berserah sahaja.

“Baju saya kotor masa buat kerja. Pinjam baju kawan je…” jawab Damya kepada Puan Juriah.

Suri juga berada di ruang tamu dan melihatnya atas ke bawah. Nasiblah dia meminjam baju sejuk Zetty dan menutup bahagian yang terbuka.

“Kau biar betul ni Mya? Lain macam aje kau ni!” kata Suri.

Puan Juriah masih merenung tajam ke arah Damya.

“Saya dah jawab kan.” Damya terus naik ke atas tanpa hiraukan kakak ipar dan ibu mentua yang masih tidak berpuas hati. Dia sudah tidak peduli.

“Mak kena beritahu Aizat suruh tengokkan Damya ni. Entah-entah buat kerja tak elok kat luar tu.” cemuh Suri.

Puan Juriah hanya diam dan memendam rasa. Damya agak sukar untuk ditundukkan sekarang ini.

****

“Tuan… Tuan okey ke?” soal Encik Fairuz ketika memandu untuk menghantar Hayden ke kondo. Bimbang kerana Hayden tiba-tiba banyak berdiam diri.

Hayden mengeluh berat sehingga Encik Fairuz memandang cermin tengah untuk melihat keadaan bosnya di tempat duduk belakang.

“Tuan… Saya bimbang Tan Sri akan tahu. Dia mungkin akan halau Damya dari rumah Tuan. Tolong berhati-hati tuan…” nasihat Encik Fairuz setelah lama dia berdiam melihat Hayden dan Damya yang semakin rapat.

“Tak ada siapa boleh usik, Damya. Ingat tu Encik Fairuz…” jawab Hayden dengan tegas.

“Saya faham tuan… Tapi, dia isteri orang. Isteri staf AG group. Kalau orang tahu…” Encik Fairuz meluahkan kebimbangannya.

“I know how to handle my problems.”

Giliran Encik Fairuz melepaskan keluhan halus. Bagaimana Hayden mahu mengawal keadaan jika hati pun sudah mula terusik?

“Saya bukannya apa Tuan. Tertarung kaki boleh diinai, tertarung hati susah ubatnya…”

Hayden memicit kepala yang tidak sakit sambil memejam mata. Tetapi jiwanya yang sakit mendengar pantun pembantu peribadinya itu.

****

Damya memandang ke arah cermin untuk melihat penampilannya pada awal pagi itu. Dia bersiap dengan kemas dan memakai minyak wangi untuk keselesaannya sendiri. Damya sedar, hidupnya yang suram dan gelap semakin menampakkan cahaya.

“Kenapa makin cantik?”

Damya tersentak apabila tangan Aizat memeluknya dari belakang. Hilang terus sinar wajahnya ketika itu.

“Kenapa tiba-tiba monyok? Kau tak suka aku puji?” Aizat mencium rambut Damya yang harum.

Damya kekal kaku tanpa menolak. Dia tidak mahu terlalu ketara mempamerkan rasa hatinya yang sudah lupus terhadap suaminya itu.

“Saya dah lambat nak pergi kerja,” balas Damya.

Aizat baru selesai mandi dan belum bersiap. Damya merasakan tangan Aizat cuba merayap sehingga dia terpaksa menepis.

“Aizat, please. Saya nak pergi kerja,”

“Apa ni… Kau lupa ke Damya. Kau ni isteri aku. Makin kau berkeras makin aku geram dengan kau…” Aizat berbisik sinis.

Damya menahan diri dari rasa gementar. Sentuhan Aizat kini membuatnya trauma.

“Kau takut ke? Baguslah Mya… Moga kau tak lupa diri.” Aizat melepaskan Damya dengan senyuman sinis.

Damya pantas memgambil beg tangan dan memasukkan barangannya. Dia bergegas meninggalkan bilik itu dengan berdebar. Entah kenapa dia semakin membenci suaminya sendiri! Ya Tuhan…

Emosi Damya seharian terganggu pada hari itu. Namun, kerjanya tetap berjalan lancar. Dia berehat sebentar selepas selesai membuat makan tengahari. Damya duduk termenung di ruang tamu sambil melihat telefonnya, dia menunggu sesuatu tetapi…

‘Kenapa dua minggu tak ada update dari Melur Kitchen? Puan Melur sihat?’

Damya membaca mesej yang diterima di laman sosialnya. Dia tidak mampu membalas. Kerana semangatnya tiba-tiba merudum…

Ting!

Mata Damya kembali segar apabila melihat mesej masuk di inbox. Dadanya berdebar seiring dengan tangannya yang bergetar.

’Ambil grab datang ke tempat biasa… Kita ada meeting.’

Damya mengetap bibir dan mengawal emosi apabila membaca mesej tersebut. Damya menekup mukanya agak lama… Kenapa dia rasa resah sebegini? Walaupun penantiannya berakhir…

Tidak terlalu lama melayan perasaan. Damya pantas bangun dan mengambil beg tangannya. Dia memgumpul kekuatan dan berdoa semoga tidak mempamerkan wajah kusut di hadapan lelaki itu.

Restoran tempat mereka bertemu sememangnya berada di lokasi privasi. Hanya tetamu VVIP dan VIP menjadi pelanggan tetap kerana mereka mengamalkan sistem keahlian. Ya, hanya pelanggan yang mendaftar menjadi ahli VVIP dan VIP sahaja boleh menempah tempat di restoran tersebut. Tidak terbuka kepada semua orang untuk mengekalkan nilai eklusif restoran 5 bintang itu. Yuran keahlian juga sangat tinggi, dan tidak berbaloi untuk orang kebiasaan. Apatah lagi Hayden, yang membayar untuk mencari sudut privasi bukannya untuk makan di situ.

“Kalau awak ada cadangan boleh usulkan. Ini plan yang saya buat sendiri, Zetty cuma tolong edit.”

Damya mendengar penjelasan Hayden dengan teliti sambil membaca kertas kerja itu.

“Jadi, kelas akan ada tiga hari seminggu dan tiga orang chef?” soal Damya. Seperti kelas zumba pula yang selalu dihadiri oleh ibu mentuanya.

“Betul, kita ada kelas masakan barat, makanan traditional dan dessert termasuk bread and so on.” jelas Hayden dengan serius.

Damya mengangguk faham walaupun hatinya sedang bergelora dengan satu persoalan. Membelenggunya untuk sekian waktu…

“Saya kurang mahir dengan dessert and pastry. Jadi, saya pun boleh join kelas?” soal Damya untuk memberi tumpuan kepada perbincangan.

“Sure…” jawab Hayden.

Damya tersenyum hambar walaupun dia sangat teruja dengan projek tersebut.

“Jadi, di sini kita ada ramai calon untuk menjadi guru masakan. Macam mana mahu pilih hanya dua orang lagi?” Damya sempat mencuri pandang Hayden.

“Calon yang kita mahukan agak susah untuk dapatkan. Kita kena jumpa dan tunjukkan tawaran yang terbaik. Kita berdua akan berjumpa mereka sendiri nanti.” sambung Hayden.

Perbincangan terhenti seketika dan suasana menjadi sepi. Fikiran Damya kembali bercelaru dan tidak dapat fokus pada kertas kerja di tangannya. Akhirnya dia mengangkat mata dan memandang lelaki itu yang sejak tadi hanya melihat kertas kerja dengan serius. Sesak dada Damya dibuatnya…

“Tuan… Can I ask you something?” soal Damya setelah mengumpul kekuatan.

Hayden tidak memberi reaksi dan hanya menunggu Damya meluahkan kata.

“Kenapa… Dua minggu Tuan tidak hubungi saya selepas kita balik dari Penang? Dan tiba-tiba muncul hari ni…” Damya melepaskan rasa lega kerana dapat jua menyuarakan persoalan yang sudah dua minggu tersimpul di benak. Sukar untuk dinyatakan perasaan itu…

“Saya… Ada buat salah ke?” Damya melanjutkan persoalan. Gementar.

Dia menanti jawapan Hayden dengan debaran yang berada di puncak!

“Why… Do you miss me?” Hayden masih menatap kertas kerja sambil bersandar dengan tenang. Sedikit pun dia tidak memandang Damya yang pegun di kerusinya.

Jantung Damya hampir meluruh mendengar kata balas Hayden yang menampar jiwanya. Waupun menyesal, dia tidak dapat menarik balik soalan itu!

Share this novel

Guest User
2024-05-17 11:32:12 

lama sangat tak update smpai lupa da cerita dari awal

kimmi wong
2024-01-28 04:34:02 

Nape capt 10 capt 9 mana say

irenerose
2024-01-26 20:34:27 

Ya Allah Hayden pun


NovelPlus Premium

The best ads free experience