Bab 29: Bersatu

Romance Series 733860

Bab 29

“Kenapa aku yang berdebar ni, Mya?!" kata Kayla yang sedang memandu dalam keadaan teruja. Wajahnya berseri-seri mengalahkan bakal pengantin di sebelahnya yang agak muram.

Kayla menoleh melihat Damya yang termenung panjang dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikah di sebuah masjid. Walaupun tiada segaris senyuman, wajah itu tetap kelihatan cantik jelita dalam busana mewah tetapi ringkas. Batu-batu permata yang menghiasi fabrik itu kelihatan berkilau. Hayden tetap mahukan yang terbaik walaupun mereka tidak akan mempunyai majlis gilang-gemilang.

Puan Sri Rosena kecewa besar tetapi itu adalah keputusan muktamad Tan Sri Musa. Sedangkan Damya sedikit pun tidak terkesan. Baginya semua itu tidak penting, apa yang lebih penting kehidupannya selepas ini. Itulah yang menghantuinya sehingga saat itu.

“Mya, kau okey ke ni?” soal Kayla yang kembali serius apabila melihat mata sahabatnya itu seperti tidak berkelip sejak tadi.

“Betul ke keputusan aku ni, Kayla?” luah Damya dengan sedikit keluhan halus yang masih dapat didengari oleh Kayla.

“Come on, Mya! Stay positive. Break a leg!” Kayla tidak mahu memberi kata-kata yang boleh menjatuhkan semangat sahabatnya itu. Dia perlu kekal di landasan agar dapat memimpin Damya ke destinasi.

Damya tersengih halus. “Dulu… Aku masih mentah. Aku tak rasa apa-apa masa nak kahwin buat kali pertama. Tak terlalu happy tapi tak juga bimbang apa-apa. Sekarang… Aku terlalu bimbang. Mungkin aku nervous.”

“Ya. Itu yang sebetulnya. Dulu kau memang mentah dan aku pun tak happy macam ni masa kau nak kahwin dengan Aizat. Aku rasa sangat kehilangan seorang kawan baik aku. Tapi, sekarang aku yang tak sabar nak bawa kau pergi akad nikah. Sebab aku yakin… Lelaki yang bakal jadi suami kau ni, mampu jadi pelindung kau. Bukan setakat peneman hidup.”

Damya menoleh kepada Kayla yang kelihatan bersungguh di sebelahnya. “Kau rasa macam tu?”

“Iyelah! Aku yakin… InsyaAllah, Damya. Ada bahagia untuk kau lepas ni.”

“Entahlah...” Damya kembali memandang ke hadapan.

“Damya… Bila kali pertama kau jatuh cinta dengan Hayden?” soal Kayla sengaja mahu mengorek isi hati sahabatnya yang banyak berahsia itu.

Damya akhirnya tersengih sehingga Kayla turut ketawa.

“Aku bukan muda lagi nak bercinta bagai…”

“Kita belum 30 tahun tau! Kau jangan… Aku pun masih dalam mood bercinta tau!” Kayla akhirnya marah manja.

“Jawablah, Mya. Aku teringin sangat nak tahu. Tak apa, kau boleh aje luahkan. Aku tak pernah judge kau.”

Damya terdiam sejenak dan mula memikirkan jawapan yang selamat ketika itu. Tetapi, yang hadir hanya bayangan kejujuran di hatinya sendiri. Wajah Hayden yang bersahaja saat kali pertama mereka bertemu bermain di mata Damya saat itu. Seumur hidupnya, jantungnya tidak pernah rasa terhenti apabila bertentang mata dengan seorang lelaki.

Tidak mungkin dia akan jujur dengan Kayla ketika itu!

“Masa dia lamar aku…”

Kayla terus ketawa besar sambil menggeleng kepala mendengar jawapan Damya.

“Tak payah tipu akulah! Sejak hari pertama aku tengok muka kau masa mula kerja dengan Hayden pun aku dah sedar hati kau berbunga-bunga. Masa tu aku dah tahu apa nasib Aizat.” Kayla terus ketawa sehingga Damya menampar bahunya.

“Merepek aje! Kau ingat aku budak sekolah ke nak jatuh cinta pandang pertama!” Dalih Damya.

“Janganlah marah, nanti rosak mood kahwin. Kita dah sampai, Damya!” Masih bersisa tawa Kayla saat berhentikan kereta di parkir masjid.

Ketika itu Damya seperti baru tersedar dari mimpi. Dia memandang ke hadapan dan melihat sebuah masjid yang tersergam indah. Saat itulah tangannya menggigil dan terasa seram sejuk.

Kayla menyentuh tangan Damya apabila melihat wajah sahabatnya itu berubah gementar.

“You can do it. Let’s go.” Kayla terus membuka pintu dan keluar.

Damya menarik nafas panjang dan memegang bunga tangan iaitu lili segar yang digubah dengan begitu elegan.

Suasana di dalam masjid itu sangat tenang dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja. Tan Sri Musa, Puan Sri Rosena, Dato’ Haizan dan beberapa orang pengawal peribadi keluarga itu termasuk Encik Fairuz. Zetty juga tidak ketinggalan dan setia menemani Damya bersama Kayla. Nampaknya, Datin Dayana tidak hadir dengan alasan perlu hadiri persidangan di luar negara yang tidak dapat dilelakkan.

Damya sedikit pun tidak kesal dan lebih berasa tenang. Entah kenapa, sejak Dayana tidak memperakui hubungan mereka dari awal, hatinya seakan menjadi beku terhadaap kakaknya itu.

“Damya, fokus.” bisik Kayla apabila sekali lagi melihat Damya termenung panjang sedangkan juru nikah sudah menggenggam tangan Hayden.

Kelopak mata Damya terus tertutup rapat saat itu bersama debaran yang semakin menggila. Apabila dia membuka mata dia dapat melihat Hayden melafazkan akad dengan lancar dan sekelip mata sahaja dia sah menjadi isteri lelaki itu.

“Tahniah, sayang!” Kayla terus memeluk bahu Damya.

Zetty tersenyum lebar dan terus mengangkat tangan untuk aminkan doa dari imam kerana upacara ijab dan qabul itu telah berjalan lancar.

Damya tidak dapat senyum walaupun debaran di hatinya semakin reda. Hatinya berubah sayu walaupun dia telah menjadi isteri lelaki yang berjaya mengusik jiwanya. Hayden…

“Congratulations! Wishing you both a happy and blissful marriage.” Zetty memegang tangan Damya yang akhirnya kelihatan tersenyum di sisi Hayden.

“Thank you, Cik Zetty.”

“No! Jangan panggil Cik Zetty lagi. Nanti boss I marah. Awak wife boss saya sekarang!” gurau Zetty.

Damya hanya mampu tersenyum. Namun, dia melihat Tan Sri Musa dan Puan Sri Rosena datang menghampiri mereka yang berada masih berada di hadapan masjid.

"Hayden, terus ke rumah daddy. Kalau boleh tinggallah dua atau tiga hari.” kata Puan Sri Rosena.

“I’m sorry, mom. Kami akan balik ke kondo.” jawab Hayden.

“Hayden, kamu baru berkahwin. Sebaiknya balik dulu rumah keluarga.” Puan Sri Rosena masih bertegas.

Damya diam di sisi Hayden yang segak berbaju Melayu satin putih. Berkali-kali Damya mencuri pandang lelaki itu tetapi dia harus mengawalnya. Ketika ini, Hayden sedang bertegas dengan ibunya, membuatkan Damya serba salah.

“Tak apa, mummy. Esok saya akan bawa Damya ke rumah.” Hayden masih mahu mengelak.

“Kamu masih nak degil dengan mummy kamu? Nak tunjuk keras kepala depan isteri kamu yang baru nikah tadi?” kali ini Tan Sri Musa bersuara dengan lebih lantang.

Zetty dan Kayla terus menelan liur dan saling memandang. Damya memegang lengan Hayden dengan lembut ketika itu.

“Tak apa, kita pergi rumah keluarga awak.” bisik Damya.

“I’m sorry dad, mom. Kita jumpa esok.” Hayden pantas mencapai tangan Damya dan terus menarik isterinya itu menuju keretanya.

Kayla dan Zetty terus melopong.

“Biarkan dia dengan keras kepala tu. jomlah kita pun balik.” kata Tan Sri Musa.

Puan Sri Rosena terus mengeluh panjang. Hayden memang tidak boleh dikawal oleh sesiapa!
*****

“Kenapa awak tak nak balik ke rumah keluarga awak?” Damya memulakan bicara dengan pertanyaan yang berhati-hati.

Hayden membawanya pergi dari semua ahli keluarga sejurus mereka selesai bernikah. Agak kurang sopan tetapi Damya perlu tahu apa alasan Hayden berbuat begitu.

“Saya tidak selesa,” jawab Hayden, pendek.

“Tidak selesa? Tapi, itu rumah awak membesar.” soal Damya lagi.

Hayden terdiam dan suasana terus berubah sunyi. Dia hanys fokus memandu dan membiarkan soalan Damya tergantung sepi.

Sukar untuk Hayden jelaskan kepada Damya sehingga mereka menjadi suami isteri. Mungkinkah Damya akan mengerti keadaannya?

“Saya lebih selesa di kondo bila dengan awak,”

Damya akhirnya anggguk perlahan. Dia membelek bunga lili di tangannya dengan fikiran yang mula melayang. Suasana kembali sepi di antara mereka.

“Are you unhappy?”

Damya terus tersentak dan menoleh kepada Hayden. Mulai hari ini tentu banyak perkara yang akan dilaluinya bersama lelaki itu. Sebelum ini, dia hanya tahu sedikit sahaja tentang lelaki itu dan hanya akan ketahui selebihnya apabila mereka menjadi suami isteri dan hidup bersama.

“Why?” soal Damya kembali.

“You look sad…”

“I’m nervous. Sekarang dah okey.” jawab Damya ringkas.

“Kenapa kita jadi awkward lepas jadi suami isteri? Awak menyesal ke? Sorry, sudah terlambat.” balas Hayden bersahaja.

Damya akhirnya tersenyum dan ketawa kecil. Dia menutup mulut dengan sopan. Hayden sempat melirik.

“Thanks… Sudi jadi my wife.” tutur Hayden penuh romantis lalu mencapai tangan Damya dan dibawa ke bibirnya.

Damya terkedu, namun tetap rasa bahagia menyelinap ke hati. Hayden melepaskan ciuman di tangan isterinya dan kembali memandang ke hadapan. Saat itu Damya merenung wajah suaminya yang cukup menyenangkan hati.

“You are most welcome, husband.” balas Damya perlahan sehingga membuatkan Hayden tersenyum kacak.

*****

Senyuman Damya mekar apabila memasuki kondo mereka saat itu. Tidak seperti ketika ditinggalkan petang tadi. Bilakah Hayden mengambil waktu untuk membuat persedian ini?

“Do you like it?” soal Hayden lalu menutup pintu rumah dengan rapat.

Damya memandang ke sekeliling yang dipenuhi dengan taburan ros merah. Lilin dan cahaya yang sungguh romantis. Damya membuka pintu balkoni dan terdapat meja yang sudah dihias cantik untuk candle light dinner. Pantas dia menoleh melihat Hayden di belakang.

“Sebab ni ke awak tak nak balik rumah keluarga awak?” Damya ketawa.

“Hmm… I’m not sure.” Hayden masih teragak-agak.

“Habis tu…” Damya selangkah mendekati lelaki itu dengan sorotan mata yang menggoda.

“Actually…” Hayden mengetap bibir lalu memaut pinggang Damya yang langsing.

“Let me show your room…”

Damya terus mengerutkan dahi apabila Hayden tiba-tiba menarik badanya. Langkahnya terus bergerak luas mengikuti langkah Hayden.

Pintu bilik yang selalu digunakannya dibuka dari luar. Damya membuka mata lebih besar apabila melihat dekorasi bilik itu telah berubah. Segala perabot telah bertukar lebih mewah dan susun atur yang lebih menarik. Malah bilik itu sangat wangi!

“Awak suka tak? Nampak lebih cantik kan?”

Damya mengangguk perlahan walaupun dia masih ragu-ragu dengan situasi itu.

Hayden bersandar di dinding dengan kedua belah tangan disilang ke dada. Dia merenung Damya yang masih terkebil-kebil.

“Awak mesti pernah dengar kan? Saya tidak boleh kongsi bilik dengan sesiapa…”

Damya memandang Hayden tanpa berkelip.

“Memang saya selesa dengan awak. Tapi, proses itu akan memakan masa. Buat masa ni kita akan tinggal di bilik masing-masing. Are you okay with my decision?” soal Hayden dengan tenang.

Damya menarik nafas panjang dan mula mencerna situasi itu. Nampaknya setiap sisi Hayden terbuka sedikit demi sedikit. Dia hampir ketawa tetapi harus tampak tenang di hadapan Hayden.

“Jadi, awak risau kita kena kongsi bilik bila di rumah keluarga awak? Akhirnya saya dapat jawapan…” Damya mengangguk perlahan.

“Mummy akan faham. Cuma saya tak mahu kalau orang lain dapat tahu.” Kali ini Hayden kelihatan serius.

“Okey… Saya tak ada masalah. Memang selesa tidur sendiri. Saya pun suka!” Damya tersenyum panjang kerana dia berasa lega. Sikap pelik Hayden itu tidak sedikit pun menganggu perasaannya. Seolah-olah ia juga memberi ruang kepada Damya untuk bernafas. Bukan ingin mengimbau kisah lalu, dia sangatlah tidak selesa berkongsi katil dengan Aizat sejak beberapa tahun berkahwin, dan dia faham perasaan Hayden yang mempunyai gangguan psikiatri. Perasaan tidak selesa itu boleh mengundang insomnia yang teruk!

Damya melepaskan keluhan berat kerana emosinya masih terganggu dengan kisah lalu. Hayden menyedari perubahan wajah Damya dan terus menyentuh dagu wanita itu. Mata Damya kembali bertentangan dengan Hayden.

“Saya tahu awak akan kecewa… I’m sorry.” Hayden meluahkan kekesalan.

”No! I’m okay. Awak boleh beritahu saya apa lagi yang kita tak boleh kongsi?”

Hayden tersenyum hambar. “I’m not sure. Kita tengoklah nanti. Cuma tolong jaga kebersihan diri.”

Kali ini Damya terus ternganga. Serius?!

“Saya tak cukup bersih ke?”

“Tak! Bukan macam tu. Awak sangat bersih. Cuma… Kadang-kadang perempuan ada masa dia tak bersih, betul?” Hayden kelihatan gelabah apabila melihat mata bulat Damya.

“So? Awak nak saya berkurung dalam bilik ke masa tu?”

“Bukan macam tu, Mya. Maksud saya awak kena jaga diri masa tu bagi sentiasa wangi dan kemas. Clean…”

Damya angguk perlahan. “Saya faham. Awak tak perlu jelaskan pun. Saya bukan pengotor. Betul kata awak, kalau tak pandai jaga kebersihan masa tu, syaitan pun suka.”

“Good! My wife is so smart! Come here, I’ll give you something.”

Damya terpinga-pingga apabila tubuhnya langsung ditarik Hayden dengan tiba-tiba.

“Thank you for your understanding,” bisik Hayden lalu terus memberi kucupan hangat di dahi Damya.

Damya memejam mata dalam pelukan erat Hayden. Dia bersyukur walaupun lelaki itu mempunyai kekurangan, dia tetap mampu merasai ketenangan dan kehangatan perasaan.

“Malam ni saya akan masak dinner. Awak pergi rehat.” Hayden melepaskan tubuh Damya.

“Okay. I can’t wait.” Damya tersenyum.

Hayden mencuit hidung mancung isterinya itu sebelum keluar dari bilik itu. Damya melepaskan Hayden dengan hati yang berat. Dia belum puas berada dalam dakapan lelaki itu sebentar tadi. Satu keluhan halus dilepaskan walaupun bibirnya masih tersenyum. Dia perlu bersabar kerana bahagia itu bukan percuma!

****

Damya berdiri di hadapan cermin dan melihat penampilan dirinya untuk makan malam bersama Hayden di balkoni kondo! Dia perlu kelihatan seperti yang Hayden mahukan. Sekarang, keadaan sudah berubah, dia perlu menjaga diri untuk seorang lelaki bergelar suami dan tidak boleh lebih kurang seperti dulu. Zetty telah banyak mengosongkan almarinya dan digantikan dengan pakaian baru yang sesuai sebagai isteri Hayden.

Malam itu Damya mengenakan gaun paras lutut berwarna royal blue. Rambutnya didandan dengan kemas dan dia memakai minyak wangi yang mahal. Apabila sudah berpuas hati dengan penampilannya, Damya melangkah keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Dia menjenguk ke dapur dan balkoni tetapi tidak nampak kelibat Hayden. Damya teragak-agak untuk melihat di bilik lelaki itu kerana ruangan itu adalah tempat privasinya.

Serentak dengan itu, pintu bilik Hayden dibuka dari dalam dan lelaki itu keluar dengan memakai kurta dan berseluar kasual. Namun, lelaki itu tetap kelihatan tampan di mata Damya. Kelihatan wajah Hayden yang berseri dan Damya yakin lelaki itu baru selesai solat.

“Wow… awak nampak rapi.” puji Hayden apabila melihat penampilan Damya yang memukau.

“Thanks,” balas Damya bersama senyuman manis. Dia tidak mampu mengelurkan ayat pujian kepada lelaki itu! Tidak mahu Hayden ketahui perasaanya saat itu.

“Let’s go for dinner!” Hayden menolak belakang Damya dengan lembut dan mereka jalan beriringan ke balkoni.

Mereka menikmati makan malam yang indah untuk kali pertama sebagai suami isteri. Perbualan mereka tetap seperti dulu dan banyak berbicara untuk lebih saling mengenali.

“Tak sangka awak masak sedap sangat, kalau macam ni saya boleh pencen.” seloroh Damya.

“Awal mak cik nak pencen,”

Terbeliak mata Damya dan spontan mencubit tangan Hayden. Cantik-cantik begini dikatanya mak cik?

“Ops!” Hayden tiba-tiba mengangkat kedua belah tangannya sehingga terlepas sudu.

“Kenapa?” soal Damya hairan.

“Dari tadi saya jaga wuduk.”

“Tuan Hayden!” Damya ternganga kerana terkejut. “Awak boleh ambil semula,”

“Saya gurau je.” Hayden mengenyit mata apabila melihat isterinya seakan merajuk.

“Awak boleh sentuh saya,” Hayden menghulurkan tanganya kepada Damya.

Damya akhirnya ketawa dan memegang tangan lelaki itu. Dia memberi ciuman lembut di tangan Hayden sehingga lelaki itu tergamam.

“Are you happy, now?” soal Hayden.

“I’m so happy… But…” jawab Damya.

“But?” soal Hayden.

“Saya tak boleh peluk tangan awak sampai pagi…” Damya menolak kembali tangan Hayden. Ada rajuk di hujung ayatnya.

Hayden tersenyum sehingga wajah berubah merah padam.

“Habiskan makanan awak,” balas Hayden selamba.

Damya kembali menyuap stik ke dalam mulutnya sambil meneliti wajah lelaki itu.

“Awak ada banyak masa lagi untuk tengok muka saya ni,”

Damya terus mengalihkan pandangan apabila malu tertangkap sebegitu. Hayden mengangkat wajah dan tersenyum bahagia melihat isterinya yang gelabah. Damya wanita yang berterus terang dan Hayden menyukai sikap itu. Tetapi, dia tidak boleh terburu-buru kerana bimbang akan menyakiti perasan Damya jika berlaku penolakan.

Share this novel

Hazira Binti Halim
2024-12-21 06:52:24 

tlg update sis

sayang su
2024-11-05 23:28:13 

Banyak novel yang best tergantung macam tu je, author semua hilang dari radar. Moga yang baik-baik saja untuk semua

hamidah shafii
2024-10-28 15:16:37 

bila nk sambung author..


NovelPlus Premium

The best ads free experience