Bab 19
Datin Dayana mengatur langkah dengan teratur dan elegan supaya dia sentiasa dapat meletakkan dirinya di dalam kalangan golongan atasan. Latar belakangnya yang lalu telah dihapuskan dan dia bukan lagi anak yatim piatu yang miskin hina. Matlamat hidupnya cukup jelas walaupun dia mempergunakan individu lain untuk mencapai setiap cita-citanya.
Beg tangan Hermes Birkin kegemarannya digenggam kemas sehingga dia sampai di ruang halaman belakang rumah agam Tan Sri Musa. Kelihatan ibu mentuanya sedang duduk mengambil angin petang sambil minum teh.
Wanita itu dari kalangan keluarga bangsawan dan dia tidak perlu berusaha keras untuk membuktikan beliau dari golongan elit. Cukup dengan peribadinya yang anggun dan penuh tertib. Sesuatu yang Datin Dayana tidak mampu untuk menirunya.
“Mummy… Selamat petang.” ucap Datin Dayana dengan perlahan. Dia berdiri dengan sopan di sisi Puan Sri Rosena.
“Hmm… Baru balik kerja?” Puan Sri Rosena meletakkan cawan teh jenama Hermes yang mahal itu di atas meja. Matanya sempat tertancap pada beg tangan edisi terhad di tangan Dayana lalu tersengih.
“Boleh kita berbual, mummy?” Pinta Dayana. Walaupun sudah lebih setahun menjadi menantu Puan Sri Rosena, hubungan mereka langsung tidak berkembang. Tidaklah bermusuhan, tetapi sukar untuknya mengambil hati wanita itu.
“Cuma ada satu Di Malaysia…” komen Puan Sri Rosena.
Datin Dayana baru tersedar dan terus menyembunyikan beg tangannya di belakang walaupun sudah pun dilihat Puan Sri Rosena.
“Patutlah... butik cakap, sudah dijual kepada pelanggan lain. Mummy selalunya tidak terlambat… Kamu lebih cepat ya?”
“I’m sorry, mummy. You can get it.” kata Dayana lalu menyerahkan beg tangan itu kepada Puan Sri Rosena. Dadanya kembali berdebar. Dia sudah tersilap langkah kerana meniru cita rasa wanita itu.
“Ia tidak sesuai dengan kamu. Pulangkan kepada butik.” kata Puan Sri Rosena dengan selamba.
Datin Dayana terus terkebil-kebil dan berubah malu.
“Barang mahal sangat mengenali tuannya. Kalau bukan orang yang sesuai, ia akan menjadi tenggelam dan tidak bernilai.” Puan Sri Rosena menyandar dengan tenang lalu menoleh melihat kebun bunganya yang subur.
“Saya akan pulangkan. Saya tahu… barang-barang mahal tidak sesuai dengan saya. Mungkin juga saya hanya layak dapat yang palsu…” Datin Dayana menahan rasa yang terpendam.
“Mummy singgung perasaan kamu ke?”
“Tidak. Saya cuma cakap benda yang betul.” Datin Dayana menggenggam tangan menahan sabar dengan sikap sinis ibu mentuanya itu.
Puan Sri Rosena kembali menoleh kepada Dayana. “Kamu kata nak bercakap sesuatu? Kenapa tidak duduk?”
Datin Dayana akhirnya mengambil tempat di hadapan Puan Sri Rosena. Dia duduk dengan tertib.
“Mummy… Saya tahu saya tidak layak bercakap tentang ini tetapi… Saya rasa mummy perlu tahu.”
“Tentang apa?”
“Hayden… Nampaknya dia sudah ada teman wanita. Sebab itu dia tolak Tengku Anis.” Datin Dayana cuba memerhatikan perubahan wajah Puan Sri Rosena yang tidak ketara. Dia yakin Puan Sri Rosena berpura-pura tidak terkejut.
“Baguslah kalau dia ada teman istimewa… Tidak begitu?”
“Jadi, kenapa dia tidak kenalkan wanita itu kepada keluarga kita? Mummy tak nak tahu siapa orangnya? Hayden terlalu berahsia kali ni…”
Puan Sri Rosena menuang teh ke dalam cawannya yang kosong. Dia kekal tenang walaupun agak terganggu dengan berita yang disampaikan oleh Dayana.
“Hayden pandai jaga diri dan maruah keluarga. Sampai masa dia tentu akan kenalkan kepada kita. Kenapa kamu risau sangat?”
“Saya tidak risau. Saya cuma mahu mummy tahu hal ini. Saya tak nak… Kalau mummy terlambat, akan jadi susah untuk betulkan.”
Puan Sri Rosena terdiam sambil melihat cawannya yang berisi teh panas. Bau haruman teh itu menusuk rongga pernafasannya. Puan Sri Rosena akui dia agak terganggu dengan kata-kata Dayana.
“Saya naik dulu, mummy. Jumpa masa makan malam.” kata Datin Dayana lalu bangun dan meminta diri.
*****
Encik Fairuz menunggu ketibaan Hayden di hadapan pintu masuk utama Menara AG Group. Dia berdiri tegak sehingga sebuah mereta tiba di hadapan pintu utama. Lelaki itu pantas membuka pintu tempat pemandu dan Hayden keluar dengan wajah serius.
“Tangguh meeting. Jumpa saya di office.” kata Hayden lalu berjalan masuk dengan langkah luas namun tetap bergaya.
Encik Fairuz akur dan terus membuat beberapa panggilan sambil menyaingi langkah Hayden. Ketika di dalam lif, Hayden hanya berdiam diri dan Encik Fairuz begitu bimbang jika mereka akan terserempak dengan individu yang menjadi punca kemarahan bosnya itu. Terpaksa dia mengatur sebuah meeting untuk marketing department ketika itu supaya Aizat kekal di dalam pejabatnya.
Hayden terus meluru ke sofa kulit dalam pejabatnya dan melepaskan butang kot supaya dia dapat duduk dengan selesa.
Encik Fairuz mengambil tempat di sisi Hayden dan bersedia untuk mendengar hujah lelaki itu.
“She wants a divorce. I was so eagerly anticipating the news that I couldn't wait any longer." Hayden meraup wajah yang terasa panas. Merah padam sehingga menampakkan urat di dahinya yang luas.
“Tuan Hayden. Adakah tuan akan dengar nasihat saya?” Encik Fairuz membetulkan cermin mata lalu merenung wajah kusut lelaki itu.
Hayden hanya bernafas kasar dan tidak menjawab soalan itu. Dia termenung jauh dan kepalanya hanya memikirkan satu hal yang membelenggu.
“Jika tuan mahu pecat Aizat, tuan perlu fikir panjang. Tuan tidak boleh salah guna kuasa. Ada undang-undang yang boleh mendakwa tuan di kemudian hari. Kita tak boleh membuka ruang kepada musuh yang sentiasa mencari kesilapan kita.” Encik Fairuz bermukadimah.
“Jadi, kita buat dia terpaksa berhenti. Tak kan itu pun Encik Fairuz tak boleh handle?”
“Tak ada masalah kalau tidak melibatkan hal peribadi yang sensitif seperti ini. Kalau Aizat tahu siapa skandal isteri dia, dan dia diberhentikan kerana itu. Tuan akan ada masalah besar.”
Hayden semakin serabut dengan penjelasan Encik Fairuz yang merupakan bekas peguam. Setiap langkahnya sentiasa dikawal oleh lelaki itu. Tetapi, pembantu peribadinya itu sentiasa betul!
“Jadi, saya nak buat apa sekarang? Saya mesti bantu Damya.”
“Aizat ada kelemahan. Dia banyak berhutang dan gaya hidup dia tinggi. Dia mahukan wang dari skandal isterinya, tetapi tuan tidak boleh dedahkan identiti. Saya akan uruskannya…”
“Saya bukan skandal Damya! Dia bukan perempuan macam itu Encik Fairuz.” tegas Hayden.
“Saya bercakap dari point of view Aizat. Jadi dia tetap anggap lelaki itu adalah skandal isterinya.”
“Whatever…” Hayden akhirnya mengalah. Macam mana dia boleh menghadap lagi wajah Aizat di syarikat ini selepas menebus isterinya?!
“Tetapi, adakah Puan Damya setuju?”
“Tak perlu persetujuan dia. Bawa Aizat ke mahkamah syariah dengan jumlah duit yang dia mahu. I don’t care anymore!”
“Baiklah… Saya akan uruskan. Tetapi…”
“Apa lagi Encik Fairuz?”
“Puan Sri… Dah mula hidu sesuatu. Tuan perlu hati-hati.”
Hayden tidak jadi untuk bangun apabila mendengar nama ibunya disebut.
“How?”
“Saya tidak pasti. Mungkin Datin ada sampaikan sesuatu semasa di Villa Lilibet. Puan Sri ada hubungi saya, tetapi keadaan masih terkawal.” jelas Encik Fairuz.
Hayden angguk. Dia kemudian bangun dan kemaskan kot di badan sasanya.
“Let’s go. I’m ready for the meeting.”
****
Jam menununjukkan waktu tengahari dan cuaca sangat terik pada ketika itu. Mata Damya mengecil kerana silau dan menahan panas yang membahang. Dia berdiri di kaki lima bersama pejalan kaki yang lain sementara menunggu lampu hijau untuk melintas.
Lampu hijau menyala. Damya melangkah laju melintasi jalan yang lebar menuju ke Hote Avant Suites di hadapan. Dia mencuri masa untuk keluar dari rumah Hayden selepas selesai menyediakan makanan tengahari dan serahkan kepada rider.
Damya sampai di hotel lima bintang tersebut dan terus memasuki restoran yang berada di tingkat bawah. Dia membalas senyuman lelaki yang sudah menunggunya di hadapan.
“We meet again, Damya. How are you?” Aariz menghulurkan tangan kepada wanita anggun di hadapannya.
“I’m good. Thank you for taking the time to meet with me.” Damya menyambut huluran tangan dari lelaki itu.
“Don’t mention it. I’m glad to have met you. Have a seat.” Aariz terus mempelawa Damya duduk di meja berdekatan.
Damya duduk dengan tenang dan meletakkan beg galasnya di sebelah.
“Cuaca panas diluar. Do you want some water? Atau boleh juga boleh order for lunch.”
“Orange juice, please. Saya dah lunch tadi.”
“Sure… And I will give you something sweet.” Aariz kekal tersenyum lalu memanggil pelayan dan membuat pesanan.
“Adakah saya ganggu waktu chef bekerja?” soal Damya yang agak bimbang.
Aariz menggeleng dengan pantas. “No! Saya dah selesai di dapur. Jangan risau Damya. We can have long conversations.”
Damya senyum lalu duduk dengan lebih selesa. Aariz kelihatan tidak kekok walaupun itu baru pertemuan kedua mereka.
“Macam yang saya jelaskan di mesej sebelum ni. Saya perlukan nasihat cef untuk terbitkan buku resepi masakan saya. Saya tahu cef sangat berpengalaman.” jelas Damya akan tujuannya datang bertemu lelaki itu.
Aariz angguk dan kelihatan wajahnya teruja.
“Saya tidak sabar untuk bantu selepas lihat contoh menu dan resepi awak. Tetapi, saya ada cadangan yang lebih menarik.” kata Aariz.
“Cadangan apa, cef?”
“Untuk debut dalam bidang ni, awak perlu kumpul peminat dan promosi yang hebat. Saya juga sedang dalam proses untuk terbit buku terbaru. Apa kata kalau kita kolaborasi? Kita boleh guna platfom media sosial untuk promosi. Awak ramai pengikut dan saya sudah ada nama sebagai cef profesional. Selepas awak dikenali dalam bidang penerbitan buku masakan, tidak ada masalah lagi untuk terbit buku sendiri.” terang Aariz dengan bersungguh-sungguh.
Damya mengangguk faham dan pada masa yang sama dia sangat tertarik dengan cadangan Aariz.
“Cadangan itu sangat bagus. Memandangkan saya belum ada pengalaman dalam bidang ni.”
Aariz terus tersenyum lebar. “Baiklah kalau awak setuju, kita akan bekerjasama.”
“Nampaknya kita akan sibuk selepas ni. Projek kelas masakan kita pun akan bermula tidak lama lagi. Renovation kelas dah hampir selesai.” ujar Damya.
“Ya… Saya tidak sabar untuk mulakan kelas. Nampaknya sudah ramai yang mendaftar. Semunya dari kalangan VIP. Saya agak nervous.” Aariz memegang dadanya.
Damya ketawa halus. Aariz pada pandangannya sangat berpewatakan sederhana walaupun dia seorang lelaki yang berjaya.
“Saya yang sepatutnya nervous. Saya tidak berpengalaman seperti cef.”
“Jangan terlalu merendah diri Damya. Saya sudah lihat blog Melur Kitchen, awak sangat berbakat! Pengikut awak juga ramai dan awak sangat popular. Sudah tiba masanya awak tonjolkan identiti.” sokong Aariz.
Damya tersenyum dan berasa kembang dengan pujian dari seorang cef profesional. Tetapi, dia tidak harus terlalu berbangga diri. Perjalanannya masih jauh. Apa yang dia lakukan ini semuanya untuk masa hadapannya dan untuk menebus masa lalu yang telah dibazirkan.
“Damya… Can I ask you something personal?”
“Yes?” Damya terus kembali ke alam nyata selepas termenung seketika.
Aariz merenung Damya. “Awak sudah berkahwin kan?”
Damya tenang kerana sudah menjangkakan soalan itu.
“Ya…”
“Dengan boyfriend awak di Universiti dulu?”
Damya angguk perlahan.
Aariz tersenyum hambar apabila mendengar jawapan wanita itu. Tetapi, kenapa wajah itu begitu suram?
****
Ruslan melonggarkan tali lehernya apabila terasa nafasnya sesak akibat dihentam oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) ketika mesyurat sebentar tadi. Sukar untuk mendekati anak kedua Tan Sri Musa, tidak seperti abangnya Dato’ Haizan. Tetapi, desas desus menyatakan anak kedua Tan Sri Musa sedang mendahului calon menjadi pewaris AG Group semakin hangat diperkatakan. Dia perlu segera mencari langkah untuk mendekati lelaki itu.
“Kenapa tuan? Ada masalah di dalam meeting?” tanya Aizat ketika mengiringi Ruslan yang mahu kembali ke pejabatnya. Aizat seperti balaci Ruslan yang bagai lembu dicucuk hidung.
Ruslan tiba-tiba berhenti melangkah dan menoleh kepada Aizat. Kemudian dia melihat kiri dan kanan untuk memastikan tiada sesiapa berdekatan dengan mereka.
“Aizat, malam ni aku akan buat party sempena hari lahir aku. Apa kata… Kalau kau bawa isteri kau yang cantik tu.” Ruslan berbisik perlahan kepada Aizat dengan senyuman penuh muslihat.
Aizat gamam. Dia kelu dan tidak dapat memberi jawapan saat itu.
“Dia cantik dan… Sangat bagus malam tu. Kau beruntung ada isteri macam tu, Aizat.” bisik Ruslan lagi. Sengaja meracun fikiran lelaki itu.
“Saya tak janji, tuan.” jawab Aizat. Sakit hatinya apabila memikirkan Damya yang semakin jauh darinya walaupun mereka masih suami isteri.
“Jangan macam ni Aizat… Kau dah lupa ke macam mana kau dapat jawatan ni? Kalau bukan sebab isteri kau…“ Ruslan tidak meneruskan ayatnya kerana bimbang kejadian pada malam itu keketahui Aizat. Terbayang bagaimana Hayden membawa pergi wanita itu yang tidak sedikit pun melawan.
“Susah untuk pujuk dia, tuan.”
“Jangan risau… Kau bawa je macam mana cara pun. Aku akan jemput ramai orang atasan kita nanti. Aku yakin… Ramai akan terpesona dengan isteri kau. Kau pun tak rugi Aizat…” Ruslan akhirnya ketawa sambil menepuk belakang Aizat beberapa kali sebelum melangkah semula menuju ke pejabatnya.
Aizat kaku di situ. Matanya mengecil halus sambil membayangkan Damya sehingga hatinya kembali membara.
“Baiklah… Aku akan ajar kau Damya. Biar kau sedar siapa diri kau!”
****
Bunyi loceng rumah mengejutkan Damya yang sedang leka dengan komputer ribanya. Ketika itu sedang edit menu masakan yang akan digunakan untuk kelas masakan nanti. Damya sempat mengeliat kerana terasa badannya lenguh sebelum bangun menuju ke pintu.
“Encik Fairuz,” tegur Damya apabila melihat kemunculan lelaki itu di hadapan pintu kondo. Tentu lelaki itu datang untuk mengambil makan malam Hayden.
“Tunggu sekejap. Saya bawakan bekas.” kata Damya lalu bergerak ke dapur dan mengambil bekas makanan yang sudah tersedia di atas meja.
Damya kembali kepada Encik Fairuz dan menghulurkan bekas makanan itu.
“Puan Damya, boleh saya bercakap sedikit.” ujar Encik Fairuz.
“Ya, encik.”
Encik Fairuz berjeda sebentar bagi menyusun ayat yang baik.
“Saya tidak berniat untuk masuk campur urusan peribadi Tuan Hayden walaupun saya mempunyai keperluan untuk berbuat demikian. Saya mewakili Tan Sri dan Puan Sri untuk menjaga Tuan Hayden dari segala segi. Jadi, saya perlu katakan perkara ini…”
Damya masih menanti kata-kata lanjut dari lelaki itu. Dia sebenarnya mengerti maksud yang ingin disampaikan lelaki itu.
“Saya dapat tahu puan dalam proses untuk tuntutan cerai. Untuk mengelakkan isu yang lebih sensitif, sepanjang tempoh itu, saya nasihati puan supaya tidak berjumpa dengan Tuan Hayden.”
Damya angguk faham lalu tersenyum hambar.
“Jangan risau. Saya faham maksud encik.”
“Terima kasih.” Encik Fairuz terus meminta diri dan Damya menutup pintu rapat.
Damya melangkah longlai menuju ke ruang tamu dan duduk di sofa. Dia terus membayangkan Hayden. Sememangnya mereka belum bertemu sejak kembali dari Villa Lilibet. Hayden juga langsung tidak menghubunginya.
Lamunan Damya terhenti apabila terdapat panggilan masuk. Dia melihat nombor Aizat dengan rasa amat terganggu.
“Awak nak apa lagi?” soal Damya ketika menjawab juga panggilan itu.
“Damya… Kau tak rindu aku ke?”
Damya hampir mahu memutuskan talian saat itu juga. Benci sungguh mendengar suara Aizat yang tidak tahu malu itu.
“Awak dah dapat kan surat dari mahkamah? Tolong hadir bicara nanti.” tegas Damya.
“Sabar dulu, Mya. Kita masih suami isteri. Sekarang ni, tak boleh ke kita bincang baik-baik?”
“Awak nak apa sebenarnya ni?” Damya mula meninggikan suara.
“Macam ni Damya. Hari tu kau minta barang-barang kau kan? Dokumen penting kau. Mak aku hampir-hampir nak bakar semuanya. Tapi aku sempat simpan. Apa kata… malam ni kita jumpa selepas aku habis kerja. Aku akan berikan semua barang kau.” Suara Aizat kedengaran lembut memancing Damya.
“Awak boleh bagi masa kita jumpa di mahkamah nanti.” tegas Damya.
“Come on, Mya. Sampai macam tu sekali ke? Macam mana aku nak pergi mahkamah kalau macam ni sikap kau dengan aku. Bukan lama pun, kita jumpa sekejap aje.” Aizat berhati-hati mengatur perangkap.
Damya memejam mata kerana tidak tahan dengan sikap Aizat yang suka mendesak.
“Baiklah. Awak bawa semua barang saya. Jangan tipu saya Aizat, kalau tak… Awak tak tahu apa yang awak akan hadap.”
Aizat ketawa di hujung talian. “Siapa yang aku kena hadap Damya? Tell me… Teringin juga nak tahu!”
Share this novel
napo polos sgt dmya ni...dah tau laki awak tu tk kisah pon dirinya..yg dio kisah..duit dn kepentigan diri.huuu bodohlah..harap hayden tau..
Harap sgt hayden tahu .. Nanti mati kau Aizat tak guna !!!
Eiii ku geram ngn Aizat ?