Bab 3: Pertemuan

Romance Series 733860

Bab 3

Damya menutup pintu utama dengan rapat. Dia bersandar di belakang pintu sambil melihat keadaan rumah yang sunyi dan kosong. Entah kenapa saat itu rasa sepi bertandang. Kosong dan sunyi. Walaupun Damya cuba memujuk hatinya untuk bersenang di saat dia tidak perlu menghadap keluarga itu, terdetik jua rasa sepi itu.

Langkah diatur ke dapur dan dia melihat keadaan dapur basah yang licin berkilat. Dia tersenyum kerana tiada siapa akan sepahkan dapurnya dalam tempoh seminggu itu. Jika tidak, ada sahaja orang yang pandai guna tetapi tidak pandai mengemas. Kotor di sana sini. Damya jugalah setiap kali akan membersihkan semula. Kadang kala dia berasa amat tertekan. Sudah sikapnya sangat pentingkan kekemasan dan kebersihan.

Setiap kali Damya mengalami kemurungan, dia akan mencari sesuatu yang boleh membuat dia gembira.

Damya menghela nafas perlahan. Dia cuba menepis rasa resah yang mula bertandang dan tidak mahu pergi. Dia pantas membuka telefon dan membuka laman sosialnya.

Melur Kitchen.

Damya tersenyum melihat jumlah pengikut yang semakin bertambah. Dia duduk termenung memikirkan konten seterusnya. Ketika itu juga dia teringatkan satu tawaran yang tiba-tiba datang di saat dia berada pada satu titik terendah dalam hidupnya. Damya menggenggam tangan dengan erat sambil melihat skrin telefonnya yang uzur. Mungkin dia boleh membuat konten dengan lebih menarik jika mempunyai telefon yang lebih canggih.

Aizat bukannya tidak mampu membeli telefon baharu kerana suaminya itu mampu memakai kereta yang agak mahal. Tetapi, Aizat mempunyai banyak hutang kerana terlalu taksub dengan pelaburan. Rasa kecewa Damya semakin bertambah apabila mengingati perkara itu. Hanya dia seorang dalam rumah itu mengetahui masalah Aizat.

Tiba-tiba Damya tersentak dari lamunan apabila telefonnya berbunyi mesej masuk. Harapannya adalah Aizat akan bertanya khabar, tetapi mesej itu dari nombor yang tidak dikenali. Berderau darah Damya apabila membaca mesej tersebut.

‘Hey perempuan. Sudah hutang tidak mau bayar ka? Kalau tak bayar lu terima balasan. Kita tarak main-main. Ini bulan belum bayar kasi bayar kalau tidak lu habis.’

Tangan Damya terus menggeletar dan badannya menggigil.

Ya Allah!

Damya mencari kekuatan untuk membalas mesej dari nombor tidak dikenali itu.

‘Saya tak ada hutang siapa-siapa. Kamu salah orang.’

Damya menahan rasa debaran di dada yang terasa mahu meletup!

‘Ini muka lu kan? Ini IC lu dan alamat rumah lu. Jangan main-main sama kita.

Damya melihat gambar kad pengenalan dan gambar wajahnya yang dihantar individu itu.

Sekali lagi Damya menggigil ketakutan. Seumur hidupnya, dia tidak pernah merasai ketakutan seperti itu. Pantas Damya melihat sekeliling kerana dia sangat bimbang. Ketika itu juga dia berlari ke ruang tamu untuk memeriksa pintu jika dia terlupa untuk mengunci.

Ketika itu juga, dia terasa untuk memeriksa pintu pagar hadapan. Dengan keberanian yang masih bersisa, Damya membuka pintu dan sekali lagi Damya terkejut apabila melihat beberapa keping poster kertas A4 terpampang wajahnya di pintu pagar.

‘Ini orang tak bayar hutang. Perempuan jalang tak tahu malu. Contact ini nombor dan bayar hutang!’

Damya terus jatuh terduduk di atas lantai. Badannya masih menggigil memandangkan dia hanya tinggal seorang diri. Dengan nafas yang turun naik Damya cuba bangun berdiri dan mencabut semua poster di pintu pagar. Air matanya berjurai ketika itu!

***

“Gol!!!”

“Eiii… Sipi aje!“ Zayn mengeluh kecewa sambil menumbuk tapak tangan sendiri. Dia menoleh ke belakang dan melihat Hayden masih memasak di dapur.

“Cepatlah, aku lapar ni!” teriak Zayn.

“5 minutes!” jawab Hayden.

“Kalau aku tahu, aku order aje tadi…” keluh Zayn yang bersandar selesa di sofa empuk dalam kondominium mewah Hayden.

“No outside food is allowed in my house.” jawab Hayden selamba selambil menyediakan makan malam mereka pada malam itu.

“Haih…” Zayn sengaja mengeluh dengan niat bergurau dengan sahabatnya itu. Kemudian dia kembali menatap skrin tv di hadapan. Malam itu ada perlawanan bola sepak kelab kegemaran mereka. Sebagai peminat bola sepak sejati, mereka kerap menghadiri perlawanan di stadium serata Eropah ketika belajar dahulu. Selalunya mereka bertiga… Seorang wanita juga kerap menyertai mereka berdua.

Zayn sekali lagi mengeluh berat apabila mengingati wanita itu yang bernama Dayana. Entah kenapa sakit pula hatinya walaupun bukan dia yang terkesan dengan sikap wanita itu. Hayden adalah orang yang paling tersakiti…

“Done.” Hayden meletakkan dua pinggan Fettuccine Carbonara di atas meja di hadapan Zayn.

“Wow! Dah macam di restoran. Dulu zaman study tak adalah kau masak sehebat ni. Habuan bagi kenyang je. Sekarang ni berselera betul aku tengok. Kau belajar mana ni?” soal Zayn agak teruja.

“Adalah…” Hayden mengambil salah satu pinggan dan duduk di wing chair menghadap TV.

“Hayden, Hayden… Tekejut aku dengar kau masuk hospital. Kena cari bini sorang la, Hayden. Jaga makan minum kau.” Zayn memulakan suapan selepas memberi nasihat pedas.

“Kau pun nak jadi mak cik bawang? Mesti Puan Sri Ros dah rasuah kau kan? Suruh nasihat aku?”

Hampir tersembur fettuccine di mulut Zayn ketika dibalas begitu. Hayden kekal selamba sambil melayan perlawanan bola sepak.

“Relaks la Hayden…” Zayn ketawa sumbang sambil mencapai air kosong di atas meja. Tersedak. Apabila tekaknya terasa lega, dia kembali menatap Hayden.

“Kau ada jumpa Dayana? Dengar kata dia dah jadi Pengarah HR. Laju betul ya…” soal Zayn lagi.

Hayden terdiam lagi kali ini.

“Terserempak aku pun dia buat tak kenal. Macam nak maki tapi aku sabar. Eh, siapa yang tolong dia masa sakit demam dulu? Jauh dari family, kita yang jaga dia.”

“Kacang lupakan kulit tu memang wujud…” sambung Zayn lagi. Bengkak hatinya apabila mengingati Dayana.

Hayden hanya tersengih sinis.

“Kenapa kau?” soal Zayn yang bingung. Dia melihat mata Hayden masih melekat di skrin TV.

“Bintang yang kita minat dah jadi team lawan sekarang. Dia tinggalkan team kita sebab ada tawaran yang lebih besar. Tapi… sejak dia bertukar pihak, team dia dah kalah berkali-kali. Malam ni pun dia dah dapat kad kuning. Mungkin dia marah kerana buat pilihan yang salah…”

Zayan melopong.

“Orang yang tamak selalu rugi…” ulas Hayden lagi.

“Kau… Kau cakap pasal… Apa ni?”

“Gol!” Hayden Hayden mengangkat tangan kanan dengan senyuman puas!

Zayn perlahan-lahan menoleh ke skrin. Dia melihat pasukan mereka sedang bersorak meraikan gol kedua. Tetapi dia hanya menelan liur kerana masih menghadam kata-kata Hayden.

***

Damya masih menggigil sambil cuba menghubungi Aizat yang tidak menjawab panggilannya sejak petang tadi. Kali ini Damya betul-betul menangis kerana sangat kecewa.

“Hello,“

Damya menarik nafas apabila mendengar suara Aizat di hujung panggilan.

“Awak! Kenapa baru sekarang nak jawab? Saya call dari petang tadi tau.” Damya menahan suranya. Air matanya masih bersisa.

“Eh, line sini tak okeylah. Awak ni kenapa? Tak boleh biar saya senang sikit ke? Awak tahu kan saya ni kerja penat dan sekarang baru nak bercuti!”

“Awak fikir penat awak, cuti awak aje ye? Dah tiga hari awak pergi sekali pun awak tak tanya khabar saya.”

“Jangan nak mulakan, Mya!” tegas Aizat.

“Awak tahu tak saya kena ugut dengan ah long? Awak buat pinjaman atas nama saya kan? Awak bagi IC saya, maklumat diri saya! Sekarang diorang cari saya!” jerit Damya sambil menangis.

Aizat terkedu. Dia diam sejenak.

“Saya dah buat repot polis. Saya tak tunggu persetujuan awak. Ini tentang keselamatan saya.”

“Apa polis boleh buat. Kita yang berhutang, kita yang kena bayar!” Herdik Aizat.

“Jadi awak mengaku sekarang?!” Damya menyentuh dadanya. Dia terasa amat sakit. Nafasnya juga sesak.

“Eh, Mya. Inilah fungsi suami isteri. Nanti aku bayar. Kau jangan beritahu mak pasal hal ni ye. Kalau mak tahu, kau siap!”

Damya mengetap bibir kerana terlalu kecewa dan sakit dengan kata-kata Aizat yang masih sempat mengugutnya.

“Dia nak bayar hari ni jugak. Saya dah guna duit yang awak tinggal tu semua untuk bayar dia. Sekarang saya dah tak ada duit awak tahu tak!”

“Ah, pandai-pandai kaulah. Tolong jangan ganggu aku kat sini ye. Nanti aku balik aku settle. Kau dah report polis kan? Kau nak takut apa lagi. Duduk rumah diam-diam.”

Tut… tut…

Panggilan terus terputus. Damya terduduk lemah. Fikirannya terus kosong. Air matanya juga semakin kering.

Kali ini… Dunia Damya benar-benar gelap.

***

Hayden memilih sebuah restoran mewah berkonsep moden kontemporari untuk temujanji pada hari itu. Dia mengenakan sut hitam bersama kemeja sky blue yang membangkitkan aura maskulin. Lengkap dengan jam tangan mewah dan haruman yang seksi.

Beberapa orang wanita yang melalui meja itu pasti akan menoleh melihatnya, tetapi tiada balasan dari lelaki itu. Dia hanya duduk dengan tegak tanpa sebarang hidangan di atas meja. Mata hazel milik lelaki itu hanya tertumpu di pintu utama restoran. Renungannya semakin lama semakin tajam.

Betul ke dia nak datang? Gumam Hayden di dalam hati. Kemudian dia menatap telefon dan memeriksa mesej.

‘Saya dalam perjalan,’

‘I’m waiting.’

Hayden membalas. Dia menarik nafas sambil membetulkan kot. Beberapa orang wanita elegan di meja hadapan masih berbual sambil mencuri pandang ke arahnya. Hayden cuba untuk tidak memberi sebarang reaksi. Mungkin mereka sedang tertanya-tanya siapa yang bakal duduk di kerusi hadapan lelaki itu.

Hayden mengangkat wajahnya apabila melihat satu sosok tubuh melangkah masuk di pintu utama. Wanita itu memanjangkan leher melihat sekeling. Buat beberapa detik, Hayden mengambil masa itu untuk menilai wanita di hadapan pintu itu. Wajahnya polos, pakaiannya cukup sederhana. Tetapi, kecantikannya tersembunyi.

Hayden mengangkat tangan kanan.

Wanita itu akhirnya terpandang ke arahnya. Dia terkedu dan tidak berganjak dari tempatnya berdiri.

Saat itu juga semua wanita di meja berdekatan menoleh ke arah pintu. Masing-masing seperti tidak terjangka.

Akhirnya wanita itu mengatur langkah yang teratur. Hayden bangun dan berdiri di sebelah kerusi di hadapannya.

“Have a seat,” Hayden menarik kerusi dan mempelawa wanita itu duduk.

Jelas wanita itu gugup tetapi dia mengambil juga tempat di hadapan Hayden. Terkedu dengan sikap gentlemen yang ditunjuk lelaki itu.

“Terima kasih kerana datang,” Hayden cuba untuk berbahasa.

“Maaf, saya naik public transport. Jadi agak lambat. Saya perlu jalan dari bus stop.” jelas wanita itu.

“No mention it. Saya belum menunggu lama.” Hayden cuba untuk senyum walaupun kekok. Dia berharap perjumpaan ini membuahkan hasil. Jadi, dia harus berbudi bahasa. Dia tidaklah peramah, tetapi dia perlu untuk kali ini.

Wanita itu menarik nafas panjang, saat itu juga dia dapat menghidu wangian yang terbit dari lelaki itu.

“Awak nak order apa-apa? Maaf, sebab saya sudah makan.” ujar Hayden walaupun dia terpaksa menipu.

Wanita itu menggeleng. “Saya pun dah makan,” Dia semakin kekok. Apatah lagi seperti diperhatikan.

“Okay. Jadi Puan Melur… kita terus kepada perbincangan.” ujar Hayden.

“Melur bukan nama saya…” kata wanita itu.

Hayden agak tersentak tetapi dia boleh faham kemungkinan itu nama sandaran untuk jenama laman sosial wanita itu.

“Itu nama nenek saya, Che Melur.” jelas wanita itu, jujur.

Hayden mengangguk perlahan. “I see…”

“Saya Damya. Jadi… adakah ini restoran encik? Saya ditawarkan kerja di sini?” soal Damya yang polos sambil melihat sekeling restoran. Sangat mewah. Dia tidak menyangka langsung lelaki itu adalah pemilik akaun yang menghantar mesej kepadanya.

“Oh, tidak. Puan jangan salah faham. Tawaran ini sebenarnya untuk menjadi tukang masak peribadi saya.”

Damya kembali menatap wajah lelaki itu. Dia jelas terkejut sehingga terkedu. Matanya tidak berkelip memandang jejaka kacak itu. Dia benar-benar gugup.

“Puan akan berkerja di rumah saya…”

“Apa?” Sekali lagi Damya terkejut. Kali ini dia menjadi gementar. Tukang masak? Di rumah? Adalah ini tawaran untuk menjadi orang gaji? Damya semakin tidak tenang.

“Puan boleh meneliti kontrak sebelum membuat keputusan. Maaf, setiausaha saya sediakan dalam Bahasa Inggeris.” Hayden agak kesal kerana minit terakhir baru dia menyemak kontrak tersebut.

Damya membuka helaian kertas di atas meja selepas diserahkan oleh Hayden. Dia meneliti satu persatu dan membaca dengan jelas di dalam hati.

“Saya akan bekerja di rumah Tuan Hayden bermula 9.00 pagi sehingga 6.00 petang. Sediakan bahan untuk sarapan pagi sebab tuan akan buat sarapan sendiri. Saya cuma perlu masak tengahari dan makan malam. Rider akan pick up makanan di rumah dan bawa kepada tuan waktu lunch. Dinner tuan akan balik pada jam 7.00 petang.” Damya menerangkan kembali apa yang dia faham akan isi di dalam kontrak itu.

Hayden lega apabila Damya memahami.

“Yes. Saya akan keluar ke pejabat jam 8.00 pagi, dan balik jam 7.00 petang. Jadi, kita tak akan berjumpa di rumah. Awak perlu sediakan makan tengahari dan serahkan kepada rider yang akan buat delivery kepada saya. Makan malam sediakan sebelum awak balik. Dan awak perlu sediakan bahan-bahan untuk saya buat sarapan untuk esok pagi. Simple kan?” jelas Hayden panjang lebar untuk menambah kefahaman kepada wanita itu.

Damya terdiam sejenak. Dia berfikir dalam-dalam ketika itu sambil membaca sambungan kontrak.

“Saya perlu ke pasar setiap hari untuk membeli lauk fresh?”

“Betul. Saya tidak makan apa-apa yang disimpan dalam peti. Termasuk makanan di dalam tin.”

Hayden menanti reaksi wanita itu. Dia bimbang wanita itu akan berfikir pekerjaannya itu rumit.

“Jadi… saya bukan orang gaji?” Tercetus juga soalan itu di bibir Damya.

“Of course not. Kerja awak masak je. Lain-lain kerja rumah saya uruskan sendiri. Lagipun tiada dalam kontrak. Cuma tolong pastikan dapur berada di dalam keadaan bersih dan kemas setiap kali guna dan sebelum awak balik.”

Damya mengangguk faham.

“Oh ya, saya juga tak halang untuk awak buat konten bila memasak di dapur saya. Awak boleh buat seperti dapur sendiri.” tambah Hayden supaya dapat menarik minat Damya.

“Jadi… Saya boleh buat konten di rumah awak?” Kali ini Damya agak teruja.

”Betul. Awak juga boleh lihat gaji dan benefits di belakang,”

Damya menyelak helaian belakang. Kali ini matanya membesar. Biar betul?

“Ada bonus, EPF, slip gaji dan insurans. Complete. Awak sama saja macam pekerja di syarikat saya. Cuma… tugas awak di rumah.”

Damya mengetap bibir. “Berapa orang tinggal di rumah awak?”

“Saya seorang. Awak hanya perlu masak untuk saya seorang.” Hayden masih menanti jawapan wanita itu. Matanya melihat kelopak mata bundar yang masih meneliti isi kontrak. Rambut wanita itu hitam berkilat dan diikat kemas.

Jadi lelaki ini bujang. Detik hati Damya.

Damya mengangkat wajahnya dan pandangan mereka bersatu. Hayden tidak sempat melarikan anak mata, langsung dia bersahaja.

“So, what is your answer?”

“Kerja ni nampak berat ke?” soal Hayden lagi apabila Damya diam seperti berfikir panjang.

Kali ini Damya tersenyum sehingga Hayden terkedu. Ini kali pertama wanita itu tersenyum sejak tiba, walaupun sedikit hambar.

"Saya tidak sangka… pekerjaan ini bergaji besar seperti ini. Selama ini, saya melakukan secara percuma.” Mata Damya bergenang tetapi dia cuba mengawal emosi itu dengan senyuman.

Hayden terdiam. Dia masih menanti jawapan Damya.

“Tapi, saya ada syarat juga.”

Hayden mengangkat kening secara spontan.

“Apa syaratnya?”

“Kita tak patut terserempak di dalam rumah. Jika berlaku. Saya akan berhenti.” tegas Damya.

“Baik, saya akan masukkan dalam kontrak. Saya anggap awak setuju?”

“Saya akan berkerja dengan sepenuh hati,” jawab Damya. Ikhlas.

Hayden sekali lagi terkedu. Damya masih tersenyum.

“Thank you,” Hayden lantas menghulurkan tangan kanannya.

Damya melihat tangan sasa itu melintasi meja dan berhenti di hadapannya. Entah dari mana kekuatan, Damya menyambut huluran tangan itu.

Hayden menggengam dengan kemas seperti kebiasaan. Damya malu dengan tangannya yang kasar sehingga dia menunduk.

“Awak sangat kuat bekerja,” Hayden sempat memuji. Jarang tangan wanita sekasar itu.

Sekali lagi Damya termalu sendiri. Pipinya secara semula jadi berubah merah. Dia sangat rendah diri dengan kekurangannya.

“Kalau awak setuju, kita akan sign kontrak sekarang. Syarat awak saya akan tulis tangan.” Hayden terus mengambil pen di saku kotnya.

Damya menghela nafas panjang. Adakah ini permulaan untuk sinar baru dalam hidupnya? Dia lelah… dengan apa yang terjadi sehingga membawanya ke sini, dan bertemu lelaki ini.

Share this novel

trend
2024-03-07 05:54:30 

sangat bagus


NovelPlus Premium

The best ads free experience