Bab 6: Americano

Romance Series 733860

Bab 6

Mata Hayden masih tidak dapat terpejam walaupun malam sudah larut. Dia terus termenung sambil terbaring di atas tilam empuk. Rasa resah menghempas kasar di jiwanya. Saat dia cuba memejamkan mata, wajah ayu itu hadir di layar gelap. Dia kembali membuka mata, sehingga bayangan itu berkecai. Hayden akhirnya bangun dari pembaringan dan duduk memandang ke hadapan.

“Wanita pada malam itu… Adalah awak, Damya. Kenapa saya tak sedar dari awal?” Keluhan itu keluar dari bibir Hayden.

Hayden cuba undurkan semula ingatan kebelakang. Pada malam itu, langit amat gelap. Wanita itu muncul entah dari mana, meluru ke jalan dalam keadaan kusut dan mereka hampir kemalangan. Hayden menghulurkan pertolongan untuk menghantarnya pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan wanita itu hanya sepi dan kadang-kala dia mengalirkan air mata. Terlalu banyak persoalan yang Hayden mahu bertanya, tetapi dia memilih untuk diam.

Ketika mereka tiba di sebuah rumah lot banglo, Hayden melihat keadaan rumah yang mempunyai ramai penghuni memandangkan banyak kereta berada di tempat parkir.

“Betul ke ni rumah awak?” soal Hayden memohon kepastian.

Damya hanya memandang sepi rumah tersebut. Dia seperti teragak-agak untuk keluar.

“Cik? Ada apa yang saya boleh bantu?” Hayden cuba untuk melihat wajah wanita itu yang sejak tadi menunduk.

“Ini rumah mentua saya, saya ingin larikan diri. Tetapi, saya tiada tempat untuk dituju.” Akhirnya wanita itu bersuara.

Hayden tersentak hebat. Entah kenapa dia juga menjadi bimbang dengan penjelasan wanita itu.

“Mereka dera awak ke?”

Wanita itu mengangguk perlahan. “Mereka dera jiwa saya…”

Hayden merenung wanita itu. Lama. Dia sedang berfikir adakah dia mempunyai cara untuk membantu. Ketika itu, Hayden turut hairan dengan diri sendiri. Kenapa dia perlu peduli dengan orang tidak dikenali?

“Minta maaf… Saya tiada duit tambang…” Wanita itu memegang erat beg galasnya.

“No! Tak perlu.” jawab Hayden.

“Terima kasih. Saya pergi dulu,” Wanita itu membuka tali pinggang keselamatan lalu membuka pintu kereta.

Hayden tidak sempat menghalang kerana wanita itu tidak meneruskan perbualan mereka. Lagipun, dia tidak sepatutnya masuk campur hal rumahtangga orang lain walaupun dia mampu memberi pertolongan. Ketika itu, Hayden hanya membiarkan wanita itu pergi dan menghilang dari pandangan matanya.

Keluhan berat meniti di bibir Hayden apabila memori itu diputarkan kembali. Dia sendiri hampir melupakan peristiwa itu kerana masalah hidupnya juga rumit. Hayden berdiri di tepi dinding kaca jernih sambil melempar pandangan melihat panorama malam dari kondominiumnya.

Dia tidak dapat tidur kerana fikirannya pesat memikirkan wanita itu.

“Damya… Manusia mana yang sanggup mendera jiwa awak yang tulus itu?” Hayden terasa ralat. Dia tahu wanita bernama Damya adalah insan yang paling penyabar, jujur dan ikhlas. Selalunya, orang-orang seperti itu mudah untuk ditindas.

****

Hujung minggu bukanlah hari untuk Damya berehat. Di masih sibuk mengemas dapur seperti rutin kebiasaannya. Damya sebenarnya tidak pernah berkira untuk keselesaanya sendiri walaupun ahli keluarga itu juga mendapat manfaat atas keringatnya.

Ketika sedang membasuh pinggan di sinki, Damya menyedari kehadiran seseorang di dapur tetapi dia tidak menoleh.

“Mya, buatkan kopi panas.”

Damya terdengar suara Ammar. Rasa rimas mula bertandang. Ammar sangatlah talam dua muka, jika di depan isterinya, bukan main lagi turut berlagak. Di belakang? Damya sebenarnya sudah lama memendam rasa rimas tetapi tiada tempat untuk diluahkan. Malah tiada siapa akan percaya kepadanya. Inilah juga menjadi punca Suri sangat membencinya.

Ammar bersandar di peti sejuk dengan bersilang tangan sambil memandang Damya.

“Kau dengar tak, Mya?”

“Buatlah sendiri,” balas Damya tanpa menoleh. Tangannya semakin laju mencuci kerana mahu cepat selesaikan kerjanya.

“Kau sombong sejak bekerja, eh? Tapi makin cantik aku tengok.” Ammar tersenyum meleret. Mata nakalnya merayap ke seluruh tubuh Damya yang hanya berdiri tegak.

Ah! Damya semakin membara. Cukuplah dia pernah kena maki oleh Suri kerana dituduh menggatal dengan suaminya.

“Awak jaga mulut tu ye, kalau Kak Suri dengar, saya yang kena. Awak selalu betul!” Damya menahan suaranya tetapi matanya cukup tajam memandang Ammar.

“Wow… Untung Aizat. Dapat isteri tengah marah pun cantik, pandai masak, langsing…” Ammar tidak pedulikan amaran Damya. Dia menikmati wajah di hadapannya ketika itu. Tidak dinafikan, Damya sangat menarik. Lelaki mana yang tidak goyah melihat wajah itu.

Damya lantas melepaskan cawan di dalam sinki. Dia mencuci tangan dengan air paip sebelum meninggalkan tempat itu.

“Kau nak pergi mana? Aku suruh buat air kan!” Ammar bertindak drastik menarik lengan Damya sehingga wanita itu berpusing.

“Jangan kurang ajar!” Damya merentap lengannya kasar. Matanya mencerlung tajam membalas renungan jahat Ammar.

“Sikit aje pun! Entah-entah kau pergi menyundal dekat luar. Alasan kerja konon! Aizat tu yang bodoh. Boleh percaya dengan kau ni!” Ammar mula terasa tercabar.

“Kau jangan nak fitnah aku! Habis apa yang kau buat belakang bini kau ni? Kau ingat aku macam kau ke?” Damya semakin berani. Entah dari mana datangnya kekuatan untuk membalas keceluparan Ammar.

“Tak payah berlagak baik la Damya. Sekali imbas pun aku tahu kau ni nak cari jantan aje kat luar tu. Iyelah… Kau pernah nak lari dari Aizat kan!”

“Eh, Ammar. Kau jaga bini kau sendiri boleh tak? Jaga rumahtangga kau sendiri. Tak perlu nak jaga tepi kain aku atau pun nak buat fitnah!” Darah Damya menyerbu muka sehingga wajahnya merah padam. Apatah lagi melihat Ammar ketawa mengejek.

“Sudahlah, Damya… Kalau kau nak cari laki lain. Aku pun ada…”

Pang!!

Muka Ammar tertoleh ke tepi akibat dari tamparan sulung Damya. Menggigil tangan Damya ketika itu bersama dadanya yang turun naik menahan marah yang sudah dipenghujung.

Ammar hanya ketawa kecil. Seronok pula ditampar Damya!

“Kau memang gila, Ammar!” Damya terus berjalan melepasi Ammar bersama panas hati yang masih membara. Seperti dia mahu letupkan rumah itu!

****

Pintu pagar utama terbuka luas untuk memberi laluan kepada sebuah kenderaan dan akhirnya kereta itu berhenti di perkarangan rumah agam Tan Sri Musa. Seorang lelaki bercermin mata dan berpakaian kemas keluar dari tempat duduk pemandu langsung membuka pintu belakang.

Hayden melangkah keluar dari kereta lalu memandang pintu rumah agam itu. Dia sebenarnya rasa berat untuk kembali, walaupun masih perlu untuknya menziarahi ibu bapa. Jika tidak terfikirkan tanggungjawab itu, sudah pasti dia tidak mahu menjejak kaki.

“Tuan Hayden, saya perlu buat panggilan ke?”

“Saya akan hantar isyarat,” jawab Hayden.

Encik Fairuz mengerti lalu mengangguk tegas.

“Baik, Tuan.”

Hayden berjalan dengan penuh keyakinan dan bergaya. Dia sengaja memakai pakaian yang menaikkan aura maskulinnya. Warna gelap cukup sesuai dengan Hayden yang berkulit cerah. Dia menyimpan sedikit kumis yang nipis bersesuaian dengan bentuk wajah dan rahangnya. Apa yang paling penting, Hayden mahu tampil sempurna!

“My god… Welcome home, my most handsome son on earth.” Puan Sri Rosena mendepakan tangan lalu memeluk anak lelakinya yang tinggi lampai itu.

Hayden membalas pelukan dengan memberi ciuman di kepala Puan Sri Rosena.

“I miss you, mom.”

“I miss you too, honey.” Puan Sri Rosena menyentuh kedua belah pipi Hayden sambil meneliti anak bongsunya itu.

“Hayden, kamu nampak berisi…” Puan Sri Rosena hampir tenganga.

Hayden hanya tersenyum nipis.

“Kamu dapat cari tukang masak?” soal Puan Sri Rosena. Mereka masih berdiri di tengah ruang tamu.

“Yes, mom. You don't have to worry anymore.”

Puan Sri Rosena tersenyum sumbang kerana hancur harapannya untuk aturkan perkahwinan Hayden dengan lebih cepat. Tiada lagi alasan kukuh nampaknya…

“Well… Mummy pergi jemput daddy turun untuk dinner. Hayden boleh tunggu di meja makan. Mood daddy tak berapa baik. Jangan buat dia marah.” ujar Puan Sri Rosena. Dia masih tidak melepaskan tangan Hayden. Dia terlalu sayangkan anak lelakinya itu melebihi segalanya.

Hayden hanya mengangguk. Puan Sri Rosena berjalan menaiki anak tangga untuk ke bilik bacaan di tingkat atas. Hayden bergerak ke ruang makan tanpa sebarang keraguan. Dia sudah masak dengan mood Tan Sri Musa. Mereka berdua tidak jauh berbeza sikap.

Datin Dayana tersentak apabila melihat Hayden memasuki ruang makan ketika dia sedang siapkan meja. Hampir terlepas cawan di tangannya. Wajahnya berubah pucat. Dayana tidak menyangka Hayden akan muncul pada malam itu, sudahlah dia tidak bersiap dan tidak bersedia!

Tanpa pedulikan kewujudan Dayana, Hayden menarik kerusi dengan selamba kemudian duduk dengan selesa.

Datin Dayana melihat sekeliling sebelum menatap semula Hayden. Dia menjadi kelu apabila melihat penampilan Hayden pada malam itu. Ah, wangiannya sama seperti dahulu. Dayana mengetap bibir. Dior!

“Tak sangka you datang, selalunya you banyak alasan.“

Hayden meneguk air kosong di dalam cawan kaca. Dia yakin Puan Sri Rosena telah buat persedian setelah tahu dia akan datang.

“Patutlah, mummy yang masak malam ni…” Dayana tersengih. Dia masih mencuri pandang ke arah Hayden. Tidak dinafikan Hayden jauh lebih kacak dan bergaya berbanding Haizan. Tetapi, Dayana lebih memandang kuasa dan kedudukan.

Hayden seperti tidak mahu melayan perbualan Dayana. Dia membuka telefon dan melihat apa-apa sahaja yang terlintas.

Datin Dayana semakin sakit hati apabila melihat Hayden yang selamba. Dia sengajakah? Dayana sebenarnya yakin, Hayden masih menaruh hati kepadanya. Tetapi lelaki itu sengaja tidak menunjukkan kelemahan. Ah, Hayden… Bukankah cinta pertama itu selalunya menyakitkan?

Hayden sedikit pun tidak memperdulikan kewujudan Dayana ketika itu. Bertambahlah bengkak di hati wanita itu. Hayden lelaki yang tidak mudah rapuh hanya kerana seorang wanita, mungkin dia sudah terlalu lama berjuang dengan diri sendiri. Itu lebih menyakitkan. Baginya Dayana… hanyah cebisan bab di dalam kamus hidupnya. Dan helaian bab itu telah pun dikoyak.

“Daddy,” Dayana mengalih pandangan apabila melihat Tan Sri Musa memasuki ruang makan bersama ibu mentuanya dan Dato’ Haizan.

Datin Dayana memaksa sebuah senyuman. Hayden bangun berdiri sebagai tanda menghormati bapanya itu. Dato’ Haizan mengambil tempat di sebelah kanan Tan Sri Musa dengan wajah yang ketat. Satu kejutan juga kehadiran Hayden pada malam itu.

Dayana duduk di sebelah Dato’ Haizan dan berharap makan malam itu cepat berlalu. Dia cuba untuk tidak mengalih pandangan ke arah Hayden walaupun hatinya seperti ditarik-tarik untuk menatap lelaki itu lebih lama.

Suhu penghawa dingin yang semakin sejuk mengingatkan Dayana kepada suasana musim bunga di England. Kehangatan pelukan Hayden ketika mereka menyusuri Sungai Thames menaiki evening cruise masih terasa. Dayana memejam mata dan menarik nafas panjang. Dadanya tidak pernah berdebar seperti itu melainkan ketika bersama Hayden. Mengapa bukan Hayden anak lelaki sulung keluarga ini?

“Letak jawatan sekarang dan pindah masuk AG Group, Hayden. Sudah cukup setahun di AG Property. Fairuz pun boleh uruskan anak syarikat tidak perlu tunggu anak lelaki President AG Group berkelah di sana.” Tan Sri Musa memulakan bicara ketika makan malam itu berlangsung.

Hayden hanya menyuap sedikit stik daging ke dalam mulutnya. Beberapa saat Hayden hanya diam tidak bersuara.

Dato’ Haizan dan Datin Dayana turut senyap, tetapi mereka menunggu saat perbalahan bermula.

Puan Sri Rosena sudah mula bimbang. Kalau boleh dia mahu hentikan topik itu.

“I’m fine daddy. AG Property is better than other companies right? Tentu daddy tak mahu saya di syarikat lain. Tawaran pun banyak sebab saya berpengalaman dalam pengurusan korporat.”

“Hayden…” Tan Sri Musa menekan suaranya.

Puan Sri Rosena pantas mencuit paha Hayden di sebelahnya. Moga Hayden tidak terus melawan kata-kata Tan Sri Musa.

Dato’ Haizan menyembunyikan senyumannya. Datin Dayana mula terasa bahang. Hilang terus musim bunganya dilanda bara.

“Pergi syarikat lain? Huh… kamu nak seluruh dunia korporat Malaysia ni tahu sindrom pelik kamu tu? Duduk di company kita bolehlah cover. Sekarang pun ramai dah mula bertanya, apa sebenarnya terjadi dengan kamu. Jadi kera sumbang kalau pergi meeting, atau event korporat!” Tan Sri Musa masih bertegas dan tiada tanda-tanda dia akan reda.

Hayden menahan rasa. Dia tidak mahu berdebat dengan bapanya di meja makan. Lagipun, abangnya yang sinis dan kakak iparnya yang menjengkelkan berada di situ.

“Sudahlah tu… Hayden kan muda lagi. Bagilah dia peluang jadi leader di anak syarikat. Lambat laun dia mesti akan masuk AG Group.” Puan Sri Rosena terpaksa mencelah.

“Kamu pun sama, sampai bila nak biar Hayden membujang. Tak buat kerja sebagai emak dia ke? Cari seorang calon yang layak.” Tan Sri Musa mengalih tekanan kepada isterinya pula.

Puan Sri Rosena terkesima. Dia pula yang terkena? Tidakkah suaminya tahu Hayden itu sangat memilih? Cawan air pun tidak boleh dikongsi, apatah lagi wanita moden di luar sana. Entah belum disentuh orang atau tidak!

“Saya ada ramai calon. Hayden sudah setuju nak hadir temujanji, kan?” Puan Sri Rosena mencuit sekali lagi paha Hayden di bawah meja. Moga-moga Hayden mahu menyokongnya dari terus dimarahi Tan Sri Musa.

Hayden perlahan-lahan mengangguk demi ibunya. Dia tidak mahu sesiapa pun terpalit dengan kemarahan Tan Sri Musa disebabkannya.

Dayana kekal mempamerkan wajah tenang walaupun agak terganggu dengan topik itu. Siapakah wanita yang bakal berada di sisi Hayden?

Bunyi deringan telefon menghentikan mereka seketika. Masing-masing melihat ke arah Hayden yang sedang menjawab panggilan itu.

“I’m sorry mummy, daddy. Ada panggilan penting dari client. I got to go.” Hayden bangun dengan segera dan bergegas meninggalkan meja makan dengan menggunakan alasan itu. Encik Fairuz membuat panggilan pada masa yang tepat!

Tan Sri Musa tidak dapat menahan anak lelakinya yang seorang itu. Sukar untuk dikawal! Suka membuat keputusan sendiri. Tetapi, sangat banyak menyumbang idea kepada syarikat. Itu sahaja yang melegakan hati Tan Sri Musa. Hayden… seperti jelmaan semula dirinya ketika di waktu muda. Cuma, Hayden tidak berminat untuk bersaing!

Tidakkah Hayden tahu, dia memiliki syarikat ini setelah bersaing dengan abang-abangnya dahulu?

****

Damya mengatur langkah dengan membawa dua bekas coffee paper cup melewati belakang bangunan kondominium. Terdapat sebuah taman tempat penghuni beriadah dan sesuai juga untuk berjoging. Damya melihat satu sosok tubuh sedang duduk di kerusi panjang membelakanginya. Langkah diatur ke situ dengan santai.

“Tuan Hayden… Sorry buat awak tunggu. Saya buatkan kopi panas,” Damya menghulurkan satu bekas kopi kepada lelaki itu.

Hayden menyambut huluran itu. Wajahnya kekal bersahaja. Nampak santai dan senang untuk menikmati suasana petang itu.

“Hmm… Americano.” Komen Hayden setelah menghidu haruman kopi tersebut.

“Less sugar,” balas Damya lalu mengambil tempat di sebelah Hayden. Dia sudah mengerti selera lelaki itu.

Cuaca petang itu redup. Terdapat beberapa orang kanak-kanak bermain di taman, ada juga warga emas yang berjalan atau briskwalk, malah ada juga pasangan yang sedang berdating. Mereka berdua? Hanya pertemuan singkat sebelum Damya berangkat pulang. Entah kenapa, Damya semakin selesa ketika berbicara bersama Hayden. Mungkin kerana lelaki itu bersikap tenang lalu meletakkan Damya di zon yang selesa dan selamat.

“Jadi awak bersetuju? Kita akan mulakan projek tu dari peringkat awal. Banyak kerja nak kena buat.” soal Hayden.

Damya mengangguk dengan yakin. “Ya, saya dah berfikir. Saya akan sertai Tuan Hayden.”

Hayden menghirup kopi yang semakin suam. Sebenarnya dia berasa lega dengan jawapan Damya.

“Tapi, awak akan makin sibuk selepas ni,” Hayden mengingatkan Damya.

“Saya dah bersedia,” jawab Damya perlahan. Jiwanya sudah benar-benar sakit sehingga dia tidak sabar lagi mahu melepaskan diri. Aizat pada mulanya menentang dan banyak soal jawab, tetapi Damya tetap berkeras sehingga lelaki itu terpaksa bersetuju. Aizat sudah muflis kerana banyak berhutang, jadi dia tiada pilihan.

Adakah dia isteri derhaka? Menyembunyikan niat sebenar dari suami sendiri untuk melepaskan diri.

Damya tidak berniat untuk mencari lelaki lain, cukuplah baginya kehidupan yang baharu. Dia mahu berdiri di atas kaki sendiri tanpa kongkongan atau penindasan dari sesiapa. Cukuplah… 5 tahun yang sarat dengan penderitaan. Apa kata hinaan yang tidak pernah diterima? Hanya kerana dia anak yatim yang tiada siapa-siapa pun di dunia ini, tidak layakkah dia dihormati?

“Lain kali kita akan bincang. Hari ni saya tertinggal proposal di office. Saya sepatutnya nak tunjuk awak plan,”

“Oh… Tak apa, masih banyak masa lagi. Kalau macam tu saya balik dulu.” ujar Damya.

“Sorry.” Hayden menahan Damya. “Kita boleh bercakap sekejap?”

Damya kembali duduk apabila Hayden kelihatan serius.

“Ada apa Tuan Hayden?”

“Actually, saya kena outstation. So…” Hayden memandang Damya tepat. Saat itu dia dapat menatap dengan lebih jelas wajah ayu milik Damya sehingga terasa sayang untuk berkedip.

“Outstation ke mana tuan?”

“Esok saya ke Penang. Saya akan ambil flight. So, saya akan balik pada hari yang sama. Meeting pun sekejap aje.” jelas Hayden.

“Okey… jadi esok saya tak perlu datang,”

“Tak… Sebenarnya saya nak ajak awak sekali. Siapa lagi nak sediakan makanan saya?”

Damya tersentak sehingga matanya membesar memandang Hayden. Adakah lelaki ini serius?

“Tapi…”

“7.00 pagi di sini. Kita akan naik flight pada 8.30 pagi.”

“Tuan…” Damya terkebil-kebil.

“Jangan risau… Kita bukan pergi check in.”

Kali ini wajah Damya berubah merah padam. Malunya! Bukan itu maksudnya, kenapa Hayden sengaja tidak memahami?

“My secretary, perempuan. Dia pun ikut sekali. Encik Fairuz, my personal assistant pun ikut sekali. Of course, my personal chef should be there too…”

Damya akhirnya mengangguk perlahan. Nafasnya kembali teratur. Wah… pergi outstation pun bawa rombongan ya?

Hayden menghabiskan sisa kopi yang masih berbaki. Apa sahaja yang dibuat oleh Damya dia akan habiskan.

“Thank you, Mya… jumpa esok. Jangan lupa bawa baju lebih.”

“Tuan Hayden…” Damya mengecilkan matanya. Penat betul jantungnya bekerja petang itu.

Hayden tidak dapat menahan senyuman melihat wajah cuak itu.

Share this novel

Ratnasita Yakin
2024-01-23 13:39:50 

thanks author.. x pernah buat kami yg membaca rasa teruja ..

Puteri Jacaranda
2024-01-22 10:23:39 

Welcome dear

mynn.nnym
2024-01-22 10:20:49 

Thanks PJ ❤️ tak sabor chapter mya buat revenge kat anak beranak husband taragunaaa dia tu


NovelPlus Premium

The best ads free experience